www.majalahsains.com

7/26/09

Yasmin Ahmad (1958-2009)


Saya terkejut juga bila baca berita di akhbar-akhbar Malaysia. Sutradara filem terkenal Yasmin Ahmad meninggal dunia akibat koma dan terjatuh di Stesen TV3 semasa membentangkan projek-projek seni beliau di sana.

Terus terang, Tukang Catat tidak banyak menonton filem-filem Yasmin Ahmad sehinggalah baru-baru ini seminggu sebelum beliau meninggal, tergerak hati menonton Mukhsin dan juga Gubra. Mukhsin filem yang indah, cantik dan berseni terutamanya melalui gemersik alunan lagu 'Hujan' irama keroncong dendangan Adibah Noor manakala Gubra ada sedikit sisi negatif yang agak kontroversi. Namun Yasmin adalah pengarah yang unik dan kreatif dalam berkarya.

Lupakan sebentar kisah filem. Saban tahun, Petronas menerbitkan iklan-iklan bermutu tinggi sempena acara-acara besar di Malaysia. Sambutan Hari Raya Aidilfitri misalnya atau pun Tahun Baru Cina dan juga Deepavali. Tidak ketinggalan iklan-iklan Hari Kemerdekaan dan iklan-iklan penyatuan antara kaum-kaum utama di dalam negara.

Sekiranya kita memiliki sedikit jiwa dan perasaan halus (yang zaman sekarang ini semakin terhakis akibat pengaruh materialis), tentu hati kita akan disentuh dengan karya yang ditonjokan melalui iklan arahan Yasmin Ahmad. Beliau dapat melihat dari kacamata seni yang beliau miliki di mana daerah-daerah yang perlu diterokai oleh penonton yang terdiri dari pelbagai peringkat baik Pak Menteri sehinggalah Sang Petani untuk menyatupadukan kaum di dalam negara.

Kita akui, selepas 50 tahun merdeka pun, kita masih janggal dan sangsi dengan tetangga kita yang bermata sepet dan berkulit gelap. Entah bagaimana sikap mereka terhadap kita yang dikategorikan berkulit sawo matang pun kita tidak pernah ambil tahu melainkan yang buruk-buruk sahajalah menjadi tanggapan kita terhadap mereka.

Nah datanglah si Yasmin Ahmad dengan latarbelakangnya yang berwarna-warni membawa satu idea baru melalui filem bagaimana untuk merapatkan hubungan kaum dan mengembalikan nostalgia silam warga di Tanah Melayu untuk hidup bersama aman damai. Tahniah dan kami sebagai penonton berterima kasih!

Untuk gemulah Yasmin Ahmad, selamat beristirehat di alam yang kekal abadi. Hidup di dunia ini adalah mundar-mandir sebentar, sebelum kita dijemput pulang!

2 comments:

Anonymous said...

http://saifulislam.com/?p=6537#more-6537

just want sharing...

Mohd Faizal said...

Salam anonymous,
Alangkah cantiknya kalau saudara memperkenalkan diri, boleh juga kita berkenal-kenalan walaupun di alam maya.

Saya sudah baca tulisan SaifulIslam yang saudara 'link' kan. Alhamdulillah, satu pandangan dan tulisan yang baik dan ilmiah.

Benar! Yasmin Ahmad bukanlah suci dari sebarang dosa. Tapi kita menghormatinya sebagai pengkarya seni yang memukau, kalaupun bukan mengenai filem-filemnya yang diertikan sebagai 'religous scepticme'. Saya sendiri secara peribadi, tidaklah terlalu tertarik dengan filem-filem beliau, namun sangat mengkagumi iklan-iklan yang ditangani oleh beliau.

Tentang hal-hal peribadi beliau yang lain, mungkin teguran-teguran dari ustaz atau mereka-mereka yang ahli dalam bidang agama yang menegur dan membuat ulasan. Saya hanya melihat dari kacamata seorang peminat seni dan sebagai seorang manusia biasa.

Teima kasih tuan atas 'link' tulisan saifulislam.