8/26/11

Ramadhan, Air Tuak & Kenangan

Di daerah kami, bulan puasa dan air tuak jarang berpisah. Tiba sahaja bulan Ramadhan, maka tumbuhlah gerai-gerai di tepi jalan menjual air tuak. Tuak di daerah kami berbeza dengan istilah yang digunakan di Sarawak. Air tuak atau nira kelapa adalah sejenis minuman yang manis kelat, datangnya dari seludang kelapa yang dipotong hujungnya lalu ia mengeluarkan cecair. Cairan itulah yang ditadah dan dikumpulkan selama satu hari di dalam bekas buluh atau plastik yang dinamakan 'tukir'. Di dalam tukir ini dimasukkan sedikit kepingan kayu cengal yang dinamakan 'laghu' (laru) untuk mengelakkan ia cepat masam.Proses ini diulang sehingga seludang kelapa itu tadi sampai ke pangkal.

Air tuak atau nira boleh segera diminum segar atau disimpan sehingga bertukar menjadi cuka makan. Tapi awas, dalam proses pertukaran tuak segar kepada cuka yang memakan masa beberapa hari, ia akan melalui proses penapaian semulajadi atau diistilahkan sebagai 'tuak gila'. Tuak gila atau tuak masam inilah yang diminati oleh 'kaki minum' di beberapa daerah di Sabah dan Sarawak kerana ia adalah minuman yang memabukkan. Kandungan alkoholnya cukup tinggi. Tukang catat sendiri pernah melihat proses proses pertukaran tuak segar kepada 'tuak gila'. Ia akan berbuih-buih beberapa waktu, kemudian bertukar menjadi jernih. Cecair jernih itulah cuka makan yang enak.

Nira kelapa juga adalah bahan utama untuk membuat gula melaka. Selepas dikumpulkan dalam jumlah yang banyak, ia akan dimasak di dalam kawah sehingga cecair tuak tadi menjadi pekat likat berwarna keperangan. Cecair pekat tadi kemudiannya dituangkan ke dalam bekas berbentuk bulat yang diperbuat daripada daun mengkuang yang dinamakan 'kerek'. Setelah sejuk, terbentuklah kepingan-kepingan gula melaka atau dikenali sebagai 'nisan kerek' di daerah kami.

Saya tahu serba sedkit tentang 'air tuak' ini sejak dari kecil. Waktu itu 3 orang adik-adik saya masih belum lahir. Sekitar penghujung tahun 80-an. Ayah saya sebelum masuk ke tanah rancangan FELDA, dikenali sebagai tukang panjat pokok kelapa (Tok Nyadat) dan pembuat manisan yang handal. Masih saya ingat, sewaktu kami mendiami sebuah rumah papan kecil di Kampung Gong Ubi Keling, Besut saya memerhatikan ayah melakukan semua kerja-kerja menghasilkan gula melaka. Kadang-kadang kami diberikan sedikit cebisan manisan yang masih dalam proses pemanasan yang dikenali sebagai manisan cair. (nisan cair). Enak!. Ah betapa kenangan itu masih membekas di jiwa saya. Kami orang susah. Membeli gula-gula di kedai jarang sekali. Manisan itulah gula-gula kami.

Mengimbau kenangan lama, hati saya jadi hiba. Sementelah pula kenangan ini muncul di penghujung Ramadhan. Teringat kenangan-kenangan sewaktu zaman kanak-kanak. Teringat pula Sang Ayah yang bertungkus-lumus mencari rezeki menyuap dan membesarkan kami adik beradik. Bermacam-macam jenis pekerjaan pernah dilakukan. Bersawah, memburuh sampai jauh di Singapura, membela ikan di kolam tanah rancangan, menanam tembikai, berladang sawit. Sehingga kini pun di usia senja, ayah masih belum pernah berehat walaupun sudah tiada apa yang perlu dikejarkan. Anak-anak semua sudah besar dan kebanyakannya sudah berkeluarga. Mungkin tidak betah duduk diam berehat hasil kerja kuat sejak dari zaman remaja.

Beberapa hari lagi kita akan menyambut syawal. Salah satu cita-cita agung khidmat bakti kepada ayah dan bonda yang saya impikan ialah ingin menghantar mereka ke Tanah Suci Mekah. Mudah-mudahan hajat murni Tukang Catat ini dipermudahkan Tuhan..

Salam Syawal 1432 Hijrah untuk seluruh ahli keluarga di Besut dan Kuala Pilah, dan umat Islam di seluruh dunia. Semoga puasa kita diterima Allah Taala.

   

Pemanjat kelapa (Tok Nyadat)

Nira (tuak) yang sedang dikumpulkan dari seludang kelapa

Proses memasak nira kelapa untuk dijadikan gula melaka

Gula melaka (Nisan Kerek)

Verdun, Montreal
Summer, 2011

1 comment:

yuh said...

lamo xmakan nisan cair...cicoh tupat/lemang sedap jugok.