www.majalahsains.com

2/27/08

Dua kegembiraan

Hari ini saya dapat merasai 2 makna kegembiraan.

Satu, artikel pertama saya berjudul " Kecil itu Indah" muncul di majalah sisipan Utusan Malaysia Estidotmy yang terbit di setiap hujung bulan. Peluang menulis dalam ruangan kecil sisipan ini boleh dikatakan sebagai 'datang bergolek' apabila wartawan dan jurugambar Utusan bertandang ke 'tempat saya bertugas' membuat liputan tentang penyelidikan terkini dalam bidang yang semakin menarik minat ramai iaitu Nanoteknologi. Kesempatan berkenal-kenalan dengan wartawan sains utusan yang hebat itu tidak disia-siakan begitu sahaja :-) selanjutnya sila ke SINI

Terima Kasih Utusan!!


Dua, buku Kuras-kuras Kreatif karya Azizi Hj Abdullah sampai juga ke tangan melalui UjanaIlmu. Buku ini merupakan karya terbaru Cikgu Azizi Hj Abdullah yang merupakan sebuah catatan pengalaman beliau bagaimana proses menjadi salah seorang pengarang tersohor tanahair. Buku ini menyingkap latar, proses, kepayahan dan kejayaan beliau dalam mengharungi dunia penulisan. Terlalu banyak karya beliau untuk disenaraikan dan antara yang masih kukuh melekat di minda saya ialah novel "Seorang Tua di Kaki Gunung" yang saya baca berulang kali seawal usia belasan tahun dahulu..



Pujian diberikan kepada En. Shukri yang 'sangat efisien' menjalankan tugas. Kepada rakan-rakan lain, sekiranya ingin memiliki buku-buku hebat dari gedung UjanaIlmu tanpa memikirkan masalah parkir, bersesak-sesak di jalanraya, tol dan minyak kereta yang semakin mahal, sila lah berkunjung ke UjanaIlmu. Paling menarik dengan pembelian buku dari sini kali ini ialah, sebuah penanda buku dengan kata-kata

" apabila membayar harga buku di Ujana Ilmu, anda bukan sahaja membeli kertas & tinta, sebaliknya mendapat sebuah kehidupan"


Saya sedang menunggu kegembiraan ketiga, hehe! sebuah novel fiksyen melayu berjudul Sayap Adinilia


Suatu hari yang baik!

2/24/08

Perlu rak buku baru

Nampaknya ruang ini memerlukan sebuah ( atau dua) rak buku baru..
Ermm!!



2/21/08

Panas, hujan dan hidup

Hampir 3 minggu hujan kelihatan silu untuk turun..rumput-rumput di padang kelihatan layu dan sedikit-sedikit kelihatan kering. Matahari terik pancarannya, langit biru bersih dengan tompok-tompok kecil awan yang malas untuk bergabung membentuk titisan hujan..hampir tiga minggu panas membara..kesan pemanasan global! kata saintis, bala Tuhan! kata sesetengah golongan, sampai musim! getus kaum tani..

Tiba-tiba hari ini, tompok-tompok kecil awan yang sebelumnya berkumpul dan menurunkan hujan yang lebat di sekitar Bangi dan beberapa kawasan yang lain..

Alhamdulillah!!

Rumput-rumput dan pokok akan segar dan bunga akan kembali kembang..hidup pun kembali bersemangat!

Teringat satu kuliah subuh HAMKA melalui rakaman yang boleh di perolehi hasil carian google yang kurang lebih berbunyi,

"begitulah kehidupan manusia di dunia, sentiasa dilambung ombak kehidupan..kadang-kadang merasa susah, kadangkala senang. Sebentar manusia itu sibuk kemudian surut kembali tenang".
Panas! sampai waktunya akan turun juga hujan, gelora di lautan, tidak kekal begitu..ada masanya akan tenang"..itulah tamsil kehidupan manusia.

############################################################

"meskipun iman tidak terpisah dari amal dan ibadah, bukanlah ertinya kerana telah beriman dan beribadah itu kita telah maksum, suci dan tidak pernah bersalah lagi. Kita ini manusia, terjadi daripada jasmani, rohani dan nafsu iaitu tubuh, nyawa dan nafsu.

Kita bukan lah malaikat yang semata-mata rohaniah. Kitapun bukan iblis yang semata-mata api yang penuh kenafsuan. Begitu pula kita pun bukan semata-mata binatang

Sebab kita dapat menimbang mana yang baik dan mana yang buruk, mana yang manfaat dan mana yang berbahaya" ....HAMKA ( dari buku Iman & Amal Soleh )

2/17/08

Pesta Buku UKM 2008



Khamis 14 Februari baru-baru ini berakhir Pesta Buku yang diadakan di UKM selama 5 hari bermula 9 Feb. Beberapa buah buku memikat hati Tukang Catat blog ini untuk dimiliki sebagai bahan bacaan dan koleksi.
Antaranya

  • Gulat di Jakarta .. Bung Pram
  • Perburuan .. Bung Pram
  • Subuh .. Bung Pram
  • Merintis Jalan ke Antartika .. Mashor Mansor
  • Jejak-jejak di Pantai Zaman .. Prof Diraja Ungku Aziz
  • A Young Muslim's Guide to The Modern World .. Seyyed Hossein Nasr
Cuit sikit..
..seperti tahun-tahun yang sudah sejak 1998, Pesta Buku tidaklah semeriah Pesta ICT, Battle of The Band, Pesta Konvokesyen dan segala macam pesta-pesta yang lain..mungkin kerana kurangnya minat siswa siswi membaca, Kempen Membaca di Universiti di adakan pada tahun lepas...Aneh bukan!!

2/11/08

Biografi Pak Sako



Tukang Catat memiliki 2 buah biografi Pak Sako atau nama sebenarnya Ishak Hj. Muhammad. Pertama ialah karangan WAHBA berjudul Hidup Meniti Ranjau, Biografi Pak Sako dan kedua Memoir Pak Sako, Putera Gunung Tahan terbitan UKM...

Antara petikan yang terdapat di kulit belakang buku pertama tentang Pak Sako ialah

“Sejak di bangku sekolah, dia dianggap budak berotak geliga. Rajin membaca dan pintar. Dia adalah anak Pahang yang pertama lulus peperiksaan Senior Cambridge dan pernah menjadi majistret kelas tiga di Kuala Lumpur.

Sekiranya dia mahu hidup senang dan mewah dengan kelulusan dan kepintarannya sebagai seorang pegawai kerajaan, dia mampu memperolehinya tetapi yang anehnya dia memilih hidup untuk meniti ranjau. Mengapa? Pengalaman suka dukanya dan pahit getir yang pernah dialaminya sejak muda dulu teradun dalam buku ini.

Di sini juga diturunkan kritikan beliau lewat sajak yang berbunyi


Bapak rugged, anak groovy,
Sedang membiak di sana sini,
Di pantai memakai bikini,
Di kubur memakai mini.
Orang-orang kampung menghadap Kiblat,
Mereka membawa komik-komik Barat,
Bermain karate, ganti bersilat,
Makan anggur, menggantikan langsat,
Gasing dibuang, dimajukan bowling,
Berasmara mereka kata necking,
Bercumbu-cumbu mereka kata pecking,
Buang Mak Inang, menggantikan dansing,
Tetapi, bila bergula dalam kencing,
Barulah teringat nak makan jering,
Terkenang kepada petai dan kerdas,
Barulah nak belajar mandi hadas.
Melayu bukan, Malaysian pun bukan,
Cina bukan, Indian pun bukan,
Inikah akar-akar yang mangaku rotan?
Atau kaca-kaca yang mengaku intan?

– Pak Sako (Dr. Ishak Haji Muhammad)

Membaca kedua-dua biografi ini menemukan kita tentang makna nasionalis bangsa, penulis, wartawan, orang melayu dan bijak pandai yang begitu merendah diri dalam segenap aspek kehidupan. Ada banyak sifat beliau yang boleh dicontohi kalaupun bukan semua !

2/10/08

Peranan iklan

Hampir setiap kali sambutan hari perayaan ada-ada sahaja iklan menarik. Kali ini sempena Tahun Baru Cina 2008, Pengarah tersohor Yasmin Ahmad sekali lagi diberi kepercayaan oleh Petronas untuk mengarahkan sebuah iklan pendek dengan durasi lebih kurang 3 minit yang mengisahkan seorang kanak-kanak berbangsa cina yang tidak pernah menyambut Tahun Baru bersama keluarga disebabkan yatim piatu.

Ahh..Ia sebuah iklan yang menyentuh perasaan!

2/3/08

Isi khutbah Jumaat Masjid UKM 1 Februari

Khutbah jumaat bau-baru ini disampaikan oleh pegawai agama di Pusat Islam UKM Ust Khuzairi yang juga kenalan penulis. Beliau terkenal dengan gaya berceramah dan membaca khutbah yang penuh semangat dan jelas setiap intipati khutbah yang disampaikan. Dalam khutbah tersebut, beliau memulakannya dengan sebuah hadis sahih muslim berkenaan pertanyaan malaikat Jibril kepada Rasulullah SAW tentang Iman, Islam dan Ihsan. Tiga perkara pokok ini merupakan tunjang akidah dan syariah islam yang kita junjung sejak kedatangan Nabi Muhammad SAW sebagai utusan Allah. Ringkasnya huraian mengenai iman ialah akidah yang menjadi keyakinan dan pegangan umat islam iaitu rukun iman yang tercatat enam perkara manakala islam merupakan syariat yang terkandung dalam rukun islam yang 5. Ihsan pula merujuk kepada keikhlasan dalam menyembah diri kepada Allah Yang Maha Esa seolah-olah kita nampak akan kewujudan Tuhan. Sekiranya tidak terlihat oleh kita akan kewujudanNya, yakinlah bahawa Allah sentiasa memerhatikan gerak laku setiap hambaNya.

Jelas sudah bahawa 3 perkara pokok tersebut merupakan tunjang kekuatan umat islam.

Namun begitu, khatib secara bijak dan cermat mengajak sidang pendengar khutbah supaya merenung situasi semasa umat islam berbanding ajaran yang terkandung di dalam islam yang di bawa oleh Nabi Muhammad lebih 1500 tahun dahulu. Khatib mengingatkan bahawa realiti semasa umat islam sekarang semakin jauh dan meruntuh dengan cepat baik dari segi akidah, syariah dan akhlak. Majoriti kehidupan umat isalm sekarang semakin tersasar dari ajaran islam dan seruan Al-Quran. Beliau juga memberikan contoh-contoh terkini kebejatan moral dan kelakuan orang islam yang saban hari dilihat semakin terkebelakang berbanding umat lain.

p/s. Khutbah sebegini perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak daripada kalangan pemimpin sehinggalah golongan yang terbiar dalam hierarki masyarakat.

1/29/08

Terkenang Pasar Buku di Chowrasta

3 tahun lalu, kebetulan ada urusan di Pulau Pinang. Singgah sebentar di Plaza Chowrasta Penang..Di sebalik longgokan bermacam-macam asam jeruk, terselit sebuah kedai buku ( baca: pasar buku) di sana. Sehari pun rasanya tidak mencukupi untuk menyelongkar buku-buku lama dan baru di sana. Masyaallah!
Bagaimana agaknya keadaan di sana sekarang ya?.

1/25/08

Isu-isu pemuda islam dalam khutbah 25/1/08



Hari ini pertama kali saya menunaikan solat jumaat di KUIS,Bandar Seri Putra Bangi. Dari awal saya perhatikan petugas-petugas masjid, daripada muazzin sehinggalah kepada imam kesemuanya terdiri dari kalangan golongan pemuda . Isi khutbah berkisar tentang perlunya pemuda-pemuda yang berfikiran besar dan hebat.

"Khatib membawakan kisah yang berlaku di zaman saidinia Umar Al-Khattab di mana khalifah Umar bertanyakan kepada sekumpulan pemuda apakah angan-angan mereka pada waktu itu. Bermacam-macam jawapan yang diberikan oleh pemuda tersebut termasuk ingin memiliki sejumlah intan permata dan wang berlian seisi rumah untuk dimanfaatkan ke jalan islam. Namun beliau sendiri menyatakan bahawa tiada satupun angan-angan atau imaginasi pemuda tersebut berpadanan dengan apa yang di bayangkan oleh beliau. Apa kata Saidina Umar? Aku berangan-angan ( berimaginasi ) memiliki sekumpulan pemuda pejuang yang hebat, berfikiran jauh dan mempunyai daya juang yang untuk menegakkan syiar islam"..

Begitulah kurang lebih apa yang disampaikan oleh khatib yang singgah di telinga penulis.

Intipati khutbah berkait rapat dengan lemahnya jiwa yang dimiliki oleh para pemuda khususnya yang beragama islam untuk terus bercita-cita besar. Hidup hanya diisi oleh perkara-perkara ringan dan titik-bengek, analisis mereka tumpul dan dangkal serta menyukai hanya perkara-perkara yang melingkungi keseronokan sementara.

Tidak hairanlah isu-isu ini dan ini serta ini terus panas di pelbagai media..

p/s..sedutan apa yang difahami dalam khutbah dari masjid KUIS

1/20/08

Bengkel KJ Method

Sebelum ini, saya mengikuti tulisan Puan Ainon melalui blog beliau dan cerita bloggers yang lain. Tapi hari ini ( Ahad, 20/1/2008) saya berpeluang bersemuka dengan beliau bersama rakan-rakan lain yang baru di kenali di Sekolah Al-Ikhlas Taman Permata mengikuti bengkel KJ Method. Prof Kamil suatu masa dahulu telah menerangkan dengan ringkas kaedah ini semasa menandatangani buku terbaru beliau di UiTm Shah Alam, bulan Ramadhan Oktober lalu sambil 'menyuruh' saya menghadiri kursus 'percuma' yang diberikan oleh Sifu. Ternyata bengkel kali ini betul-betul membuka mata saya untuk mengenali dengan lebih dekat individu-individu yang produktif menghasilkan tulisan berbentuk buku dengan menggunakan kaedah non-linear ini. Rupa-rupanya kita selama ini menggunakan teknik linear dalam kebanyakan hal sehinggalah Puan Ainon menyedarkan saya bahawa teknik non-linear lah yang paling banyak menyelesaikan masalah ( dalam konteks menulis ).

Semasa berhenti seketika untuk 'lunch' Puan Sifu sendiri menggalakkan peserta duduk bersama dan berbincang untuk mengenali dengan lebih dekat rakan-rakan yang lain untuk mewujudkan 'network' di kalangan bakal penulis. Dan beliau senang sekali dengan kumpulan kami sambil rancak memberi penerangan, maklumat, ilmu dan ransangan untuk menghasilkan sebuah ataupun lebih banyak tulisan berbentuk buku dalam pelbagai bidang.

Kesimpulannya, Puan Ainon aka Sifu PTS boleh lah diibaratkan sebagai cahaya lampu yang menerangi daerah malap di mana kebanyakan orang sedang meraba-raba dalam kemalapan. Sekarang daerah itu sudah cerah dan terang benderang!!

1/18/08

Khutbah Jumaat UKM 18 Januari 2008


Sesekali mendengar khutbah yang mendatangkan kesan di hati, terasa nikmat yang susah dapat digambarkan dengan kata-kata. Kebetulan pula isi khutbah yang berkisar tentang kelemahan umat islam dari dalam dan luar itu pernah di baca oleh penulis beberapa tahun dahulu dalam buku ‘Islam dan Tenaga-tenaga yang Terbiar ’ yang ditulis oleh Muhammad bin Al-Ghazali. Merenung kembali apa yang diperkatakan oleh khatib, terasa begitu kerdil diri ini di hadapan Allah Tuhan Sekelian Alam. Betapa nikmat-nikmat Tuhan yang dikurniakan selama ini jarang disyukuri. Mudah-mudahan kesempatan hidup yang sementara ini akan dapat dimanfaatkan sebaik-baik mungkin dalam menjalani kehidupan..

1/13/08

Bacaan hujung minggu


Cuti Awal Muharram baru-baru ini penulis ke One Utama..sepanjang perjalanan terbayang kedai buku MPH di sana walaupun kedudukannya agak mengelirukan di dalam bangunan yang amat luas dan agak asing bagi penulis..

Seperti kebiasaan tidak puas keluar dari kedai buku tanpa buku sebelum 'merayau' di tempat-tempat lain dalam OU ..hasilnya, nah!! sebuah buku dan majalah yang menjadi santapan di hujung minggu termasuk sebuah buku yang dipinjam dari Perpustakaan Tun Seri Lanang UKM ( PTSL )

1. You've got to read this book, oleh Jack Canfield & Gay Hendricks

2. Scientific American, August 2007 ( majalah lama )

3. The Nanotech Pinoneers, oleh Steven A. Edwards ( Dipinjam dari PTSL )

1/10/08

Wacana Fizik dan Metafizik

Ini entry hebahan, entry terbaru sila klik di bawah
Walaupun Kerajaan Negeri Selangor tidak membenarkan aktiviti islam hadhari di adakan, tetapi atas dasar ilmu dan budaya keilmuan wacana ini tetap diadakan merentasi batas politik dan kepuakan.


Tajuk
Fizik dan Metafizik: Jambatan Penting untuk dihuraikan oleh Sufisme dan Mekanik Kuantum

Penceramah
Prof. Dr. Shahidan Radiman

Tarikh & Tempat
14 Julai 2008 ( tarikh terkini setelah 3 kali dipinda)
Khamis, 2.30 Petang, Bilik Mesyuarat Bangunan Sains Nuklear, UKM


Jom ramaikan majlis ilmu

Forum: Bahasa Malaysia Dalam Pengajaran Sains dan Matematik!!

Tarikh: 15 Julai 2008 (Selasa)
Masa: 2.30 petang
Tempat : Bilik Majlis, Aras 5, Bangunan Canselori, UKM

Ahli- ahli panel terdiri dari

Prof. Dr. Che Husna Azhari (Pengarah ATMA),

Prof. Dato' Dr. Abdul Razak Salleh (Pusat Pengajian Sains dan Matematik, FST),

Prof. Datin Dr. Siti Rahayah Ariffin (Dekan Fakulti Pendidikan),

Prof. Dr. Abdul Latif Samian(Pengarah Pusat Pengajian Umum) dan


Moderator adalah

Prof. Dr. Mohd. Yusof Haji Othman (Pengarah HADHARI).

Sebarang pertanyaan boleh dibuat dengan menghubungi talian 03-89214168 atau 03-89216991.

Semua dijemput hadir.

1/9/08

Terbitan 2007

Di bawah adalah senarai beberapa siri rencana berkala 'Tukang Catat blog' yang dimuatkan dalam Dewan Kosmik dan media lain sepanjang tahun 2007 sebagai 'penguat semangat' untuk terus berkarya di tahun ini dan tahun-tahun yang akan datang;

1. Daripada Mikro kepada Nano ( Dewan Kosmik, April 2007 )

2. Keajaiban Nano Tiub Karbon ( Dewan Kosmik Mei 2007)

3. Teknologi MEMS, Mesin Mikro Berkuasa Tinggi ( Dewan Kosmik Jun 2007)

4. Mikroskop dan Teknologi Nano ( Dewan Kosmik Julai 2007)

5. Lab on Chip, Makmal Sekecil Syiling (Dewan Kosmik Ogos 2007)

6. Pengecaman Virus dengan Teknologi Nano (Dewan Kosmik September 2007)

7. Bagaimana Peranti Semikonduktor Bermula (Dewan Kosmik Oktober 2007)

8. Komputer dan Nanoteknologi (Dewan Kosmik November 2007)

9. Nanoteknologi:Inspirasi dari Alam (Dewan Kosmik Disember 2007)

1/4/08

Khutbah jumaat, 2008


Khatib memulakan khutbah tahun baru 2008 dengan bacaan surah Al-Alaq..bacalah!..bacalah dengan nama Tuhanmu yang menjadikan!..

Begitulah sebaik-baiknya memulakan tahun baru iaitu memperingati makmum yang sebahagian besarnya terdiri daripada pelajar dan kakitangan Universiti dengan galakan menuntut ilmu dan membudayakan kegiatan membaca secara tuntas sepanjang masa..Mudah-mudahan di masa hadapan, tiada lagi kempen membaca di peringkat universiti, yang menunjukkan betapa di universiti pun masih ramai yang tidak membaca, apatah lagi di luar…

Seputar dunia buku di tahun 2008 khabarnya lebih meriah.. Pemikir kontroversi Dr. Kassim Ahmad dijangka akan melancarkan memoirnya awal februari nanti..buku pengalaman di angkasaraya Dr Sheikh Muzaffar juga akan diterbitkan tidak lama lagi..peminat buku juga tertunggu-tunggu memoir mantan PM Tun Dr M!..

Tukang Catat juga berazam untuk menyambung semula terjemahan ucapan khas Prof Jung Dok Lee berjudul Semiconductor and Nanotechnology Development in Korea.

Mudah-mudahan diberikan kekuatan!

12/31/07

Terbaru di Dewan Kosmik




Senaskhah percuma Dewan Kosmik Januari 2008 sampai ke meja pencatat blog memuatkan artikel terkini, sebagai hadiah tahun baru berjudul Fenomena GMR Merubah Dunia Elektronik..Dapatkan di pasaran 2 - 3 hari dari sekarang!

Terima kasih DBP dan editor yang bertugas

12/30/07

Cuti aidiladha & salam tahun baru 2008



Umum sudah mengetahui bahawa Perang Dunia II tamat apabila Pasukan Bersekutu yang diketuai oleh Amerika Syarikat telah meledakkan dua bom atom berkuasa nuklear yang dikenali dengan Fat Man dan Little Boy di dua buah bandaraya Jepun Hiroshima dan Nagasaki. Korban mangsa bom atom tersebut menjangkau ratusan ribu dan termasuk hilang tempat tinggal. Sehingga kini kesan radiasi ( radiasi terpendam) masih menjadi ancaman.

Disebalik kehebatan kuasa ketenteraan yang dimiliki oleh Amerika Syarikat, dan tahap ketinggian ilmu pengetahuan yang dimiliki mereka dalam bidang sains dan teknologi nuklear jarang kita dapat mengetahui siapakah sebenarnya yang terlibat mencipta bom atom pertama.

Cuti panjang sempena Aidul Adha merupakan kesempatan terbaik untuk tukang catat blog membaca sebuah buku yang dimiliki sejak Februari 2007 berjudul American Prometheus, The Triumph and Tragedy of J.Robert Oppenheimer, karya Kai Bird dan Martin J. Sherwin. Buku ini merupakan salah satu dari beberapa lagi karya biografi mengenai Oppenheimer, seorang saintis Amerika yang dikenali sebagai Bapa Bom Atom yang mengepalai Projek Manhattan. Projek ini merupakan kerjasama antara pihak tentera Amerika dan ratusan saintis di seluruh Amerika serta sekutunya yang lain dari Eropah yang menyokong projek mencipta bom atom untuk menghancurkan kekuatan ketenteraan Pihak Berikat yang diketuai oleh German. Projek ini dengan segera diluluskan oleh Presiden Amerika pada waktu itu, Eisenhover selepas mengetahui bahawa German telah memulakan projek memisahkan unsur uranium untuk menghasilkan bom atom. Terlebih dahulu Albert Einstein telah mengutus surat mengenai bahaya nuclear dan ancaman dari German kepada Presiden Amerika sekiranya US lambat bertindak. Maka Openheimmer telah dilantik sebagai ketua dalam memulakan misi mencipta bom atom yang dikenali dengan Projek Manhattan.

Oppenheimer merupakan seorang yang saintis dalam bidang fizik teori lulusan Gotingen German pada tahun 1925. Beliau memperolehi PhD dari salah seorang pemenang anugerah Nobel fizik Max Born. Sebelum berangkat ke German, beliau pernah menuntut di Universiti Cambridge dan Harvard. Beliau dilahirkan pada 22 april 1904 di New York Amerika Syarikat. Semasa hayat beliau dikenali sebagai seorang ahli fizik dan penasihat sains kerajaan Amerika. Sebagai seorang yang pakar dalam bidang fizik kuantum, teori relativiti, teori sinar kosmik dan teori bintang neutron dan memiliki karisma yang cukup hebat sebagai seorang saintis tidak mustahil beliau terpilih untuk mengetuai satu projek rahsia Amerika mecipta bom atom di Los Alamos, New Mexico.

Di sebalik kehebatan memimpin ratusan saintis lain dalam Projek Manhattan, Openheimmer juga tidak terkecuali mengalami saat duka dan terasing akibat tuduhan menyokong gerakan komunis pada waktu itu. Adik beliau sendiri Frank Oppenheimer dilucutkan jawatan sebagai profesor fizik ujikaji dari universiti Minnesota selepas terbukti menjadi ahli parti komunis. Di akhir hayat Openheimer, tuduhan terhadap beliau digugurkan sebelum beliau meninggal pada tahun 1967 akibat kanser di Princeton, New Jersey. Antara karyanya yang terkenal dalam bidang fizik ialah Science and the Common Understanding dan Lecturers on Electrodynamics.

SALAM TAHUN BARU 2008

12/11/07

Biografi Mahmoud Ahmadinejad


Minggu lepas, pusing-pusing di Warta Bangi mata ternampak satu buku yang sejak beberapa minggu lalu telah diuar-uarkan di blog sifu PTS..Kebetulan pula subjek biografi tokoh memang mempunyai daya tarikan tersendiri untuk segelintir pembaca termasuk tukang catat blog ini. Tanpa berfikir panjang, buku Ahmadinejad, Singa Baru Dunia Islam menjadi hak milik dengan harga yang murah ketimbang isinya yang membakar semangat.
Antara petikan kata-kata Mahmoud Ahmadinejad (MAN) yang menarik dalam buku ini tentang isu Israel dan Holocaust ialah


" Negara-negara Eropah perlu menggantikan kesalahan mereka kepada kaum Yahudi dengan mengembalikan tanah mereka bagi mendirikan negara (Yahudi) di Eropah (Jerman), Austria atau negara-negara lain), Amerika Syarikat, Kanada ataupun Alaska berbanding bangsa Palestin yang tidak berdosa harus membayar kejahatan ini"

"Holocaust yang sebenarnya pasti ditemui di Palestin, tempat darah bangsa tertindas ditumpahkan setiap hari dan di Iraq, tempat kaum muslimin yang tidak berdaya dibunuh setiap hari. Beberapa pemerintah Barat terutamanya Amerika menyetujui penghinaan terhadap Nabi Muhammad. Manakala mereka yang menolak lagenda Holocaust kerana tekanan puak Zionis terhadap negara-negara lain selama 60 tahun kebelakangan ini dianggap melakukan jenayah"

Mengenai isu nuklear

"sekiranya dunia melihat nuklear ini keji dan kami tidak boleh menguasai dan memilikinya, mengapa kamu pula yang memilikinya? Sekiranya teknologi nuklear ini baik untuk untuk kamu, mengapa kami tidak boleh juga menggunakannya?"

Inilah sebenarnya wajah pemimpin yang dicari-cari oleh umat islam yang saban hari semakin tertindas. Seorang pemimpin yang lantang menentang dasar-dasar pengganas yang diketuai oleh Amerika dan sekutunya.

Seorang yang bertubuh kecil, anak kepada tukang besi, sederhana dalam kehidupan, lantang, tidak menumpuk harta dalam pemerintahan dan anak muda yang terhasil dari Revolusi Iran sejak zaman Khomeini.

p/s..buku ini hendaklah dibaca dengan mengenepikan soal-soal perbalahan fahaman dalam islam di saat kita masih tercari-cari pemimpin yang boleh membawa kembali ke era emas islam di dunia moden kini.

12/6/07

Teknologi Nano: Di mana kita?

Minggu lepas, di PWTC berlangsung pelbagai acara yang berkaitan dengan sains dan teknologi. Di bangunan utama, terdapat National Innovation Conference and Exhibition aka NICE dan di dewan Tun Razak 2 berlangsung Nanotech Malaysia 2007 & 4th Asia Nano Forum Summit 2007. Penulis terlibat secara tidak langsung menguruskan bahagian pameran di salah satu 'booth' di samping lebih kurang 20 booth yang lain termasuk institusi penyelidikan dan syarikat-syarikat berkaitan nanoteknologi. Seperti biasa pengunjung silih berganti datang ke ruang pameran selain mendapatkan info-info terkini tentang teknologi ini. Di tingkat atas, berlangsung acara Forum dikalangan saintis, usahawan dan pengembang bidang ini.
Apa yang menarik untuk diperkatakan ialah kurangnya penyertaan golongan usahawan bumiputera yang menunjukkan minat dalam bidang yang semakin berkembang ini. Lumrahnya, setiap kali matangnya sesuatu bidang dalam teknologi, ia pasti akan berakhir dengan nilai pasaran, kewangan dan kegiatan ekonomi.. dan seperti biasa juga, golongan yang teruja dan melihat peluang keemasan ini ialah dari kalangan usahawan bangsa lain.
Alangkah menariknya bidang yang sedang dan masih dipelopori di kalangan penyelidik di IPT tempatan ( yang kebanyakannya bumiputera) di jengah dan dibiayai oleh syarikat-syarikat multinasional malaysia yang bertaraf konglomerat seperti PETRONAS, TELEKOM MALAYSIA, TNB, SINERGY DRIVE & syarikat GLC ( govement link company) yang lain..