www.majalahsains.com

10/8/06

Juadah Terkini !

Bulan lepas tukang tulis blog telah berjaya menempah 3 buah buku secara online. Buku yang pertama dari perkhidmatan dalam talian melalui kedai buku yang kedua (atau ketiga selepas MPH dan Borders) terbesar di Malaysia iaitu Kinokuniya di KLCC. Alhamdulliah buku The Man Behind Microchip, Robert Noyce and the Invention of Silicon Valley tulisan Leslie Berlin telah selamat sampai ke tangan penulis. Buku kedua ‘Perjalananku Sejauh Ini, Sebuah Autobiografi karya Seniman Negara (SN) yang sedang uzur Shahnon Ahmad (SA) juga telah sampai ke meja penulis melalui khidmat pos express dari perkhidmatan online Ujanailmu. Buku ketiga juga dari Ujanailmu bertajuk A Samad Said, Kehidupan Seorang Seniman Malaysia karya Dinsman.

Dari ketiga-tiga buah buku di atas, yang sempat dihadam oleh penulis hanya dua dan keduanya adalah yang berbahasa melayu. Buku berbahasa inggeris masih lagi dalam peringkat pembacaan dan dengan waktu yang agak terbatas dipaksa juga mencari ruang masa untuk menghayati apa yang disampaikan oleh penulis buku tersebut. Maklumlah, bahasa inggeris sebagai bahasa kedua masih lagi menjadi cabaran dan penulis sangat bernasib baik kerana ‘my significant other is a great english guru’ ;-). Jadi mungkin batasan waktu yang akan menentukan sejauh mana kembara meningkatkan mutu ‘english (and arabic also) as a 2nd language’ ini dapat dicapai. Insyaallah

Berbalik kepada ketiga-tiga buku yang diatas, yang pertama menceritakan perihal kisah hidup seorang yang penting dalam penciptaan litar bersepadu (IC) mikroelektronik dan kemajuan daerah Lembah Silikon di Selatan California Amerika Syarikat. Robert Noyce merupakan salah seorang yang bertanggungjawab mencipta integrated circuit (IC) selain penerima anugerah nobel terkenal pada tahun 2000 iaitu Jack Kilby. Menurut Arokia Nathan melalui satu ceramahnya mengenai nanoteknologi di UKM baru-baru ini, sekiranya umur Noyce masih penjang, kemungkinan beliau akan berkongsi Nobel Prize tersebut dengan J.Kilby. Buku ini menceritakan dari awal kelahiran Noyce, penglibatan beliau dengan penyelidikan transistor dan mencipta IC bersama-sama dengan William Shockley dan Gordon Moore serta rakan-rakannya yang lain. Maaf, cerita lanjut akan menyusul selepas penulis khatam dahulu buku ini

Buku kedua pula berkisar tentang kisah perjalanan hidup SN yang terkenal Shahnon Ahmad dengan penceritaan yang berkisar tentang kehidupan rakyat marhain lewat bukunya seperti Ranjau Sepanjang Jalan, Detik-Detik Diri di Daerah Daif, Seluang Menodak Baung, Sungai serta puluhan buku serta cerpennya. Dalam buku ini, secara ihklas beliau menceritakan kisah hidup sepanjang hidup yang dilalui sehingga sekarang selepas beliau dihinggapi penyakit lumpuh. Suatu masa dahulu Shahnon Ahmad dikritik hebat lewat karyanya yang kontroversi ‘SHIT’ dan politik Malaysia yang bergelora pada tahun 1998 yang menyaksikan kejatuhan Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri. Buku ini dimulai dengan kisah hidup beliau semasa kecil, pendidikan, dunia kesusasteraan, keindahan alam yang dan juga masa-masa genting dalam hidup beliau selepas terbabit dengan gerakan Al-Arqam, PAS dan sebagainya yang banyak mewarnai autobiografi ini. Gaya penceritaan secara bersahaja dan penuh nilai estetika seni membuatkan pembaca terpaku melahap buku terbaru karya Shahnon Ahmad. Tak percaya anda boleh cuba!

Buku ketiga pula lebih merupakan sebuah diari dari SN yang terkenal juga iaitu A Samad Said, .Kehidupan Seorang Seniman Malaysia. Catatan Dinsman, penulis buku tersebut merupakan kisah perjalanan harian Pak Samad dalam dunia sastera dan pembacaannya. Buku ini disertakan juga dengan 2 keping VCD yang menunjukkan persekitaran rumah A Samad Said yang sarat dengan buku dan bahan bacaan, sehingga langsung tidak kelihatan seperti rumah yang didiami oleh kebanyakan orang lain. Selain itu, diceritakan juga segala hobi, minat, aktiviti dan tujuan kehidupan yang dilalui oleh Pak Samad dari dulu sehinggalah sekarang.

Selain ketiga-tiga buku yang diperolehi secara online di atas, penulis juga berpeluang menikmati beberapa buah buku lagi yang sukar didapati dan dihentikan penerbitannya oleh Penerbit UKM ( kerana kontroversi!!). Buku-buku tersebut merupakan memoir pejuang kemerdekaan yang diabaikan dalam sejarah Malaysia dan tidak disentuh langsung dalam buku-buku sejarah semasa di alam persekolahan. Buku-buku yang dimaksudkan ialah, Memoir Shamsiah Fakeh, Dari Awas ke Rejimen ke-10, Memoir Ibrahim Chik, dari API ke Rejimen ke -10 dan Memoir Abdul Majid Salleh, Dalam PKMM dan Kesatuan Buruh. Jelas kepada penulis selepas membaca ketiga-tiga buah buku ini, terasa seperti ada suatu kepincangan dalam penceritaan sejarah kemerdekaan tanah air tercinta ini seperti yang terdapat dalam buku-buku sejarah sekarang. Ya, penulis blog ini mungkin silap kerana masih terlalu awal untuk membuat kenyataan seperti ini, tetapi seolah-olah pembabitan ‘golongan kiri’ dalam memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu dahulu langsung diabaikan. Penulis juga barangkali silap, kerana rejimen ke -10 adalah sebuah organisasi Komunis yang menubuhkan Parti Komunis Malaya PKM suatu masa dahulu. Komunisme juga merupakan ideologi yang asing dalam dunia melayu islam Mungkin ahli sejarah lain boleh menerangkan situasi ini??.

Bacaan-bacaan lain yang penulis sedang nikmati sekarang ialah, Retorik Sains dan Teknologi di Malaysia hasil karya Hairudin Harun. Buku ini masih lagi diperingkat awal untuk dikongsi bersama dan satu lagi yang agak menarik dan berbahasa inggeris pula ialah, Openheimer and The Manhatan Project-Insight Into Robert J Oppenheimer, the Father of Atomic Bom. Melalui tajuknya sahaja kita telah menangkap apa yang akan diceritakan dalam buku ini yang berupa penceritaan orang perseorangan yang mengenali dan pernah bekerja dengan Openheimer. Beliau merupakan ketua program yang bertanggungjawab dalam Manhattan Project yang menyaksikan tamatnya Perang Dunia ke-2 selepas pengeboman Hiroshima dan Nagasaki . Projek Manhattan ialah satu kerja saintifik terbesar di abad ke-20 yang disertai oleh saintis-saintis terkemuka dunia dalam menghasilkan bom atom. Juga masih dalam peringkat pembacaan.

Sekian untuk kali ini.

Selamat berpuasa ramadhan kepada seluruh umat islam di dunia, semoga puasa membawa kita menjadi manusia yang lebih bertakwa. ( Ta, Qaf, Wau, Ya’).

1 comment:

Unknown said...

Salam,

Selamat bermesra dnegan buku-buku yang baru dimiliki! Kita berkognsi banyak buku yg sama.

VCD Pak Samad, membuatkan saya seperti mahu membaca semula buku-buku lama dan meniru gaya beliau membaca!