Petang tadi kami menghadiri majlis tahlil dan doa selamat di rumah seorang kenalan Malaysia yang bertugas di Montreal . Perjalanan dari rumah kami ke sana mengambil masa kira-kira satu jam menaiki Metro (keretapi bawah tanah) dan dijemput beliau di stesen metro. Di sana sudah ada beberapa rakan lain yang semuanya dari Malaysia.
Selesai tahlil dan jamuan yang enak dari tuan rumah, kami mula berborak-borak tentang isu-isu semasa di Montreal dan tentunya tidak ketinggalan mengenai tanahair tercinta yang terletak kira-kira 14,957 kilometer dari sini. Paling menarik dibualkan ialah tentang budaya kerja dan tahap integriti antara dua belahan dunia yang berlainan ini. Isu rasuah adalah antara yang paling banyak dibincangkan, selain disulami dengan senda gurau dan lawak jenaka yang pelbagai. Berkumpul beramai-ramai sesama warga Malaysia juga mampu mengubat rindu kampung halaman :-).
Di akhir perbualan sebelum pulang ke rumah masing-masing, mungkin kesimpulan dan persoalan yang paling tepat dari perbualan tadi ialah soal bagaimana untuk mengembalikan semula kejujuran dan integriti di kalangan warga Malaysia yang rata-ratanya beragama Islam dalam soal membanteras rasuah. Rasuah adalah punca terbesar berlakunya jenayah lain di mana-mana negara dan tidak terkecuali di negara kita. Dan alhamdulilah, kami semua sependapat!
Kebanyakan kita sudah sedia maklum bahawa, warga barat yang kebanyakannya atheis (tidak beragama) lebih tersusun, teratur, berintegriti dan membuka seluas-luasnya pintu akal mereka dalam menjalani kehidupan.
Perbualan petang tadi mungkin menepati seperti apa yang ditulis oleh Dr. Asri di dalam Mingguan Malaysia (atau di blog beliau) hari ini bertajuk 'Menilai Meja Kopi'
p/s: Doa selamat menggunakan bahasa ibunda oleh saudara Zaidi petang tadi lebih meransang jiwa dan menenangkan berbanding bahasa asing (Arab, Inggeris dsbgnya)
~Faizal~
Winter 2010
Verdun, Montreal
1 comment:
bila nk update bro???
Post a Comment