www.majalahsains.com

8/26/10

Warga FELDA Bangkit


Saya terkejut bila menyelak akhbar. Sebenarnya tuntutan peneroka FELDA ini sudah sekian lama. Bila mahkamah memutuskannya hari ini, ia seolah-olah satu kemenangan bagi warga yang tertindas. Rezeki ramadhan juga barangkali. Untuk mereka yang menang, ucapkanlah syukur kepada Allah Pemberi Rezeki kepada makhlukNya.

Sebagai anak peneroka generasi kedua FELDA, sedikit sebanyak saya mempunyai pengalaman hidup sebagai anak peneroka tanah rancangan. Saya tidak ingin menulis kenangan-kenangan yang ditempuh sepanjang berada di sana. Cuma ingin memfokuskan isu terbaru hal saman-menyaman dan warga FELDA ditindas dan ditipu seperti yang dilapor dalam akhbar.

Ringkasnya cara menipu peneroka ialah,

- memberi gred yang rendah terhadap hasil tuaian buah kelapa sawit 
- memaksa peneroka membeli benih dan baja dari FELDA
- memaksa peneroka menjual hasil tuaian kepada FELDA

Akhirnya peneroka kekal dengan pendapatan yang rendah, walaupun harga sawit melambung tinggi di pasaran. Rata-rata warga FELDA (peneroka) tidak mengetahui apa yang berlaku di peringkat atasan, walaupun keringat mereka ditagih siang dan malam. Ramai juga yang masih hidup dalam kedaifan, buta huruf, tidak berpelajaran dan macam-macam masalah sosial yang lain.

Satu hal lain yang dikesalkan ialah ketelusan membantu peneroka. Saya mempunyai pengalaman yang tidak pernah diceritakan kepada sesiapa termasuk adik beradik saya yang lain kecuali diri saya sendiri, ibu dan ayah.

Ceritanya begini, suatu waktu dahulu, sebahagian tanah ladang kelapa sawit milik kami diambil oleh syarikat bekalan air untuk membina tangki air untuk disalurkan kepada seluruh penduduk di FELDA kami. Masalah timbul apabila soal pampasan dilengahkan sejak sekian lama. Saya sendiri tidak dapat memantau apa yang berlaku disebabkan jarang berada di kampung, kecuali waktu-waktu cuti panjang dan melalui telefon.

Bila terfikir hal tersebut, saya bertanyakan keluarga tentang perkara itu. Menurut mereka, ia sudah lama dibawa ke peringkat atasan, namun tiada tindakan susulan dan seolah-olah tiada apa yang berlaku, sedangkan hasil tuaian kelapa sawit semakin berkurangan akibat pengambilan tanah tersebut. Dengan tidak membuang masa, saya dan ayah terus ke pejabat FELDA berjumpa dengan pengurus (yang telah meninggal dunia) dan berbincang. Mereka mengakui kesilapan mereka lambat memproses urusan tersebut, dan bersikap acuh tak acuh melayan kami. Mereka silap! Saya juga ada tahap kesabaran yang sudah lama terpendam.
Sekali jerkah, akhirnya kami mendapat kepastian.

Selepas beberapa minggu peristiwa tersebut, saya mendapat khabar berita bahawa pampasan tersebut telah diluluskan dan diproses. Tidak lama selepas peristiwa tersebut, ibu dan ayah mendapat berita gembira.

Rupanya kerja pihak pengurusan di atas perlu disusuli dengan 'jerkah' barulah ia bergerak.

Tidak dinafikan, banyak jasa FELDA kepada warga peneroka. Namun hak sebagai rakyat dan pembanting tulang siang dan malam mengkayakan FELDA, janganlah diabaikan.

Kepada penduduk FELDA Kemahang, Kelantan, tahniah diucapkan! Kemenangan anda di bulan ramadhan yang mulia.

No comments: