3/20/07

Membaca Suratkhabar


Dalam akhbar Mingguan Malaysia bertarikh 18 Mac 2007, terdapat 3 artikel yang menarik perhatian tukang catat blog ini. Yang pertama ialah mengenai tulisan mufti Perlis di bawah kolum Pena Mufti yang bertajuk ”Islam, antara cerita dan kenyataan”. seperti biasa Dr. MAZA terus menyengat dengan hujah-hujah beliau yang tuntas dan bernas sesuai dengan perubahan zaman. beliau dengan lantang menegur kelemahan-kelemahan umat islam yang terus hanyut dengan sejarah silam kejayaan umat islam terdahulu tanpa melihat tragedi sebenar yang menimpa umat islam masa kini. seruan-seruan beliau juga memperlihatkan kesungguhan beliau mengembalikan kegemilangan islam yang telah hilang dijiwa umat pada masa kini.

Artikel kedua ialah mengenai seorang pemuda (atau pemudi) yang menggunakan nama samaran ”Orang Sains” yang begitu sombong dengan sedikit ilmu yang dianugerahi Tuhan kepadanya cuba berdebat dengan Dr. Amran Kasimin dalam kolum soal jawab agama. Tajuk artikel tersebut ialah ”antara amal dan bidaah”. Penulis begitu risau dengan orang-orang lain seperti ”Orang Sains” yang cuba menghakis kepercayaan agama dengam hujah-hujah sains di luar kewarasan berfikir sebagai umat beragama. Mungkin inilah yang dikatakan oleh Prof.Dr. Mohd Yusof Hj Othman, bahawa ”sains tanpa agama adalah tempang” dan bagi penulis, ”Orang Sains” telah tempang dari segi pemikiran dan tuduhan-tuduhan melulu terhadap agama yang diturunkan oleh Allah untuk seluruh mahklukNya. Semoga ”Orang Sains” cepat-cepat kembali ke landasan yang benar.

Artikel ketiga dalam MM ialah tulisan Zin Mahmud mengenai masalah sejagat yang melanda dunia. Kali ini beliau mengutarakan masalah islamfobia selepas mengulas tragedi-tragedi yang menimpa umat dan negara-negara islam di seluruh dunia selepas 9/11. Beliau juga terus menyeru supaya umat islam terus menuntut ilmu agar dapat menangkis serangan islamfobia dikalangan warga barat baik dari segi agama, kemajuan, sikap dan perlakuan umat islam.

Melihat kepada 3 artikel di atas, jelaslah umat islam kini berada dalam keadaan yang dipandang serong oleh orang-orang yang memandang islam sebagai agama yang beku dan kaku. Oleh itu, tanggungjawab untuk mengembalikan ajaran Rasulullah ini adalah tanggung jawab yang mesti dipikul oleh seluruh umat islam. Marilah kita mengharamkan permusuhan, kebodohan, lemah, malas, sedih, emosional, bakhil, penakut, hasad dan segala perangai-perangai buruk yang lain yang menjauhkan kita dari Allah.

Supaya Allah memberikan kekuatan untuk kita menjunjung kesucian agama islam ini yang menjadi petunjuk sepanjang jalan. Amin!!

p/s..Mingguan Malaysia memaparkan artikel-artikel yang menarik untuk di baca sebagai pembuka minda dan pencerahan pemikiran sesuai dengan motonya, Penyebar Fikiran Rakyat. Marilah kita sama-sama membaca dan berfikir.

1 comment:

Anonymous said...
This comment has been removed by a blog administrator.