8/9/12

Kembara dan Mencatat


Baru selesai membaca tulisan terbaru Dr.Mohd Asri (MAZA) di blog beliau yang berjudul 'Daku Ingin Mengembara Lagi'. Terkesan dengan tulisan dan pengalaman beliau di Oxford Centre of Islamic Studies (OCIS) selama 10 bulan.

Terus terang saya katakan bahawa saya di antara ribuan pengikut dan peminat beliau termasuk di twitter, Facebook dan blog. Membaca rencana beliau menambah dan mengembangkan ufuk minda. Malah saya memiliki 2 buah koleksi rencana beliau yang dibukukan yang berjudul "Travelog Minda Tajdid" dan "Mengemudi Bahtera Perubahan Minda". Juga beberapa buah buku lain termasuk tulisan tentang hadis yang ditinggalkan di tanahair.

Tulisan beliau membebaskan minda dari politik kepartian yang sempit yang berlegar di minda manusia dunia ketiga ke arah politik/seni siasah yang lebih luas. Tulisan beliau juga membebaskan minda terpasung fanatik mazhab kepada kepelbagaian fiqah yang rencam. Kritikan beliau membuka minda supaya berfikir dengan lebih jauh dan objektif tentang tujuan hidup. Malah gaya hidup dan keperibadian beliau turut mendorong pembacanya menjadi lebih dinamis dalam memberi pandangan dan tidak terkongkong dengan hanya satu corak pemikiran. Yang paling memberi kesan kepada Tukang Catat, Islam dan gaya hidup bawaan/pendekatan (approach) Dr. Mohd Asri kelihatan lebih indah, lunak dan luas serta mudah diterima oleh orang ramai.

Maka pabila membaca artikel 'Daku Ingin Mengembara Lagi',  saya kembali teruja melihat koleksi tajuk-tajuk dan pengalaman kembara saya pula yang hampir mencecah 4 tahun di Kanada dan Amerika. Catitan ini masih terpencar-pencar dan bersifat eceran, jauh sekali menarik dan enak untuk dibuat koleksi. Namun saya harus menulis catatan juga. Sekurang-kurangnya untuk koleksi peribadi...sebelum pulang ke tanah air tidak lama lagi!   

2 comments:

madeeaziz said...

buat buku la sbutir.

AhhA said...

selamat mengembara dan selamat pulang!