www.majalahsains.com

9/15/10

Perihal Ranking Universiti



QS World University Ranking untuk tahun 2010 telah diumumkan. Seperti kebiasaan, universiti-universiti di Malaysia masih belum tersenarai dalam top 200 atau top 100 universiti terbaik di dunia. Ramai warga akademik tidak mempedulikan sistem ranking ini. Malah tidak kurang juga sebilangannya mengkritik sistem penarafan yang digunakan. Antara kritikan yang terkenal ialah dari Naib Canselor USM dan anda boleh baca di SINI dan juga di SINI. Dari UKM boleh kita baca di SINI. Rencana-rencana ini ditulis bagi mengulas ranking yang dikeluarkan untuk tahun 2009. Kita masih belum menemui banyak kritikan tentang penarafan atau ranking ini untuk tahun 2010 dari ahli akademik tempatan kecuali satu dari Prof Zakri Abdul Hamid. Kalau bukan dari golongan akademik, saya pasti ia banyak.

Dari segi teknikal sistem penilaian penarafan yang digunakan, kebanyakan dari kita jarang mengambil peduli, kecuali golongan yang terlibat secara lansung atau ahli akademik yang menelitinya. Bagi masyarakat awam, apabila ranking dikeluarkan secara automatik minda mereka akan mentafsirkan sesuatu. Kalau dilihat dari senarai yang dikeluarkan, sudah tentu orang awam akan melihat universiti tempatan masih berada di takuk lama. Kemudian pencapaian universiti tempatan akan dibandingkan pula dengan universiti di negara-negara jiran seperti Singapura dan Thailand atau pun Indonesia yang kadangkala mengkagumkan.

Penting atau tidak ranking universiti ini bagi saya bergantung kepada siapa yang melihatnya. Untuk orang awam, ya sudah tentu ia sangat penting. Terutamanya untuk melihat pencapaian dan kecemerlangan akademik yang ditadbir urus oleh warga tempatan yang majoritinya Melayu dan bumiputera. Selain itu, ia menjadi pilihan utama kepada bakal-bakal pelajar terutamanya ibubapa yang ingin menghantar anak mereka mendapat pendidikan tinggi terbaik.

Untuk golongan tertentu (ahli akademik & pentadbiran universiti) mungkin ya mungkin tidak. YA, sekiranya universiti mereka mendapat kedudukan yang agak baik. Ini terjadi ketika UKM berada di kedudukan terbaik di kalangan 200 universiti dunia pada tahun 2006 dahulu. Banyak usaha dan promosi untuk menempatkan UKM di mata dunia. Agenda pengantarabangsaan Universiti menjadi salah satu misi penting dalam Syarahan Naib Canselor pada tahun 2008 yang lalu. TIDAK sekiranya, perjuangan untuk menempatkan diri di kalangan terbaik masih belum membuahkan hasil. Lihat sahaja kritikan-kritikan yang dilampirkan dalam link di atas.

Bagi saya, ranking ini bukanlah satu agenda maha penting untuk dikejar oleh universiti. Universiti perlu kembali kepada tradisi ilmiah, mengembangkan ilmu baru, menerbitkan buku dan jurnal dan mengembalikan ilmu tersebut kepada masyarakat. Pensyarah pula perlu insaf bahawa, menjadi pensyarah bukanlah tiket untuk bereksperimen dengan duit dana penyelidikan. Ia menjadi tanggungjawab besar untuk mengembalikan hasil penyelidikan tersebut ke dalam masyarakat baik dari segi pulangan dalam bentuk intangible ( buah fikiran, ilmu, gagasan dan lain-lain) atau pun pulangan berbentuk tangible ( ekonomi, industri dan sebagainya).

p/s : Ini komen peribadi tentang ranking dari seorang pekerja (bukan akademik) di Universiti awam tempatan.

No comments: