8/16/12

Catatan Penghujung Ramadhan 1433 H

Dua hari lagi Ramadan akan melabuhkan tirainya di tahun ini. Kita berdoa dan berharap agar Ramadhan tahun ini bukan Ramadhan terakhir sepanjang kita mendiami muka bumi Allah. Suasana dan perasaan di bulan yang mulia ini sememangnya berlainan dari bulan-bulan lain. Bukan hanya lapar dan dahaga sahaja dirasakan, malah jiwa dan tujuan hidup menjadi tenang dan lebih fokus.

Ada beberapa urusan dan misi peribadi Tukang Catat dapat diselesaikan di bulan ini. Tidak terganggu dengan rutin seharian seperti bulan-bulan yang lain. Ucapan syukur kepada Allah atas kurniaan bulan yang mulia ini untuk umat Nabi Muhammad S.A.W.

Kesempatan di penghujung Ramadhan ini, saya berkira-kira untuk menulis beberapa pengalaman berpuasa yang masih tersemat kukuh dalam memori sepanjang 33 tahun hidup. Tetapi memandangkan bulan ini akan berakhir sehari dua lagi, maka saya simpan dahulu draft yang sudah ditulis separuh untuk entry Ramadhan tahun hadapan. Itu pun jika masih diberikan kesempatan umur oleh Tuhan. Maklum sahajalah hidup ini hanya mundar-mandir sahaja singgah di dunia, kelak akan dijemput jua pulang ke tempat yang kekal abadi tanpa cepat atau lewat walau sesaat pun.

Kadang-kadang saya terfikir, apa akan jadi pada catatan-catatan kita di dunia maya internet ini kelak kalau kita sudah meninggal. Apakah ia bermanfaat untuk orang lain atau hanya menghabiskan masa sahaja tanpa sebarang faedah. Saya kurang pasti blog ini bermanfaat atau tidak, tetapi sekurang-kurangnya ia adalah satu tempat untuk saya menulis sesuatu apa yang bermain di fikiran. Saya bukanlah orang yang berilmu, tetapi sangat mencintai ilmu pengetahuan, buku-buku dan bidang penulisan. Hormat saya begitu tinggi terhadap golongan penulis dan ilmuan tidak kira bidang apa pun yang diceburi mereka. Masih kuat cita-cita saya untuk menjadi seorang yang berpengetahuan luas dan menulis sesuatu yang bermanfaat untuk generasi akan datang. Sehingga kini, cita-cita itu masih tergantung dan belum direalisasikan. Mungkin cita-cita ini hanyalah angan-angan tanpa berjejak di bumi yang nyata, saya kurang pasti. Angan-angan atau khayalan ini pernah saya tulis suatu masa dahulu di dalam entry bertajuk 'Berkhayal lah Sebanyak Mungkin'. Teringat saya akan ungkapan emas bijak pandai iaitu;

“Ilmu pengetahuan adalah laksana binatang buruan dan penulisan adalah tali pengikat buruan itu. Oleh sebab itu ikatlah buruanmu dengan tali yang teguh.”.. HUKAMA

Kesempatan ini, saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri (Idulfitri) 1433 Hijrah kepada seluruh umat Islam terutama kepada mereka yang pernah lintas berkunjung ke blog yang tidak seberapa ini. Semoga kita terus diberikan kekuatan dan kesihatan untuk menempuh kehidupan yang mencabar di masa hadapan. Mohon ampun dan maaf sekiranya ada kekasaran bahasa dan terlanjur kata-kata. Ia memang kesilapan dari saya sendiri mudah-mudahan tidak diulangi di masa hadapan.

Salam hormat!

Tukang Catat
Verdun, Montreal

Summer 12

1 comment:

Anonymous said...

selamat hari raya en Faizal sekeluarga...dan selamat menjalankan ibadah puasa...semoga kita mendapat keampunan dari Nya. Dapat duit raya tak? hehehe