www.majalahsains.com

7/28/10

Kita terus lemah dan lembik kalau ...

Kewujudan teknologi internet dan penyebaran ilmu di dalamnya seharusnya lebih meningkatkan kefahaman dan persaudaraan kita sebagai umat terbesar di muka bumi. Setiap hari ada sahaja ilmu-ilmu dan maklumat tentang bagaimana untuk memahami agama yang ditulis dan disebarkan di dalam internet. CUMA, sebagai umat Islam yang mempunyai akal perlu menyaring, maklumat BAGAIMANA kah yang boleh dijadikan sumber rujukan dan boleh pula disebarkan kepada orang lain.


Sekarang ini kita sedia maklum, walaupun umat Islam adalah umat terbesar di dunia yang dianggarkan seramai 1.6 bilion di seluruh pelosok dunia, namun kesatuan dan kefahaman kita dalam kehidupan beragama boleh dikatakan bercempera (berkecai-kecai) sehingga senang musuh (baca: Zionis &  Materialis melampau) merobek-robek kita sebagaimana yang berlaku di Palestin, Afghanistan, Iraq, Selatan Thailand dan sebahagian wilayah muslim di Afrika. Puncanya kerana apa ?


Ambil sahaja contoh-contoh keutamaan yang perlu diberikan perhatian khusus dalam mengembalikan keagungan Islam tetapi gagal dihayati. Antaranya ialah perkara remeh temeh yang tiada rujukan dari Al-Quran dan As-Sunah. Soal ibadat misalnya.


Baru-baru ini saya pernah menegur secara terbuka beberapa rakan Facebook yang begitu giat menyebarkan amalan karut yang tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah dan tidak dalil sahih dalam Al-Quran dan Hadis. Antaranya ialah amalan-amalan membuang masa beribadat tanpa dalil dalam bulan-bulan seperti Rejab dan Syaaban. Tidak perlu saya bersyarah panjang tentang amalan ini di sini. Cukup sahaja dengan meng'google' di internet kita akan menemuinya. Beribadat sudah tentu tidak salah, akan tetapi ia perlu mengikut Nabi Muhammad dan dalil yang sahih dari Al-Quran. Kalau tidak, ia hanya sia-sia dan membuang waktu, sedangkan pada masa yang sama kita boleh melakukan perkara utama dalam kehidupan seharian. Membaca dan menulis sesuatu yang baru misalnya. Ataupun fokus pada bidang yang ditekuni.


Satu lagi contoh ialah penyebaran emel/artikel yang tidak diketahui sumbernya dengan berlapikkan Islam sebagai perasa atau penyedap yang boleh menarik perhatian orang lain. Ini dinamakan 'hoax'. Di tahun-tahun 80-an dahulu heboh mengenai 'surat berantai' yang kononnya ditulis oleh imam besar Masjidil Haram, yang menulis sekiranya surat itu tidak disebarkan kepada sekian ramai orang lain, sesuatu yang tidak diingini akan berlaku kepada penerima surat tersebut.


Anehnya di abad milenium ini masih ada yang menyebarkan berita 'hoax' kononnya Adolf Hitler bersimpati dengan Islam dalam usahanya menghapuskan kaum Yahudi semasa Perang Dunia -II dahulu. Dan artikel ini tersebar dengan rancak di laman-laman web sosial serta emel. Anehnya malah, ramai juga yang terpengaruh termasuk golongan yang boleh dikatakan terpelajar. Saya sendiri telah membuat sedikit semakan pantas melalui beberapa buah buku tentang Hitler (7 buah kesemuanya) . Hampir kesemua buku tersebut
tiada menyebut tentang simpati Hitler kepada Islam. Bagaimana kita boleh mempercayai satu artikel yang tidak bersumber berbanding tulisan-tulisan di dalam buku yang penuh dengan rujukan.


Jadi kesimpulan yang boleh dibuat oleh Tukang Catat ialah, umat Islam masih lagi cepat terpedaya dengan apa sahaja karut-marut yang diselitkan dengan unsur agama. Asal sahaja berbunyi agama dan kelihatan membanggakan Islam, terus kita terpedaya dan tanpa segan silu mengakui bahawa ia sebahagian dari agama. Ramai di kalangan kita masih gagal menyaring maklumat yang bertebaran di dalam media baik internet atau pun bahan-bahan bacaan. Pengaruh 'sharing is caring' melalui khayalan dan perangkap laman-laman sosial masih lagi membelenggu umat yang jarang menggunakan akal dalam kehidupan seharian. Punca utamanya ialah membelakangi akal. Mengapa akal tidak digerakkan berpunca dari tidak bahan untuk difikirkan. Mengapa tiada bahan, disebabkan malas mencari bahan (membaca).


Dua contoh di atas adalah 'trend' yang berlaku sehari dua ini. Ia tidak termasuk soal-soal menulis perkara-perkara sampah di status Facebook, menyebar benda lucah, membuang masa tanpa arah tujuan dan berkhayal tentang hidup. Sedangkan banyak isu-isu besar yang perlu difahami terlebih dahulu sebelum mengajak rakan-rakan lain turut sama berfikir dan berhujah. Inilah yang menyegarkan budaya ilmu. Tidaklah salah menggunakan apa sahaja teknologi, demi untuk mengembangkan wacana.


Ini antara penyebab umat Islam kelihatan lembik dan tidak memiliki kekuatan untuk berhujah berdepan dengan akal fikiran rasional dari pihak musuh. Sedangkan mereka (musuh) terus membaca pergerakan dunia dan tindak tanduk umat Islam.

~Verdun ~
summer 10

3 comments:

Juliana said...

Salam.

Amalan bulan Rejab dan Sya'aban tu, kalau ditegur, alamat melentinglah orang kita. Bila disebutkan yang amalan itu bida'ah, macam nak mencari nahas saja. Dalam hal-hal ibadah khusus, pendirian yang sering diambil ialah jika tidak dilarang Al-Quran, maka bolehlah buat. Sepatutnya, jika ada nas yang membenarkan, ada hadis sahih yang menyokong, barulah ibadah itu boleh dilaksanakan.

Berkenaan Hitler tu, saya baru saja mendapat emel yang dimaksudkan. Agak tersentak juga bila dikatakan yang Hitler merujuk kepada ulama untuk menyusun strategi membunuh Yahudi. Sejak bilalah Islam menghalalkan pembunuhan.

Mungkin keterujaan kita dalam mendapat maklumat dan pengetahuan secara 'durian runtuh' ini membuatkan kita teralpa dalam mempertimbangkan kesahihannya.

NaUpm said...

MINTA untuk dikongsikan dalam facebook na

Mohd Faizal said...

Terima kasih kerana berkunjung ke mundar-mandir.

Salam ramadhan!