www.majalahsains.com

5/24/09

Jenayah makin parah #2

Jadi apakah idea-idea atau cadangan untuk kurangkan jenayah atau dengan kata yang lebih mudah, untuk mengisi kekosongan jiwa masyarakat. Mari kita senaraikan:

1. Sibukkan diri remaja dengan program-program yang tidak bersifat formal tapi mencabar. BTN, Rakan Muda dan segala macam program anjuran pihak kerajaan adalah baik, namun perlu pembaikan dan kreativiti berterusan. Belia secara semulajadi tidak berminat dengan program-program 'skema' yang tidak lansung tidak 'cool' menurut bahasa budak-budak sekarang. Jadi berkreatiflah pihak yang bertanggungjawab dalam menjalankan sesuatu program untuk anak-anak remaja.

2. Meningkatkan integriti pihak berkuasa termasuk pihak polis. Oh ya! Yang satu ini semua boleh bercakap tetapi pelaksanaannya sangat sukar. Berapa banyak saranan, kajian, hujah, tulisan dan pendapat yang dikemukakan oleh orang ramai dan pakar, namun integriti pihak polis semakin menjunam. Lihat sajalah indeks rasuah di kalangan polis. Siapa yang pernah di saman polis di lebuhraya atau jalan persekutuan yang tidak ditanya polis seperti ' Mahu bayar di sini atau di balai?..si naif akan jawab, "bayar di sini sajalah encik!..Padahal itu rasuah. Si pesalah juga tidak takut untuk menyatakan 'bayar di sini sajalah encik, senang kira!' Tengok, betapa sukar untuk kita membezakan rasuah dan kebaikan. Polis dan rasuah tidak boleh dipisahkan menurut kacamata masyarakat! (di tulisan akan datang kita bincangkan idea-idea untuk menambahbaik integriti pihak berkuasa)

3. Peranan ibu bapa. Sebagai ibubapa, kita kena insaf tentang halatuju anak dan keluarga. Balik dan tinjau semula peranan dan tujuan kita hidup di dunia ini. Kenapa Tuhan menjadikan kita di dunia. Nah, ia bukan secara kebetulan ya. Ada tanggungjawab dan urusan yang perlu kita bereskan sebelum kita mati. Ya, menjadi ibubapa bukanlah kerja yang senang. Banyak cabaran dan dugaan yang perlu kita tempuh dan hadapi mengasuh dan membesarkan anak-anak. Oleh itu, sebagai anak yang semua orang sudah melaluinya, hormatilah ibu bapa. Janganlah kecewakan ibubapa anda. Ibubapa mestilah sentiasa meningkatkan ilmu pengetahuan dari semasa ke semasa untuk berdepan dengan cabaran baru setiap hari. Sekarang zaman sukar dan mencabar dengan segala macam teknologi dan keghairahan hidup yang melalaikan.

4. Masyarakat dan kejiranan. Ini perlu dipupuk semula seperti zaman dahulu kala masyarakat Malaysia terutamanya kaum melayu beragam islam. Kalau diperhatikan, sikap bantu membantu, peduli jiran tetangga, kerukunan bermasyarakat semakin goyah dan semakin hilang. Tidak hairanlah sekiranya tetangga di sebelah penjenayah atau perompak pun kita tidak sedar akibat sikap 'enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing' (selfish)

5. Agama! Perlukah lagi diterangkan peranan kita sebagai umat islam. Namun prinsip islam adalah tegur menegur dan ingat mengingati. Oleh itu, marilah kita kembali kepada ajaran Quran yang sebenar, bukan ajaran quran yang diucapkan oleh penceramah-penceramah yang entah apa latarbelakangnya. Perangai penceramah juga satu macam. Masyarakat yang dahagakan ajaran-ajaran quran yang suci jadi keliru dengan penceramah semacam ini. Marilah kita belek semula bahagian terjemahan dan tafsiran al-quran buat menambah kefahaman tentang apa yang kita baca sejak dari kecil. Bacalah terjemahan Quran terlebih dahulu sebelum membelek buku hadis. Tumpukan sumber primer sebelum rujuk sumber sekunder, tertier dan sebagainya. Bila rasa sangsi, rujuklah orang yang lebih tahu. Dengan itu kita dapat belajar.

6.Asahlah fikiran setiap hari. Sangat kita hairan, betapa ramai manusia di dunia yang setiap hari mereka menyikat rambut, namun mereka tidak menyikat dan merapi minda mereka. Bagaimana untuk berfikir? Banyakkan membaca, memerhatikan alam sekeliling, bergaul dengan rakan-rakan yang baik dan berjalanlah melihat tempat-tempat asing. Jadilah manusia kreatif. Bukankah Tuhan berpesan, di sebalik pergantian siang dan malam, ada tanda-tanda kebesaran Tuhan bagi mereka yang berfikir..

bersambung..

No comments: