Kelapa Sawit siap untuk dituai
Tukang Catat membesar di Felda. Sebuah Felda kecil di Daerah Besut Terengganu. Berpindah dari sebuah kampung berhampiran ke tanah rancangan Felda pada tahun 1985. Kehidupan di Felda waktu itu sangat mencabar. Jalan-jalan masih tidak berturap menghubungkan kawasan penempatan peneroka dengan kampung-kampung di luar. Kalau hujan lebat, alamat berselut dan kaki terbenam di dalam becak dan lumpur ketika berjalan masuk. Kalau bermotosikal atau basikal, hampir separuh tayar akan tenggelam di dalam selut.
Bekalan elektrik masih belum ada. Sumber pencahayaan kami hanya menggunakan lampu gasolin. Telefon ketika itu tidak usah bermimpi. Terlalu asing bagi kami. Air dibekalkan oleh kerajaan melalui saluran paip di tepi jalan berkongsi antara 3-4 buah rumah. Saya masih ingat, kadang-kadang mandi berbogel sahaja di tepi jalan. Ah! zaman kanak-kanak! Ada yang menggali perigi di belakang rumah. Kalau ingatan saya masih kuat dan tidak silap, pernah ada kejadian bersetentang dengan rumah kami, seorang kanak-kanak meninggal dunia akibat terjatuh ke dalam perigi.
Kelapa sawit adalah sumber pendapatan utama warga Felda. Tapi bagi yang rajin, masih banyak peluang-peluang lain untuk mencari rezeki. Ayah saya misalnya pernah membela ikan di kolam, menanam tembikai dan bertukang. Kadang-kadang masih pulang ke kampung asal kami mengerjakan sawah. Maklum sahajalah, kelapa sawit tidak dituai setiap hari. Hasil sawit sahaja tidak cukup untuk perbelanjaan kami adik beradik 7 orang ketika itu. (Adik saya yang bongsu ke-8 lahir ketika zaman suasana sudah berubah). Seingat saya ia dituai 2 atau 3 kali sebulan. Musim menuai kelapa sawit, sangat mencabar, terutamanya pengalaman Tukang Catat sendiri. Tiba musim menuai, ayah saya mula mengasah sabit dan parang. Kami turut dikerah ke ladang, membawa sedikit bekal dan air minuman. Paling mencabar bagi saya ialah apabila melihat banyak buah sawit kemerah-merahan yang sudah mula meluruh dari tandan. Tukang Catat waktu itu membayangkan "kalaulah ada satu alat yang boleh mengait buah sawit tanpa jatuh ke tanah, tentu sangat menyenangkan". Ketika di sabit, tandannya jatuh ke tanah dan memercikkan banyak buah-buah relai. Bayangkan setandan sawit berbuah relai, disabit kemudian bergolek dari atas bukit sampai ke bawah cerun bukit, jenuh kami mengutipnya. Itu baru setandan. Itu juga belum lagi termasuk tangan atau kaki tercucuk duri pelepah sawit, gigitan pacat di musim hujan, terserempak babi hutan, tebuan tanah, buah terkena najis lembu dan lain-lain.
Melihat kami tercungap-cungap memikul buah sawit, ayah selalu berpesan. "kalau tidak mahu susah bekerja di ladang sawit, sekolahlah rajin-rajin". Saya simpan dan semat betul-betul pesanan itu di dada. Ketika itu usia saya sekitar 9-12 tahun.
Saya agak lemah dalam matematik. Kira-kira mudah pun boleh membuatkan saya penat berfikir mencari jalan menyelesaikannya. Satu hari, selepas berpenat-lelah, kami berehat sebentar di bawah pokok sawit. Ayah saya menunjukkan satu kaedah mengira nombor besar dalam operasi darab. Contohnya mendarab nombor yang mempunyai banyak nilai kosong dihujung. Cth 9000 x 200. Kata ayah, kirakan sahaja berapa nombor kosong kemudian tuliskan bilangan kosong di belakang hasil darab 9 x 2. Jadi jawapannya 1,800,000. Wah!..Jawapan itu sangat memudahkan saya. Apatah lagi sifir 9 mudah sahaja dikira menggunakan petunjuk dari jari tangan sahaja. Saya masih ingat, ayah saya menunjukkan kaedah itu di atas pelepah kelapa sawit yang baru sahaja disabit. Cerita tentang kreativiti dan kerajinan ayah, saya akan tulis kemudian.
Selain kami adik beradik, emak turut serta membantu di ladang. Ketika di asrama sekolah, saya terbayangkan emak dan ayah terbongkok-bongkok di ladang menuai kelapa sawit. Bila terkenang, kadang-kadang saya jadi sedih. Itulah kehidupan kami di Felda waktu itu.
Update terbaru: Baru semalam saya menelefon emak di kampung bertanya khabar. Di usia senja sebegini mereka masih mengusahakan tanah-tanah pertanian. Selain kelapa sawit, ayah dan emak mula menanam getah. Terkejut juga saya bila dapat tahu, 500 batang getah dikerjakan berdua sahaja. Kalau saya di kampung, mahu saya turut serta.
Tukang Catat
Verdun, Montreal
1 comment:
Alhamdulillah....
ramai org kelapa sawit berjaya mcm Encik Faizal.... berkat usaha gigih..
Post a Comment