Kewujudan teknologi internet dan penyebaran ilmu di dalamnya  seharusnya lebih meningkatkan kefahaman dan persaudaraan kita sebagai  umat terbesar di muka bumi. Setiap hari ada sahaja ilmu-ilmu dan  maklumat tentang bagaimana untuk memahami agama yang ditulis dan  disebarkan di dalam internet. CUMA, sebagai umat Islam yang mempunyai  akal perlu menyaring, maklumat BAGAIMANA kah yang boleh dijadikan sumber  rujukan dan boleh pula disebarkan kepada orang lain.
Sekarang  ini kita sedia maklum, walaupun umat Islam adalah umat terbesar di  dunia yang dianggarkan seramai 1.6 bilion di seluruh pelosok dunia,  namun kesatuan dan kefahaman kita dalam kehidupan beragama boleh  dikatakan bercempera (berkecai-kecai) sehingga senang musuh (baca: Zionis &  Materialis melampau) merobek-robek kita sebagaimana yang  berlaku di Palestin, Afghanistan, Iraq, Selatan Thailand dan sebahagian  wilayah muslim di Afrika. Puncanya kerana apa ?
Ambil  sahaja contoh-contoh keutamaan yang perlu diberikan perhatian khusus  dalam mengembalikan keagungan Islam tetapi gagal dihayati. Antaranya ialah perkara remeh temeh  yang tiada rujukan dari Al-Quran dan As-Sunah. Soal ibadat misalnya.
Baru-baru ini saya pernah menegur secara  terbuka beberapa rakan Facebook yang begitu giat menyebarkan amalan  karut yang tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah dan tidak dalil sahih  dalam Al-Quran dan Hadis. Antaranya ialah amalan-amalan membuang masa  beribadat tanpa dalil dalam bulan-bulan seperti Rejab dan Syaaban. Tidak  perlu saya bersyarah panjang tentang amalan ini di sini. Cukup sahaja  dengan meng'google' di internet kita akan menemuinya. Beribadat sudah  tentu tidak salah, akan tetapi ia perlu mengikut Nabi Muhammad dan dalil  yang sahih dari Al-Quran. Kalau tidak, ia hanya sia-sia dan membuang  waktu, sedangkan pada masa yang sama kita boleh melakukan perkara utama  dalam kehidupan seharian. Membaca dan menulis sesuatu yang baru  misalnya. Ataupun fokus pada bidang yang ditekuni.
Satu  lagi contoh ialah penyebaran emel/artikel yang tidak diketahui  sumbernya dengan berlapikkan Islam sebagai perasa atau  penyedap yang boleh menarik perhatian orang lain. Ini dinamakan 'hoax'. Di tahun-tahun 80-an dahulu heboh mengenai 'surat berantai'  yang kononnya ditulis oleh imam besar Masjidil Haram, yang menulis  sekiranya surat itu tidak disebarkan kepada sekian ramai orang lain,  sesuatu yang tidak diingini akan berlaku kepada penerima surat tersebut.
Anehnya  di abad milenium ini masih ada yang menyebarkan berita 'hoax' kononnya  Adolf Hitler bersimpati dengan Islam dalam usahanya menghapuskan kaum Yahudi  semasa Perang Dunia -II dahulu. Dan artikel ini tersebar dengan rancak  di laman-laman web sosial serta emel. Anehnya malah, ramai juga yang terpengaruh termasuk golongan yang boleh dikatakan terpelajar. Saya sendiri telah membuat sedikit semakan pantas melalui beberapa buah buku tentang Hitler (7 buah kesemuanya) . Hampir kesemua buku tersebut
tiada menyebut tentang simpati Hitler kepada Islam. Bagaimana kita boleh mempercayai satu artikel yang tidak bersumber berbanding tulisan-tulisan di dalam buku yang penuh dengan rujukan.
Jadi kesimpulan  yang boleh dibuat oleh Tukang Catat ialah, umat Islam masih lagi cepat  terpedaya dengan apa sahaja karut-marut yang diselitkan dengan unsur  agama. Asal sahaja berbunyi agama dan kelihatan membanggakan Islam, terus kita terpedaya dan tanpa segan silu mengakui bahawa ia sebahagian dari agama. Ramai di kalangan kita masih gagal menyaring maklumat  yang bertebaran di dalam media baik internet atau pun bahan-bahan  bacaan. Pengaruh 'sharing is caring' melalui khayalan dan perangkap laman-laman sosial  masih lagi membelenggu umat yang jarang menggunakan akal dalam  kehidupan seharian. Punca utamanya ialah membelakangi akal. Mengapa akal tidak digerakkan berpunca dari tidak bahan untuk difikirkan. Mengapa tiada bahan, disebabkan malas mencari bahan (membaca).
Dua contoh di atas adalah 'trend'  yang berlaku sehari dua ini. Ia tidak termasuk soal-soal menulis  perkara-perkara sampah di status Facebook, menyebar benda lucah,  membuang masa tanpa arah tujuan dan berkhayal tentang hidup. Sedangkan banyak isu-isu besar yang perlu difahami terlebih dahulu sebelum mengajak rakan-rakan lain turut sama berfikir dan berhujah. Inilah yang menyegarkan budaya ilmu. Tidaklah salah menggunakan apa sahaja teknologi, demi untuk mengembangkan wacana.
Ini antara penyebab umat Islam kelihatan lembik dan tidak memiliki kekuatan untuk berhujah berdepan dengan akal fikiran rasional dari pihak musuh. Sedangkan mereka (musuh) terus membaca pergerakan dunia dan tindak tanduk umat Islam.
~Verdun ~
summer 10

3 comments:
Salam.
Amalan bulan Rejab dan Sya'aban tu, kalau ditegur, alamat melentinglah orang kita. Bila disebutkan yang amalan itu bida'ah, macam nak mencari nahas saja. Dalam hal-hal ibadah khusus, pendirian yang sering diambil ialah jika tidak dilarang Al-Quran, maka bolehlah buat. Sepatutnya, jika ada nas yang membenarkan, ada hadis sahih yang menyokong, barulah ibadah itu boleh dilaksanakan.
Berkenaan Hitler tu, saya baru saja mendapat emel yang dimaksudkan. Agak tersentak juga bila dikatakan yang Hitler merujuk kepada ulama untuk menyusun strategi membunuh Yahudi. Sejak bilalah Islam menghalalkan pembunuhan.
Mungkin keterujaan kita dalam mendapat maklumat dan pengetahuan secara 'durian runtuh' ini membuatkan kita teralpa dalam mempertimbangkan kesahihannya.
MINTA untuk dikongsikan dalam facebook na
Terima kasih kerana berkunjung ke mundar-mandir.
Salam ramadhan!
Post a Comment