www.majalahsains.com

8/13/15

Ramai Bertanya..

Ya, ramai yang tanya kenapa aku lama tak menulis. Hmm. Sebenarnya aku masih menulis. Cuma tak di terbitkan dalam mana-mana media cetak. Masih lagi menulis untuk buku (yang tak siap-siap), menulis blog (yang tak publish), menulis catatan (diari bertulisan tangan) dan paling aktif menulis dan mengedit di MajalahSains.Com. Aku masih belum boleh meninggalkan majalahsains kerana ini tempat yang paling neutral bagi otak rasa aku. Kalau politik tentu akan bias. Kalau tentang agama, banyak liku-likunya dan macam-macam sebab lain. Jadi sains adalah sesuatu yang 'cool' dan menjana kecergasan otak. Paling best, ia masih neutral (bagi aku, walupun banyak juga orang yang skeptikal tentang sains).

Oh ya, aku baru sahaja mengemaskini CV. Dalam ni ada sedikit aktiviti profesional dan semi-profesional yang aku update. Bahagian Popular Writting masih kurang lengkap. Aku menggalakkan semua orang mengemaskini CV masing-masing untuk melihat kembali apa kerja-kerja signifikan yang pernah kita lakukan dalam mendapatkan rezeki Tuhan yang maha luas ini. Tak perlu segan dengan apa sahaja kerja kita, asal halal.

10/17/14

Realiti Hidup

Saya terkesan dengan satu posting rakan Facebook Dr. Balasundramaniam atau dikenali sebagai Monyet King di laman FB. Nota beliau berkenaan dengan realiti harga rumah dan sungutan orang ramai. Kata beliau (terjemahan dari BI);

"Ramai merungut tidak mampu membeli rumah kerana harga rumah terlalu mahal. Bapa beliau, 30 tahun lalu juga merungut apabila membeli rumah pertama yang mahal pada harga 36K waktu itu. Beliau sendiri membeli rumah pertama berharga 250K pada tahun 1990an dan juga merungut harga rumah yang mahal. Terkini pun harga rumah semakin mahal dan tetap tidak turun-turun.

Realitinya pembeli rumah akan berhutang berpuluh-puluh tahun dan tetap merungut sampai bila-bila apabila mengenangkan hutang yang terpaksa dibayar.

Saya sendiri pun membeli rumah pertama dengan harga 180K pada tahun 2008. Memang mahal!
Jadi masalah harga rumah tidak akan selesai. Tidak banyak yang boleh dilakukan oleh kerajaan untuk menurunkan harga rumah. Tidak banyak yang kita boleh lakukan untuk membeli rumah yang murah.

Jadi nasihat beliau ialah kepada generasi baru yang ingin memiliki rumah (yang semakin mahal, mahal dan mahal) ialah

Membuat perancangan teliti sejak dari awal. Usaha sungguh-sungguh mengubah nasib diri. Memang susah.Keluarga kita terdahulu lagi susah berbanding kita pada hari ini. Hinggakan, ada di kalangan keluarga kita yang masih belum mampu memiliki rumah sendiri. Inilah realiti hidup yang pahit dan terpaksa ditelan."

Nota pencatat - Sentiasa berfikir dan bertindak secara kreatif untuk meningkatkan taraf hidup. Jangan berasa selesa dengan keadaan yang dimiliki sekarang.

9/2/14

Melihat catatan-catatan lama

Gigih berusaha untuk mengembalikan semangat menulis di blog atau di mana-mana sahaja lapangan. Antara usaha yang dilakukan ialah melihat kembali catatan-catatan lama agar semangat dahulu kembali cergas dalam diri. Terus terang saya akui, kegilaan menulis dan membaca menurun dengan mendadak akhir-akhir ini. Banyak buku-buku dan majalah yang dibeli dilonggokkan begitu sahaja tanpa membelek dan membelai seperti yang dilakukan sebelum ini.

Antara kenangan dan catatan yang menerpa minda ialah kedai buku yang dilawati sewaktu di Montreal. Salah satunya ialah kedai buku pertama yang saya jejaki di kawasan kediaman sekitar hujung tahun 2008 dahulu di Verdun. kedai tersebut ialah La Librarie De Verdun.

Saya kenal benar pemilik kedai buku ini. Kathy dan ibunya yang sudah agak berusia. Baru-baru ini, sekitar bulan April saya berpeluang kembali ke Montreal. Antara yang saya sempat lawati ialah kedai buku ini. Sayangnya ia sudah ditutup. Kedainya tinggal kosong dan tidak berpenghuni lagi. Agak sedih mengenangkan kedai buku nan satu ini, kerana ia meninggalkan banyak nostalgia saya sewaktu mendiami kejiranan Verdun selama 4 tahun 6 bulan. Di sinilah saya membeli buku pertama koleksi Asimov. Di sini jugalah saya membelek dan terus membelek buku ditemani sambil berborak dengan Kathy. Paling meninggalkan kesan, ialah kedai buku ini bersetentang dengan tempat jagaan kanak-kanak di mana puteri sulung saya ditinggalkan, sementara saya berlari mengejar Metro ke tempat kerja. 4 musim di selama 4 tahun 6 bulan di sini, tidak pernah gagal saya melintasi kedai buku ini walaupun tidak menjengah di dalamnya. Cukuplah melihat buku-buku terpakai yang dipamerkan dirak kaca di hadapan kedai. Ia sudah cukup membahagiakan!

Kunjungan kali kedua pada April 2014, agak sedih dan terkilan kerana La Librarie De Verdun sudah tidak wujud lagi. Saya berhasrat untuk menghadiahkan sebuah buku yang memuatkan tulisan saya berjudul 'Dunia Buku Montreal' di dalam 'Kapsul Nurani'. Namun agak hampa!


7/12/14

Kenangan Ramadan

Tukang Catat masih teringat kisah 2 tahun lalu waktu kami masih di Montreal. Kenangan-kenangan di bumi asing masih segar datang menerpa di benak fikiran. Kisah ramadan dan jiran yang bertanya soalan yang agak janggal;

"Are you doing Ramadhan?'

5/4/14

Datang lagi ke Montreal



Selepas setahun pulang kembali ke tanah air, rezeki menjemput kami datang semula ke Montreal. Bagi isteri, kedatangan kali ini ialah untuk menyelesaikan peringkat terakhir kajian PhDnya atau istilah popularnya ialah 'viva' (mempertahankan hasil kajian melalui pembentangan di hadapan panel pemeriksa). Untuk saya pula, kesempatan diambil untuk menjalani latihan beberapa peralatan saintifik di makmal mikrofabrikasi di universiti di sini.

Montreal tidak banyak berubah sejak 5 tahun yang lalu. Kami datang ke sini pada tahun 2008, pulang pada 2013 dan kembali semula pada April 2014. Satu perjalanan yang relatifnya panjang dan kaya dengan pengalaman. Saya sentiasa berangan-angan untuk membukukan pengalaman ini. Beberapa catatan pendek sudah terbit di beberapa penerbitan. Tahun ini di Pesta Buku Antarabangsa KL, sebuah buku projek pakatan 50 penulis yang menceritakan perihal buku telah terbit dan dijual di sana.
Saya sendiri turut mencatat di halaman 42 tentang pengalaman berkunjung ke kedai-kedai buku di Montreal sepanjang berada di sini sejak 2008 yang lalu. Buku tersebut berjudul KAPSUL NURANI

Di akhir catatan tersebut saya menulis,

"Masyarakat Montreal barangkali tidak memerlukan acara besar untuk meraikan buku seperti pesta-pesta buku di Kuala Lumpur, kerana setiap hari mereka berpesta dengan budaya membaca buku di mana-mana sahaja".

Kunjungan ke sini kali ini membenarkan catatan di atas, dan Tukang Catat tidaklah begitu ralat tidak hadir ke PBAKL kali ini, kerana budaya buku di sini mengatasi pesta-pestaan meraikan buku.Budaya ilmu subur dan mekar di sini. Suasana intelektual begitu terasa, sesuailah seperti apa yang diungkapkan oleh Prof Muhammad Hj Salleh tentang keadaan ini seperti yang saya rakam di blog suatu masa dahulu.

Untuk rekod, Tukang Catat tidak pernah gagal hadir ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur sejak 1998.

Dapatkan kapsul nurani di PBAKL dan ejen-ejen buku terdekat. Hubungi sekretariat Kapsul Nurani di https://www.facebook.com/BukuCelikHuruf


 

4/9/14

Warkah terbaru


Kali ini saya menyumbang satu tulisan dalam buku ini. Sebuah buku baru yang bakal terbit sempena Pesta Buku Antarabangsa KL 2014.

Karya ini terhasil dari satu Projek Buku 50 Penulis-Pembaca dari komuniti Celik Huruf di FB yang dicetuskan oleh editor-editor profesional dari Institut Terjemahan dan Buku Malaysia, ITBM. Tema utama buku ini ialah pengalaman yang memberi inspirasi kepada penulis yang menggeluti buku sebagai 'makanan' harian mereka. Saya sendiri menulis pengalaman 4 tahun 6 bulan menjelajah setiap ceruk yang menjual buku sekitar kotaraya Montreal, Quebec dan sebahagian kecil benua Amerika yang dilawati.

Menariknya buku ini ialah, setiap penyumbang tulisna akan menerima 20 buah buku untuk sebagai saguhati untuk dijual kepada peminat.

Nantikan kemunculannya!

1/28/14

Mahu menulis semula

Aku cuba untuk menulis kembali di blog. Lama sudah scene blog ditinggalkan, padahal aku enjoy menulis di sini. Banyak pengalaman lama yang belum tertulis. Perlukan sedikit kekuatan dan kesungguhan untuk kembali rancak.

Mohon supaya terus bersemangat!