www.majalahsains.com

4/16/07

Bila April menjengah!!

Nah, sekarang bulan April! Pada penulis, April merupakan bulan bertuah kerana di dalamnya terdapat 2 peristiwa dan acara menarik setiap tahun. Pertama, 26 April setiap tahun adalah hari ulang tahun kelahiran penulis dan yang kedua ialah acara terbesar yang dikategorikan ”WAJIB” hadir setiap tahun sekiranya tiada halangan. PESTA BUKU ANTARBANGSA KUALA LUMPUR, di PWTC ( tahun 2007 KLBF bermula pada 27 April ). Dua tarikh ini cukup membuatkan penulis teruja dan seronok. Ulangtahun kelahiran bermakna, umur kita semakin berkurang dan boleh membuatkan ita insaf akan masa dan umur pemberian Tuhan. KLBF pula memberi peluang untuk kita rakyat Malaysia menjadi ’part of readers community’ yang rata-ratanya rakyat Malaysia masih ketinggalan. Inilah yang selalu ditekankan oleh golongan atasan, pendidik, pemikir dan sebagainya iaitu menggalakkan aktiviti membaca.

Menurut Johan Jaafar, tabiat membaca bermula dari rumah. Artikel beliau Ahad lepas menceritakan perihal membaca kuat (reading aloud) kepada kanak-kanak tentang cerita-cerita rakyat, motivasi, cerita kanak-kanak dan pelbagai bahan bacaan lain yang dapat mempengaruhi minda dan aktiviti otak anak-anak. Menurut beliau lagi, teknologi TV, komputer, permainan video dan segala macam peralatan elektronik amat mengganggu minat membaca. Justeru itu, beliau menyarankan agar semua ibu bapa sedar akan pentingnya memupuk minda anak-anak supaya mencintai ilmu dan bahan bacaan.

Penulis sendiri berasa bertuah kerana sejak di zaman kanak-kanak lagi sudah terdedah dengan bahan bacaan terutamanya yan diperolehi dari buku-buku teks kakak dan abang semasa mereka di sekolah menengah. Di waktu alam persekolahan peringkat rendah, penulis sudah pun mengenali ”Seorang Tua di Kaki Gunung karya Azizi Abdullah, Drama Penantian oleh Mana Sikana, Senjakala, Hikayat Umar Umaiyyah, kisah 5 sekawan dan pelbagai tulisan Rejab FI. Menginjak usia dewasa, berkenalan pula dengan puluhan tulisan HAMKA, mula berjinak-jinak dengan novel berbahasa inggeris ( selain untuk menguasai bahasa tersebut), novel-novel melayu, kisah-kisah sains fiksyen, buku-buku sains dan sebagainya. Kesemua ini sekiranya dirangkum masih belum lagi memuaskan nafsu membaca dan memiliki buku-buku penulis terkenal lain. Maka dengan adanya PESTA BUKU ANTARABANGSA KL inilah peluang yang ditunggu-tunggu yang tidak akan dilepaskan. Di sinilah kadang-kadang kita akan menemui orang-orang terkenal dan golongan penulis selain golongan pembaca dan penjejak buku. Pesta ini juga lah yang akan menemukan kita dengan buku-buku terkini dari seluruh pelosok dunia. Sesuatu yang hebat di mata penulis!!Penulis mula mengetahui dan berkunjung ke sana bermula tahun 1999 selepas menjejak kaki ke UKM pada tahun 1998.

Bukankah sesuatu yang indah sekiranya kita melihat aktiviti membaca boleh dilihat di merata-rata tempat. Di stesen bas, dalam komuter, sambil berjalan, sambil bersantai, di rumah, di taman-taman dan sebagainya. Dan alangkah bagusnya kita memiliki sejumlah koleksi buku-buku yang layak dikategorikan sebagai perpustakaan mini di rumah. Ayuh bangsa Malaysia, jon kita hebohkan Pesta Buku hujung minggu depan!!!

2 comments:

Anonymous said...

teringat aku masa perjalan pergi ke london dulu, rata-rata mat saleh akan membaca buku, tak kira usia mana sekali pon bila ada masa terluang... ok aku sungguh malu bila dibandingkan dengan bangsa kita...

Mohd Faizal said...

anon..
x perlu malu, masih belum terlambat..
membaca ni bukannya rugi apa2 pun walaupun sedikit ongkos akan melayang..