www.majalahsains.com

10/22/07

Membaca Al-Quran

Bagaimana dengan bacaan Al-Quran kita sehari-hari. Jarang sekali setiap kali kita membaca Al-Quran kita fahami makna-makna dan intisari ayat yang dibaca termasuklah penulis sendiri. Selalunya bacaan al-Quran hanya akan dilakukan untuk khatam, membetulkan tajwid dan bacaan dan sekurang-kurangnya ingin mendapat sedikit keberkatan dan pahala dari Allah. Dr. Juanda Jaya dalam artikel terbaru dalam Berita Harian hari ini menghuraikan 4 perkara utama menjadikan al-quran sebagai bacaan yang hidup dan subur dalam jiwa. Di bawah penulis salin bulat-bulat apa yang diterangkan oleh beliau sebagai peringatan untuk diri sendiri dan mungkin ada pembaca dari luar yang tidak berkesempatan membaca akhbar pada hari ini.

4 Kaedah merenung Al-Quran ( dalam membaca dan memahaminya)

  • Fahami tujuan membaca:

    Bukan hanya pahala saja yang diharapkan, tetapi hendaknya al-Quran itu tertegak dalam keperibadian, seterusnya menggerakkan kita menjadi pembela yang memperjuangkan nilai al-Quran dalam masyarakat.

    Pendeta Zwimmer dalam ucapannya pada Persidangan Mubaligh Antarabangsa di Jerussalem Palestin, berkata: "Mubaligh sudah berhasil mempengaruhi generasi Islam di pelbagai negara dan mereka lahir sebagai manusia yang tidak mengenal Tuhannya dan asing daripada kitab sucinya, walaupun kalian belum berhasil memurtadkan mereka ke dalam agama kita, tidak mengapa, bukankah mereka sudah lahir sebagai generasi yang tidak memiliki idealisme dalam kehidupan?"

    Sesungguhnya ancaman bagi musuh Islam bukan kerana senjatanya, bukan kerana kekayaannya dan ramai bilangannya tetapi kerana jiwa Qurani yang terpacak kukuh di serata dunia. Untuk itu, mereka memerangi al-Quran supaya ia tidak tertegak di hati generasi Islam.

  • Merenung suatu proses membersihkan hati:

    Segala sesuatu yang berasal daripada keikhlasan hati akan terpancar keindahan dan kebaikan di dalamnya. Semua ibadat dalam Islam dimulakan dengan niat dalam hati. Ketika membaca al-Quran, sebenarnya kita seolah-olah sedang menyelongkar ke dalam diri untuk menilai siapakah kita sebenarnya.

    Ramai orang yang mengambil berat mengenai suci daripada hadas kecil dan besar ketika memegang al-Quran tetapi berapa ramai yang mementingkan kesucian hati daripada angan-angan dunia yang menyibukkannya sehingga fikirannya tidak mampu terfokus kepada ayat dibaca. Adakah kita mampu merehatkan hati daripada lintasan dengki, riak, dendam dan kebencian kepada sesama insan ketika memegang al-Quran?

  • Membaca dengan harapan mendapat hidayah Allah.

    Sebelum membaca al-Quran pernahkah kita berdoa: "Ya Allah berilah petunjuk dengan bacaanku ini." Sesungguhnya orang yang mahu petunjuk memerhatikan setiap ayat dilafaz dan mendengarkan dengan penghayatan sambil mencari apakah sudah aku kerjakan suruhan al-Quran ini.

    Dan apa pula perbuatan yang kerap dilakukan padahal ditegah al-Quran. Jangan bekukan al-Quran dalam ruangan sempit pemikiran kita. Ayat yang turun mencela golongan munafik dan kafir, itu sebenarnya untuk diri kita juga yang kadang-kadang tersalah jalan lagi alpa.

  • Ulangi bacaan dalam sembahyang:

    Merenung juga boleh dilakukan dengan cara mengulangi bacaan sambil menghayati maknanya. Diriwayatkan daripada Abu Zar, beliau berkata: Rasulullah SAW mengerjakan sembahyang malam bersama kami lalu Baginda berdiri dan membaca sebuah ayat, Baginda mengulang-ulang ayat itu yang bermaksud: "Jikalau Engkau (Ya Allah) menyeksa mereka maka sesungguhnya mereka itu adalah hamba-hamba-Mu juga dan jikalau Engkau mengampuni mereka maka sesungguhnya Engkau adalah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana." - (Surah Al-Maidah, ayat 118)

    Sesungguhnya pengulangan ayat dengan maksud meresapkan ke dalam hati dan seterusnya sebati di dalam darah dan daging adalah proses pembersihan jiwa yang diajarkan Rasulullah SAW. Betapa nikmatnya tadabbur yang menjadi kesukaan baginda dan sahabatnya.
  • No comments: