www.majalahsains.com

8/29/12

Bila tiba tarikh 31 Ogos

Saya masih belum ada mood menulis tentang perjalanan kali kedua ke New York hujung minggu lalu. Sekarang semua orang sibuk tentang Hari Kemerdekaan. 3 tahun dahulu di bulan ramadan, saya pernah menulis satu entry berjudul Ramadan dan Jiwa Merdeka. Jadi untuk tahun 2012 ini, rasa saya tidak perlu diulangi lagi.

Selamat menyambut Hari Kemerdekaan ke-55 Malaysia!

p/s- Walaupun ada seorang ahli akademik tempatan menyatakan bahawa Malaysia tidak pernah dijajah, saya TETAP tidak mempercayainya sampai sekarang. Menjadi anak jajahan tidaklah begitu hina sekiranya kita terus bangkit dan bangkit untuk mengisi kemerdekaan. Ia lebih baik berbanding MALU dan BERPURA-PURA bahawa kita tidak pernah dijajah. Negeri yang tidak pernah dijajah sekalipun, tidaklah begitu mulia berbanding negeri-negeri bekas jajahan yang lain. Lihat sahajalah Thailand.
Jadi, kembalilah semula kepada realiti kehidupan. Jangan sesekali berselindung di bawah bayang-bayang terik mentari. Surutnya mentari, hilanglah bayang-bayang.

8/16/12

Catatan Penghujung Ramadhan 1433 H

Dua hari lagi Ramadan akan melabuhkan tirainya di tahun ini. Kita berdoa dan berharap agar Ramadhan tahun ini bukan Ramadhan terakhir sepanjang kita mendiami muka bumi Allah. Suasana dan perasaan di bulan yang mulia ini sememangnya berlainan dari bulan-bulan lain. Bukan hanya lapar dan dahaga sahaja dirasakan, malah jiwa dan tujuan hidup menjadi tenang dan lebih fokus.

Ada beberapa urusan dan misi peribadi Tukang Catat dapat diselesaikan di bulan ini. Tidak terganggu dengan rutin seharian seperti bulan-bulan yang lain. Ucapan syukur kepada Allah atas kurniaan bulan yang mulia ini untuk umat Nabi Muhammad S.A.W.

Kesempatan di penghujung Ramadhan ini, saya berkira-kira untuk menulis beberapa pengalaman berpuasa yang masih tersemat kukuh dalam memori sepanjang 33 tahun hidup. Tetapi memandangkan bulan ini akan berakhir sehari dua lagi, maka saya simpan dahulu draft yang sudah ditulis separuh untuk entry Ramadhan tahun hadapan. Itu pun jika masih diberikan kesempatan umur oleh Tuhan. Maklum sahajalah hidup ini hanya mundar-mandir sahaja singgah di dunia, kelak akan dijemput jua pulang ke tempat yang kekal abadi tanpa cepat atau lewat walau sesaat pun.

Kadang-kadang saya terfikir, apa akan jadi pada catatan-catatan kita di dunia maya internet ini kelak kalau kita sudah meninggal. Apakah ia bermanfaat untuk orang lain atau hanya menghabiskan masa sahaja tanpa sebarang faedah. Saya kurang pasti blog ini bermanfaat atau tidak, tetapi sekurang-kurangnya ia adalah satu tempat untuk saya menulis sesuatu apa yang bermain di fikiran. Saya bukanlah orang yang berilmu, tetapi sangat mencintai ilmu pengetahuan, buku-buku dan bidang penulisan. Hormat saya begitu tinggi terhadap golongan penulis dan ilmuan tidak kira bidang apa pun yang diceburi mereka. Masih kuat cita-cita saya untuk menjadi seorang yang berpengetahuan luas dan menulis sesuatu yang bermanfaat untuk generasi akan datang. Sehingga kini, cita-cita itu masih tergantung dan belum direalisasikan. Mungkin cita-cita ini hanyalah angan-angan tanpa berjejak di bumi yang nyata, saya kurang pasti. Angan-angan atau khayalan ini pernah saya tulis suatu masa dahulu di dalam entry bertajuk 'Berkhayal lah Sebanyak Mungkin'. Teringat saya akan ungkapan emas bijak pandai iaitu;

“Ilmu pengetahuan adalah laksana binatang buruan dan penulisan adalah tali pengikat buruan itu. Oleh sebab itu ikatlah buruanmu dengan tali yang teguh.”.. HUKAMA

Kesempatan ini, saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri (Idulfitri) 1433 Hijrah kepada seluruh umat Islam terutama kepada mereka yang pernah lintas berkunjung ke blog yang tidak seberapa ini. Semoga kita terus diberikan kekuatan dan kesihatan untuk menempuh kehidupan yang mencabar di masa hadapan. Mohon ampun dan maaf sekiranya ada kekasaran bahasa dan terlanjur kata-kata. Ia memang kesilapan dari saya sendiri mudah-mudahan tidak diulangi di masa hadapan.

Salam hormat!

Tukang Catat
Verdun, Montreal

Summer 12

8/12/12

Puding Karamel Untuk Tetangga

Bulan lalu pernah saya catatkan perihal jiran baru yang pada saya agak 'kurang budi bahasanya'. Agak lama saya bersabar dan berdoa kepada Tuhan agar dijauhi perkara-perkara yang tidak menyenangkan selama berada di sini. Sehingga catatan ini ditulis, saya sudah beberapa kali cuba bercakap dan menerangkan kepada mereka tentang bunyi bingit dari speaker home theater milik mereka. Kelihatan mereka tidak begitu senang dengan teguran kami, malah dihamburkan pula dengan sumpah seranah. Saya nekad untuk tidak menegur lagi. Usaha terakhir ialah menelefon pihak berautoriti.

Kami membuat carian di internet tentang masalah 'surrounding sound' di sekitar kawasan kejiranan yang dialami oleh orang lain yang dikongsikan di internet. Kami juga ke balai polis meminta khidmat nasihat tentang apa yang patut dilakukan sekiranya terganggu dengan bunyi-bunyian dari jiran sekeliling. Paling akhir dan hilang sabar, sudah tiga kali kami menelefon 911. Khidmat polis di sini saya puji 100%. Tidak kurang dari 30 minit, polis tiba dan mereka memperlahankan muzik.

Tiba bulan Ramadhan, satu keajaiban berlaku. Empat hari yang lalu, selesai kami berbuka puasa dan bersiap-siap untuk solat isyak dan berterawih di rumah, tiba-tiba loceng pintu rumah kami berbunyi. Saya agak terkejut, kelihatan sekonyong-konyong jiran kami yang bertatu dengan sosok badan yang tegap, bersinglet dan berseluar pendek tercegat di hadapan pintu. Dengan senyum, dia menghulurkan tangan bersalam, bertanya khabar dan nama saya, serentak dengan menghulur sepinggan BBQ yang masih panas. Saya agak terkejut! Paling memeranjatkan saya soalan yang terpacul dari mulutnya ialah ' are you doing Ramadhan (fasting)? Saya membalas dengan sopan dan mengucapkan terima kasih. Di dalam hati, terdetik rasa syukur kepada Allah yang tidak terhingga. Pada saya, doa kami selama ini supaya dikurniakan jiran yang baik, dilembutkan hati dan memahami situasi hidup berjiran di makbulkan Allah. Itu sangkaan saya! dan Alhamdulillah..Segala puji bagi Allah Tuhan Sekalian Alam. Hilang semua amarah dan hati panas saya pada jiran yang sebelum ini berlainan benar perwatakannya. Mudah-mudahan situasi ini berkekalan, sekurang-kurangnya sehingga kami masih di sini.

Saya memulangkan semula bekas petang kelmarin dengan puding karamel yang manis hasil tangan isteri tercinta. Mudah-mudahan kemanisan puding itu terus membekas di hati dan terpancar pula di wajah.

Saya meraikan keajaiban ini dengan rasa syukur kepada Allah!
Maka nikmat Tuhan kamu yang mana lagikah hendak kamu dustakan  (Q.S Ar-Rahman 55: 1-13)



Gambar hiasan

8/9/12

Kembara dan Mencatat


Baru selesai membaca tulisan terbaru Dr.Mohd Asri (MAZA) di blog beliau yang berjudul 'Daku Ingin Mengembara Lagi'. Terkesan dengan tulisan dan pengalaman beliau di Oxford Centre of Islamic Studies (OCIS) selama 10 bulan.

Terus terang saya katakan bahawa saya di antara ribuan pengikut dan peminat beliau termasuk di twitter, Facebook dan blog. Membaca rencana beliau menambah dan mengembangkan ufuk minda. Malah saya memiliki 2 buah koleksi rencana beliau yang dibukukan yang berjudul "Travelog Minda Tajdid" dan "Mengemudi Bahtera Perubahan Minda". Juga beberapa buah buku lain termasuk tulisan tentang hadis yang ditinggalkan di tanahair.

Tulisan beliau membebaskan minda dari politik kepartian yang sempit yang berlegar di minda manusia dunia ketiga ke arah politik/seni siasah yang lebih luas. Tulisan beliau juga membebaskan minda terpasung fanatik mazhab kepada kepelbagaian fiqah yang rencam. Kritikan beliau membuka minda supaya berfikir dengan lebih jauh dan objektif tentang tujuan hidup. Malah gaya hidup dan keperibadian beliau turut mendorong pembacanya menjadi lebih dinamis dalam memberi pandangan dan tidak terkongkong dengan hanya satu corak pemikiran. Yang paling memberi kesan kepada Tukang Catat, Islam dan gaya hidup bawaan/pendekatan (approach) Dr. Mohd Asri kelihatan lebih indah, lunak dan luas serta mudah diterima oleh orang ramai.

Maka pabila membaca artikel 'Daku Ingin Mengembara Lagi',  saya kembali teruja melihat koleksi tajuk-tajuk dan pengalaman kembara saya pula yang hampir mencecah 4 tahun di Kanada dan Amerika. Catitan ini masih terpencar-pencar dan bersifat eceran, jauh sekali menarik dan enak untuk dibuat koleksi. Namun saya harus menulis catatan juga. Sekurang-kurangnya untuk koleksi peribadi...sebelum pulang ke tanah air tidak lama lagi!   

Lailatul Qadar atau SUASANA Lailatul Qadar yang kita nantikan


Setiap kali bulan Ramadhan..setiap kali bulan Ramadhan kita tercari-cari apa makna malam lailatulqadar..penjelasan yang paling munasabah bagi saya buat masa ini tidak lain dan tidak bukan ialah daripada Profesor Dr Haji Abdul Malik Karim Amrullah (HAMKA) 1908-1981. Saya turunkan catatan beliau di bawah. Agak panjang tapi bersabar dan bacalah sepenuhnya berulang-ulang kali.

Dipetik dari buku Renungan Tasawuf : Manisnya Iman (rencana berjudul Lailatul Qadar)

p/s : Baca juga tafsir surah Al-Qadr (http://tafsir.cahcepu.com/surat/alqadr/) - Dari Tafsir Al-Azhar (Karangan HAMKA)



Sudah menjadi adat turun-temurun di kampung, bahawa anak laki-laki tidak boleh tidur di rumah. Mesti tidur di surau atau di masjid.
Kalau datang bulan puasa, anak-anak ke surau berbuka bersama orang tua-tua. Yang tua-tua berjemaah mengerjakan shalat tarawih dan anak-anak bertadarus, iaitu membaca Al-Quran secara bergilir, berlingkar, iaitu seraqa’ seorang. Pukul dua malam baru pulang ke rumah untuk membangunkan ibu dan nenek untuk bertanak parak-siang (sahur). Menunggu nasi masak, kami dapat tidur sebentar. Dan setelah makan sahur tersedia barulah kami dibangunkan. Dengan mata mengantuk kami makan. Kadang-kadang baru sahaja selesai makan, kawan-kawan telah memanggil di halaman untuk pergi ke surau lagi.
Biasanya kami tidak tidur lagi sampai Subuh, sesudah shalat Subuh baru kami tidur. Setelah tinggi hari, baru pulang untuk menolong ibu. Petangnya kami bermain layang-layang. Setelah senja baru pulang buat berbuka. Demikianlah hidup kami di kampong selama bulan puasa.