Dua hari lagi Ramadan akan melabuhkan tirainya di tahun ini.
Kita berdoa dan berharap agar Ramadhan tahun ini bukan Ramadhan terakhir
sepanjang kita mendiami muka bumi Allah. Suasana dan perasaan di bulan
yang mulia ini sememangnya berlainan dari bulan-bulan lain. Bukan hanya
lapar dan dahaga sahaja dirasakan, malah jiwa dan tujuan hidup menjadi
tenang dan lebih fokus.
Ada beberapa urusan dan misi
peribadi Tukang Catat dapat diselesaikan di bulan ini. Tidak terganggu
dengan rutin seharian seperti bulan-bulan yang lain. Ucapan syukur kepada Allah atas kurniaan bulan yang mulia ini untuk umat Nabi Muhammad S.A.W.
Kesempatan di penghujung Ramadhan ini, saya berkira-kira untuk menulis
beberapa pengalaman berpuasa yang masih tersemat kukuh dalam memori
sepanjang 33 tahun hidup. Tetapi memandangkan bulan ini akan berakhir
sehari dua lagi, maka saya simpan dahulu draft yang sudah ditulis
separuh untuk entry Ramadhan tahun hadapan. Itu pun jika masih diberikan
kesempatan umur oleh Tuhan. Maklum sahajalah hidup ini hanya
mundar-mandir sahaja singgah di dunia, kelak akan dijemput jua pulang ke
tempat yang kekal abadi tanpa cepat atau lewat walau sesaat pun.
Kadang-kadang saya terfikir, apa akan jadi pada catatan-catatan kita di
dunia maya internet ini kelak kalau kita sudah meninggal. Apakah ia
bermanfaat untuk orang lain atau hanya menghabiskan masa sahaja tanpa
sebarang faedah. Saya kurang pasti blog ini bermanfaat atau tidak,
tetapi sekurang-kurangnya ia adalah satu tempat untuk saya menulis
sesuatu apa yang bermain di fikiran. Saya bukanlah orang yang berilmu,
tetapi sangat mencintai ilmu pengetahuan, buku-buku dan bidang penulisan. Hormat
saya begitu tinggi terhadap golongan penulis dan ilmuan tidak kira
bidang apa pun yang diceburi mereka. Masih kuat cita-cita saya untuk
menjadi seorang yang berpengetahuan luas dan menulis sesuatu yang bermanfaat untuk generasi
akan datang. Sehingga kini, cita-cita itu masih tergantung dan belum
direalisasikan. Mungkin cita-cita ini hanyalah angan-angan tanpa
berjejak di bumi yang nyata, saya kurang pasti. Angan-angan atau khayalan ini pernah saya tulis suatu masa dahulu di dalam entry bertajuk 'Berkhayal lah Sebanyak Mungkin'. Teringat saya akan ungkapan emas bijak pandai iaitu;
“Ilmu
pengetahuan adalah laksana binatang buruan dan penulisan adalah tali pengikat
buruan itu. Oleh sebab itu ikatlah buruanmu dengan tali yang teguh.”..
HUKAMA
Kesempatan ini, saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri
(Idulfitri) 1433 Hijrah kepada seluruh umat Islam terutama kepada mereka
yang pernah lintas berkunjung ke blog yang tidak seberapa ini. Semoga
kita terus diberikan kekuatan dan kesihatan untuk menempuh kehidupan
yang mencabar di masa hadapan. Mohon ampun dan maaf sekiranya ada kekasaran bahasa dan terlanjur kata-kata. Ia memang kesilapan dari saya sendiri mudah-mudahan tidak diulangi di masa hadapan.
Salam hormat!
Tukang Catat
Verdun, Montreal
Summer 12
1 comment:
selamat hari raya en Faizal sekeluarga...dan selamat menjalankan ibadah puasa...semoga kita mendapat keampunan dari Nya. Dapat duit raya tak? hehehe
Post a Comment