www.majalahsains.com

7/19/12

Ramadhan di Perantauan 1433 H

                                                  Gambar : http://sukardi-tkjim.blogspot.ca/2012/07/jadwal-imsakiyah-dan-sholat-ramadhan.html


SYUKUR
pada Allah kerana dengan izinNya kita masih lagi bernafas dan menghirup udara anugerah ilahi. Tahun ini juga adalah tahun-tahun seterusnya kita berjaya bertemu kembali bulan Ramadhan yang mulia. Saban tahun, Ramadhan yang datang kita sebagai umat Islam yang akil baligh dan mukallaf diwajibkan berpuasa. Sudah tentu puasa kita berbeza mengikut peringkat umur dan tingkat kefahaman masing-masing. Tahun ini kali ke-lima kami berpuasa Ramadhan di Montreal, jauh dari sanak saudara dan suasana kemeriahan di Malaysia.

Di zaman kanak-kanak, tentunya bulan puasa tergambar hidangan makanan yang banyak dan meriah ketika berbuka. Malamnya pula berduyun-duyun ke masjid menunaikan solat sunat terawih kemudian disudahi pula dengan jamuan makan-makan atau 'moreh' menurut istilah dari pantai barat semenanjung Malaysia. Keesokkan harinya kita meneruskan puasa sehingga genaplah sebulan dan bergembira pula untuk menyambut hari raya.

Ragam berpuasa pula macam-macam. Ada yang mampu lakukan separuh hari. Ada yang berpura-pura puasa. Ada juga yang menelan seteguk dua air ketika mandi di siang hari, kemudian terus bertahan sehingga waktu maghrib, termasuklah Tukang Catat. Kalau tidak, tak dapatlah menjamah makanan yang enak-enak bersama orang dewasa sewaktu berbuka. Penghujung Ramadhan, suasana sekeliling mula hingar bingar dengan mercun dan bunga api. Sampai satu Syawal tamatlah puasa, dan diulangi pula di tahun-tahun seterusnya. Itulah erti puasa di zaman kanak-kanak.

Meningkat dewasa, kita mula membaca dan belajar erti berpuasa sebenar. Allah berfirman, dalam surah Al-Baqarah ayat 183 berbunyi,

Wahai orang-orang yang beriman, diperintahkan kamu berpuasa, seperti mana kami perintahkan ke atas umat-umat terdahulu sebelum kamu, supaya kamu bertakwa
.

Takrif puasa tentu kebanyakan orang sudah memahaminya iaitu menahan diri daripada makan dan minum serta perkara yang membatalkan puasa, dari terbit fajar hingga terbenam matahari disertai dengan niat. Namun takrif takwa mungkin belum begitu jelas. Apa kaitannya berpuasa dengan takwa?

Ramai ulamak membahaskan konsep takwa. Menurut ustaz di sekolah, takwa bermaksud 'takut' kepada azab Allah, melakukan suruhanNya serta meninggalkan segala laranganNya. Ada ulamak yang membuat huraian maksud takwa dengan pecahan huruf-huruf arab/jawi ejaan takwa iaitu Ta', Qa, Wau, dan Ya'. Huraian ini saya dengar melalui kaset ceramah Kiyai Hj Zainuddin M.Z (Allahyarham) yang dibeli oleh ayah lama ketika saya masih di peringkat sekolah.

Huruf Ta' bermaksud TAWADUK atau rendah hati, Qaf pula bermakna QANAAH (berasa cukup dengan apa yang dianugerahkan Allah tanpa berhenti berusaha), Wau untuk WARAK ( terpelihara dari perbuatan keji dan munkar serta perbuatan yang syubhah). Huruf terakhir Ya pula bermaksud YAKIN iaitu yakin dengan perintah Allah dan ajaran Rasulullah.

Oleh yang demikian, berpuasa seperti yang diperintahkan Allah bertujuan untuk mendapat ke-empat-empat sifat seperti yang disebut di atas. Tentunya, huraian ulamak tentang takwa ada pelbagai. Setakat ini, itulah konsep takwa yang saya faham.

Apabila kita menilik ke dalam diri kita sendiri, selama kita hidup tentu sukar untuk mendapat perasaan dan suasana ketakwaan seperti yang disebut di atas. Walaubagaimanapun, di bulan ramadhan kita berpuasa sepanjang waktu siang, ditambah pula dengan ibadat-ibadat lain seperti membaca Al-Quran, mengingati Allah, bertarawih, berzakat dan sebagainya sedikit sebanyak sifat-sifat yang tersebut di atas muncul dalam diri walaupun di peringkat minimum. Puasa juga bolehlah diibaratkan sebagai kalibrasi kompas kehidupan kita, dan waktu yang baik untuk kita bermuhasabah tentang mengapa kita dilahirkan di di dunia ini, apa tugas yang diperintahkan oleh Allah serta ke mana kita akan pergi setelah menghembuskan nafas terakhir nanti. Semoga dosa-dosa kita diampuni Allah dan sentiasa diberi petunjuk kebenaran olehNya sepanjang kehidupan kita di dunia.

Berpuasa di negeri empat musim hanya sedikit berbeza berbanding Malaysia terutamanya waktu mula puasa dan berbuka. Sekarang musim panas di mana waktu subuhnya lebih awal iaitu sekitar 3.30 pagi manakala waktu meghrib pula sekitar jam 8.40 malam. Jadi waktu untuk bersahur lebih awal, dan jadual seharian agak berlainan dari kebiasaan. Lain-lain tidak banyak yang berbeza.

Saya sekeluarga dari Montreal, mengucapkan selamat berpuasa Ramadhan kepada seluruh umat Islam tak kita di mana berada semoga kita berada dalam peliharaan Allah sentiasa.

Salam Ramadhan 1433 Hijrah

Faizal & Famili
Verdun, Montreal


p/s:- Beberapa catatan lama tentang bulan ramadhan.


http://mundarmandir2.blogspot.ca/2009/08/juadah-berbuka.html

http://mundarmandir2.blogspot.ca/2007/10/buah-tangan-terbaru-prof-muhd-kamil.html

http://mundarmandir2.blogspot.ca/2009/09/catatan-ramadan-ke-21.html

http://mundarmandir2.blogspot.ca/2007/09/1-ramadhan-1428h2007.html

http://mundarmandir2.blogspot.ca/2011/08/ramadhan-air-tuak-kenangan.html

http://mundarmandir2.blogspot.ca/2010/09/surah-al-qadar-menurut-tafsir-al-azhar.html

http://mundarmandir2.blogspot.ca/2010/08/ulang-tahun-nuzul-al-quran.html

http://mundarmandir2.blogspot.ca/2010/08/bulan-berkat-bulan-ibadat-ramadhan.html

1 comment:

Wan Anie said...

Selamat berpuasa sahabat!