9/3/10

Keterangan Lailatul Qadar menurut tafsir Al-Azhar - HAMKA

Tafsir Al-Quran terlalu banyak. Di dalam tafsir Al-Azhar sendiri, Hamka menyenaraikan sehingga lebih seratus buah tafsir AL-Quran termasuk tafsir di kalangan penganut fahaman Syiah.

Bagi pentafsir dan pengkaji Al-Quran, wajarlah mereka membelek keseluruhan tafsir untuk mendalami ilmu Al-Quran. Tetapi bagi orang kebanyakan termasuk diri Tukang Catat ini, saya senang sekali dengan tafsir Al-Azhar karangan Buya Hamka. Huraiannya sangat mudah untuk difahami oleh orang awam di samping rujukan dan keterangan yang pelbagai dan lengkap di dalamnya. Hamka sendiri dalam satu karangan beliau, pernah menyatakan kurang lebih berbunyi,


"Untuk menyampaikan ilmu yang berat, fahamilah latarbelakang para pendengar. Permudahkanlah kefahaman mereka. Jangan diberatkan lagi pemikiran mereka dengan sesuatu yang sukar".

Sejarah penulisan tafsir ini juga sangat menarik perhatian saya. Sejak dari tahun 1995 lagi saya cuba membaca dan berkenalan dengan sosok yang memiliki nama singkatan bagi Haji Abdul Malik Karim Amrullah atau HAMKA, seorang ulama melayu nusantara yang berasal dari Sumatera Indonesia. Al marhum merupakan seorang ulama' yang teruji dengan pelbagai dugaan semasa berjuang menuntut kemerdekaan Indonesia dan juga dalam usaha mengembangkan dakwah.

Pada tahun 2008, dengan sedikit rezeki yang dianugerahkan Allah, saya berkesempatan memiliki keseluruhan jumlah tafsir Al-Azhar 30 Juzuk dari sebuah kedai buku  di Kompleks PKNS Bangi.

Apa yang ingin saya kongsikan di penghujung ramadhan ini ialah suatu surah yang masyhur dibacakan sebagai surah lazim dalam solat sunat terawih di hujung ramadhan ini iaitu Surah Al-Qadar. Di bawah ini saya salin kembali terjemahan surah ini menurut Tafsir Al-Azhar.

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani


1- Sesungguhnya telah Kami turunkan dia pada malam 'kemuliaan'.


2- Dan sudahkah engkau tahu, apakah dia malam 'kemuliaan' itu?


3- Malam Kemuliaan itu lebih utama daripada 1000 bulan


4- Turun Malaikat dan Roh pada malam itu, dengan izin Tuhan mereka, membawa pokok-pokok dari tiap-tiap perintah


5- Sejahteralah ia sehingga terbit fajar


HAMKA dalam huraian beliau mengenai surah Al Qadar lebih cenderung menyatakan bahawa Lailatul Qadar adalah malam turunnya wahyu pertama kepada Nabi Muhammad S.A.W pada 17 Ramadhan. Ayat-ayat Al-Quran yang terang dan jelas maksudnya tentang kaitan malam yang mulia itu jelas pada ayat ayat 3 surah Ad-Dukhkhan yang menyebut 'malam yang diberkati Tuhan' dan juga ayat 185 dalam Surah Al-Baqarah dengan maksudnya " Bulan ramadhan adalah bulan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi manusia, dan keterangan dari petunjuk itu adalah pemisah di antara hak dan batil"

HAMKA sendiri dalam satu catitannya berpendapat bahawa, suasana lailatul qadar tidak hanya berlaku dalam bulan ramadhan, malah di bulan-bulan lain juga. Huraiannya juga jelas dan masuk akal untuk diterima. ( Klik Di sini )

Di dalam perbahasan hadis, terdapat banyak perbincangan mengenai malam-malam lailatul qadar yang kesemuanya memperteguhkan kepercayaan kita sebagai umat Islam bahawa Allah memiliki rahsiaNya supaya manusia berfikir.

Banyak persoalan yang timbul apabila memperkatakan tentang lailatul qadar, terutamanya apabila membaca hadis. Jadi untuk meluaskan lagi pemahaman kita tentang malam yang istimewa ini, Al-Quran lah menjadi panduan dan rujukan utama, yang tidak boleh tidak akan tetap relevan sepanjang masa, dari dahulu, sekarang dan pada masa akan datang.







P/S : Catatan ini ditulis dalam usaha untuk lebih memahami apa yang dimaksudkan dengan lailatulqadar menurut sumber primer dalam agama Islam supaya kita tidak lagi tertanya-tanya, di waktu bilakan sebenarnya lebih tepat malam Lailatul Qadar. Jika tidak, ia akan kekal menjadi 'misteri' sedangkan sifat Al-Quran itu sendiri adalah JELAS menjadi petunjuk kepada umat manusia.Sehingga saat ini, saya masih mencari menunggu jawapan emel dari beberapa tokoh-tokoh agama tanah air untuk menghuraikan persoalan ini walaupun sudah banyak dibincangkan di pelbagai tempat.

7 comments:

joe black said...

Hujan itu pasti turun, yang jadi masalah ada apa tidak wadah untuk menampung air hujan itu

Ahmad Hazazi said...

Assalam..

En Faizal saya juga peminat buku2 HAMKA kerana mudah difahami, saya sedang mencari tafsir al azhar atas nasihat Dr Danial Zainal Abidin, kerana saya ingin mencari sains dalam al-quran..kat mana yek PKNS bangi tu berapa kos utk 30 juzuk?

Faizal said...

joe black ...mendalam!

Mad ...PKNS dekat dgn tasik cempaka...ada kedai tngkt 3 nama Saba' Media kalau x silap

harga lebih kurang 400 lebih

NaUPM said...

Salam en Faizal,

bagaimana pula hadis yang menyatakan RasulAllah bersabda carilah malam lailaturqadar di 10 malam terakhir?..

p/s boleh tengok jua rancangan Al Kulliyaah bertajuk malam lailaturqadar di web tv3 (3/9/2010)

Faizal said...

NaUPM,

Saya sudah menonton Al-Kulliyah yang disampaikan oleh Ustaz Abu Hassan Din. Kita hormati pendapat dan pandangan beliau.

Untuk saya sendiri, saya lebih condong kepada pendapat HAMKA.

Kalau ada masa, bacalah tafsir surah Al-Qadar berulang-ulang kali dan juga rencana lailatulqadar tulisan HAMKA yang saya link'kan di blog. Insyaallah kita akan lebih faham maksud sebenar Lailatul Qadar.

Wallahua'lam

NaUpm said...

Pandangan dan pendapat beliau berlandaskan bukti...bukan semata2 pandangan peribadi...

Faizal said...

NaUpm..

Harus kita faham beza antara 'suasana lailatul qadar ' dan 'lailatulqadar' seperti yang dibicarakan oleh hamka