www.majalahsains.com

7/9/12

Komuniti Islam Montreal

Montreal didiami oleh ramai imigran dari seluruh pelosok dunia. Sebahagian besar datangnya dari negara-negara jajahan Perancis. Warga asia barat beragama Islam yang pernah berada dalam jajahan Perancis seperti Algeria, Morocco, Syria dan lain-lain begitu ramai di sini. Justeru itu, kami tidak mengalami kesulitan untuk berinteraksi dan mempunya rakan sesama muslim di sini.

Di akhir khutbah Jumaat lepas, khatib mengingatkan bahawa komuniti Islam Montreal semakin membesar dan populasinya semakin meningkat. Situasi ini memerlukan tempat yang sesuai yang boleh dijadikan masjid atau tempat yang lebih selesa untuk kegiatan kaum muslimin di negara barat ini. Untuk makluman, kebanyakan masjid atau tempat bersolat di sini belum mencapai tahap yang selesa seperti yang terdapat di negara-negara Islam seperti di Malaysia. Kebanyakannya masih menyewa rumah kediaman, dewan universiti dan basement.

Khatib kemudian mengingatkan agar jemaah supaya menyumbang sedikit derma ikhlas sebagai usaha untuk mengumpul dana membeli bangunan atau hartanah yang sesuai untuk didirikan masjid. Dari khutbah tersebut, timbul sedikit rasa sedih di hati memandangkan saya sendiri bukanlah orang 'berduit' yang boleh menyumbang dalam jumlah yang besar melainkan sedikit-sedikit sahaja. Ya betul. Sedekah jariah yang sedikit tapi konsisten itu pun cukup, cuma sedikit kesal kerana tidak dapat membantu dengan lebih banyak.

Namun begitu saya yakin, sekiranya satu usaha gerakan yang dijalankan secara tersusun mampu menarik golongan kaya-raya Islam seluruh dunia melihat keperluan umat Islam di dunia barat. (Tidak dilupakan negara-negara Islam lain yang miskin) Serentak dengan itu, mereka turut dapat menyumbang.

Hari ini, saya berjalan-jalan di sekitar kawasan kediaman di Rue Wellington, dan meninjau-ninjau projek pembelian gereja lama milik imigran Russia atau Poland (saya lupa), yang ingin dibeli oleh komuniti Islam Verdun. Kelihatan gereja tersebut sudah tiada, dan kerja-kerja membersihkan hartanah di situ kelihatan sedang berjalan. Satu perkembangan positif dijalankan oleh komuniti Islam masjid Verdun. Saya mungkin tidak berpeluang untuk melihat masjid ini berdiri megah, tapi muncul rasa bangga kerana usaha komuniti Islam di sini kelihatan sudah membuahkan hasil.

Masih saya ingat perbualan saya dengan Brother Aidil (imigran Syria yang sudah menetap di Montreal lebih 20 tahun) yang memiliki sebuah restoran Pizza di sini. Kata beliau, mereka berharap kalau-kalau saya boleh membantu menyebarkan usaha murni membina masjid kepada warga Malaysia melalui cara apa sekalipun termasuk internet dan facebook. Perbualan tersebut berlaku 2 tahun yang lalu. Sekarang usaha mereka sudah berhasil. Untuk makluman, bakal masjid yang akan didirikan di tapak gereja Russia tersebut berada tepat di belakang restoran Pizza Brother Aidil. Semoga ia akan menjadi kenyataan

Alhamdulillah!



Tukang Catat di hadapan Verdun Islamic Centre, sejurus selepas menunaikan solat sunat Aidilfitri 2011 yang lalu. Sebuah bangunan apartment yang di sewa dijadikan masjid.


Catatan dari :-

408, 4th avenue
Verdun
Montreal

No comments: