www.majalahsains.com

12/19/10

Budaya Sembang (Kencang) & Daya Pengaruh..

Saya telah lama perhatikan hal ini. Di Malaysia, kaum Cina adalah antara golongan yang apabila bercakap sesama mereka, nada suara mereka tinggi dan kuat. loud n clear cakap orang putih. Di mana-mana sahaja kita dapat perhatikan. Di pasar, dalam komuter LRT, bas, dewan kuliah dan di jalanan. Kadang-kadang boleh menimbulkan rasa tidak senang di kalangan orang lain (Melayu biasanya). Sifat ini jarang kelihatan pada orang Melayu dan bangsa lain. Ada, tetapi amat sedikit. Dan yang sedikit ini menjadi individu yang berpengaruh pula. Puan Ainon Mohd misalnya seorang yang sangat berpengaruh. Bila bercakap dan bertentang mata (yang garang dan bersinar) dengan beliau, kita boleh kalah. Hishamuddin Rais, Sukarno, Hamka, Datuk Maznah Hamid (Iron Lady) dan lain-lain misalnya mempunyai pengaruh tersendiri.
Sembang kuat kedai kopi atau 'polis pencen' kita tidak ambil kira.

Saya pernah terbaca bahawa kaum Melayu dikatakan satu kaum yang sangat lembut dan sopan santun. Pernah diungkapkan dalam sajak berjudul Melayu oleh Usman Awang.


Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan.


Melayu itu berani jika bersalah
Kecut takut kerana benar,
Janji simpan di perut
Selalu pecah di mulut,
Biar mati adat
Jangan mati anak.


Melayu di tanah Semenanjung luas maknanya:
Jawa itu Melayu, Bugis itu Melayu
Banjar juga disebut Melayu,
Minangkabau memang Melayu,
Keturunan Acheh adalah Melayu,
Jakun dan Sakai asli Melayu,
Arab dan Pakistani, semua Melayu
Mamak dan Malbari serap ke Melayu
Malah mua'alaf bertakrif Melayu
(Setelah disunat anunya itu)


Dalam sejarahnya
Melayu itu pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah zaman
Begitu luas daerah sempadan
Sayangnya kini segala kehilangan


Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara


Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal
tanah sebidang mudah terjual


Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba.
Berbuahlah pisang tiga kali
Melayu itu masih bermimpi


Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri.
Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak.


Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga
Musuh dicari ke lubang cacing
Tak dapat tanduk telinga dijinjing
Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan


Berdamai cara Melayu indah sekali
Silaturrahim hati yang murni
Maaf diungkap senantiasa bersahut
Tangan diulur sentiasa bersambut
Luka pun tidak lagi berparut


Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
Segala yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:
"Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan
Anak di pangkuan mati kebuluran"


Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu
Masihkan tunduk tersipu-sipu?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan.


Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara Merdeka "

Saya kini ditakdirkan berada di negeri yang sangat jauh dan begitu asing sekali suasana persekitarannya. Di sini manusianya pelbagai. Sangat majmuk! Selain Quebeois (panggilan untuk orang Quebec), ada warga Arab, India, Cina, Pakistan, Bangladesh, Afrika dan macam-macam jenis bangsa.

Saya suka memerhatikan cara-cara komunikasi penduduk di sini. Yang menguasai perniagaan, kaum Cina misalnya seperti biasa, bercakap dengan nada yang kuat dan terang. Begitu juga Arab dan yang passtinya Quebecois (mungkin sebab ini negerinya, di tempat lain kita tidak pasti).

Dari pemerhatian, boleh dikatakan bercakap dengan nada yang kuat adalah satu petunjuk keyakinan diri dan daya pengaruh yang hebat yang ada pada diri si penutur. Dr. Ann Wan Seng dalam satu tulisannya menyatakan bahawa bagi orang Cina, bercakap kuat adalah suatu simbol kekuasaan. Dan masyarakat Cina percaya akan hal ini. Jadi mereka yang berani, yakin dan memiliki sifat untuk menguasai sesuatu akan dapat maju ke hadapan. Jadi kita tidak hairan dengan bangsa Cina. Di mana-mana sahaja mereka tinggal, jelas mereka menguasai persekitaran di mana mereka tinggal. Banyak yang kita boleh pelajari dari bangsa ini.

Berbalik pula apa yang ada dalam masyarakat Melayu. Di sebalik kesopanan dan kelembutan yang ada pada kita, sebenarnya menurut kata orang, ada 'harimau tidur dalam diri' yang perlu dibangunkan untuk kita menjadi yakin diri dan berani. Melayu suatu masa dahulu adalah suatu bangsa pedagang, pelaut (pelayar) dan pencipta yang hebat. Lihat sahajalah kapal-kapal dan senibina zaman dahulu kala. Melawatlah muzium-muzium dan tempat bersejarah. Sehingga sekarang ia masih dikaji orang lain. Banyak kehebatan bangsa kita yang perlu dikembalikan, termasuk seni bersembang dan berbual.

Bab berdagang dan berniaga, orang Melayu Melaka suatu masa dahulu mendahului orang lain. Sampai ke China dan Arab membawa dagangan. Malah yang mengelilingi dunia pun adalah orang Melayu (Panglima Awang) yang belayar bersama Ferdinnad Magellan.
Hebat bukan!

                                      ....................PAUSE..................

Buku Sembang Kencang yang saya pesan dan baca di bawah bukanlah buku seni atau kaedah untuk bercakap kencang atau kuat. Ia hanyalah sebuah buku humor yang ditulis oleh seorang jurutera muda berkeluarga dan mempunyai dua orang anak yang comel lote. Tinggal di Tanjung Malim, berulang alik ke Kuala Lumpur bekerja di bangunan KLCC. (sewaktu buku ini ditulis).

Sembang Kencang juga adalah himpunan tulisan-tulisan lawak yang diambil dari blog penulis sendiri yang dinamakan sebagai Sembang Kencang. Jadi ia tidak ada kena mengena dengan apa yang saya ceritakan perihal budaya borak atau bercakap kuat di atas. Cuma tajuk buku ini dapat menggambarkan bahawa orang Melayu, perlu bersembang secara kuat dan terang (sekurang-kurangnya ada pada tajuk buku).  Malu-malu, sifat tidak yakin diri, lemah pengetahuan, malas membaca dan berfikir, mudah tewas dengan keadaan, banyak berserah nasib dan takdir perlu dibuang jauh-jauh.

Kandungan S.K penuh dengan humor-humor kekeluargaan, pengalaman sewaktu zaman kanak-kanak, belajar dan bekerja, hal-hal semasa, pekerjaan dan sekitarnya. Saya kira, kalau saudara Firdaus Ahmad dilantik sebagai kolumnis mana-mana majalah humor di Malaysia, ia boleh menaikkan rating dan jualan majalah tersebut. Tambahan pula penulis blog Sembang Kencang ini mempunyai ramai peminat dan pengikut tersendiri. Khabarnya juga, semakin ramai remaja dan orang-orang muda tidak lagi segan membawa dan membaca buku di mana-mana sahaja dengan munculnya buku-buku 'underground' seperti ini. Abaikan dahulu katakunci 'kualti' untuk membudayakan usaha membaca.

p/s : buku ini dicetak dan diedarkan secara indie. Jadi jangan berharap ia berada di kedai-kedai buku mainstream. Kalau berminat boleh berhubung terus dengan penulis. Dan S.K volume II perlu di tulis segera.

Verdun, 
Montreal
Winter 2010

2 comments:

MKriza said...

Tuan
Saya ialah seorang yang berulang alik dari KL ke Taiping/Batu Gajah setiap minggu. Pengangkutan awam adalah kenderaan saya.
Semasa dalam kenderaan awam ini saya memerhati gelagat kaum Cina yang apabila bersembang di telefon, bercakap begitu kuat sehingga semua dalam bas boleh dengar. Rasa macam pelik juga. Di office saya juga begitu. Ada pekerja (berpangkat juga) yang bercakap dengan kuat. sehinggakan saya menganggap dia sedang marah. rupa-rupanya sedang bercakap biasa sahaja.

Mohd Faizal said...

Rasa saya orang Melayu paling sensitif dengan kelantangan bersuara.

Bercakap perlahan mungkin hanya sah dalam surau, perpustakaan dan kelas. Lain-lain rasanya ok. :-)