www.majalahsains.com

7/4/09

Isu Wahabi: Mari Kita Berbincang dan Mengkaji (5/5)

Wahabi : Fakta dan Renungan Untuk Umat Islam
Oleh : Mohd Faizal Aziz

Bahagian kelima


Kesimpulan dan renungan
Dalam membincangkan isu wahabi ini, bukanlah niat penulis untuk berdebat membela golongan tertentu kerana pengetahuan penulis masih lagi cetek dan terbatas. Rujukan penulis hanyalah beberapa buah buku, tulisan-tulisan dari internet dan hasil perbualan serta pertanyaan penulis dengan sahabat-sahabat yang teguh pendirian mereka dalam memperjuangkan agama. Dan yang terbaru merupakan sebuah buku kecil ini yang menjadi sumber penting penulisan berkisar tentang gerakan wahabiah ini yang hangat diperkatakan dalam media perdana yang kononnya menjadi ikutan pemuda-pemudi islam di zaman sekarang. Kebetulan pula penulis masih merupakan seorang yang di anggap mentah dan masih belum mencapai tahap kematangan ilmu pengetahuan yang sebenar dalam membincangkan isu besar ini.
Kita letakkan segala pokok permasalahan di sisi sebentar dan cuba kita renungkan kembali senario yang berlaku pada masa kini. Islam merupakan suatu pegangan hidup yang lengkap yang meliputi soal kepercayaan dan ketauhidan kepada Allah Yang Satu serta mengamalkan segala suruhan dan meninggalkan larangan Allah dalam segenap segi lapangan hidup. Dan di akhir-akhir ini umat islam sangat merasakan tekanan yang dilakukan oleh penjajah tehadap umat islam lain umpamanya di Palestin oleh kaum Yahudi, umat islam di seluruh dunia merasakan betapa hebat godaan dan ancaman-ancaman kaum bangsa-bangsa penjajah seperti yang berlaku di Iraq, Kosovo dan hampir kebanyakan negara-negara islam. Namun begitu apakah kita insaf dengan kejadian-kejadian ini. Apakah kita sedar bahawa kita sedang dan masih dijajah dalam pelbagai bentuk. Masih kah kita mahu berkelahi tentang perkara-perkara cabang. Kalau ditinjau dengan saksama, umat islam sudah berpecah kepada berpuluh-puluh puak dn pelbagai mazhab fiqah yang imamnya sendiri tidak menyuruh pengikutnya menurut tanpa menyelidik dan mengkaji. Masih kah lagi kita mahu berpecah kepada beberapa lagi puak yang akhirnya merugikan agama islam itu sendiri. Sesungguhnya islam itu adalah tunggal, tidak berpuak-puak dan apabila kita meyakini bahawa ‘tiada tuhan yang disembah melainkan Allah dan nabi Muhammad tu pesuruh Allah maka berusahalah kita melaksanakan keyakinan itu di muka bumi ini. Kita telah mempusakai Al-Quran dan al-hadis sebagai petunjuk sepanjang zaman dan para ulamak dan tabi’in yang ikhlas memperjuangkan agama yang berkewajipan menunjukkan jalan kebenaran yang hakiki kepada mereka yang masih meraba-raba mencari kebenaran. Janganlah di tambah kesengsaraan umat islam dengan mengulangi propaganda penjajah untuk membinasakan kaum muslimin di dunia ini.
Tentang golongan pemuda yang kononnya lebih selesa beribadat dan mengamalkan islam cara baru usahlah dituduh wahabi dan sebagainya, bahkan mereka yang berfikiran sedemikian merupakan pemuda yang hatinya sudah melekat di dunia dan lupa tentang kehidupan seterusnya di alam akhirat yang mencari-cari alasan untuk memisahkan kehidupan seharian dengan islam. Dengan itu jalan mudah yang diambil ialah beribadat mengikut selera sendiri tanpa mengetahui kaedah dan petunjuk yang diberikan. Namun begitu, usahlah dihukum golongan muda, kerana tidak lain mereka mengikut polemik perdebatan orang-orang yang lebih senior yang diangkat menjadi pentadbir bidang agama. Bukan kah islam itu agama yang lengkap mencakupi seluruh kehidupan di dunia ini. Perbuatan memisahkan agama dari kehidupan seharian boleh ditamsilkan sebagai mencabut nyawa dari jasad itu sendiri. Akhirnya diri manusia itu sendiri yang menderita. Oleh itu marilah kita sama-sama belajar dari kesilapan yang kita lakukan dan sama-sama bermuhasabah diri membetulkan apa yang sudah terlajak. Perumpamaan melayu “terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya” tidak lah boleh dipakai di sini kerana kita insaf bahawa, tidak lah bernama manusia sekiranya semua yang kita lakukan itu sentiasa benar. Marilah kita merujuk Al-Quran dan hadis sebagai petunjuk sepanjang zaman dalam kita melayari kehidupan sebagai seorang muslim yang bertakwa kepada Allah. Sekian!


4 comments:

Anonymous said...

terima kasih...info menarik! aku puji la cara penyampaian blog nih...at least, tadak makian, cacian, etc...

Anonymous said...

Salam...

Alhamdulillah, tulisan yang bermanfaat. Semoga Allah meramaikan lagi penulis-penulis seperti saudara. Sekian

Juliana said...

Salam.

Syukran dan alhamdulillah. Saya pun dah lama nak mencari maklumat ini. Bila terjumpa di sini, macam orang mengantuk disorongkan bantal.

P/S Apa perkembangan buku sains untuk kanak-kanak yang tuan sedang usahakan dulu tu?

Mohd Faizal said...

Juliana, itu hanya dari sebuah buku yang saya baca. Mungkin 'bias' kot. Tapi ntuk permulaan, bagi saya ia memadai.

Projek dahulu masih lagi di peringkat meeting di antara penerbit & editor.

Untuk makluman, saya sudah menemui seorang ilustrator yang sudi bekerjasama sekiranya projek ini dipersetujui oleh penerbit. Alhamdulillah!