www.majalahsains.com

10/15/10

Hantu dan Jin di minda Melayu


NORIZAN menunjukkan batu permata dan seketul batu besar yang ditemui terjatuh di dalam rumahnya, semalam.
Laporan Berita Harian (http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Balqis_terbang_/Article)



Seminggu dua ini di daerah kelahiran saya di Besut Terengganu gempar dengan laporan akhbar seorang gadis tiba-tiba 'ghaib' dari rumah dilarikan jin. Dari awal kemunculan cerita ini, hati dan fikiran saya terus menyatakan bahawa ini adalah suatu bentuk kebodohan yang masih dipercayai sungguh-sungguh oleh orang-orang Melayu yang rata-ratanya mengaku beragama Islam.

Sebenarnya kisah-kisah aneh dan khurafat sebegini sudah begitu lama bermain di minda Melayu ditambah pula dengan publisiti meluas oleh akhbar tabloid, akhbar arus perdana dan majalah-majalah tahyul untuk melariskan jualan akhbar mereka. Yang pelik dan jahat, semuanya bacaan berbahasa Melayu. Tidak ada laporan sebegini luas ditulis dalam bahasa Inggeris. (mungkin juga bahasa-bahasa lain )

Tidak dinafikan bahawa makhluk halus seperti jin, syaitan dan iblis ini wujud. Malah Al-Quran sendiri telah mengesahkan kewujudan mereka. Kewujudan jin dan syaitan adalah untuk membuktikan kekuasaan Allah dan untuk menguji iman manusia. Namun kewujudan jin dan syaitan ini telah disalah anggap oleh sebahagian orang Islam (akibat salah faham agama), sehingga boleh melupakan kehebatan dan kekuasaan Allah.

Maka dari hari ke hari, dari mulut ke mulut, muncullah cerita-cerita yang tidak masuk akal seperti 'ghaib', 'dirasuk', 'terbang dibawa hantu', 'disorok hantu', 'masuk ke alam bunian', 'histeria' dan macam-macam keanehan yang lain. Justeru, semakin banyaklah aktiviti-aktiviti pelik seperti 'merawat' bangunan atau kediaman yang kononnya bertapak di atas perkampungan jin, kaedah dan rawatan membuang makhluk halus yang kemudiannya disandarkan kepada Islam untuk mengelakkan dituduh khurafat. Kaedah-kaedahnya pula kelihatan pelik. 'Membawa keluar jin dan makhluk halus menggunakan bas, memasukkannya di dalam botol untuk dibuang ke laut, malah ada yang lebih aneh dibuat pameran hantu-hantu yang dapat ditangkap seperti yang dipamerkan di Muzium Negara beberapa tahun yang lalu melalui Pameran Hantu dan Makhluk Halus, dan dikenakan tiket pula kepada pengunjung. Memang jelas suatu pembohongan!

Oleh yang demikian, sebagai umat Islam yang meyakini bahawa Allah adalah Tuhan sekelian makhluk yang mempunyai 99 nama-nama yang Agung dan Nabi Muhammad sebagai PesuruhNya, marilah kita MEMBUANG sebarang kepercayaan karut tahyul tentang hantu syaitan yang boleh mematikan akal dan merosakkan iman. Yakinlah kita bahawa tiada yang lain selain Allah yang berkuasa ke atas makhlukNya. Bukan hantu syaitan, jin dan bunian seperti yang ada dalam minda Melayu yang mengaku Islam.

p/s : Saya yakin suatu hari nanti kebenaran akan muncul dan pembohongan serta kebodohan melalui cerita 'gadis ghaib' di atas akan terserlah.

No comments: