www.majalahsains.com
Showing posts sorted by relevance for query bahang. Sort by date Show all posts
Showing posts sorted by relevance for query bahang. Sort by date Show all posts

5/13/09

Hijaukan bumi, hindari bahang


Satu masa dahulu Tukang Catat ada menulis satu entry berjudul 'bahang' yang merujuk tentang haba panas dan soal-soal kehidupan sekitarnya. Kali ini, diberitakan suhu persekitaran di tanah air Malaysia, akan kekal panas dan mencecah 35 darjah celcius sehingga bulan september nanti. Panas dan berbahang menimbulkan suasana yang tidak selesa. Bukan Malaysia sahaja yang merasai kesan ini, hampir seluruh pelosok dunia mengalami situasi yang sama tapi dalam bentuk yang berlainan. Di kutub, lapisan ais banyak yang telah cair. Ada kajian yang menyatakan keluasan ais di kutub utara semakin mengecil, dan paras air laut semakin meningkat

Punca-punca panas dan cuaca tidak menentu kini saya kira ramai yang sudah sedia maklum iaitu disebabkan oleh pemanasan global (global warming). Puncanya ialah banyak gas rumah hijau terperangkap di atmosfera bumi. Dari mana datangnya gas-gas (CO2, NiO2 dan lain-lain) yang banyak ini kalau bukan manusia lah penyebabnya.


Jadi mari kita hidupkan semula tradisi nenek moyang kita iaitu menanam pokok-pokok hijau di sekeliling rumah atau di mana-mana sahaja yang ada ruang lapang yang bertanah bertujuan untuk mewujudkan semula zon penampan (buffer zone) suhu bumi yang semakin meningkat.

Teknologi sememangnya ada penyelesaian, tapi menunggu solusi global warming melalui teknologi, memakan masa! Jadi mengapa tidak kita mulakan dengan diri kita!

Ayuh, bertanamlah!

Artikel ini tersiar di Estidotmy Jun 2008


p/s: Sebelum menjejak kaki ke benua Amerika Utara ini, Tukang Catat ada menanam 3 batang durian (biji benih dari baka durian Bukit Putus Kuala Pilah), 3 batang limau kasturi (dari Besut), 2 anak benih kelapa(Benih dari Besut) di Ampang Tinggi dan Senaling K.Pilah. Khabarnya hidup segar..Alhamdulillah

p/s/s: sedang mengusahakan satu lagi artikel seputar tentang teknologi, isu-isu global warming dan idea penyelesaiannya. Artikel terdahulu pernah dimuatkan dalam estidotmy Jun 2008

p/s/s/s; Ya, di sini cuaca agak nyaman selepas berhempas pulas dengan kesejukan melampau. Maha Suci Allah Tuhan yang menjadikan alam!

2/12/07

Bahang!!


Sabtu hari minggu yang lalu, tukang catat blog ini ke Port Dickson dan Seremban2 atas satu urusan. Perjalanan dari Bangi ke sana dan pulang ke rumah seusai urusan tersebut, sangat terasa bahang kepanasan pancaran matahari yang tegak di kepala. Langit kelihatan cerah, biru, bersih dan amat sedikit sekali tompokan awan-awan yang sentiasa membawa mendung dan hujan. Matahari terus memberikan khidmatnya yang terbaik. Panas membahang!!

Baru-baru ini di selatan tanah air, hujan mencurah turun menenggelamkan hampir keseluruhan Johor Baharu. Bumi basah dan air melimpah ruah memaksa penghuni berpindah ke tempat yang lebih selamat. Ribuan penduduk JB yang menderita kepayahan menghadapi bencana banjir.
Di Jakarta, sebuah kota dengan populasi penduduk yang padat, hujan juga mengakibatkan 75% daripada kota itu tenggelam. Tidak kurang dari 50 orang meninggal dunia akibat mangsa banjir. Di sebahagian Eropah dan Amerika Syarikat, lain pula yang berlaku. Salji yang tebal disertai ribut salji membuatkan sebahagian warga mereka tidak dapat meneruskan aktiviti seharian. Tidak kurang juga yang menemui ajal akibat kesejukan dan kemalangan.

Memerhatikan fenomena alam yang berlaku saban tahun dan semakin meningkat akhir-akhir ini, mengingatkan penulis tentang salah satu daripada 8 perkara yang disebut oleh Prof HAMKA dalam kuliah subuhnya di Masjid agung Al-Azhar. Kuliah ini boleh didapati dalam talian internet dengan beberapa ketikan tetikus komputer di enjin carian Google. Dalam kuliah subuh tersebut HAMKA membacakan suatu doa yang diajarkan oleh Rasulullah kepada seorang pemuda yang memandang hidup ini dengan mata dukacita dan kepayahan. Doa tersebut berbunyi:

Ya Allah ya Tuhanku, lindungilah diriku dari kesusahan dan dukacita, Engkau lindungilah aku dari sifat lemah dan malas, peliharalah diriku dari sifat bakhil dan pengecut dan Engkau peliharalah diriku dari hutang-piutang dan kekuasaan orang lain ke atas diriku.

Dari doa di atas, salah satu yang diminta supaya Tuhan jauhi dari pemuda tadi ialah kesusahan. Apakah sebenarnya yang kita mahu di dalam hidup ini selain kesenangan, kemudahan, keselesaan dan kebaikan serta kebajikan yang lain. Dengan kata lain kebahagiaanlah yang menjadi kemuncak segala tujuan dan kemuliaan dalam hidup sebelum menempuh hidup yang sebenar di alam akhirat. Tetapi apakah kebahagiaan itu dapat dicapai dengan tidak melalui kesusahan terlebih dahulu.

Kita maklum bahawa hakikat kehidupan di dunia ini tidaklah semuanya senang. Seperti kata HAMKA ”di dalam kehidupan tidak ada jalan yang lurus yang ditaburi bunga-bungaan mewangi di sepanjang jalan”. Tidak ada! Sebaliknya hidup dipenuhi gelombang , mendaki, menurun cerun yang dalam, hujan ribut dan sebagainya. Tetapi tidak ada gelombang yang kekal menggulung, kadang-kadang ia tenang, tidak ada keadaan mendaki dan menurun kalau tidak disertai dengan kawasan yang landai, tidak ada kusut yang tidak dapat diselesaikan. Banjir, sampai masanya akan surut, panas akhirnya akan sejuk begitulah seterusnya kitaran alam ciptaan Tuhan. Begitu jugalah dengan makhluk bernama manusia.
Pokoknya kita kena meyakini bahawa asal sahaja yang bernama kehidupan bagi manusia mestilah menemui kepayahan sebelum mencapai tingkat kebahagiaan. Berbagai bentuk kepayahan yang sering dihadapi oleh mahkluk seperti musibah Tsunami, kemiskinan yang membantutkan cita-cita murni, banjir, panas dan sebagainya.
Sebagai seorang muslim, jika direnungi siapakah yang paling banyak mendapat dugaan dalam kehidupan sebelum mencapai tingkat kemuliaan dan kebahagiaan di sisi Allah Yang Agung. Tidak lain tidak bukan adalah Nabi Muhammad SAW itu sendiri. Jadi kalau diperhatikan, apa kah kita sebagai umat yang mengaku sebagai pengikut Rasulullah sejati akan mengeluh dan bermuram durja sekiranya ditimpa kesusahan sedangkan dugaan ke atas nabi Muhammad SAW sahaja pun kita boleh membuatkan air mata menitik mengenangkannya.
Oleh itu, panas yang dihadapi sekarang bukanlah satu alasan untuk kita bermalas-malas di rumah dan tempat-tempat yang dingin. Ayuh kita kerjakan apa yang patut. Bukan kah hidup ini untuk berjuang kerna kita telah ditakdirkan menjadi pejuang..

Ya Allah Ya Tuhanku, berilah kekuatan kepada hambaMu ini yang sentiasa lemah menghadapi ujian.