12/29/12

Musim Sejuk Montreal 2012

Baru-baru ini, sebelum musim banjir di Malaysia saya ternampak satu post gambar di Facebook yang dirakamkan di Kota Bharu Kelantan mencatatkan suhu 44'C. Beberapa komen di bawah posting tersebut menyatakan bahawa situasi tersebut berbahang dan amat tidak selesa yang boleh menimbulkan pelbagai penyakit termasuk sakit kepala dan sebagainya. Saya akui bahawa, tanahair kita di Malaysia sememangnya panas. 44'C bukan suhu biasa-biasa, ia sudah luar biasa.

Dengan selamat saya boleh menyatakan bahawa, suhu di bawah 30' C adalah suhu 'normal' di Malaysia. Jadi kita harus menghadapinya dengan tenang.

Berbalik cerita saya di Montreal. Di sini kami sedang menghadapi musim sejuk. Suhu normal di musim sejuk sekitar -10 'C hingga -20'C sepanjang 4-5 bulan bermula Disember sehingga April. Salji mula turun dengan lebat sejak beberapa hari lalu. Bercerita tentang salji, saya teringat di zaman kanak-kanak sewaktu masih belum begitu faham bagaimana cuaca 4 musim berlaku. Setelah dewasa dan mula mengalaminya sendiri, barulah jelas bagaimana ia terjadi. Jika dahulu, saya beranggapan bahawa semua negeri-negeri 'orang putih' akan mengalami musim sejuk yang bersalji. Rupa-rupanya tidak. Di Kanada sendiri, hanya wilayah tertentu yang mengalaminya, terutamanya yang berada di sebelah utara dan berhampiran dengan kutub utara termasuk Quebec, Yukon Territory, Alberta dan sebahagian Ontario. Di AS pula, di bahagian New York, Alaska dan beberapa kawasan lain.

Musim sejuk tahun lalu, kami mengambil peluang melawat di kawasan yang lebih panas di Florida, AS, melarikan diri sejenak dari kesejukan Montreal yang mengambil masa 3 jam penerbangan.

Musim sejuk adalah musim untuk menjadikan mental dan fizikal lebih bersedia untuk menghadapinya setiap hari. Bayangkan untuk keluar rumah sahaja, perlu memakai sekurang-kurangnya 3 lapis pakaian termasuk jaket tebal dan berat. Penutup kepala dan telinga, sarung tangan dan kasut yang tahan sejuk. Bagi yang mempunyai anak kecil, persiapan lebih rapi perlu dilakukan, bagi keselesaan ketika berada di luar rumah.

Tukang catat sendiri, paling lama boleh berada sekitar 1 hingga 2 jam sahaja di luar rumah. Lebih dari itu, muka dan hujung jari sudah mula kebas kesejukan.

p/s ; Kepada mangsa-mangsa banjir di Malaysia khususnya di Pantai Timur, didoakan semoga terus cekal dan bersabar dengan dugaan.



No comments: