Hidup adalah suatu perjalanan mundar mandir di dunia ini sebelum kita dijemput pulang oleh 'Dia' ke 'sana' entah esok, lusa atau sebentar lagi.
3/1/09
Adakah kita Menyintai Bahasa Sendiri
Mohd Arif Atan misalnya dalam rencana beliau terbaru di Utusan Malaysia hari ini (2/3/09) menyoal pembaca supaya jujur menjawab, judul buku berbahasa melayu apakah yang telah kita baca sepanjang tahun 2000 sehingga sekarang yang diterbitkan oleh DBP misalnya. Termasuk juga buku-buku bahasa melayu lain terbitan penerbit selain DBP . Penulis rencana juga mendedahkan bahawa semakin ramai orang melayu yang mengabaikan bahasa sendiri. Ironinya, bangsa asing dari Korea, Jepun, Amerika Syarikat, Belanda, Jerman dan Sepanyol giat mempelajari bahasa melayu. Di sesetengah tempat seperti China, Jerman dan Belanda telah diwujudkan Kursi Pengajian Melayu untuk mereka yang berminat mempelajari bahasa melayu. Pengalaman saya sendiri di Montreal pernah bertemu dengan seorang rakan warga Pakistan di sebuah Masjid yang menyapa kumpulan kami dalam bahasa melayu dengan fasih. Kagum dan terkejut saya seketika dengan sapaan beliau!
Tidak usah kita bising kalau kaum cina, india dan lain-lain kaum di Malaysia yang masih tidak fasih berbahasa melayu dengan baik. Bukan orang lain yang salah melainkan kita sendiri.
Maka atas alasan apa lagi bangsa kita yang bersungguh-sungguh mengabaikan bahasa melayu sehingga kadang-kadang malu dan segan untuk bertutur dengan bahasa sendiri sesama warganegara.
Sama-samalah kita fikirkan !
2/27/09
Lagi tentang menentang PPSMI

ISU Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik (PPSMI) di dalam bahasa Inggeris akan terus dibantah selagi Kementerian Pelajaran tidak mengembalikan semula ke bahasa Melayu.Bantahan terbesar bakal diadakan di Kuala Lumpur pada 7 Mac oleh beberapa NGO yang mewakili masyarakat dan pejuang bahasa Melayu.Ia ditegaskan oleh Datuk Dr Anwar Ridhwan,Pengerusi Jemaah Pesara, Dewan Bahasa dan Pustaka di dalam temubual dengan wakil Siasah Zain A Ghani di pejabatnya di Kuala Lumpur pada 16 Februari baru-baru ini.Temubual itu dapat mendedahkan lagi kelemahan hujah mereka yang mempertahankan PPSMI di dalam bahasa Inggeris:
Bagaimana perkembangan mutakhir isu PPSMI ini, kenapa pihak berwajib masih di dalam kekelam-kabutan dan lambat membuat keputusan; sedangkan ia suatu yang amat penting?
Sangat menghairankan bagaimanakah suatu dasar seperti PPSMI ini yang akan melibatkan nasib masa depan ratusan ribu atau jutaan pelajar dan bagaimana sebuah kementerian boleh melaksanakan suatu dasar yang bertentangan dengan Perkara 152(1) dan 152 (6) Perlembagaan Persekutuan.
Ia juga melanggar dan bertentangan dengan seksyen 17(1) Akta 550,-Akta Pendidikan 1996. Rakyat tentu musykil bagaimana Kementerian Pelajaran telah memperkosa Akta Pendidikannya sendiri, dan memperkosa Perlembagaan Persekutuan, untuk suatu dasar penuh kontroversial.
Mungkin pada masa itu Perdana Menteri yang ada sangat berkuasa dan tidak ada orang Melayu di kalangan pemerintah yang berani membantah?
Ya, mungkin itu suatu perkara, tetapi pada masa yang sama banyak orang menyoal; kenapa diletakkan pengajaran itu kepada Sains dan Matematik.Jika mahu memahirkan anak-anak pelajar kita di dalam bahasa Inggeris, kenapa tidak baiki sahaja pedagogi pengajaran bahasa itu? Anak-anak kita didedahkan dengan bahasa Inggeris selama sebelas tahun di sekolah; iaitu mulai Tahun Satu sehinggalah ke Tingkatan Lima.Itu bermakna ada sesuatu yang tidak kena.
Padahal jika pergi keluar negara untuk belajar bahasa itu, tiga atau enam bulan sudah memadai. Jadi kenapa harus menumpang (memparasitkan) bahasa Inggeris ini kepada dua subjek tadi.Ada juga orang kata kerana beberapa sebab yang lain yang di luar daripada itu.
Bercakap tentang dasar kementerian ia tentulah dasar yang dibuatnya melangkaui dari Perlis hingga Long Pasia atau ke hulu-hulu di seluruh Semenanjung.Pada masyarakat bandar atau kepada anak-anak menteri, mungkin mereka tidak bermasalah kerana penggunaan bahasa Inggeris di rumah dan pelbagai kemudahan yang dapat diakses sebagai alat membantu pembelajaran.Tetapi bagaimana dengan anak-anak miskin dan tiada kemudahan di tempat yang sebutkan tadi?
Hasil daripada dasar yang sudah berjalan lebih kurang enam tahun; saya dengar peratus keputusan peperiksaan Sains dan Matematik menurun, tetapi mereka terpaksa memanipulasi nisbah untuk menunjukkan peningkatan-sesuatu yang tidak sepatutnya terjadi.
Pada pandangan Dr, bilakah tamadun bahasa Melayu bermula di negara kita?
Mengikut tulisan Ismail Raji al-Faruqi, apabila tauhid tiba ke sesebuah negara, maka datanglah bersama tamadun Islam itu.Tetapi jika sesesebuah masyarakat itu mempunyai teknologi yang tinggi, mempunyai bandar-bandar yang besar dan hebat di samping kehidupan yang makmur, namun jika tidak bertauhid ; ia masih tidak dapat dianggap sebagai bangsa yang bertamadun.
Merujuk kepada tamadun kita ia telah bermula pada kurun ke-11 atau ke-12M lagi.Di mana penggunaan tulisan Jawi telah digunakan, dan ia telah dianggap sebagai tamadun Islam.Sejak beratus tahun umpamanya di Aceh, juga di kepulauan Riau, kitab atau buku-buku kita telah membicarakan hal-hal yang berkaitan dengan falsafah, tasauf dan agama secara mendalam.Di sini jelas menunjukkan bahasa Melayu berkemampuan dan terbukti sebagai bahasa ilmu.
Jadi cara terbaik ialah belajar apa sahaja ilmu termasuk Sains dan Matematik itu harus dengan bahasa ibunda supaya akhirnya memberi kesan besar?
Pakar pendidikan yang jujur menyatakan bahawa sesuatu ilmu itu lebih mudah diajar melalui bahasa sendiri. Tetapi Kementerian Pelajaran berlagak 'bodoh-sombong' sehingga tidak mahu mengakui hakikat bahawa pelajar kita harus belajar sesuatu melalui bahasa ibunda.Tampaknya sehingga hari ini, enggan menarik balik dasar PPSMI itu.
Bilakah kedegilan kementerian berkenaan akan menampakkan kesan besar kepada pelajar-pelajar atau anak-anak kita?
Oleh kerana dasar PPMSI melibatkan semua pelajar termasuk majoriti yang berada di luar bandar dan pedalaman, dasar itu akan membuat ratusan ribu atau jutaan pelajar (dalam jangka panjang) tidak menguasai ilmu Sains dan Matematik, padahal jika mendapat penguasaan ilmu itu besar kemungkinan akan dapat mengubah nasib masa depannya.
Akibatnya, dasar pelik ini hanya akan melahirkan generasi pekerja kelas dua atau kelas tiga, apabila mereka hanya layak 'makan gaji' (dalam bahasa kasar, sebagai 'kuli'- mungkin selama-lamanya) dalam sektor perkhidmatan; bukan sebagai pekerja kelas pertama yang berilmu dan dapat memanfaatkan ilmunya.
Pada jangka panjang ia akan memberi kesan besar kerana anak-anak ini akan tercicir di dalam pelbagai aspek kerana ilmu sains dan matematiknya agak dangkal kerana dasar yang kita sebutkan tadi.
Saya pernah berbual-bual dengan buruh, petani dan nelayan yang menyatakan kesukaran mereka untuk membantu 'kerja rumah' anak-anak mereka dalam bahasa Inggeris.
"Dulu masa sains dan ilmu hisab masih dalam bahasa Melayu, dapat juga pak cik tolong sikit-sikit. Sekarang pak cik tak faham apa-apa. Anak pak cik pun tak faham apa benda." Kalau begitu, dasar ini seolah-olah meneruskan dasar pendidikan zaman penjajahan dulu, yang hanya ingin melahirkan pelajar Melayu menjadi buruh. petani dan nelayan yang lebih berpelajaran sedikit daripada bapa mereka.
Saya difahamkan cendekiawan kita yang mendapat pendidikan melalui bahasa Melayu di UKM juga cemerlang dan tiada masalah menguasai Inggeris bahkan bahasa asing lain…
Tanyalah kepada lulusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), baik dalam bidang sains sosial dan kemanusiaan, dan lebih-lebih lagi dalam bidang sains dan teknologi, adakah prestasi mereka terhalang dek bahasa Melayu?
Mereka tiada masalah mendapatkan ilmu-ilmu melalui bahasa Melayu; sementara penguasaan bahasa Inggeris turut berkembang seiring dengan pengajian mereka. Sebab itu ramai lulusan UKM boleh melanjutkan pengajian di seberang laut dan mendapat kejayaan cemerlang di sana.
Kalau sistem dan dasar tersebut berjalan dengan baik, mengapa 'gatal tangan' sangat untuk mengubahnya sesuka hati?
Mereka yang mengkritik PPSMI bukan anti bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa dunia yang lain. Jadi untuk memperkuatkan penguasaan sesuatu bahasa, perbaiki pedagogi pengajaran bahasa.
Bukan memparasit subjek sains dan matematik. Kita mahu anak-anak kita mengusai bukan sahaja bahasa Inggeris. Kalau boleh mereka boleh kuasai bahasa Arab, Mandarin, Itali, Sepanyol, Perancis dan sebagainya.
Penguasaan bahasa-bahasa asing kini semakin penting, kerana kerajaan bukan lagi majikan terbesar di negara ini. Justeru itu, pengajaran bahasa-bahasa asing mesti dilakukan dengan kaedah yang lebih sistematik dan berkesan; bukan memparasit subjek lain.
Bagaimana pandangan Dr tentang bahasa kebangsaan di negara-negara maju?
Di mana-mana negara di seluruh dunia, kerajaannya akan mengembangkan bahasa kebangsaan sendiri sebagai bahasa ilmu pengetahuan, bahasa nasional, dan bahasa antarabangsa. Aneh apabila terdapat dasar kerajaan yang dilihat menyekat bahasa kebangsaan menjadi bahasa ilmu, bahasa nasional, dan lebih jauh lagi menjadi bahasa antarabangsa.
Kecualilah negara-negara kecil seperti Singapura yang tidak mempunyai ‘akar’ sendiri dan hanya mementingkan komersil semata-mata.Tetapi negara-negara yang mempunyai ‘akar’ sendiri seperti Jepun, Korea atau Perancis, mereka mahu memantapkan bahasa kebangsaan sendiri.Itu yang tidak berlaku di negara kita sehingga dianggap ‘pelik dan ajaib.’
Temubual ini telah tersiar di Siasah edisi 22-28 Februari 2009
2/21/09
Gemulah Sudirman Hj Arshad

Hari ini genaplah 17 tahun allahyarham Sudirman Hj Arshad (1954 - 1992) meninggal dunia. Mungkin ada yang berpendapat apa guna mengenang pemergian artis. Lagi pun tidak ada kena mengena dengan kita yang hidup di dunia ini. Lebih baik mengingati pemergian para anbia', ulama', saudara mara dan lain-lain..pun betul juga dan sebaik-baiknya begitulah. Tapi biarlah mereka yang berpendapat sedemikian. Bagi saya, hidup ini indah dan penuh warna warni. Ia perlu diraikan! :-)
Bagi mereka yang berminat, sila lah dengar dan perhatikan bait-bait lagu Hujan, Ayah dan Ibu, Warisan dan puluhan lagi yang lain. Insyaallah, sedikit sebanyak hati kita terusik!
Alfatihah untuk allahyarham Sudirman Hj Arshad
2/19/09
Menentang PPSMI
Tentang isu yang sedang hangat untuk masa depan bangsa dan negara kita Malaysia iaitu Pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, PPSMI, saya turunkan kata-kata Prof Dr Mohd Yusof Haji Othman yang di petik dari kertas kerja beliau yang berjudul Penerbitan Akademik Dalam Bahasa Melayu, yang dibentangkan di Konvensyen Penerbitan Kebangsaan ke-2 anjuran DBP, 1999:
Perihal dan hakikat bahasa
- bahasa jiwa bangsa
- bahasa membina budaya bangsa
- bahasa membina kaedah berfikir bangsa
- bahasa membina citra dan jatidiri bangsa dan negara
- bahasa bukan sekadar alat komunkikasi, tetapi dalam bahasa ada harga diri
- tiada satu bangsapun boleh bangun dengan citra bangsa lain
- tiada satu bangsapun yang boleh bangun dengan acuan bangsa lain
- tiada satu bangsapun yan boleh bangun dalam budaya bangsa lain
- tiada satu bangsapun boleh bangun dengan perspektif bangsa lain
- tiada satu bangsapun boleh bangun dengan cara berfikir bangsa lain
- nilai budaya terdapat dalam berbahasa
Dan Ingatlah !!
- sekiranya kita tidak merancang dan berusaha memajukan bahasa kita, kita sebenarnya merancang untuk memundurkannya
- sekiranya kita tidak merancang dan berusaha membangunkan bahasa kita, kita sebenarnya merancang untuk merobohkannya
- sekiranya kita tidak merancang dan berusaha mendaulatkan bahasa kita, kita sebenarnya merancang untuk meminggirkannya
- sekiranya kita tidak merancang dan berusaha memartabatkan bahasa kita, kita sebenarnya meancang untuk menghinanya
- sekiranya kita tidak merancang dan berusaha menggunakan bahasa kita, kita sebenarnya merancang untuk menguburkannya
Prof Dr Yusof Hj Othman
Dan kepada mereka yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang kenapa kita perlu menentang PPSMI silalah merujuk ke ruangan tokoh-tokoh ini
Prof Emeritus Dr Adullah Hassan
dan juga petikan akhbar Berita Harian
Selain itu, kita juga menunggu ulasan dan hasil kajian daripada penyokong PPSMI untuk sama-sama menilai hujah siapakah yang lebih 'masuk akal' !
Sekian!
~tukang catat~ (faizal)
2/13/09
Ungku Aziz

Profesor Di Raja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid atau lebih dikenali dengan Prof Ungku Aziz (Pak Ungku) merupakan cendekiawan terulung yang pernah dilahirkan dalam negara kita. Beliau terdidik dalam disiplin ilmu yang ketat sejak di zaman persekolahan dan mendapat ijazah tertinggi dalam bidang ekonomi dari Universiti Waseda, pada tahun 1964 di Jepun selepas menamatkan pengajian peringkat ijazah di Universiti Malaya pada tahun 1951 yang ketika itu berada di Singapura.
Sewaktu zaman belajar di UKM dahulu, saya pernah meminjam sebuah buku yang membicarakan serba sedikit tentang Ungku Aziz..seakan-akan biografi, tetapi menurut hemat saya belum lengkap diangkat sebagai karya biografi kerana masih banyak yang belum lengkap. Maaf, saya sudah lupa apa judul buku tersebut, namun antara intipati penting yang terdapat dalam buku itu yang saya masih ingat ialah kaedah-kaedah dan amalan beliau tentang penjagaan kesihatan badan dan minda. Siapa tidak tahu, sehingga kini Ungku Aziz sudah berusia 87 tahun dan masih sihat tubuh badan serta mempunyai akal dan minda yang sangat cerdas. Banyak idea-idea seperti penubuhan Tabung Haji, Angkasa, Dewan bahasa & Pustaka dan sebagainya adalah hasil buah fikiran beliau.
Antara petua-petua kecerdasan minda dan kesihatan jasmani yang dianjurkan dalam buku itu ialah menjaga pemakanan (mengharamkan gula dalam pemakanan dengan menganggap gula sebagai racun, perbanyakkan makan buah-buahan segar dan beliau menyukai betik, jangan minum kopi dan lain-lain), mengamalkan senaman dan beliau sehingga kini dilaporkan masih kuat berjoging dan yang terakhir ialah banyakkan membaca serta berfikir. Itu yang terdapat dalam buku yang saya baca mengenai Ungku Aziz kira-kira 10 tahun lalu yang dipinjam di Perpustakaan Tun Seri Lanang, UKM.
Hari ini Prof Ungku Aziz mengulangi lagi petua kejayaan, kecerdasan dan kesihatan beliau semasa menyampaikan syarahan yang bertajuk 'The Quest for Success' di Pusat Konvensyen Centre Kuala Lumpur, sempena pemilihan beliau sebagai penerima Anugerah Merdeka 2008 dalam kategori Pendidikan dan Komuniti.
Semoga Ungku Aziz sentiasa diberi perlindungan Allah atas segala jasa dan baktinya dan dikurniakan kesihatan yang berpanjangan. Inilah yang dinamakan berkat umur panjang.
Sumber : Berita Harian
p/s: ada sesiapa yang sudah memiliki buku mengenai Ungku Aziz yang terbaru berjudul The University in Pantai Valley: Glimpses of the past terbitan tahun 2009 ?
p/s/s: saya 'mungkin' memulakan azam baru untuk berhenti minum kopi untuk kesekian kalinya..heheh
2/9/09
Berburu buku lagi di Kota Montreal
Sepanjang perjalanan menaiki bas no.80 dari Place De's Arts ke St. Aviature, saya menikmati pemandangan sebahagian kotaraya Montreal yang putih diliputi salji terutamanya di sekitar Mont Royal. Dari jauh kelihatan beberapa orang sedang meluncur salji. Di kiri kanan jalan yang tidak dipenuhi bangunan pencakar langit, orang ramai menikmati keindahan musim sejuk.
Di Rue St. Aviature West ini menempatkan kedai buku S.W Welch Bookstore. Kedudukannya bersebelahan dengan sebuah kedai roti bagel yang sesak dengan pelanggan. Di sini kita boleh melihat ribuan jenis buku pelbagai kategori bermula dari buku kanak-kanak sehinggalah buku yang berkaitan dengan seks dan budaya popular barat. Di suatu sudut juga kelihatan buku-buku yang dikategorikan sebagai buku-buku tentang agama, budaya dan falsafah Yahudi. Ada di antaranya yang bertulisan hebrew dan buku-buku ini sesetengahnya agak tebal dan berjilid-jilid. Tidak dapat dinafikan bahawa, kawasan ini juga didiami oleh ramai kaum Yahudi yang terkenal dengan budaya ilmu mereka. (Ahh..muslim pun terkenal juga..hati saya memberontak!)
Tidak ketinggalan juga buku-buku dari Asia Tenggara yang kebanyakannya buku catatan kembara dan juga tempat-tempat pelancongan. Tidak ada pula buku berbahasa melayu ! bisik hati kecil..
Di rak yang terletak di belakang petugas kaunter pembayaran, tersusun berjilid-jilid buku-buku lama yang saya kira bernilai tinggi berdasarkan kulit luarnya yang kelihatan berlainan daripada buku biasa. Terasa juga untuk melihat-lihat buku apa sebenarnya yang diletakkan di situ, tetapi tidak tergerak hati untuk bertanya penjaga kaunter. Lain kali mungkin!
Perasaan masuk ke kedai buku baik yang terkini atau pun kedai-kedai buku terpakai sememangnya aneh. Apa tidaknya, dengan bau buku-buku dan helaian kertasnya yang nikmat, memegang dan membelek serta membelai..aduh..sukar digambarkan dengan tulisan!
Hampir dua jam berada di sana, saya pulang dengan 3 buah buku
Why do People Hate America? ..Ziauddin Sardar & Merryl Wyn Davies (2002)
The Scorpion's Gate ..Richard A. Clarke (2006)


2/8/09
Luncur ais
Oh ya, tasik beku yang dikhaskan untuk meluncur ais di musim sejuk ini merupakan sebahagian kecil daripada Sungai St.Laurent yang terkenal itu. Ini merupakan pengalaman pertama saya meluncur ais. Ya sudah tentu jatuh tergolek adalah perkara biasa bagi sang pemula..haha!





Lagi gambar di facebook dan flickr
2/5/09
Macam najis
BUSUK DAN MENGGELIKAN! enuf said!
#eof
2/1/09
Bumi dipijak langit dijunjung
Majlis makan tengah hari tersebut berlangsung di sebuah restoran India, Maharaja North Indian Buffet di tengah-tengah Downtown Montreal.
Pujian harus diberikan kepada Pn. Zalilah kerana beliau sangat mesra dan bercakap sepenuhnya dalam Bahasa Melayu walaupun hampir separuh daripada pelajar di sini bukan kaum melayu.
Jangan jadi macam di sesetengah tempat, termasuk di UKM, kalau ada seorang sahaja penuntut asing di dalam kumpulan pelajar Malaysia, secara automatik pensyarah atau tenaga pengajar akan terkial-kial menukar bahasa pertuturan mereka. Kononnya untuk mengelakkan penuntut asing terpinga-pinga.
Berbeza dengan bangsa-bangsa lain, kalau sesama mereka sekiranya kita tidak meminta mereka bertutur dalam bahasa yang boleh difahami oleh semua orang, mereka tidak segan silu menggunakan bahasa ibunda mereka untuk bertutur tanpa mempedulikan orang lain.
Adakah orang melayu sememangnya 'baik budi' atau 'terlalu menjaga hati orang lain' sehingga bahasa sendiri terpinggir? ( rujuk PPSMI dan juga entri terdahulu di sini )
Walau apapun, terima kasih dan tahniah kepada Puan Zalilah sekeluarga dan selamat datang ke Kanada. Salam perkenalan!

1/31/09
Berani dan terpuji

Keberanian Perdana Menteri Turki, Tayyip Recep Erdogan meninggalkan perbahasan dalam Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland selepas menyelar Presiden Israel, Simon Peres secara bersemuka minggu lepas sedikit sebanyak mengubat luka hati umat islam selepas Gaza dibedil teruk baru-baru ini. Agaknya, siapa lagi pemimpin negara-negara islam yang lain berani berbuat sedemikian dalam acara-acara besar dunia yang disiarkan secara langsung di TV. Situasi tersebut memberikan kemenangan moral kepada umat islam di atas keberanian dan kejujuran Tuan Tayyip Recep Erdogan. Tahniah!!
Ayuh, beranikan diri menentang kejahatan zionis dalam apa jua lapangan pekerjaan yang kita lakukan.
1/29/09
Zionisme:Musuh sebenar kita
Filem Beaufort mengisahkan tentang sekumpulan tentera Israel yang berkawal di sebuah kubu yang dinamakan Beaufort semasa mereka cuba memporak-perandakan Hezbollah. Yang menarik, seperti kata FT, tentera Israel yang juga dikenali dengan IDF ini sebenarnya tentera yang penakut. Mereka hanya bergantung kepada teknologi tinggi yang dimiliki serta disokong oleh kuasa-kuasa besar dunia. Dari segi moral dan jatidiri, mereka gagal total.
Melalui dialog-dialog yang diucapkan dalam filem tersebut, nyata ia menunjukkan ketakutan sebenar tentera Yahudi ini berdepan dengan pejuang Hezbollah..
Ada 'benda' yang kita sebagai umat islam boleh belajar dari filem arahan orang Yahudi ini sendiri. Antaranya ialah, janganlah kita terlalu kagum dengan segala 'ke' dan 'an' kaum Yahudi. (Cth: kehebatan, kemajuan, keintelektualan..)Kita juga boleh kalau gerakan dan strategi kita tersusun. Yang penting, jangan berhenti dari terus mencari kebenaran.
p/s: Filem ini menggunakan sepenuhnya Bahasa Hebrew..sila lah download terjemahannya. :-)
1/24/09
Lagi Pencerahan Dari Dr Maza
Itulah keluasan dan kemudahan di dalam Islam..
Untuk artikel penuh boleh merujuk di Mingguan Malaysia dalam kolum Rencana yang berjudul Tegas Berakidah, Luas dalam Fikrah
1/22/09
Syarahan Umum di UKM

Majlis Syarahan Umum FST oleh YBhg. Prof. Dato' Dr. Mohd Yusof Hj. Othman
Tarikh: 28 Januari 2009 (Rabu)
Masa: 2:30 petang
Tempat: Dewan Anuwar Mahmud, UKM
Keterangan lanjut sila hubungi Tel: 03-8921 5423.
1/18/09
Cikgu WAFA dan Pilihanraya P036
Suatu masa dahulu saya memasukkan entri berkenaan guru-guru yang sangat signifikan dalam mendidik saya sehingga menjadi 'orang' seperti sekarang. Antaranya ialah Cikgu Wan Fatimah Wan Abdullah (Cikgu WAFA) yang selalu berpesan supaya banyakkan membaca akhbar-akhbar terutamanya di bahagian rencana selain buku-buku umum yang lain untuk memperbaiki Bahasa Melayu.
Selepas 13 tahun meninggalkan sekolah, baru semalam saya dapat 'bertemu' kembali cikgu saya yang seorang ini. Itu pun melalui akhbar di internet. Sebelum ini saya tidak tahu yang beliau adalah isteri Ahli Parlimen PAS Kuala Terengganu yang baru iaitu YB Abdul Wahid Endut.
Tahniah cikgu dan keluarga!!
PENGUNDI PERTAMA... Calon PAS, Mohd. Abdul Wahid Endut membuang undi di Sekolah Kebangsaan Chabang Tiga bersama isterinya, Wan Fatimah Wan Abdullah.Sumber dari mstar
ke pusat pembuangan undi.
Sumber dari MSO Melayu
1/13/09
Hobi baru
Sebelum ini saya jarang membaca novel kecuali beberapa novel tulisan karya Shahnon Ahmad, Azizi Abdullah, Dr Tuah Iskandar dan juga karya roman buya Hamka seperti Tenggelamnya Kapal Van Der Wijk, Merantau Ke Deli dan Di Bawah Lindungan Kaabah . Oh ya, pernah juga membaca kisah Benawi oleh Aripin Said, Senjakala (Baharuddin Kahar), Lasykar Pelangi (Andrea Hinata), Tunggu Teduh Dulu (Faisal Tehrani) dan beberapa buah lagi.
Seingat saya, novel fiksyen yang dibaca dan dihadam dengan baik ialah karya pengarang terkenal tanahair saudara Faisal Tehrani berjudul 1515[Kombat]. Kisah futurustik kegemilangan tentera islam menentang musuh.
Sesekali elok juga mencuba sains fiksyen bak kata motivator terkenal Dr Tuah " membaca novel boleh mendidik minda menjadi kreatif".
Jadi sekarang saya mula mengorak langkah membaca genre fiksyen. Sebelum ini pening kepala dengan plot berbelit-belit Neal Stephenson dengan Cryptonomicon dan Snow Crash'nya saya beralih arah ke Richard A. Clarke dengan judul 'Breakpoint'. Nampaknya ia agak serasi dengan jiwa saya. Sudah hampir separuh novel 'tangan kedua' ini diulit..Mengkagumkan!
Lain-lain yangbelum terusik ialah The Best of Isaac Asimov, Einstein Brain (Mark Olshaker), 2061 (Arthur C.Clarke) dan The Machineries of Joy (Ray Bradbury).
Rindu dengan fiksyen melayu, saya menempah beberapa buah buku dari seorang rakan maya baru, pemilik kedai buku online 'OREN-JI' yang juga penulis sai-fai saudari Suri Mawarne. dengan novelnya Virus L.
Semoga rindu buku terubat..hehe!

1/11/09
'Curious' tentang agama
Apa yang kami bualkan?
Persoalan tentang hakikat agama & kehidupan! Dia seorang ateis yang tidak mempercayai agama. Maklumlah, terdidik dalam fahaman komunis selepas Revolusi Kebudayaan China 1966. Persoalan yang ditanya tentang islam meliputi soal-soal poligami, tudung, puasa, sembahyang, Tuhan dan perbezaan bangsa arab dan agama islam yang semuanya kurang difahami dengan baik. Kesemuanya kelihatan negatif di mata seorang yang tidak bertuhan!
Tapi kami senyum-senyum mesra sahaja menjawab setiap soalan yang diutarakan supaya suasana mesra warga asia dan budaya sopan adab melayu tetap terjaga.
Dia beredar pulang selepas beria-ria ingin 'melihat' kami solat maghrib yang waktunya sangat pendek di musim dingin ini. Sebelum pulang sempat juga dia menyatakan ingin mencari buku dan melayari internet tentang Islam.
Kesimpulannya, soalan logik akal perlu dijawab dengan jawapan yang logik juga sambil diselang seli dengan sedikit ketukan di pintu hati. Kalau kena gaya, wanita yang kuat bekerja ini boleh masuk islam!..Mudah-mudahan!
Ya Allah, jauhilah diri ini dari sifat bangga diri dan malas!
p/s: Ahh.. suhu di luar tercatat -15 ' Celcius..
1/7/09
Ketika salji turun
Dalam menghabiskan waktu lapang yang panjang, saya banyak menghabiskan masa dengan membaca buku-buku yang lama dan baru secara berganti-ganti. (macam larian 4 x 100 la pulak) Terkini 4 buah buku sedang ditekuni iaitu:
The Quantum Ten..Sheila Jones (2008),
Snow Crash--Neal Stephenson (1992),
A History of the Sciences--Stephen. F. Mason (1962)
Atom, Journey Across the Subatomic Cosmos - Isaac Asimov (1992)..
Saya agak tertarik dengan buku The Quantum Ten kerana terlalu ingin mengetahui misteri di sebalik fizik moden iaitu kuantum mekanik yang begitu misteri dan unik bagi sesetengah pihak. Apatah lagi bagi orang yang tak tahu apa-apa mengenai fizik teori (dengan matematiknya yang kompleks) seperti saya. Jadi buku ini diharap dapat merungkaikan sejarah dan misteri kuantum mekanik. Insyaallah serba sedikit yang saya faham akan dicatatkan di sini atau di mana sahaja yang dirasakan sesuai.
Ada orang yang menyatakan bahawa gaya bahasa dan tulisan di blog ini sangat berbeza dengan watak saya yang sebenar di luar.. hehe! Sebenarnya saya sedang belajar menulis dengan bahasa dengan lebih baik. Sebahagian hasil latihan menulis ini saya catatkan dalam bentuk rencana dan artikel. Alhamdulillah! Kebanyakannya diterima baik oleh editor dan saya catatkan juga hasil tulisan-tulisan itu di blog saya yang kedua iaitu Teknologi:Dari Mikro ke Nano.
Sejarah menulis blog ini juga agak panjang. Saya bermula dengan mundarmandir pada tahun 2003. Waktu itu blog masih belum terkenal seperti sekarang. Tulisan dan gaya menulis pun hodoh, caca marba dan tiada tujuan. Sekadar melepaskan gian menulis selain untuk tidak ketinggalan dalam teknologi internet. Bermula 2006, mundarmandir versi ke-2 diwujudkan sebagai latihan untuk mencantikkan lagi gaya menulis. Semoga ia bertambah baik!
Ada juga orang bertanya, kenapa saya berhijrah sebentar ke tempat yang sangat sejuk ini, apa yang saya buat, kerja ke tidak, bagaimana dengan kerja di Malaysia dan sebagainya...hehe..saya tinggalkan dahulu soalan-soalan ini dan insyaallah akan di sambung dalam entri-entri akan datang..
.....
p/s: Sama-samalah kita memboikot premis dan produk Amerika & Israel mana yang termampu
1/4/09
Keluh & Resah
Jumaat lalu, mungkin semua khatib di seluruh dunia berkhutbah tentang isu pembantaian Israel Zionis ke atas umat islam Palestin yang sehingga hari ini sudah memasuki hari ke enam. Tak terkecuali juga khatib di Masjid Abu Hurairah di sini ( baca:
Tapi apa yang dapat kita lakukan! Pada masa kini saya mula teringatkan Iran yang memiliki sedikit kekuatan untuk mengancam Israel secara terang-terangan. Negara Islam lain bagaimana?
Benarlah, kita sudah ibarat buih-buih di lautan atau pun daging-daging bersepah yang menjadi rebutan pemangsa!!
Apa lagi yang tinggal..kala ini kita umat yang tertewas!
Bagaimana mahu bangkit??
12/30/08
2009 / 1430 H
Senarai buku yang tamat dibaca pada tahun 2008
1. Tan Sri A Samad Ismail Menulis ..A Samad Ismail
2. Budaya Yang Tercabar ..Shamsul Amri Baharuddin
3. Mengapa Kami Bantah ..Prof Emer. Dr Abdullah Hassan
4. Ignited Minds -- A.P.J Kalam
5. Wings of Fire .. A.P.J Kalam
6. MafiaBoy -- Michael Cache
7. Karya Nan Indah --Faisal Tehrani
8. Lasykar Pelangi - Andrea Hinata
9. IWoz - Steve Wozniak
10. Dua Dunia - Anis Sabirin
11. Keganasan, Penipuan & Internet --Hishamuddin Rais
12. Mencari Jalan Pulang --Kassim Ahmad
Untuk tahun 2009, saya lebih cenderung untuk membaca buku-buku fiksyen, sejarah sains moden & novel..insyaallah!
Buku yang tidak pernah dilupakan dan dibaca sepanjang tahun sejak 1998 terutamanya apabila fikiran agak tersasar ialah Falsafah Hidup karya agung Buya Hamka..Tetap menjadi rujukan sehingga sekarang!
Selamat Tahun Baru !!
12/24/08
Menilai dengan akal
Belakangan ini isu puisi Dr Maza yang dinyanyikan oleh Kopratasa berjudul 'Aku Bukan Musuh Harta' bagi menegur mereka-mereka yang terlibat dalam kegiatan rasuah dan wang haram. Lantas ia diharamkan disiarkan di RTM atas alasan liriknya terlalu kasar dan tidak sesuai. Di sini saya turunkan semula puisi berkenaan yang telah digubah dalam bentuk lagu..
Betapa pena yang tajam dapat menikam hati-hati mereka yang keras dan buta seni
12/21/08
Mencari buku
Sesiapa yang mempunyai maklumat tentang buku ini bolehlah berkongsi dengan saya..
Petikan buku boleh dibaca di sini
Sekian
Gambar diperolehi dari blog AlmariRoboh
12/20/08
Harga minyak & tabiat orang 'kita'
Ketika harga minyak meningkat naik sehingga RM2.70 liter beberapa bulan lepas, ramai yang telah beralih kepada penggunaan NGV untuk kenderaan mereka akibat tidak tertahan dengan beban kenaikan harga minyak..Ada beberapa bengkel kereta tiba-tiba menjadi terkenal dan mengaut untung dengan perkhidmatan memasang tangki NGV..bagi yang mampu mereka ke bengkel..bagi yang kurang mampu dan lebih kreatif, memasang sendiri tangki NGV menjadi pilihan..akibatnya suatu kejadian yang tidak diingini berlaku apabila tangki NGV mereka meletup dan mengorbankan nyawa..(disiarkan dalam akhbar dan berita tempatan)
Sekarang harga minyak turun kembali..riuh rendah sistem enjin NGV tidak kedengaran lagi..hidup kembali normal..ada yang sentiasa beringat dan ada yang lupa apa yang berlaku..itulah hakikat kehidupan manusia..
Apa yang kita boleh belajar ialah 'janganlah bersikap gopoh gapah'.. "mendengar guruh di langit air tempayan dicurahkan" adalah peribahasa yang tepat untuk menggambarkan sikap gopoh gapah...alangkah elok kalau kita bertenang..lambat laun keadaan kembali normal..
Teringat lagu apokalips dendangan M Nasir..
roller coaster, roller coaster
susah dan senang bersilih ganti'
12/18/08
Sekali-sekala
Jadi saya cuba buat pizza..bukan buat pun, letak jer topping'nya dan masukkan dalam 'oven'..doh pizza beli kat market..nah!!
12/17/08
Letaklah sesuatu di tempat yang betul

Presiden US yang baru, Barrack Obama melantik Steven Chu sebagai Energy Secretary' nya yang baru. Steven Chu merupakan pemenang Anugerah Nobel Fizik pada tahun 1997 dan menjawat jawatan sebagai pengarah di Lawrence Berkeley National Laboratory.
Steven Chu merupakan seorang yang aktif memperjuangkan kaedah saintifik bagi mengatasi dua masalah utama yang dihadapi dunia sains iaitu Pemanasan Global dan Penggunaan Tenaga Keterbaharuan (renewable energy).
Di negara-negara maju, kesedaran tentang dua masalah ini giat disebarkan baik dari kumpulan penyelidikan saintifik mahupun orang awam melalui rencana-rencana di akhbar ataupun majalah. Baru-baru ini penulis menerima 2 risalah berjudul AWAKE dari pertubuhan Kristian di sini yang menulis tentang 'Global Warming'. Pengedar-pengedar risalah tersebut terdiri dari golongan 'tua' yang menjadi ahli pertubuhan tersebut!
Berbalik kepada perlantikan Steven Chu sebagai Setiausaha Tenaga Amerika yang baru, ia suatu petanda bahawa kaedah saintifik sangat diperlukan dalam menangani masalah-masalah yang berkaitan dengan sains dan teknologi atau dengan kata lain meletakkan sesuatu biarlah kena pada tempatnya.
Masyarakat saintifik melihat perlantikan ini sebagai satu penghormatan besar kepada golongan saintis dalam pentadbiran tertinggi sesebuah kerajaan. Kita lihat apa yang akan dilakukan oleh Profesor Steven Chu pada penggal akan datang.
Sesuatu yang boleh dipelajari dari perlantikan ini.
12/9/08
Pengalaman baru!
Inilah pertama kali saya dan keluarga melihat salah satu kekuasaan Tuhan apabila salji turun....sungguh teruja!!Saya mengambil kamera dan bergegas ke sungai yang berdekatan kediaman kami. ..Semasa mengambil gambar kelihatan juga beberapa individu sedang mengambil gambar air terusan yang sedang membeku di lapisan atas..begitu cantik dengan kepulan tebal wap air lepas ke udara seolah-olah api membakar sekam dan melepaskan asap di permukaan..
Di tengah-tengah kesejukan (-20 degree) beberapa keping gambar diambil, namun tidak dapat bertahan lama dengan suhu sejuk melampau walaupun tubuh, muka dan tangan berbalut . Tangan dan muka terasa kejang dan kebas!! Tanpa menunggu lama, saya berlari pulang!..
Sampai di rumah mulut seakan terkunci dan berat untuk berkata-kata akibat kesejukan..isteri pun gelak.. :-)
Sejuk dan cantik sekali pemandangan salji yang memutih di setiap penjuru bumi Montreal!
12/6/08
SALAM AIDILADHA 1429 Hijrah
12/2/08
Kisah Penggodam
Saya selesai membaca buku Dan Verton ini dua tahun dahulu. Kisahnya begini, pada tahun 2000 laman web terkenal Yahoo!, E-bay, E-Trade, Dell telah lumpuh beberapa jam dan kerugian dianggarkan sebanyak 8 bilion dolar US akibat aktiviti penggodam komputer sehingga memaksa Bill Clinton sendiri turun padang meminta pihak berkuasa bertindak membanteras dan menghukum individu yang bertanggungjawab. Mafiaboy di tangkap sekitar April 2001, ketika berumur 15 tahun!!
Waktu itu, internet masih baru dan mula berkembang di seluruh dunia. Saya sendiri mula 'menyentuh' internet sekitar tahun 1999. Itu pun hanya bermain IRC dan menggunakan emel. Internet belum lagi berkembang seperti sekarang..jauh sekali blog!..
Terbitnya buku tulisan mafiaboy sendiri atau pun Michael Calce ini pada tahun ini membuatkan hati tak tertahan untuk memilikinya..
Dan sekarang Michael Calce telah insaf dari kegiatan masa remajanya dan telah menukar profesion ke arah yang lebih bermanfaat membantu komuniti IT tentang peri pentingnya keselamatan komputer dan rangkaian..
Seronok membaca buku ini!

11/30/08
Kenangan
Kini jauh di perantauan terkenangkan tanah air tercinta yang dilanda hujan dan banjir..
Ahh..kenangan lama..
Hujan emas di negeri orang hujan batu di negeri air sendiri..
lebih baik di negeri sendiri kalau ahli politik kita tidak korup..
p/s..anak-anak kecil yang leka berpesta banjir, berhati-hati..malang tidak berbau!
11/27/08
Musim sejuk, buku dan internet
11/18/08
Berjalan pantas!
11/14/08
Mereka juga bekerja keras
Selepas 10 minit bercerita tentang kepercayaan kristian, mereka mula bertanya di mana Malaysia..'berjiran dengan Indonesia, Thailand dan Singapura'.. jawab saya..
Kemudian mereka mengeluarkan sebuah buku kecil tentang misi dan tujuan agama kristian yang mempunyai tidak kurang dari 40 bahasa termasuk bahasa Melayu Indonesia untuk saya baca..(bangga juga dalam hati sebab tidak ada tulisan melayu Malaysia di tangan mereka)..mungkin belum sempat diterjemahkan atau mereka menganggap sama sahaja BM di Malaysia dan BM di Indonesia
Selepas menyerahkan brosur tadi, dengan ramah tamah meminta diri, mereka beredar...perbualan bermula dan tamat hanya di anjung rumah di balik pintu.. heheh!
Terdetik dalam hati, betapa kuat dan tersusunnya gerakan kristianisasi di seluruh dunia. Dari segi kewangan, organisasi, bahasa dan lain-lain. Itu yang menyebabkan mereka senang sekali datang ke tempat-tempat berlakunya bencana Tsunami, gempa bumi dan taufan menghulurkan 'bantuan' yang mempunyai maksud tersirat..
Gerakan kristian tidak pernah berhenti rehat..
Bahaya kalau tidak berhati-hati..
11/4/08
aahh...malam yang panjang
Di awal musim sejuk ini, salji belum turun..suhu kadang-kadang mencapai 0'C..kebiasannya di bawah 5'C..pemanas di dalam rumah pun sudah mula dipasang..Waktu siang lebih singkat berbanding malam. Waktu maghrib pukul 4.39 PM, isya' seawal 6.05 petang manakala subuh pula pukul 5.15 AM.
Mental pun kena bersedia untuk menghadapi malam yang panjang..walau apa pun, inilah cabaran tinggal di negara orang!
10/31/08
Memburu buku di Montreal
Kedai pertama sudah tentu dekat kediaman kami iaitu Librarie Bilingue Encor Lire. Di sini terjumpa buku The World is Flat tulisan Thomas L. Friedman yang diletakkan di dalam kaca pameran kedai tersebut. Ramai yang sudah membaca buku ini, tetapi kali ini saya baru berpeluang mendapatkannya dengan harga Can 7.95.

Kedai kedua ialah berdekatan dengan McGill University iaitu Paragraphe. Banyak buku-buku menarik dan terkini dijual di sini. Tapi tiada pula buku-buku terpakai!..Memandangkan bajet pun tidak mencukupi menjamu mata dengan melihat buku pun sudah memadai. Namun mata saya terpandag satu buku yang kulitnya sahaja sudah dapat menipiskan dompet yang memang sedia nipis. Buku berjudul The Quantum Ten karya terbaru Sheila Jones terbitan tahun 2008 yang dijual di sini dengan harga Can 25.80 saya perolehi melalui Amazon.com dengan kos penghantaran percuma berharga Can 18.87. Cuma perlu menunggu sehari untuk buku ini sampai di depan pintu rumah.


Sudah berada berhampiran McGill University, memang tak sah lah kalau tidak singgah le kedai buku universiti tersohor ini. Sesuai dengan usia universiti ini yang melebihi 100 tahun, kedai buku ini sememangnya elegan. Dengan ketinggian 5 tingkat, ribuan buku di jual. Saya hanya mencapai buku iWoz: Computer Geek to Cult Icon, karya biografi Steve Wozniak bersama Gina Smith.


Inilah kisah seminggu memburu buku di Montreal
Sepetang di Verdun Canal
Hujung bulan Oktober juga ada sambutan Halloween..Di kawasan kediaman kami banyak rumah-rumah dihiasi dengan labu-labu yang berukir dan rumah di dekorasi dengan gaya-gaya 'gothic'. Sejak dari petang tadi sepanjang jalan di Verdun kanak-kana dan orang dewasa memakai pakaian Halloween dan berjalan sekitar kawasan perumahan mengutip gula-gula..Nasib baik mereka tidak datang ke rumah kami. Kalau tidak meraung satu kejiranan lah si kecil..heheh!
Hari ini cuaca amat baik dengan pancaran matahari tetapi tetap sejuk seperti biasa. peluang untuk mengambil gambar-gambar menarik tidak dilepaskan!
Dengan hanya menggunakan Nikon Coolpix 210, hasilnya seperti di bawah!





Lagi foto di Flickr











