www.majalahsains.com

8/12/12

Puding Karamel Untuk Tetangga

Bulan lalu pernah saya catatkan perihal jiran baru yang pada saya agak 'kurang budi bahasanya'. Agak lama saya bersabar dan berdoa kepada Tuhan agar dijauhi perkara-perkara yang tidak menyenangkan selama berada di sini. Sehingga catatan ini ditulis, saya sudah beberapa kali cuba bercakap dan menerangkan kepada mereka tentang bunyi bingit dari speaker home theater milik mereka. Kelihatan mereka tidak begitu senang dengan teguran kami, malah dihamburkan pula dengan sumpah seranah. Saya nekad untuk tidak menegur lagi. Usaha terakhir ialah menelefon pihak berautoriti.

Kami membuat carian di internet tentang masalah 'surrounding sound' di sekitar kawasan kejiranan yang dialami oleh orang lain yang dikongsikan di internet. Kami juga ke balai polis meminta khidmat nasihat tentang apa yang patut dilakukan sekiranya terganggu dengan bunyi-bunyian dari jiran sekeliling. Paling akhir dan hilang sabar, sudah tiga kali kami menelefon 911. Khidmat polis di sini saya puji 100%. Tidak kurang dari 30 minit, polis tiba dan mereka memperlahankan muzik.

Tiba bulan Ramadhan, satu keajaiban berlaku. Empat hari yang lalu, selesai kami berbuka puasa dan bersiap-siap untuk solat isyak dan berterawih di rumah, tiba-tiba loceng pintu rumah kami berbunyi. Saya agak terkejut, kelihatan sekonyong-konyong jiran kami yang bertatu dengan sosok badan yang tegap, bersinglet dan berseluar pendek tercegat di hadapan pintu. Dengan senyum, dia menghulurkan tangan bersalam, bertanya khabar dan nama saya, serentak dengan menghulur sepinggan BBQ yang masih panas. Saya agak terkejut! Paling memeranjatkan saya soalan yang terpacul dari mulutnya ialah ' are you doing Ramadhan (fasting)? Saya membalas dengan sopan dan mengucapkan terima kasih. Di dalam hati, terdetik rasa syukur kepada Allah yang tidak terhingga. Pada saya, doa kami selama ini supaya dikurniakan jiran yang baik, dilembutkan hati dan memahami situasi hidup berjiran di makbulkan Allah. Itu sangkaan saya! dan Alhamdulillah..Segala puji bagi Allah Tuhan Sekalian Alam. Hilang semua amarah dan hati panas saya pada jiran yang sebelum ini berlainan benar perwatakannya. Mudah-mudahan situasi ini berkekalan, sekurang-kurangnya sehingga kami masih di sini.

Saya memulangkan semula bekas petang kelmarin dengan puding karamel yang manis hasil tangan isteri tercinta. Mudah-mudahan kemanisan puding itu terus membekas di hati dan terpancar pula di wajah.

Saya meraikan keajaiban ini dengan rasa syukur kepada Allah!
Maka nikmat Tuhan kamu yang mana lagikah hendak kamu dustakan  (Q.S Ar-Rahman 55: 1-13)



Gambar hiasan

No comments: