www.majalahsains.com

6/26/08

Salah seorang Personaliti Terbilang Malaysia

Akhir-akhir ini saya agak ‘kemabukan’ bahan bacaan. Ruang kecil di rumah untuk menempatkan buku-buku, majalah serta bahan bacaan lain sudah melimpah ruah. Semalam dapatlah juga menunaikan hajat yang tertangguh sekian lama untuk mendapatkan sebuah rak buku yang sesuai untuk menempatkan ‘harta’ yang bertimbun. Kebetulan pula Carefour Alamanda memberikan banyak pilihan. Saya memilih untuk tidak terus memasangnya pada malam tadi.

Dalam banyak-banyak bahan bacaan yang berlonggok, ada satu yang sangat menarik perhatian. Sebuah buku (sebenarnya dua) yang baru tiba dari Sarawak melalui pos yang dibeli dari penulisnya sendiri iaitu Jeniri Amir berjudul 50 Personaliti Terbilang Malaysia. Dalam buku tersebut tersenarai 50 personaliti unggul di Malaysia merentasi pelbagai bidang termasuk hiburan, sasterawan, jutawan, ahli akademik, ahli politik dan sebagainya.

Sambil membelek satu demi satu tokoh yang tercatat, saya terpandang satu nama yang agak terkenal iaitu Muhd Kamil Ibrahim. Penulis buku memilih Profesor Dr Muhd kamil Ibrahim sebagai salah seorang personality di dalam buku beliau yang terbaru. Kebanyakan blogger dan pembaca kebanyakannya sudah mengenali Prof Muhd kamil yang lebih dikenali dengan Prof Kamil atau Prof MKI. Apatah lagi mereka yang sudah pun memiliki buku terbaru beliau yang berjudul Travelogue Haji:mengubah Sempadan Iman. Saya sendiri mendapatkan buku tersebut di bilik beliau semasa beliau bertugas di Uitm Shah Alam sebelum berhijrah ke UiTM Johor. Kisah tersebut diceritakan di sini.

Menurut Jeniri Amir, Prof Kamil seorang yang berbakat dan menguasai pelbagai bidang melalui tulisan dan rencananya yang dimuatkan di dalam pelbagai media massa utama seperti Utusan Malaysia, Berita Harian, Dewan Ekonomi (1994-1996), Dataniaga, Massa dan Dewan Masyarakat. Selain itu artikel dan penulisan yang beratus-ratus jumlahnya merentasi pelbagai disiplin seperti motivasi, alam sekitar dan semestinya bidang tugas beliau yang hakiki iaitu perakaunan. Selain rencana Prof Kamil juga menulis buku-buku motivasi seperti Motivasi Minda Pelajar (1995), Kecemerlangan Remaja(1996) dan Pelajar Cemerlang(1996). Beliau juga menjadi penulis tamu Utusan Sarawak sepanjang 1994-1996 semasa bertugas di UiTM Sarawak. Yang mengkagumkan, buku beliau yang terbaru Travelogue Haji:mengubah Sempadan Iman (September 2007), sudah diulang cetak sebanyak 6 kali!

Di dalam buku ini, turut diceritakan asal-usul Prof Kamil dan serba sedikit latartbelakang beliau yang cemerlang sejak dibangku sekolah lagi. Falsafah beliau ialah Kita perlu mendongak ke atas dengan penuh pengharapan dan jangan lupa melihat ke bawah mengingati asal usul kita. Dan janganlah lakukan sesuatu yang kita tidak suka orang lakukan pada kita. Dia (Allah) sentiasa memerhatikan kita.Kehidupan kita seharusnya bermula daripada keikhlasan diri. Hati yang ikhlas akan menyelamatkan kita di dunia dan akhirat". Khabarnya beliau sedang menyiapkan sebuah lagi buku terbaru yang akan diterbitkan sedikit masa lagi.

Sesungguhnya buah tangan terbaru Jeniri Amir ini patut dimiliki oleh setiap individu yang mencintai kecemerlangan dan kejayaan dalam hidup. Kehidupan 50 Personaliti Terbilang Malaysia ini memberi bukan sedikit suntikan semangat kepada mereka yang membacanya terutamanya golongan belia dan remaja.

No comments: