www.majalahsains.com

5/7/10

Muhasabah Umur - mula bersekolah

Dalam catatan-catatan pendek ini, Tukang Catat akan menggunakan ganti nama 'aku' atau 'saya' menurut 'mood' semasa mengetuk papan kekunci komputer. Entah mengapa aku rajin benar untuk menulis kisah dulu-dulu, itu aku kurang pasti. Aku berhenti seketika menulis kisah-kisah di Montreal dan seputar Negara Kanada di dalam ruangan blog. Beberapa cerita di sini (Baca Montreal) telah dikesampingkan di dalam 'folder' yang tersimpan kemas dalam laptop sebagai catatan Travelogue Montreal. Jadi buat masa ini, biarlah ia 'offline' buat seketika. Ya, kini aku menulis kisah di zaman kanak-kanak sehingga dewasa. Mungkin untuk cuba mengingat kembali perjalanan hidup yang tak seberapa ini sebagai satu catatan peribadi mengimbau kembali kenangan lama. Entahlah! Paling penting sekarang aku rasa rajin untuk mengetuk keyboard.

Ketika bersekolah di sebuah rumah yang dijadikan bangunan Tadika pertama di Tanah Rancangan Felda daerah kediaman kami, aku mula bergaul dengan kanak-kanak lain. Masih aku ingat dengan jelas nama kawan-kawan pertama aku sejak pertama kali masuk ke sana. Paling tidak dapat dilupakan ialah nama 2 orang kanak-kanak yang sama namanya dan mereka tinggal berjiran. Entah ibu dan ayah mereka berpakat untuk menamakan anak mereka dengan nama yang sama atau terpengaruh dengan nama yang dicatatkan dalam Al-Quran iaitu Surah Luqman itu aku kurang pasti. Yang aku ingat nama mereka berdua ialah Lokman. Bapa kedua-dua mereka antara individu yang agak terkenal juga di tempat kami. Seorang daripadanya adalah imam masjid di kampung merangkap guru mengaji iaitu Haji Mohammad Hj Hussein (Tok Imam Nawi gelarannya) manakala seorang lagi lebai haji juga iaitu gemulah Hj Ghani a.k.a Haji Mat Che Kob dan telah pun meninggal dunia. Kedua-dua mereka pernah naik haji ke Mekah. Menurut orang tua-tua di zaman aku masih kanak-kanak, mereka yang bergelar HAJI di pangkal namanya di hadapan perlu dihormati. Untuk mengenali Pak Haji, tidak lah sukar bagi kanak-kank seusia aku waktu itu. Memakai ketayap atau berserban putih, sah lah mereka itu Tuan Haji mengikut ukuran minda kanak-kanak.

Selain dua Lokman, aku masih ingat nama rakan-rakan lain seperti Norhisyam, Nordin, Mastura, Normayati, Sudarwati, Wan Aizamazukilan Wan Awang dan Nik Jaafar Nik Mamat bersekolah di tadika yang sama. Mereka adalah antara rakan yang kukenali semasa hari pertama ke sana. 'Tadika rumah tumpang' ini kalau mengikut ukuran zaman moden sekarang ini, tidaklah lulus untuk dijadikan sekolah. Setiap aspek keselamatan di sekitar kawasan tersebut gagal dan berbahaya. Di belakang tadika rumah tersebut, terdapat semak belukar serta paya tempat membiak segala macam jenis ular. Kisah paya belukar ini menarik untuk aku ceritakan. Tapi lebih menarik ceritanya bila aku sudah mula bersekolah rendah dan lebih berani. Kerana, walaupun bahaya besar mungkin ada di sana, di sini jugalah tempat kami berkubang menangkap ikan sepilai atau sekarin. (Ikan Pelaga).Ini akan aku ceritakan kemudian bila tiba masanya.Selain paya pagar, tidak ada pagar keselamatan disediakan. Menurut undag-undang sekarang kalau tidak silap, bangunan sekolah waima tadika perlu ada ciri-ciri keselamatan termasuk pagar. Kanak-kanak termasuk aku dibiarkan bebas bermain di luar kawasan sekolah dengan pengawasan yang sangat minimum. Masih aku ingat, salah satu tempat kegemaran kami bermain di waktu rehat ialah bergayut dan memanjat sejenis pokok seakan-akan pokok ubi yang batangnya agak besar. Entah apa nama pokok itu, sekali lagi aku kurang pasti. Tetapi daunnya besar dan bergetah. Ubi kayu hiasan agaknya!.

bersambung....(hari ini aku ke Ottawa, kira-kira 2 jam dari Montreal sempena Tulips Festival..menikmati musim bunga yang indah :-) )

1 comment:

Nuruliman said...

salam. tahniah, blog yang menarik untuk dibaca.