www.majalahsains.com

3/20/08

Kem Bina Negara Ulu Sepri, Rembau 1996

Selepas 12 tahun (1996), sekali lagi tuan empunya blog mengunjungi Kem Bina Negara, Ulu Sepri Rembau Negeri Sembilan. Cuma kali ini bukan tujuan untuk menyertai kursus, tetapi menghantar isteri ke sana bekursus selama 4 hari bermula hari ini 20 Mac 2008. Seingat penulis suasana di sana masih kekal seperti 12 tahun lepas. Mungkin sedikit berubah dengan tumbuhnya pokok-pokok hiasan yang baru dan kalau tidak silap ada bangunan baru yang dibina.


Dataran perhimpunan masih kekal seperti dahulu di depan dewan utama. Di dewan inilah dahulu bekas ahli Parlimen Parit Sulong YB. Syed Hood Syed Idrus membakar semangat peserta-peserta seangkatan dari kumpulan belia-belia FELDA seluruh Negeri Terengganu yang terdiri daripada kumpulan lepasan SPM, penganggur dan generasi kedua FELDA. Sebut sahaja belia FELDA terbayang segala permasalahan yang digembar gemburkan oleh media yang dihadapi oleh mereka. Masih terngiang-ngiang di telinga penulis sebuah lagu dendangan Sheila Majid berjudul 'hitam putih kehidupan' dinyanyikan oleh Syed Hood Syed Idrus dengan gaya beliau yang tersendiri sambil menceritakan kisah hidup beliau yang cacat sejak kecil yang terus-terusan berjuang untuk menggapai kejayaan. Bait-bait lagu tersebut yang antaranya ialah

lihat lah sekitar alam
dunia luas terbentang
hitam putih masa depan
sendirian menentukan
hidup ini usah persiakan

Sejurus selepas ceramah beliau tamat, tanpa segan silu penulis terus bertanya bagaimana untuk mengekalkan motivasi yang diperolehi sepanjang kursus untuk dibawa sebagai bekalan perjalanan hidup yang akan dilalui seterusnya. Beliau menjawab, berusaha untuk terus mencari ilmu, jangan patah semangat dan pedulikan tanggapan orang lain..

Terima kasih YB

No comments: