www.majalahsains.com

5/30/09

2 memorandum

Kassim Ahmad menulis 2 memorandum penting untuk direnungi oleh kerajaan demi mengembalikan kekuatan dan kemegahan kerajaan yang dipimpin oleh Barisan Nasional. Walaupun Kassim Ahmad merupakan seorang penulis dan pemikir kontroversi (menurut sesetengah golongan), pandangan beliau wajar dikaji dan diberi perhatian. Di sini saya turunkan semula memorandum yang dipetik dari blog beliau selepas dizinkan oleh beliau sendiri untuk berbuat demikian. Semoga bermanfaat!


Memorandum Pertama: untuk Menteri Pendidikan


Yang Berhormat,
Tan Sri Muhyiddin Yassin,
Menteri Pendidikan Malaysia
Kementerian Pendidikan Malaysia,
62250 Putrajaya, Selangor,
Malaysia.

Tuan,

Memorandum untuk Pembaikan Sistem Pendidikan Nasional

1. Pelajaran Bahasa Kebangsaan, Bahasa Ibunda dan Bahasa-bahasa Lain

Tiga tahun pertama di sekolah perlu ditumpukan kepada pengajaran Bahasa Kebangsaan, dan Bahasa Ibunda (bagi murid-murid bukan-Melayu). Bahasa Inggeris sebagai bahasa asing yang terpenting diajar pada tahun ketiga. Amalan sekarang mengajar Bahasa Inggersi dari tahun pertama telah menenggelamkan Bahasa Kebangsaan/Bahasa Melayu. Ini salah dan harus diperbetulkan segera.

2. Pelajaran Bahasa-bahasa selain Inggeris

Bahasa-bahasa asing, selain Inggeris, (Arab, Tamil, Mandarin, Perancis, Jerman, Rusia dan lain-lain) boleh diajar dari Tingkatan III selama 2 tahun. Tujuan pelajaran bahasa-bahasa ini untuk mendidik mereka yang ingin melanjutkan perlajaran yang memerlukan bahasa-bahasa ini, atau yang ingin memasuki Perkhidmatan Diplomastik. (Bahasa-bahasa Mandarin dan Tamil diajar untuk menggalakkan perpaduan kaum di Malaysia.)

3. Selesaikan Sukatan Pelajaran dalam Masa 5 Hari Sekolah

Sukatan pelajaran hendaklah diselesaikan dalam masa 5 hari persekolahan tiap-tiap minggu. Amalan sekarang mengadakan kelas-kelas tambahan pada hari Sabtu dan kadang-kadang Ahad mengganggu hari-hari rehat murid-murid dan juga progrem ibu-bapa yang ingin membawa anak-naka mereka pergi berjalan-jalan sambil belajar, seperi melawat museum, zoo dan sebagainya. Guru-guru juga tidak harus membebankan murid-murid dengan terlalu banyak kerja rumah. Murid-murid tidak harus disuruh membawa semua buku tiap-tiap hari ke sekolah, seperti amalan sekarang, dan dengan itu membebankan murid-murid dengan masalah “beg berat”.

4. Matlamat Pelajaran Mestilah Jelas

Membaca, mengira dan menulis – ini matlamat asas. Bangsa kita ingin menghasilkan murid-murid dalam ilmu-ilmu asas supaya mereka dapat memperoleh pekerjaan untuk menyara kehidupan keluarga mereka, dan menghasilkan rakyat yang berfikiran kreatif, kritikal, dinamik dan beramanah supaya mereka boleh menjadi rakyat yang bertanggungjawab dan berguna. Sistem sekarang yang terlalu mementingkan peperiksaan dan pencapaian akademik harus diubah.

5. Hapuskan Campur-tangan Politik

Sistem pendidikan kita mestilah dilaksanakan secara professional, tanpa campur-tang politik yang menghalang pelaksaan professional ini. Apa saja yang perlu dilakukan bagi mendidik guru-guru, menggalakkan guru-guru bekerja dengan penuh dedikasi, memelihara disiplin murid-murid, dan mendapatkan cadangan-cadangan pembaikan dari persatuan-persataun guru-guru dan persatuan-persaatuan ibu-bapa dan guru-guru (PIBG) perlu dilakukan.

6. Kesimpulan

Sistem pendidkan nasional suatu alat dan kaedah yang penting bagi melahirkan sebuah bangsa Malaysia yang beratu-padu, maju, kreatif, kritikal, dinamik, produktif dan bertanggungjawab. Dalam memorandum ini kami kemukakan cadangan-cadangan untuk pertimbangan Tuan. Moga-moga cadangan-cadangan ini ada manfaatnya.




Memorandum Kedua: Pemulihan UMNO

Yang Amat Berhormat,
Datuk Seri Najib Tun Razak,
Presiden UMNO, merangkap
Perdana Menteri Malaysia,
Jabatan Perdana Menteri,
62250 Putrajaya, Selangor,
Malaysia.

1. Kursus Politik yang Saintifik

Seperti yang Tuan katakan, UMNO mesti berubah. Walaupun keanggotaan UMNO sekarang 3.2 juta, yang penting ialah mutu anggota-anggota itu, bukan bilangannya. Anggota-anggota dan kader-kader parti mesti melalui kursus politik yang saintifk Kursus-kursus politik ini perlu menghuraikan (a) Nasionalisme Melayu, (b) Nasionalisme Malaysia, (c) Demokrasi, atau pemerintahah berdasarkan perundingan, (d) konsep pemerintahanh yang adil, dan (d) konsep masyarakat antarabangsa, atau kemanusiaan universal.

Melalui kursus-kursus ini, anggota-anggota parti boleh menjadi pengawas kepada parti dan Kerajaan serta menghalang kedua-duanya dari penyelewengan. Inilah konsep parti menguasai Kerajaan. Parti terdiri dari orang-orang perjuangan dari kalangan rakyat pelbagai kaum. Mereka berjuang secara sukarela. Kerajaan ialah institusi utama yang digajikan oleh rakyat untuk melaksanakan misi dan tugas bangsa yang ditetapkan oleh parti secara demokratik

2. Perubahan Organisasi

Seperti yang telah kita katakan di atas, parti merupakan orang-orang perjuangan sukarela dari kalangan rakyat pelbagai kaum. Kerajaan ialah institusi utama yang digajikan oleh rakyat untuk melaksanakan misi dan tugas bangsa yang ditetapkan oleh parti secara demokratik

UMNO mesti mengamalkan demokrasi. Semua anggota yang layak (dari segi kebolehan dan akhlak) boleh dicalonkan untuk menandingi apa jawatan juga, termasuk jawatan Presiden. Seorang pencadang dan seorang penyokong sudah mencukupi.

Parti tidak perlu dan tidak boleh berpecah kerana pertandingan yang sihat. Perpaduan parti tegak di atas falsafah perjuangannya, bukan di atas kebolehan pemimpin. Pertandingan perlu untuk memilih pimpinan yang terbaik

Perhimpunan Agung ialah institusi parti yang tertinggi yang membuat dasar. Majlis Tertinggi menjalankan peranan ini semasa Perhimpunan Agung tidak bersidang. Semua institusi parti di semua peringkat mesti mengamalkan demokrasi, yakni perundingan.

3. Perubahan dasar

Dasar Kerajaan dibuat oleh parti secara demokratik. Dasar ini, secara keseluruhan, merangkumi semua bidang kehidupan bangsa (ekonomi, kewangan, politik, kemasyarakatan, intelektual, moral dan spiritual). Dasar ini mesti bertujuan untuk mengadakan suatu kehidupan yang aman, maju, progresip dan bahagia untuk semua rakyat, tidak kira kaum, jantina dan agama.

Dasar ini mesti memastikan tiada pembaziran, rasuah dan apa juga bentuk penyelewengan. Semua rakyat, termasuk yang kurang upaya, mesti diberi hak dan peluang (dari segi pendidikan dan gaji atau upah) untuk menikmati suatu kehidupan yang selesa. Upah dan gaji mesti disusun sedemikian rupa supaya tiada rakyat (individu atau kumpulan) yang berada di bawah garis kemiskinan. Seperti yang diketahui, kemiskinan boleh membawa kepada banyak kejahatan, seperti jenayah dan rasuah. Hapuskan jenayah dan rasuah melalui sistem ganjaran yang adil dan rasional.

Dasar dan sistem pendidikan nasional penting untuk melahirkan sebuah masyarakat negara-bangsa yang dinamik, kreatif, kritikal, produktif, bersatu dan bertanggungjawab. Segala usaha mesti dilakukan untuk mewujudkan sistem pendikian nasional ini.

Terdapat pembaziran yang ketara dalam Perkhidmatan Awam sekarang. Bilangan anggotanya (1.2 juta) terlalu ramai. Sebagian perlu dikeluarkan, diberi latihan dan ditempatkan di sektor-sektor yang memerlukan tenaga dan kepakaran mereka, seperti pertanian.

Ponteng, tiada amanah, ketidak-cekapan dan birokrasi merupakan empat penyakit institusi Perkhidmatan Awam kirta sekarang. Penyakit-penyakit ini perlu diobati segera.

4. Kesimpulan

Seperti yang diketahui, UMNO dan gabungan Barisan Nasional, telah menderita kekalahan yang teruk dalam Pilihanraya Umum ke-12, kerana UMNO telah menyeleweng dari perjuangan nasionalnya yang asal dan pimpinanya telah menjadi golongan elit yang terpisah daripada rakyat. Untuk memulih semula peranan mereka sebagai pejuang bangsa, UMNO perlu kembali kepada asas-asas pejungannya yang asal dan mendedikasikan dirinya semula kepada perjuangan bangsanya dalam masa sesingkat mungkin.

Kita harap cadangan-cadangan yang diberikan dalam memorandum ini berguna untuk tujuan tersebut.


Salam Takzim
Kassim Ahmad

p/s: Di salin dari blog beliau

1 comment:

kerikil jalanan said...

Assalamualaikum.
Saudara Faizal Aziz,
Komen terhadap memorandum ini boleh dibaca DI SINI.
Terima kasih.