Mungkin ada yang bertanya kenapa menulis blog? Kenapa menjadi blogger? Tak kurang yang nakal berkata menulis blog membuang masa!! Blog atau weblog merupakan suatu wadah atau medium baru hasil evolusi teknologi internet dan komputer untuk menyalurkan maklumat. Maklumat boleh terbahagi pula kepada dua iaitu yang bersifat kebaikan atau pun keburukan. Jika dahulu tidak ramai yang memiliki ruang maya mereka sendiri yang dikenali sebagai Homepage atau laman web kerana kekangan teknikal.Namun dengan tampilan Blogspot, Wordpress, Livejurnal dan lain-lain yang gratis, semua individu mampu memiliki blog atau laman maya peribadi mereka sendiri. Sebagai contoh, sekiranya individu itu memiliki kemampuan teknikal yang sangat minimum, mereka masih boleh memiliki blog mereka sendiri dengan beberapa ketikan tetikus di internet.
Tukang catat ini memulakan penulisan blog secara aktif bermula tahun 2003 lagi. Sejajar dengan perkembangan usia dan fokus utama dalam kehidupan, penulis memutuskan untuk menutup blog terdahulu dan memulakan www.mundarmandir2.blogspot di pertengahan tahun 2006. Pengalaman peribadi penulis, menulis merupakan suatu aktiviti yang sihat dan boleh dianggap terapi untuk membebaskan hampir segala yang bersarang di benak minda kita. Pujangga dahulu pun ada mengatakan, ”sekiranya kepala kita sudah sendat dengan maklumat, elok juga dibebaskan maklumat itu dalam bentuk tulisan”. Lagi satu sebab ialah, untuk menarik minat ”orang-orang kita” yang gemar berhujah secara lisan & bersemuka kepada debat secara lebih ilmiah dalam bentuk penulisan dan pemikiran. Bukan kah ayat Al-Quran yang pertama menyuruh kita membaca dan menulis!.
Untuk itu, alangkah beruntungnya kita sekiranya dapat memanfaatkan sebaik-baik mungkin limpahan teknologi internet yang berkembang pesat untuk menyalurkan buah fikiran dan perkongsian maklumat selain melatih diri menjadi seorang penulis yang baik..
Ayuh!!
No comments:
Post a Comment