7/11/10

Perbanyakkan bahan bacaan

'Tamadun yang hebat tercipta dari pemimpin dan rakyat yang gemar membaca dan cintakan ilmu'

&
Mendidik masyarakat membaca samalah seperti mendidik anak anda membaca. Longgokkan bahan bacaan untuk mereka!


1. Saya lupa darimana kata-kata ini dipetik, tetapi jelas ia dari sebuah buku. Masakan tidak, wahyu pertama yang diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad untuk umat manusia ialah suruhan membaca. Sudah tentu bahan bacaan adalah mengikut tahap fikiran dan objektif masing-masing. Juga membaca tidak terhad kepada bahan berbentuk tulisan, mungkin ia boleh datang dalam bentuk jelmaan objek untuk difikirkan, penaakulan terhadap alam ciptaan Tuhan dan kejadian di sekeliling.

2. Jawapan mengapa kita perlu banyak membaca ialah supaya setiap gerak langkah dan tindak tanduk kita dalam menentukan setiap keputusan adalah mengikut logik akal yang munasabah, mengurangkan kadar kesilapan, dan berakhir dengan kebahagiaan dan kepuasan dengan tindakan tersebut. Bukanlah tindakan semberono yang melibatkan hati dan perasaan semata-mata tanpa disusuli dengan akal waras.

3. Sesetengah daripada kita, kadangkala masih keliru bila akal itu berfungsi dan bila pula hati yang menguasai tindakan. Amat sukar membezakannya. Di dalam ajaran agama, kerapkali kita mendengar ungkapan ' jangan difikirkan lagi tentang itu dan ini', ia sudah termaktub hukum-hakamnya'. Iya kan sahaja tanpa banyak soal. Adakah benar begitu ? Jawapan kepada setiap persoalan akan dapat dijawab bila kita gemar dan mencari masa untuk membaca. Inilah yang selalu dimiliki oleh orang yang tidak beragama. Di barat misalnya.

4. Baiklah, mari kita lihat satu contoh. Penerbitan buku dan kegiatan ilmiah dewasa ini banyak dimonopoli oleh negara-negara bukan islam. McGraw Hill, Oxford Press, Cambridge, Barron's, Harper Business dan ribuan lagi yang lain. Setiap tahun statistik penerbitan buku dari barat jika dibandingkan dengan negara Islam, terlalu jauh bezanya. Bahkan jarang sekali kita mendengar syarikat penerbitan buku dari negara Islam yang tersebar luas. Mengapa ia tidak banyak muncul disebabkan tidak banyak permintaan. Dari siapa? Dari umat islam itu sendiri. Jadi jelas, secara mudah boleh kita katakan kadar membaca dan mencari kebenaran di kalangan umat Islam masih jauh berbanding dengan negara-negara barat maju yang lain. 

5. Bila tahap membaca ini kurang dan ketinggalan, maka akan wujudlah apa yang dinamakan kelemahan-kelemahan dalam tindakan. Perundangan misalnya, masih lagi kucar-kacir di tangan pemimpin dan pengamal undang-undang negara-negara yang dikatakan Islam. Bila perundangan dan pentadbiran lemah, maka banyaklah ketidakadilan yang berlaku. Korupsi berleluasa, jenayah bertambah dan persekitaran rimas dan tidak memberansangkan.

6. Kita lihat di barat. Misalnya negara yang saya diami buat sementara waktu ini. Budaya membaca, penerbitan buku, kedai buku, masyarakat, persekitaran, perundangan mereka cukup jelas. Mereka tidak mempunyai agama. Namun begitu teratur hidup mereka. Berita korupsi susah sekali untuk ditemui dalam akhbar. Pemimpin mereka hidup sederhana. Budaya meminum minuman keras (heavy drinkers) di kalangan warga Canada dihadkan di dalam premis kediaman atau pub sahaja. Peraturan jalanraya, menghormati warga tua, kebersihan dan puluhan lagi amalan-amalan mulia mereka perlu dicontohi oleh masyarakat di timur dan beragama Islam.

7. Semua ini datangnya dari budaya membaca. Tabiat membaca boleh dibentuk sejak di zaman kanak-kanak. Ibu bapa yang membaca dan menghimpunkan bahan bacaan di rumah secara tidak lansung akan menggalakkan anak-anak membaca. Terlalu  banyak contoh yang boleh dijadikan teladan. Itulah doa dan harapan kami. Melahirkan keluarga yang cintakan ilmu pengetahuan berbanding karut marut yang lain. Berjaya atau tidak, itu urusan lain, yang penting mulakan dari diri dan keluarga sebelum tabiat ini merebak ke dalam masyarakat.

 ~faizal~
11.15 malam
Verdun, Summer 2010

4 comments:

Juliana said...

Salam.

Boleh saya tambah saranan sikit? Perbanyakkan bahan bacaan yang berkualiti dan memperkasa minda. Kalau orang kita banyak membaca novel cinta romantik bertimbun-timbun pun, tak ke mana jua pemikirannya.

Contoh termudah ialah novel Twilight yang sangat tebal dan digemari ramai itu (ohh! saya tak baca, sekadar membaca ulasan dan menonton filemnya secara pantas). Watak Bella yang 'kosong' (shell), tiada bakat dalam bidang tertentu, tiada pendirian yang tegas, tidak matang, bukanlah contoh yang sesuai untuk remaja dan belia wanita. Kalau inilah yang disogokkan kepada masyarakat kita, alangkah ruginya.

Walaupun (saya difahamkan) gaya bahasa novel tersebut indah dan mudah diikuti oleh pembaca yang baru berjinak-jinak dengan karya Inggeris sekalipun, kalau isinya kosong, untung membacanya hanyalah dari segi menikmati jalan cerita yang membuai rasa.

Faizal said...

Juliana,

Oh itu sudah tentu.Bahan serius sangat penting.

Cuma ia perlu seiring. Sekiranya bahan pop-ringan banyak diterbitkan atas sebab permintaan pasaran yang tinggi, karya serius pula perlu diberi insentif oleh kerajaan kepada penulis/ilmuan untuk menggalakkan mereka terus berkarya.

Ini yang dilakukan oleh kerajaan kepada pensyarah universiti tempatan pada tahun 80-an dahulu yang banyak menterjemah karya dari barat menjadi rujukan di Universiti. Dan ia digunakan sebagai KPI untuk kenaikan pangkat.

Sekarang sudah dimansuhkan. Sebab itu karya serius sukar berada di pasaran sekarang dan polemik buku pop-ringan dan buku ilmiah terus wujud.

Ramai masyarakat di luar sana di Malaysia, ketinggalan mengikuti perkembangan ilmu-ilmu terkini disebabkan tiada bahan tersebut (dalam bahasa Melayu tentunya)

Inilah yang saya maksudkan dengan lambakan bahan bacaan.

Juliana said...

Berkenaan pensyarah tempatan menterjemah atau menulis, perkara ini juga berkait rapat dengan saranan tuan tentang perlunya sarjana Islam menyumbang kepada dunia keilmuan (mungkin tajuk topiknya lain sikit, tapi lebih kurang begitulah).

Semasa zaman diploma saya dulu, memang ada buku rujukan yang ditulis oleh pensyarah universiti sendiri. Tapi kini kesemua buku rujukan saya (kecuali subjek Tamadun Islam Tamadun Asia) diimport dari luar belaka.

Ada satu dua subjek yang sudah lama diajar di fakulti, tidak ada buku rujukan tertentu. Pelik, tiadakah pensyarah yang nampak peluang menulis (dan buat duit) dengan menghasilkan buku rujukan untuk subjek ini sehingga kini?

Saya difahamkan yang pensyarah universiti di UK, masing-masing ada menghasilkan dan menjual buku untuk setiap subjek yang mereka ajar.

Faizal said...

Isu pensyarah tidak menulis telah lama berbangkit. Ia berkait rapat dengan dasar kerajaan yang saya maksudkan dengan insentif (galakan) dan Key Performance Index (KPI) sebelum ini. Dasar kerajaan seolah-olah tidak begitu menggalakkan pensyarah menulis, tidak seperti tahun-tahun 80-an dahulu.

Sekarang ini, kenaikan pangkat ke jawatan akademik tertinggi, Profesor misalnya seolah-olah tidak ada kena mengena dengan penulisan buku. Malah saya pernah membaca sebuah blog yang ditulis oleh seorang 'Profesor' yang menyatakan, menterjemah buku-buku Berbahasa Inggeris ke Bahasa Melayu adalah kerja membuang masa.
Bayangkanlah seorang 'profesor' menulis sedemikian.

Jadi tidak hairan, di Malaysia kita mempunyai lebih 20,000 Profesor, Prof Madya dan Dr. Tapi di mana buku-buku akademik mereka. (Samada karya asli atau terjemahan)Hampir kesemuanya diimport.

Bahkan ramai dinaikkan pangkat ke jawatan profesor tanpa menulis sebuah buku pun. Itulah realiti yang berlaku di dunia akademik dalam negara kita.