www.majalahsains.com

1/30/11

Krisis di Mesir, Malaysia perlu cepat bertindak



Baca berita dari Mesir, kita simpati terhadap penuntut Malaysia di sana. Sama-sama kita berdoa semoga mereka selamat. Ikuti perkembangan warga Malaysia di Mesir melalui laman blog


Kita juga menyeru agar kerajaan segera bertindak untuk menyelamatkan warga Malaysia yang khabarnya berjumlah 8000 lebih di sana. Contohilah negara maju yang lain.

1/21/11

Ini kes rakyat-rakyat yang tertindas...oleh Melayu dan Islam sendiri

Mentang-mentanglah orang ini tiada nama, jawatan dan kekayaan. Inilah nasib Ismail Ariffin a.k.a Lepat Ismail. Sama-samalah kita sokong beliau dengan cara termampu.
Sebarkan melalui blog/fesbuk, etc..etc.




Kronologi kisah brader Lepat Ismail :-

        * Perkahwinan dahulu antara Ismail Arifin (Lepat) dengan Jane Brummit @ Aishah Jane Abdullah mendapat zuriat (seorang anak yang bernama Sunni Sazali yang dilahirkan di Malaysia)
        

        * Februari 1996 – Aishah larikan Sunni ke England kali pertama sebelum Lepat membawa anaknya ke Amsterdam dan kemudian pulang ke Pulau Pinang pada bulan Oktober 1996

        * Pada 1 April 1997, mahkamah berkenaan mengeluarkan perintah membenarkan Aishah bertemu Sunni setiap pagi Sabtu di pekarangan Balai Polis Lebuh Pantai, Georgetown selepas rumah tangga pasangan itu mengalami keretakan

        * 5 Julai 1997 – Sunni dilarikan Aishah buat kali kedua semasa dalam Custody Makhamah Syariah Pulau Pinang dengan menyeberangi sempadan di pintu Bukit Kayu Hitam

        * Kes ini menjadi rumit kerana keluarga Jane Brummit berjaya mendapatkan perintah Mahkamah Crown di Winchester pada Ogos 1997 supaya Ismail Ariffin memulangkan semula Sunni. Jane kemudian pergi ke Malaysia bagi mendapatkan hak penjagaan ke atas Sunni daripada Mahkamah Syariah Pulau Pinang. Kes penjagaan anak itu ditangguh pada bulan Jun 1997.

        * Pada laporan akhbar 18 Mac 2010 (berita Harian), melalui kenyataan Ketua Polis Negara pada masa itu polis tidak pernah menutup kertas siasatan kes bekas isteri pelukis potret, Ismail Ariffin atau Lepat, Aishah Jane Brummit yang melarikan anak mereka, Sunni, ke England, 13 tahun lalu

        * Tiga belas tahun lalu, Aishah melarikan anak hasil perkongsian hidup dengan Lepat, 42, selepas pertemuan dengan anaknya atas perintah Hakim Mahkamah Syariah Pulau Pinang, Othman Ibrahim.

        * Pada 1 April 1997, mahkamah itu mengeluarkan perintah membenarkan Aishah bertemu Sunni, setiap Sabtu di pekarangan Balai Polis Lebuh Pantai, Georgetown. Namun, Aishah mengambil kesempatan itu untuk melarikan Sunni ke England menerusi sempadan negara di Bukit Kayu Hitam.

        * Ketika itu, polis menjalankan siasatan kes berkenaan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan, iaitu culik daripada penjagaan yang sah dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tujuh tahun.



p/s : Kisah selanjutnya boleh di baca di BERITA SEMASA.

1/17/11

Bila diri didatangi ujian..baca dan hayatilah doa ini...


Bukan manusia namanya kalau tidak ditimpa dugaan..setiap dugaan adalah hikmah dari Tuhan untuk menguji akal dan daya usaha hambaNya melepaskan diri dari ujian.

Video di atas adalah salah satu dari 4 kuliah subuh HAMKA tentang 8 perkara ajaran Nabi kita Muhammad S.A.W untuk umat baginda yang ditimpa kesukaran dalam hidup.

Pesanan saya, hayatilah kuliah ini di waktu-waktu yang tenang, selepas solat subuh umpamanya atau sewaktu perjalanan jauh. Selain kuliah ini, dapatkan buku-buku penyubur jiwa karya Buya Hamka seperti Tasawuf Moden, Falsafah Hidup, Lembaga Budi, Tafsir Al-Azhar dan lain-lain. Mudah-mudahan kita diberikan kekuatan di zaman yang semakin mencabar ini.

p/s : sambungan video selanjutnya boleh didengar di SINI. 

1/10/11

Jangan Bakar Novel Interlok


Saya tidak pernah membaca novel Sasterawan Negara Abdullah Hussin yang begitu kecoh di Malaysia sekarang ini akibat ada perkataan 'paria' di dalamnya. Novel ini ditulis lebih 40 tahun yang lalu dan dilaporkan sarat dengan nilai-nilai sejarah Tanah Melayu.
Novel ini khabarnya diangkat menjadi teks Komponen Sastera (KOMSAS) bagi pelajar jurusan sastera. Ia menjadi hangat bila sekumpulan bangsa India yang marah dan membakar novel ini baru-baru ini.

Hati saya menjadi panas menggelegak bila membaca berita buku dibakar. Setahu saya budaya membakar buku ini hanya dilakukan oleh penyamun atau penjenayah di zaman Nazi, dan tentera Monggol yang menyerang Baghdad suatu masa dahulu.

Buku yang baik tidak perlu dibakar. Kalau terlalu gian, bakar sahajalah buku-buku separa lucah seperti Majalah Mangga, URTV, dan lain-lain yang bersepah di pasaran sekarang, bukan novel INTERLOK karya Sasterawan Negara.

Kita ingin mengingatkan perkara ini supaya api perkauman tidak tumbuh subur di Malaysia. Kita juga bimbang Tragedi Kampung Medan akan muncul kembali.

Diharap pihak berkuatkuasa cepat bertindak meredakan keadaan. Untuk ahli politik yang bodoh, isu ini bukan untuk anda. Sila beredar!

1/4/11

Buah Delima pula...

Kalau sebelum ni cerita buah Pisang Kaki, kali ni kita sembang pasal buah delima :-)

Saya tidak tahu khasiat buah delima secara saintifik. Sewaktu di kampung dahulu, ayah saya ada menanam dua batang pokok delima dan sempat juga kami merasai buahnya.
Sekarang sudah tiada lagi.
Menurut orang kampung, air akar delima yang direbus baik untuk mereka yang mengalami cirit birit. Itu sahaja yang saya tahu. Datang ke Montreal, di kedai-kedai banyak pula terjumpa buah ini. Besar dan segar!. Saya semak di internet, rupanya ada juga disebut dalam Al-Quran. Buah delima juga banyak dikaitkan dengan kepercayaan agama-agama lain seperti Buddha, Hindu, Yahudi dan Kristian. 

Baca di blog INI tentang khasiat buah delima. 

Dan Dialah yang menurunkan hujan..Kami keluarkan daripadanya tanaman yang menghijau, Kami keluarkan pula dari tanaman itu butir-butir (buah) yang bergugus-gugus dan dari pohon-pohon tamar (kurma) dari mayang-mayangnya (Kami keluarkan) tandan-tandan buah yang mudah dicapai dan dipetik dan (Kami jadikan) kebun-kebun dari anggur dan zaitun serta buah delima, yang bersamaan (bentuk, rupa dan rasanya) dan yang tidak bersamaan. Perhatikanlah kamu kepada buahnya apabila ia berbuah dan ketika masaknya. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda (yang menunjukkan kekuasaan Kami) bagi orang-orang yang beriman.” – Al-An’am:99

Buah delima memang unik dan sedap. Untuk mereka yang berkesempatan, rasalah nikmat yang dikurniakan Allah di atas muka bumi ini. Memang ajaib ciptaan Tuhan.







1/3/11

Perihal Status Facebook dan Budaya Orang kita

Sekali lagi saya tidak mahu bercakap tentang bangsa lain. Kita hanya mahu berbincang dan berkongsi sesuatu tentang bangsa kita sendiri yang kita kasihi. Kali ini tentang facebook.

Zaman sekarang sekiranya tidak ada akaun facebook, blog atau twitter, kita barangkali akan ditertawakan. Apa sahaja teknologi yang muncul kita dituntut untuk menggunakan secara berhemah. Sukar untuk saya tentukan yang mana berhemah. Bolehjadi yang baik-baik sahaja mungkin. Tidak perlu bercerita atau menulis status di facebook tentang benda remeh temeh.

Satu artikel yang menarik ditulis oleh Dr Saodah Abdul Rahman dari UIA tentang salahguna facebook. Bagus untuk renungan bersama. Saya sendiri insyaallah akan lebih berhati-hati produk ciptaan Mark Zuckerberg ini.

Bacalah dengan teliti artikel di bawah.

Penyalahgunaan Facebook memusnahkan umat Islam


Umat Islam sepatutnya menghargai masa jika mereka ingin membangun dan berjaya dalam kehidupan di dunia ini. Kemudahan teknologi komunikasi jika disalah gunakan akan mengundang pelbagai risiko dan kesan negatif dalam kehidupan umat Islam. Peristiwa perceraian melalui pesanan ringkas telefon bimbit sudah menjadi lumrah suami melafazkan talak kepada isteri. Perkahwinan merupakan satu institusi yang mulia di mana melalui perkahwinan, manusia dapat menyalurkan hubungan kasih sayang secara bermaruah. Adat dan cara umat Islam menyambut hari perkahwinan dengan begitu meriah menunjukkan bahawa hubungan suami isteri merupakan simbol kebahagiaan.

Bagi membina kebahagiaan rumah tangga, tanggung jawab dan peranan suami isteri perlu difahami secara jelas. Jika seorang lelaki mempunyai kewibawaan dan bertanggungjawab, beliau tidak akan melafazkan talak melalui SMS kepada isterinya.
Perceraian merupakan satu perkara diharuskan walaupun dibenci oleh Allah. Apabila wanita dilamar dengan pelbagai adat dan istiadat, maka perceraian juga perlu mengikut adat dan istiadat. Sejauh manakah lelaki Islam dapat menghayati konsep hidup berumah tangga merupakan persoalan yang sering terukir dalam minda wanita masa kini. 

Konteks kehidupan masa kini memerlukan satu reformasi minda di kalangan lelaki dan wanita supaya perubahan zaman dapat menjamin kebahagiaan rumah tangga. Apabila isteri keluar rumah mencari nafkah dan menunaikan tanggungjawab masyarakat dan negara, maka suami sepatutnya merenung dan berfikir betapa penat dan letihnya isteri membantu beliau mencari nafkah kehidupan. Ketika ini, terdetik dalam hati nurani suami bahawa pengorbanan isteri perlu dihargai dengan cara membantu isteri melaksanakan tugas rumah tangga, bukan asyik melayan internet mencari rakan melalui Facebook dan seumpamanya.

Penat dan lelah kerana bekerja tidak memungkinkan wanita menunaikan kehendak naluri suami secara sempurna. Lelaki Islam masa kini sepatutnya melihat perubahan zaman dan konteks kehidupan masyarakat Islam secara rasional, bukannya memaksa isteri akur kepada budaya yang memenatkan dan meletihkan. Dalam konteks kehidupan masyarakat Islam di Malaysia kini, wanita yang bekerja di luar rumah membantu suami mencari nafkah, hidup mereka lebih terbeban berbanding dengan wanita yang menjadi suri rumah tangga sepenuhnya.

Mencari nafkah dan menentukan kesempurnaan hidup berumah tangga merupakan tanggungjawab khusus suami mengikut perspektif Islam. Oleh itu, hak talak diberi kepada lelaki secara mudah berdasarkan kepada beban tanggung jawab mereka terhadap ahli keluarga.

Tetapi hari ini, tugas menentukan nafkah kehidupan keluarga turut dikongsi oleh isteri. Struktur sosial masyarakat Islam dalam negara kini memberi peluang kepada suami berhibur dan menghabiskan masa lapang dengan pelbagai kegiatan menyeronokkan. 

Kecanggihan teknologi komunikasi memberi banyak peluang kepada suami yang tidak bertanggung jawab menghabiskan masa mencari rakan dan teman untuk berceloteh melalui Facebook dan melayari laman web yang menyeronokkan, sedangkan para isteri dengan tenaga yang lemah memaksa diri melayani anak-anak dan menyediakan makanan untuk ahli keluarga.

Facebook juga boleh dianggap sebagai racun jiwa atau kerohanian jika seseorang itu tidak prihatin terhadap masa. Teknologi komunikasi sepatutnya digunakan untuk mendapat maklumat yang boleh membina pemikiran dan ilmu pengetahuan. Malangnya, ramai di kalangan umat Islam masa kini menggunakan teknologi tersebut untuk menghabiskan masa lapang dengan berceloteh dalam Facebook sehingga terlupa tanggungjawab dan tugas sebagai suami atau isteri. 

Seorang lelaki bergelar suami sepatutnya menggunakan masa sebaik mungkin untuk menambah nafkah hidup keluarga dengan melakukan kegiatan yang boleh memberi sumber rezeki. Sikap gemar berceloteh melalui Facebook dan SMS boleh menyebabkan seseorang itu menjadi malas dan terbantut akal fikiran. 

Apabila fikiran tidak didedahkan kepada suasana yang boleh memberi kesedaran tentang tanggungjawab dan amanah maka ia boleh mendorong lelaki menjadi penggemar hiburan melalui teknologi komunikasi. Sikap begini bukan sahaja boleh menyebabkan lelaki menjadi cuai terhadap rumah tangga, malah ia juga menggoncang kebahagiaan rumah tangga.

Jika seorang wanita gemar berceloteh di dalam Facebook dan SMS, beliau juga akan cuai terhadap tugasnya sebagai seorang isteri. Sikap gemar meluahkan perasaan kecewa dan kesunyian di dalam Facebook bukan sahaja boleh menyebabkan rahsia rumah tangga terbongkar tetapi juga mengundang orang yang menangguk di air keruh mengambil kesempatan untuk menghancurkan rumah tangga. Hal ehwal rumah tangga sepatutnya dibincang bersama ahli keluarga kedua belah pihak seperti mana dianjurkan oleh Allah di dalam al-Quran.

Konsep perkahwinan di dalam Islam adalah berasaskan kepada tanggungjawab dan amanah, bukan hanya sekadar untuk menunaikan tuntutan hawa nafsu. Perkahwinan yang tidak berasaskan kepada amanah dan kasih sayang sejati sering kecundang apabila tuntutan hawa nafsu tidak dapat dinikmati sepenuhnya. 

Keresahan jiwa jika tidak dipandu mengikut fitrah ciptaan roh/kerohanian boleh menyebabkan suami atau isteri mencari jalan hidup berunsurkan hedonisme (keseronokan) yang boleh menyebabkan mereka lalai terhadap tugas dan tanggungjawab. Hasilnya, rumah tangga yang dibina di atas dasar cinta yang diwarnai dengan impian indah hancur berkecai dan kasih sayang bertukar menjadi kebencian.
Fitrah ciptaan manusia ialah berkomunikasi dengan masyarakat dan bekerjasama untuk menjayakan kehidupan di dunia dan di akhirat. Realiti kebanyakan umat Islam masa kini dalam negara ini lebih cenderung ke arah yang boleh menyeronokkan diri sehingga terlupa asas dan fitrah kehidupan mereka. Kemudahan komunikasi sepatutnya digunakan untuk menyelami pelbagai ilmu dan pelajaran supaya corak pemikiran umat Islam menjadi lebih terbuka dan matang dalam memahami konteks kehidupan dalam era globalisasi. Hakikatnya, kecanggihan teknologi komunikasi disalah gunakan untuk tujuan keseronokan dan keghairahan.

Facebook juga boleh memberi peluang yang besar kepada penjenayah untuk mengesan mangsanya secara mudah. Setiap maklumat berkaitan dengan mangsa dapat diperoleh dengan mudah. Wanita Islam yang menjadi mangsa kepada pengedar dadah antarabangsa dan penipuan adalah hasil daripada berkenalan dengan orang asing melalui Facebook. 

Facebook sepatutnya digunakan untuk memperkembangkan karier seseorang melalui pertukaran fikiran dalam bidang masing-masing. Di negara barat, masyarakatnya menggunakan Facebook untuk memajukan kehidupan mereka seperti berurusan dalam perniagaan dan seumpamanya. Banyak pergerakan dan organisasi bukan kerajaan menggunakan Facebook untuk menambah ahli persatuan dan menghubungkan persatuan mereka dengan persatuan antarabangsa.

Nampaknya, kemudahan dan teknologi komunikasi yang berkembang di negara ini tidak difahami masyarakat Islam. Mereka lebih cenderung menggunakannya sebagai sumber hiburan sehingga berlaku perpecahan rumah tangga. Ini terjadi akibat daripada kejutan teknologi komunikasi. 

Oleh itu, kesedaran terhadap faedah dan keburukan teknologi komunikasi perlu diperjelaskan kepada masyarakat supaya mereka memahami akibat salah guna teknologi komunikasi.

Dr. Saodah Abd Rahman
Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

12/30/10

Senarai Tulisan 2010

Berikut adalah sedikit sebanyak sumbangan rencana sains popular berbahasa Melayu untuk terbitan tempatan.

Rencana : Pemanasan Global: Sejauh Mana Kita Memahaminya
(Dewan Siswa DBP - Februari)

Rencana : Penjanakuasa Nano
(Dewan Kosmik DBP - Februari )

Rencana : Robot Mikro Dalam Pembuluh Darah
(Dewan Kosmik DBP - Mac)

Rencana : Teknologi Biomimetik
(Dewan Kosmik DBP- Mei)

Rencana : Inovasi Mendominasi Dunia
(Estidotmy Utusan Malaysia-Akademik Sains Malaysia, Januari )

Rencana : F1, Persaingan, Kepantasan dan Kemasyhuran
(Estidotmy Utusan Malaysia-Akademik Sains Malaysia,Februari)

Rencana : Nasib Google di China
(Estidotmy Utusan Malaysia-Akademik Sains Malaysia, April)

Rencana : Rekacipta, Kreativiti dan Inovasi
(Estidotmy Utusan Malaysia-Akademik Sains Malaysia, Disember)

Untuk terbitan secara online di MajalahSains.Com dan tidak mendapat sebarang bayaran atau saguhati. Hanya untuk suka-suka dan mengasah bakat. Berikut adalah senarainya.

Rencana Fizik: Kenapa Api Padam Bila Terkena Air
(MajalahSains.Com, Mac)

Rencana Tokoh : Werner Heisenberg : (1901 -1976)
(MajalahSains.Com, Mac)

Rencana Teknologi : Teknologi Nuklear dan Malapetaka Bom Atom
(MajalahSains.Com, Ogos)

Rencana Tenaga : Tenaga dan Masa Depan
(MajalahSains.Com, Ogos)

Rencana Tokoh :Andre Geim dan Konstantin Novoselov : Pemenang Hadiah Nobel Fizik 2010
(MajalahSains.Com, Oktober)


Masih jauh dari sasaran. Usaha perlu dilipatgandakan. Dan saya masih bersemangat, Insyaallah. Jutaan terima kasih juga kepada penyumbang artikel dan rencana untuk MajalahSains.Com. Pening memikirkan insentif untuk mereka yang menyumbang.

Selamat Datang Tahun Baru 2011.
Cheers!


Verdun, Montreal
Winter 2010

12/25/10

Kedai buku, Heseg Foundation dan Yahudi



Satu perkara yang saya akui sangat menyeronokkan berada di Montreal ialah mengunjungi gedung buku dan kedai-kedai buku kecil yang menjual buku terpakai. Di sana saya boleh berada berjam-jam membelek helaian-helaian buku serta bergerak dari satu rak ke satu rak menyelongkar timbunan buku dan majalah. Kalau ada yang berkenan, terus diambil tanpa berfikir panjang. Jika tidak, cukup dengan hanya menghabiskan masa menghilangkan gelora nafsu membelek dan membelai buku.

Pernah saya terbaca satu status facebook dari seorang pelajar Malaysia dari Ottawa yang berkunjung ke Montreal semasa cuti yang berbunyi ' antara tarikan utama Montreal ialah deretan kedai-kedai buku terpakai'.


Entry ini bukan untuk bercerita tentang kedai buku terpakai, tetapa serba sedikit cerita tentang dua kedai buku tersohor di Kanada.

Ada dua rangkaian kedai buku terbesar di Kanada yang menjual buku Inggeris dan Perancis iaitu Indigo Books and Music (Indigo Livres Music and Cafe) dan Chapters. Pada tahun 2001, rangkaian Chapters diambil alih oleh Indigo selepas keduanya bergabung dan akhirnya dikendalikan oleh Indigo Books and Music. Walaubagaimanapun, Chapters dan Indigo tetap mengekalkan logo asalnya seperti gambar di bawah.



Baru-baru ini saya mendapat maklumat dari satu NGO antizionis (bukan Islam) yang menyeru supaya pelanggan Indigo memboikot rangkaian kedai buku tersebut. Ini kerana CEO Indigo merangkap pemiliknya iaitu Heather Reisman merupakan seorang Yahudi yang menyokong penubuhan negara Israel serta gerakan Zionis di sana. Antara aktiviti tahunan Indigo melalui Heseg Foundation kelolaan Reisman dan suaminya Gerry Schwartz ialah menghantar berjuta-juta dolar US hasil keuntungan perniagaan ke Israel. Bantuan tersebut digunakan untuk kebajikan tentera Israel, IDF di sana. Selain itu, ia juga digunakan untuk merekrut kaum Yahudi bukan berasal dari Israel untuk berkhidmat dengan Israel Defence Forces.

Berdasarkan maklumat yang diperolehi, tidak hairanlah buku-buku tentang Perang Dunia ke-II dan kisah-kisah kesengsaraan bangsa Yahudi yang tertindas semasa pemerintahan Nazi sangat mudah diperolehi dan selalunya dijual dengan harga murah. Walaubagaimanapun buku-buku seperti Mein Kempf serta kisah-kisah Hitler dan kekuatan tentera Nazi tidak dijual di Indigo dan Chapters.

Saya sendiri ketika mengambil beberapa foto buku yang menarik, sebelum dibeli secara online yang jauh lebih murah, pernah ditahan oleh seorang sekuriti menyuruh saya memadamkan gambar-gambar tersebut sambil diperiksa olehnya. Terkejut juga dibuatnya!

Akhirnya saya membuat kesimpulan untuk tidak membeli apa jua produk yang ditawarkan di rangkaian kedai buku tersebut melainkan ianya sukar untuk diperolehi di tempat lain.
Menurut fakta, Yahudi adalah komuniti kedua terbesar di Kanada dan 2.8% populasinya berada di Montreal. Sejarah Yahudi di Montreal juga amat menarik. Tentang Synagogue, Kosher food, Jewish arts, rrganisasi, pakaian juga kecantikan gadis-gadis Yahudi.  Nanti saya bercerita pula di entry lain.

Adieue!

12/19/10

Budaya Sembang (Kencang) & Daya Pengaruh..

Saya telah lama perhatikan hal ini. Di Malaysia, kaum Cina adalah antara golongan yang apabila bercakap sesama mereka, nada suara mereka tinggi dan kuat. loud n clear cakap orang putih. Di mana-mana sahaja kita dapat perhatikan. Di pasar, dalam komuter LRT, bas, dewan kuliah dan di jalanan. Kadang-kadang boleh menimbulkan rasa tidak senang di kalangan orang lain (Melayu biasanya). Sifat ini jarang kelihatan pada orang Melayu dan bangsa lain. Ada, tetapi amat sedikit. Dan yang sedikit ini menjadi individu yang berpengaruh pula. Puan Ainon Mohd misalnya seorang yang sangat berpengaruh. Bila bercakap dan bertentang mata (yang garang dan bersinar) dengan beliau, kita boleh kalah. Hishamuddin Rais, Sukarno, Hamka, Datuk Maznah Hamid (Iron Lady) dan lain-lain misalnya mempunyai pengaruh tersendiri.
Sembang kuat kedai kopi atau 'polis pencen' kita tidak ambil kira.

Saya pernah terbaca bahawa kaum Melayu dikatakan satu kaum yang sangat lembut dan sopan santun. Pernah diungkapkan dalam sajak berjudul Melayu oleh Usman Awang.


Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan.


Melayu itu berani jika bersalah
Kecut takut kerana benar,
Janji simpan di perut
Selalu pecah di mulut,
Biar mati adat
Jangan mati anak.


Melayu di tanah Semenanjung luas maknanya:
Jawa itu Melayu, Bugis itu Melayu
Banjar juga disebut Melayu,
Minangkabau memang Melayu,
Keturunan Acheh adalah Melayu,
Jakun dan Sakai asli Melayu,
Arab dan Pakistani, semua Melayu
Mamak dan Malbari serap ke Melayu
Malah mua'alaf bertakrif Melayu
(Setelah disunat anunya itu)


Dalam sejarahnya
Melayu itu pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah zaman
Begitu luas daerah sempadan
Sayangnya kini segala kehilangan


Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara


Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal
tanah sebidang mudah terjual


Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba.
Berbuahlah pisang tiga kali
Melayu itu masih bermimpi


Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri.
Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak.


Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga
Musuh dicari ke lubang cacing
Tak dapat tanduk telinga dijinjing
Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan


Berdamai cara Melayu indah sekali
Silaturrahim hati yang murni
Maaf diungkap senantiasa bersahut
Tangan diulur sentiasa bersambut
Luka pun tidak lagi berparut


Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
Segala yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:
"Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan
Anak di pangkuan mati kebuluran"


Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu
Masihkan tunduk tersipu-sipu?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan.


Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara Merdeka "

Saya kini ditakdirkan berada di negeri yang sangat jauh dan begitu asing sekali suasana persekitarannya. Di sini manusianya pelbagai. Sangat majmuk! Selain Quebeois (panggilan untuk orang Quebec), ada warga Arab, India, Cina, Pakistan, Bangladesh, Afrika dan macam-macam jenis bangsa.

Saya suka memerhatikan cara-cara komunikasi penduduk di sini. Yang menguasai perniagaan, kaum Cina misalnya seperti biasa, bercakap dengan nada yang kuat dan terang. Begitu juga Arab dan yang passtinya Quebecois (mungkin sebab ini negerinya, di tempat lain kita tidak pasti).

Dari pemerhatian, boleh dikatakan bercakap dengan nada yang kuat adalah satu petunjuk keyakinan diri dan daya pengaruh yang hebat yang ada pada diri si penutur. Dr. Ann Wan Seng dalam satu tulisannya menyatakan bahawa bagi orang Cina, bercakap kuat adalah suatu simbol kekuasaan. Dan masyarakat Cina percaya akan hal ini. Jadi mereka yang berani, yakin dan memiliki sifat untuk menguasai sesuatu akan dapat maju ke hadapan. Jadi kita tidak hairan dengan bangsa Cina. Di mana-mana sahaja mereka tinggal, jelas mereka menguasai persekitaran di mana mereka tinggal. Banyak yang kita boleh pelajari dari bangsa ini.

Berbalik pula apa yang ada dalam masyarakat Melayu. Di sebalik kesopanan dan kelembutan yang ada pada kita, sebenarnya menurut kata orang, ada 'harimau tidur dalam diri' yang perlu dibangunkan untuk kita menjadi yakin diri dan berani. Melayu suatu masa dahulu adalah suatu bangsa pedagang, pelaut (pelayar) dan pencipta yang hebat. Lihat sahajalah kapal-kapal dan senibina zaman dahulu kala. Melawatlah muzium-muzium dan tempat bersejarah. Sehingga sekarang ia masih dikaji orang lain. Banyak kehebatan bangsa kita yang perlu dikembalikan, termasuk seni bersembang dan berbual.

Bab berdagang dan berniaga, orang Melayu Melaka suatu masa dahulu mendahului orang lain. Sampai ke China dan Arab membawa dagangan. Malah yang mengelilingi dunia pun adalah orang Melayu (Panglima Awang) yang belayar bersama Ferdinnad Magellan.
Hebat bukan!

                                      ....................PAUSE..................

Buku Sembang Kencang yang saya pesan dan baca di bawah bukanlah buku seni atau kaedah untuk bercakap kencang atau kuat. Ia hanyalah sebuah buku humor yang ditulis oleh seorang jurutera muda berkeluarga dan mempunyai dua orang anak yang comel lote. Tinggal di Tanjung Malim, berulang alik ke Kuala Lumpur bekerja di bangunan KLCC. (sewaktu buku ini ditulis).

Sembang Kencang juga adalah himpunan tulisan-tulisan lawak yang diambil dari blog penulis sendiri yang dinamakan sebagai Sembang Kencang. Jadi ia tidak ada kena mengena dengan apa yang saya ceritakan perihal budaya borak atau bercakap kuat di atas. Cuma tajuk buku ini dapat menggambarkan bahawa orang Melayu, perlu bersembang secara kuat dan terang (sekurang-kurangnya ada pada tajuk buku).  Malu-malu, sifat tidak yakin diri, lemah pengetahuan, malas membaca dan berfikir, mudah tewas dengan keadaan, banyak berserah nasib dan takdir perlu dibuang jauh-jauh.

Kandungan S.K penuh dengan humor-humor kekeluargaan, pengalaman sewaktu zaman kanak-kanak, belajar dan bekerja, hal-hal semasa, pekerjaan dan sekitarnya. Saya kira, kalau saudara Firdaus Ahmad dilantik sebagai kolumnis mana-mana majalah humor di Malaysia, ia boleh menaikkan rating dan jualan majalah tersebut. Tambahan pula penulis blog Sembang Kencang ini mempunyai ramai peminat dan pengikut tersendiri. Khabarnya juga, semakin ramai remaja dan orang-orang muda tidak lagi segan membawa dan membaca buku di mana-mana sahaja dengan munculnya buku-buku 'underground' seperti ini. Abaikan dahulu katakunci 'kualti' untuk membudayakan usaha membaca.

p/s : buku ini dicetak dan diedarkan secara indie. Jadi jangan berharap ia berada di kedai-kedai buku mainstream. Kalau berminat boleh berhubung terus dengan penulis. Dan S.K volume II perlu di tulis segera.

Verdun, 
Montreal
Winter 2010

12/13/10

Enaknya Pisang Kaki

1. Menarik berada di negara empat musim ialah kepelbagaian buah-buahan dan sayuran segar yang boleh diperolehi sepanjang masa di mana-mana sahaja. Di Malaysia, kita berbangga kerana memiliki tanah tinggi Cameron Highlands yang merupakan sumber utama bekalan sayuran segar untuk pasaran tempatan selain yang diimport.

2. Kali ini saya ingin berkongsi pengalaman mencuba buah Pisang Kaki (Persimmon). Selama 3 tahun berada di sini, baru tahun ini (2010) saya tergerak hati mahu mencuba buah yang seakan-akan buah asam gelugur atau tomato. (Di pasar Pekan Kuala Pilah, buah asam gelugur banyak dijual).

4.Terus terang inilah pertama kali saya jumpa buah ini. Namanya pun pelik. Sebelum beli, saya tilik namanya tertulis persimmon.Balik ke rumah, dengan bantuan google nama Pisang Kaki ditemui dalam laman web Dr Mahathir.


Petikan blog Che Det,

Apabila saya katakan yang Israel menguasai dunia secara proksi, media dan Kerajaan Amerika mengutuk saya. Tetapi hakikatnya ialah hanya calon yang direstui Israel sahaja yang boleh menang pilihanraya di Amerika. Tunggu sahajalah pendirian Presiden baru Amerika.
Sementara itu kita harus sedar secara kecil-kecilan kita juga bantu Israel. Buah pisang kaki (persimmon) dari Israel ada dijual di pasaraya Kuala Lumpur.

Singapura adalah saluran bagi Israel menembusi pasaran Malaysia.



5.Buah pisang kaki rasanya sangat enak dan tidak terlalu manis. Tidak berbau dan yang belum masak kelat rasanya. Sukar untuk saya ceritakan keenakannya melalui tulisan. Melalui eksperesi wajah, boleh kot :-). Menurut sumber dari laman web, ia sangat baik untuk kesihatan. (sebenarnya apa sahaja buah-buahan segar, ia sangat baik untuk kesihatan).

Lebih menarik, baru-baru ini di facebook seorang pensyarah UKM berkongsi satu 'link' bagaimana untuk menanam pisang kaki.


6.Puan Ainon (Pengerus PTS), juga menulis tentang keenakan Pisang Kaki. Saya mula memasang angan-angan untuk menanam beberapa batang pokok Pisang Kaki ini bila pulang ke Malaysia nanti.  :-)








  
p/s : khabarnya buah Pisang Kaki jenama Sharon (dari Israel) banyak dijual sekitar pasaraya di Kuala Lumpur

12/10/10

Hah!..Bukan Bulan Muharram??

Saya agak terkejut bila membaca tulisan terbaru Dr. Asri atau atau Dr. Maza (panggilan glamor beliau) tentang bulan bulan Hijrahnya Nabi Muhammad S.A.W.

Dalam tulisan tersebut, beliau menegaskan Muharram bukanlah bulan Rasul Junjungan kita Muhammad S.A.W berhijrah. Malah banyak pendapat yang diutarakan beliau dalam menjelaskan kekeliruan tersebut.

Selama ini kita difahamkan Muharram adalah bulan Nabi berhijrah dari Mekah ke Madinah. Malah lagu-lagu tentang hijrah sering dikumandangkan saban hari pada bulan Muharram.
Antara bait-bait lirik lagu hijrah tersebut ialah,

Satu Muharram detik permulaan,
Perkiraan tahun Islam hijrah
Perpindahan Nabi dan Umat Islam
Dari kota Mekah ke Kota Madinah.

Ustaz-ustaz di sekolah juga mengajar kita tentang tarikh penting ini. Entah berapa juta murid (termasuk Tukang Catat) yang mendengar ajaran guru yakin dengan tarikh peristiwa bersejarah ini.

Maklumlah, bukan semua orang gemar membaca sejarah.

Jadi dengan tulisan terbaru Dr. MAZA ini, moga dapat kiranya ia membuka mata semua pihak termasuk para autoriti (badan bertanggungjawab) hal ehwal agama Islam di Malaysia khususnya, supaya lebih berhati-hati dalam menyebarkan sesuatu maklumat.

Alhamdulilah, zaman ini zaman internet. Semua maklumat terbaru boleh didapati di hujung jari sahaja.

Kita juga patut berterima kasih kepada Dr Asri walaupun ramai yang menuduhnya WAHABI, sesat, pembawa tajdid karut dan sebagainya. Mudah-mudahan dakwah beliau sampai kepada orang ramai.

Ini pun dijangka akan ada golongan yang menentang maklumat yang disampaikan oleh Dr Asri. Kita tunggu dan lihat.

Sumber dari lama web Dr. MAZA

p/s : Salam Tahun Baru 1432 Bulan Islam

12/6/10

Masjid Al-Aqsa akan runtuh

Ini laporan dari akhbar Kosmo


http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1206&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm

Ini berita serius yang patut diberi perhatian oleh semua umat islam. Hentikanlah berdebat soal kanak-kanak tak bersunat tak boleh masuk saf dewasa, soal sunnah dan syiah, pertelingkahan mazhab dan benda-benda remeh yang lain.

11/12/10

Wajah Politik

Walau buruk dan hodohnya wajah politik tanahair kita dengan pelbagai kotoran yang dijelmakan oleh ahli-ahli dan para pemimpinnya, saya masih percaya bahawa politik itu sangat penting.

Dari blog Faisal Tehrani ada dicatatkan

* Seorang teman saya mengeluh, 'Bilalah gamaknya kita dapat seorang pemimpin yang bukan dari kalangan bangsawan dan kelas atasan supaya dia benar-benar memahami apa yang harus kita lalui setiap hari?'
 

10/29/10

Siti Balqis Mengajar Melayu Supaya Jangan Jadi Bodoh

Sebelum ini saya ada tulis tentang kisah Jin dan Hantu di Minda Melayu yang masih belum dapat dipisahkan. Di facebook saya turut memprovokasi friendlist di sana tentang masalah kepercayaan dan kebodohan orang Melayu terhadap benda-benda khurafat. Isunya bermula apabila akhbar galak melaporkan kejadian gadis di Daerah Besut yang hilang kononnya dilarikan jin merata tempat.

Seperti biasa apabila provokasi dilakukan untuk menggerakkan minda melayu, maka akan adalah yang terus menuduh kenapa asyik Melayu yang dipersalahkan. Jawapan saya mudah saja!.Saya sayangkan bangsa dan agama sendiri. Bangsa lain sudah tentu mereka mempunyai jaguh-jaguh mereka untuk meningkatkan kefahaman bangsa mereka sendiri. Jadi atas rasa tanggungjawab, lebih baik kita menegur. Tidak perlu terasa apabila bangsa sendiri di berikan sedikit teguran.

Kisah gadis hilang dilarikan hantu dan jin sudah tamat. Akhbar melaporkan kes sudah ditutup apabila polis berjaya membuktikan bahawa ada masalah lain (masalah keluarga) yang membelenggu gadis tersebut sehingga menyebabkannya melarikan diri dan mungkin juga dia menghidap masalah psikologi. Dua minggu sebelum ini, melalui telefon keluarga saya di kampung mengesahkan hal ini. (Disebabkan saya berasal dari daerah yang sama, rasa terpanggil juga untuk mengetahui hal ini lebih lanjut ).

Petikan akhbar di bawah jelas membuktikan bahawa minda bangsa kita masih lagi banyak dengan khurafat dan tahyul yang tidak berasas sama sekali. Dan kebanyakan mereka yang terlibat sudah tertipu dengan bomoh, rawatan secara 'Islam' (yang sebenarnya tidak islamik sama sekali), ilmu ghaib, kejadian aneh dan menyesatkan serta khayalan yang bukan-bukan.

Nah, melalui kisah Balqis ini, kita berharap agar bangsa dan agama kita yang suci tidak dicemari dengan kebodohan yang akhirnya memalukan kita sendiri.

Terima kasih pihak polis yang menamatkan kes ini.


"Balqis beritahu dia tinggal bersama ibu saudaranya selepas ibunya meninggal dunia dalam kemalangan November tahun lalu. Dia turut beritahu rumahnya besar dan ada tujuh bilik lengkap dengan pembantu rumah dan kolam renang," katanya.

Ramlah berkata, pembohongan Siti Balqis terbongkar apabila anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jelebu datang ke rumahnya, kelmarin, berikutan SMS diterima ibu Siti Balqis menggunakan nombor telefon yang didaftarkan atas nama Nurwaniza.

Beliau berkata, ketika menyelongkar beg pakaian Siti Balqis, mereka menemui lebih 20 kad sim yang masih aktif, sejumlah wang, beberapa kad ATM dan sebuah kotak kecil berisi 10 batu delima dalam kain kuning."


Rujuk di sini untuk artikel penuh 

10/21/10

Tiga Buku di Musim Luruh

"Buku dan bacaan yang baik adalah makanan rohani. Buku memperkayakan akal budi serta mempengaruhi kehidupan"

Ini kata bijak pandai di luar sana, dan ya, saya akui!

Ok, saya tidak mahu berfalsafah. Untuk saya, tanpa buku, hidup sangat membosankan.

Baru-baru ini saya memesan 3 buah buku dari Malaysia. Dari UjanaIlmu, sebuah kedai buku online milik penulis wanita terkenal tanahair Nisah Haron dan suami beliau, Encik Shukri.

Buku pertama ialah mengenai Hakcipta.
Buku ini penting untuk saya untuk memahami selok belok hakcipta dalam penulisan. Saya kini sedang menumpukan usaha untuk memantapkan laman web MajalahSains.Com. Di laman ini, beratus-ratus tulisan dan rencana sains & teknologi berbahasa Melayu dimuatkan hasil sumbangan penulis sains Malaysia. Jadi buku karya Nisah Haron ini, menjadi kitab rujukan utama untuk saya fahami isu-isu hakcipta. Persembahan buku ini ringkas dan bersahaja. Namun isinya padat. Ditambah pula dengan lampiran Akta Hakcipta 1987 di bahagian akhir, menjadikan buku ini penuh informasi. Selain itu, ia juga diselang seli dengan ilustrasi-ilustrasi menarik sebagai hiburan ringan. Dengan latarbelakang pendidikan bidang undang-undang, Nisah Haron bagi saya memang seorang penulis yang tepat untuk menulis tentang isu dan undang-undang HakCipta.


Buku kedua ialah himpunan tulisan bekas mufti Perlis yang terkenal iaitu Dr. Mohd Asri Zainul Abidin. Menarik tentng buku ini ialah, ia diperkemaskan dengan edisi baru yang memuatkan lebih banyak rencana berbanding versi pertama. Seperti yag kita tahu, tulisan beliau banyak mencetuskan gelombang pemikiran baru dalam masyarakat Malaysia. Walaupun banyak kontroversi yang timbul namun Dr Asri tetap relevan dan teguh menyebarkan kebenaran dan membasuh fikiran rakyat Malaysia tentang cara hidup beragama.


Buku ketiga merupakan karya klasik ulamak sanjungan umat, Haji Abdul Malik Karim Amrullah (HAMKA), berjudul Tasawuf Moden. Tasawuf banyak dipandang orang sebagai ilmu yang sukar dan payah dihadam oleh orang-orang awam termasuk saya sendiri pada awalnya. Namun HAMKA dengan segala kebijaksanaan beliau, berjaya mengubah tanggapan orang ramai tentang ilmu tasawuf dengan kelahiran buku beliau Tasawuf Moden yang diterbitkan pertama kali dalam bentuk buku pada tahun 1939 (40 tahun sebelum Tukang Catat dilahirkan). Lama sudah! Namun masih ada yang belum mengenali tokoh Muhammadiah terkenal kelahiran Sumatera ini. Sungguh menyedihkan!

Menarik tentang Tasawuf Moden ialah, ia menjadi ubat mujarab peneguh jiwa kepada sesiapa sahaja yang membacanya. Sudah kita maklum, bahawa hidup ini ada pasang surutnya. Di waktu kelam, payah cahaya ilahi menembus hati, maka Tasawuf Moden lah yang menjadi peneman, selain Falsafah Hidup dan puluhan karya HAMKA yang lain. 

Seperti kebiasaan dalam karya-karya HAMKA, tulisan beliau tepat menembusi hati. Penanya tajam dan tepat ke sasaran.


Buku-buku ini menjadi teman saya sepanjang musim luruh, sementara menanti musim sejuk yang mencucuk tidak lama lagi.

10/16/10

Pabila Mengenang Dosa

Banyak cara untuk kita insaf dengan kesilapan-kesilapan yang kita lakukan sepanjang meniti laluan hidup. Bertaubat, menyesali kesilapan dan berhenti mengulangi dosa itu sudah tentu menjadi cita-cita setiap manusia berakal. Ia juga adalah anjuran Islam, agama yang kita yakini. Melalui lirik lagu yang baik juga kadang-kadang kita boleh menemui kedamaian. Perhatikan bait-bait lirik lagu dendangan M.Nasir berikut:-



Di Jalan Sesat  -  M. Nasir
.
Apakah takdir mimpi ini
Mendatang berulang kali
Berdarah penuh di tanah
Sedang tangan menungkat langit
.
Apakah yang ku perjuangkan
Apakah yang dipertahan
Apakah mesti aku jadi pahlawan
.
Oh Tuhan
Tidaklah aku layak
Untuk SyurgaMu
Namun aku tak berdaya
Menahan panas NerakaMu
.
Curiga di mata orang
Bagai mentari rembang
Bagaikan aku berdosa
Pada siapa saja
.
Sedang Tuhan di mana-mana
Melihat semua dosa
Dalam serata usia
.
Walau ditelan Segitiga Bermuda
Selalu ku mengulangi
Dosa yang telah ku buang
Diikuti kembali
.
Mengapa begini
Mengapa begini
.
Sedang Tuhan tahu sesiapa
Untuk Neraka untuk Syurga
Aku tak terpaksa memilih Syurga
Demi pengertian pada hukum alam
Dan sesungguhnya aku cinta padaMu Tuhan
Walaupun sesat jalan.

~Verdun~
Montreal

10/15/10

Hantu dan Jin di minda Melayu


NORIZAN menunjukkan batu permata dan seketul batu besar yang ditemui terjatuh di dalam rumahnya, semalam.
Laporan Berita Harian (http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Balqis_terbang_/Article)



Seminggu dua ini di daerah kelahiran saya di Besut Terengganu gempar dengan laporan akhbar seorang gadis tiba-tiba 'ghaib' dari rumah dilarikan jin. Dari awal kemunculan cerita ini, hati dan fikiran saya terus menyatakan bahawa ini adalah suatu bentuk kebodohan yang masih dipercayai sungguh-sungguh oleh orang-orang Melayu yang rata-ratanya mengaku beragama Islam.

Sebenarnya kisah-kisah aneh dan khurafat sebegini sudah begitu lama bermain di minda Melayu ditambah pula dengan publisiti meluas oleh akhbar tabloid, akhbar arus perdana dan majalah-majalah tahyul untuk melariskan jualan akhbar mereka. Yang pelik dan jahat, semuanya bacaan berbahasa Melayu. Tidak ada laporan sebegini luas ditulis dalam bahasa Inggeris. (mungkin juga bahasa-bahasa lain )

Tidak dinafikan bahawa makhluk halus seperti jin, syaitan dan iblis ini wujud. Malah Al-Quran sendiri telah mengesahkan kewujudan mereka. Kewujudan jin dan syaitan adalah untuk membuktikan kekuasaan Allah dan untuk menguji iman manusia. Namun kewujudan jin dan syaitan ini telah disalah anggap oleh sebahagian orang Islam (akibat salah faham agama), sehingga boleh melupakan kehebatan dan kekuasaan Allah.

Maka dari hari ke hari, dari mulut ke mulut, muncullah cerita-cerita yang tidak masuk akal seperti 'ghaib', 'dirasuk', 'terbang dibawa hantu', 'disorok hantu', 'masuk ke alam bunian', 'histeria' dan macam-macam keanehan yang lain. Justeru, semakin banyaklah aktiviti-aktiviti pelik seperti 'merawat' bangunan atau kediaman yang kononnya bertapak di atas perkampungan jin, kaedah dan rawatan membuang makhluk halus yang kemudiannya disandarkan kepada Islam untuk mengelakkan dituduh khurafat. Kaedah-kaedahnya pula kelihatan pelik. 'Membawa keluar jin dan makhluk halus menggunakan bas, memasukkannya di dalam botol untuk dibuang ke laut, malah ada yang lebih aneh dibuat pameran hantu-hantu yang dapat ditangkap seperti yang dipamerkan di Muzium Negara beberapa tahun yang lalu melalui Pameran Hantu dan Makhluk Halus, dan dikenakan tiket pula kepada pengunjung. Memang jelas suatu pembohongan!

Oleh yang demikian, sebagai umat Islam yang meyakini bahawa Allah adalah Tuhan sekelian makhluk yang mempunyai 99 nama-nama yang Agung dan Nabi Muhammad sebagai PesuruhNya, marilah kita MEMBUANG sebarang kepercayaan karut tahyul tentang hantu syaitan yang boleh mematikan akal dan merosakkan iman. Yakinlah kita bahawa tiada yang lain selain Allah yang berkuasa ke atas makhlukNya. Bukan hantu syaitan, jin dan bunian seperti yang ada dalam minda Melayu yang mengaku Islam.

p/s : Saya yakin suatu hari nanti kebenaran akan muncul dan pembohongan serta kebodohan melalui cerita 'gadis ghaib' di atas akan terserlah.

9/15/10

Perihal Ranking Universiti



QS World University Ranking untuk tahun 2010 telah diumumkan. Seperti kebiasaan, universiti-universiti di Malaysia masih belum tersenarai dalam top 200 atau top 100 universiti terbaik di dunia. Ramai warga akademik tidak mempedulikan sistem ranking ini. Malah tidak kurang juga sebilangannya mengkritik sistem penarafan yang digunakan. Antara kritikan yang terkenal ialah dari Naib Canselor USM dan anda boleh baca di SINI dan juga di SINI. Dari UKM boleh kita baca di SINI. Rencana-rencana ini ditulis bagi mengulas ranking yang dikeluarkan untuk tahun 2009. Kita masih belum menemui banyak kritikan tentang penarafan atau ranking ini untuk tahun 2010 dari ahli akademik tempatan kecuali satu dari Prof Zakri Abdul Hamid. Kalau bukan dari golongan akademik, saya pasti ia banyak.

Dari segi teknikal sistem penilaian penarafan yang digunakan, kebanyakan dari kita jarang mengambil peduli, kecuali golongan yang terlibat secara lansung atau ahli akademik yang menelitinya. Bagi masyarakat awam, apabila ranking dikeluarkan secara automatik minda mereka akan mentafsirkan sesuatu. Kalau dilihat dari senarai yang dikeluarkan, sudah tentu orang awam akan melihat universiti tempatan masih berada di takuk lama. Kemudian pencapaian universiti tempatan akan dibandingkan pula dengan universiti di negara-negara jiran seperti Singapura dan Thailand atau pun Indonesia yang kadangkala mengkagumkan.

Penting atau tidak ranking universiti ini bagi saya bergantung kepada siapa yang melihatnya. Untuk orang awam, ya sudah tentu ia sangat penting. Terutamanya untuk melihat pencapaian dan kecemerlangan akademik yang ditadbir urus oleh warga tempatan yang majoritinya Melayu dan bumiputera. Selain itu, ia menjadi pilihan utama kepada bakal-bakal pelajar terutamanya ibubapa yang ingin menghantar anak mereka mendapat pendidikan tinggi terbaik.

Untuk golongan tertentu (ahli akademik & pentadbiran universiti) mungkin ya mungkin tidak. YA, sekiranya universiti mereka mendapat kedudukan yang agak baik. Ini terjadi ketika UKM berada di kedudukan terbaik di kalangan 200 universiti dunia pada tahun 2006 dahulu. Banyak usaha dan promosi untuk menempatkan UKM di mata dunia. Agenda pengantarabangsaan Universiti menjadi salah satu misi penting dalam Syarahan Naib Canselor pada tahun 2008 yang lalu. TIDAK sekiranya, perjuangan untuk menempatkan diri di kalangan terbaik masih belum membuahkan hasil. Lihat sahaja kritikan-kritikan yang dilampirkan dalam link di atas.

Bagi saya, ranking ini bukanlah satu agenda maha penting untuk dikejar oleh universiti. Universiti perlu kembali kepada tradisi ilmiah, mengembangkan ilmu baru, menerbitkan buku dan jurnal dan mengembalikan ilmu tersebut kepada masyarakat. Pensyarah pula perlu insaf bahawa, menjadi pensyarah bukanlah tiket untuk bereksperimen dengan duit dana penyelidikan. Ia menjadi tanggungjawab besar untuk mengembalikan hasil penyelidikan tersebut ke dalam masyarakat baik dari segi pulangan dalam bentuk intangible ( buah fikiran, ilmu, gagasan dan lain-lain) atau pun pulangan berbentuk tangible ( ekonomi, industri dan sebagainya).

p/s : Ini komen peribadi tentang ranking dari seorang pekerja (bukan akademik) di Universiti awam tempatan.

9/9/10

Selamat Hari Raya Aidilfitri


Salam Eid Mubarak, Maaf lahir dan batin sekiranya ada sebarang kesalahan dan kesilapan dalam tulisan, perbuatan mahupun pertuturan.

Mari kita meneruskan tekad untuk menghapuskan taklid buta, seterusnya mencari kebenaran, menghindari fikiran-fikiran lama dan jumud serta kembali kepada pokok ajaran agama.

Salaim aidilfitri, maaf zahir dan batin dari kami di Montreal, Kanada.

~Verdun~
1 Syawal 1431 Hijrah,
10 September 2010

9/3/10

Keterangan Lailatul Qadar menurut tafsir Al-Azhar - HAMKA

Tafsir Al-Quran terlalu banyak. Di dalam tafsir Al-Azhar sendiri, Hamka menyenaraikan sehingga lebih seratus buah tafsir AL-Quran termasuk tafsir di kalangan penganut fahaman Syiah.

Bagi pentafsir dan pengkaji Al-Quran, wajarlah mereka membelek keseluruhan tafsir untuk mendalami ilmu Al-Quran. Tetapi bagi orang kebanyakan termasuk diri Tukang Catat ini, saya senang sekali dengan tafsir Al-Azhar karangan Buya Hamka. Huraiannya sangat mudah untuk difahami oleh orang awam di samping rujukan dan keterangan yang pelbagai dan lengkap di dalamnya. Hamka sendiri dalam satu karangan beliau, pernah menyatakan kurang lebih berbunyi,


"Untuk menyampaikan ilmu yang berat, fahamilah latarbelakang para pendengar. Permudahkanlah kefahaman mereka. Jangan diberatkan lagi pemikiran mereka dengan sesuatu yang sukar".

Sejarah penulisan tafsir ini juga sangat menarik perhatian saya. Sejak dari tahun 1995 lagi saya cuba membaca dan berkenalan dengan sosok yang memiliki nama singkatan bagi Haji Abdul Malik Karim Amrullah atau HAMKA, seorang ulama melayu nusantara yang berasal dari Sumatera Indonesia. Al marhum merupakan seorang ulama' yang teruji dengan pelbagai dugaan semasa berjuang menuntut kemerdekaan Indonesia dan juga dalam usaha mengembangkan dakwah.

Pada tahun 2008, dengan sedikit rezeki yang dianugerahkan Allah, saya berkesempatan memiliki keseluruhan jumlah tafsir Al-Azhar 30 Juzuk dari sebuah kedai buku  di Kompleks PKNS Bangi.

Apa yang ingin saya kongsikan di penghujung ramadhan ini ialah suatu surah yang masyhur dibacakan sebagai surah lazim dalam solat sunat terawih di hujung ramadhan ini iaitu Surah Al-Qadar. Di bawah ini saya salin kembali terjemahan surah ini menurut Tafsir Al-Azhar.

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani


1- Sesungguhnya telah Kami turunkan dia pada malam 'kemuliaan'.


2- Dan sudahkah engkau tahu, apakah dia malam 'kemuliaan' itu?


3- Malam Kemuliaan itu lebih utama daripada 1000 bulan


4- Turun Malaikat dan Roh pada malam itu, dengan izin Tuhan mereka, membawa pokok-pokok dari tiap-tiap perintah


5- Sejahteralah ia sehingga terbit fajar


HAMKA dalam huraian beliau mengenai surah Al Qadar lebih cenderung menyatakan bahawa Lailatul Qadar adalah malam turunnya wahyu pertama kepada Nabi Muhammad S.A.W pada 17 Ramadhan. Ayat-ayat Al-Quran yang terang dan jelas maksudnya tentang kaitan malam yang mulia itu jelas pada ayat ayat 3 surah Ad-Dukhkhan yang menyebut 'malam yang diberkati Tuhan' dan juga ayat 185 dalam Surah Al-Baqarah dengan maksudnya " Bulan ramadhan adalah bulan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi manusia, dan keterangan dari petunjuk itu adalah pemisah di antara hak dan batil"

HAMKA sendiri dalam satu catitannya berpendapat bahawa, suasana lailatul qadar tidak hanya berlaku dalam bulan ramadhan, malah di bulan-bulan lain juga. Huraiannya juga jelas dan masuk akal untuk diterima. ( Klik Di sini )

Di dalam perbahasan hadis, terdapat banyak perbincangan mengenai malam-malam lailatul qadar yang kesemuanya memperteguhkan kepercayaan kita sebagai umat Islam bahawa Allah memiliki rahsiaNya supaya manusia berfikir.

Banyak persoalan yang timbul apabila memperkatakan tentang lailatul qadar, terutamanya apabila membaca hadis. Jadi untuk meluaskan lagi pemahaman kita tentang malam yang istimewa ini, Al-Quran lah menjadi panduan dan rujukan utama, yang tidak boleh tidak akan tetap relevan sepanjang masa, dari dahulu, sekarang dan pada masa akan datang.







P/S : Catatan ini ditulis dalam usaha untuk lebih memahami apa yang dimaksudkan dengan lailatulqadar menurut sumber primer dalam agama Islam supaya kita tidak lagi tertanya-tanya, di waktu bilakan sebenarnya lebih tepat malam Lailatul Qadar. Jika tidak, ia akan kekal menjadi 'misteri' sedangkan sifat Al-Quran itu sendiri adalah JELAS menjadi petunjuk kepada umat manusia.Sehingga saat ini, saya masih mencari menunggu jawapan emel dari beberapa tokoh-tokoh agama tanah air untuk menghuraikan persoalan ini walaupun sudah banyak dibincangkan di pelbagai tempat.