8/10/10

Bulan berkat, bulan ibadat ...ramadhan kareem!




Alhamdulillah..tahun ini merupakan tahun ketiga kami berpuasa di bumi Kanada.
Mengikut perkiraan, kami dijangka mula berpuasa pada hari rabu 11 Ogos. Masih jelas di ingatan, 1 ramadhan 1429 Hijrah yang jatuh pada 1 September 2008 adalah hari penerbangan kami dari Kuala Lumpur – London – Toronto – Montreal. Jumlah keseluruhan tempoh perjalanan termasuk transit di Kota London dan Toronto sebelum tiba di Montreal ialah sekitar 23 jam. 

Dalam penerbangan, kami dinasihatkan oleh flight attendan beragama Islam (tapi masih menuang arak ke gelas penumpang non-muslim) untuk tidak meneruskan puasa.  Memang sudah dalam perancangan kami untuk tidak terus berpuasa selama dalam perjalanan kerana hampir mustahil untuk tujuan itu  dan jelas ia mendapat keringanan (rukhsoh)  dari segi hukum. 

Kisah puasa di perantauan ini, saya bercadang untuk menulisnya secara berasingan dalam satu blog khas yang dinamakan ‘Travelogue Montreal’ yang masih lagi di peringkat ‘offline’ kandungannya di dalam laptop. :-)

Ramai rakan dan saudara mara dari Malaysia yang bertanya tentang perihal puasa di negara empat musim. Sepintas lalu, kelihatan puasa di sini sedikit memenatkan terutamanya bila bulan ramadhan jatuh pada musim panas seperti sekarang. Di musim panas, waktu subuhnya kira-kira pukul 4.10 pagi dan waktu maghrib pukul 8.10 dan waktu siangnya agak panjang berbanding waktu malam. Tapi pepatah melayu ada menyebut, alah bisa tegal biasa. Jadi bagi saya, tidak ada apa-apa yang aneh. Penat dan letih berpuasa adalah mainan psikologi semata-mata  Penat yang betul-betul penat seperi bekerja di dalam keadaan terik matahari dan seumpamanya.

Dari segi juadah berbuka, kebiasaannya kami memulakannya dengan buah tamar (ruttob). Di Montreal, ramai warganya beragama islam yang datang dari Timur Tengah. Jadi tamar atau kurma ini tidak bermusim dan ada sepanjang tahun. Tamar juga sudah menjadi budaya global dan tidak terhad kepada warga muslim. Banyak juga kuih muih warga tempatan menggunakan tamar dalam resepi mereka. (maklumat dari majalah dan TV).

Solat sunat terawih dilakukan di rumah sahaja walaupun ada masjid yang berdekatan. Pernah dahulu saya mendengar ceramah dari Dato’ Hassan Din Al-Hafiz, kata beliau ‘ solat sunat terawih lebih afdhal dilakukan di rumah bersama keluarga (bagi yang berkeluarga)‘. Untuk yang bujang mungkin sunat di masjid lebih baik, kerana dapat bertemu mata dengan rakan-rakan dan sahabat handai di samping menunaikan ibadat sunat yang berganda-ganda pahalanya.

Dalam bulan ramadhan ini juga ada satu malam yang sangat istimewa iaitu lailatul-qadar. Malam yang lebih baik dari seribu bulan. Menurut pemahaman saya yang sedikit, lailatul-qadar adalah malam yang membetulkan kompas hala tuju kehidupan manusia menurut apa yang ditentukan oleh Allah. HAMKA dalam satu keterangan beliau, mempunyai pandangan yang sedikit berbeza. Lihat di SINI.

Kesempatan kedatangan bulan ramadhan yang mulia ini, sama-samalah kita memohon keampunan dan keredhaan Allah dan mengharapkan ramadhan terbaik untuk kita berbanding sebelum ini. Setiap manusia sihat dan normal mempunyai harapan dan cita-cita. Jadi harapan saya  untuk tahun ini ialah untuk menunaikan ibadat puasa sebaik-baik mungkin, mudah-mudahan Allah memberikan kekuatan.

Salam Ramadhan 1431 Hijrah kepada seluruh umat islam di dunia terutama untuk sanak saudara dan sahabat handai di tanah air.

~Verdun, Montreal~
Summer 2010

3 comments:

MKriza said...

Diharapkan travelogue Montreal menjadi sebuah buku. saya ingin membacanya.

b.r.u.t.a.l.s.o.l.o said...

jauh berjalan ...salam ramadan

xara said...

Saya pun mempunyai harapan travelogue Montreal menjadi sebuah buku :)