www.majalahsains.com

3/16/11

Selepas Tsunami, krisis nuklear pula...tapi........



Satu dunia kini gempar apabila loji nuklear Fukushima yang membekalkan tenaga elektrik di sebahagian besar kawasan di pesisir timur laut Jepun meletup kesan dari gempa bumi dan tsunami yang melanda negara itu. Penjelasan kronologi letupan tersebut boleh dibaca di sini.Setiap hari ada laporan dari pelbagai sumber berita mengemaskini status reaktor nuklear terbabit. Ada yang sahih, tapi banyak juga yang mengarut menyatakan sumber. Contohnya:

PESANAN PENTING DARI SAHABAT FB Mr XYZ: 
"A nuclear power plant in Fukumi, Japan exploded at 4:30 AM today. If it rains tomorrow or later, don't go outside. If you are outside, be sure that you have rain protectors. It's acid rain. Don't let it touch you. You may burn your skin, lose your hair or have cancer. Please pass, stay safe and remind everyone you know."

Ini sangat popular, sehinggakan ibu saya di kampung pun menelefon ke Kanada bertanyakan khabar tentang isu ini. Orang kita memang cukup hebat kalau menyampaikan berita yang tidak ketahuan asal usulnya. Jika dahulu waktu emel mula rancak sebelum muncul SMS, facebook twitter dan sebagainya, setiap hari akan ada sahaja kaki-kaki meng'forward emel yang merapu dan mengarut tentang konspirasi itu dan ini. Sekarang facebook dan twitter pula termasuk SMS yang masih hangat digunakan.

Di zaman yang penuh dengan simpang siur teknologi maklumat serba canggih ini, fungsi akal WAJIB digunakan secara maksimum untuk menepis dan menyaring sebarang maklumat. Akal juga mesti dipenuhi dengan ilmu pengetahuan yang baik. Tidak dapat tidak, kewajipan dan kemahiran membaca perlu sentiasa dipertingkatkan untuk mengisi minda. Jika kita tidak menguasainya, maka akan muncullah mesej-mesej atau catatan facebook yang menyebarkan,

- Facebook akan menutup operasinya pada 15 Mac 2011 kerana tekanan pengurusan
- hujan asid dan hujan radiasi akan sampai di Malaysia
- kisah anak beribu bapakan khinzir
- larilah ke masjid apabila berlakunya tsunami
- kiamat berlaku pada tahun 2012

dan ratusan lagi khabar yang tidak masuk akal menerjah ke dalam fikiran dan jiwa kita, terutamanya bangsa Melayu. Justeru itu, berhati-hatilah apabila menerima maklumat. Gunakan minda anugerah Allah yang tidak ternilai ini sebaik mungkin.

P/S : Sumber tenaga nuklear adalah anugerah Allah untuk dimanfaatkan oleh umat manusia. Kepakaran mengendalikannya adalah tugas manusia untuk mengeksploitasikan sumber tenaga tersebut bagi mempelbagaikan sumber tenaga konvensional yang semakin berkurangan. Tidak sahaja nuklear, biogass, solar, angin dan air juga perlu dimanfaatkan.


Tragedi letupan loji nuklear Jepun adalah satu manifestasi kelemahan manusia dalam merancang. Semua itu adalah proses dan cabaran untuk terus mara menghadapi masa hadapan. Takziah dan simpati kita kepada Jepun.

No comments: