www.majalahsains.com

6/23/08

Politik, Buku & Durian

Seingat saya pada tahun 1998 (betulkan saya sekiranya tersilap), bekas perdana menteri Malysia Tun Dr M telah mengutarakan slogan Malaysia Boleh sempena penganjuran Sukan Komanwel 98. Hasilnya atlet Malaysia memperolehi 10 pingat emas dalam pelbagai disiplin sukan. Suatu kejayaan amat membanggakan pada waktu itu. Selepas kejayaan atlet Malaysia meraih 10 emas, bermulalah semangat anak Malaysia untuk mencipta rekod dunia menjalankan misi yang dianggap mustahil dan bodoh oleh pengkritik. Maka dengan semangat Malaysia Boleh, Gunung Everest dapat ditawan, penjelajahan ke kutub Utara dan selatan, kewujudan putrajaya, pelayaran solo merentas lautan dunia oleh Datuk Azhar Mansor dan sebagainya. Waktu itu kebanyakan warga Malaysia begitu bersemangat untuk melakukan apa sahaja yang dianggap boleh membanggakan negara dan dapt membuktikan bahawa anak Malaysia juga BOLEH melakukan sesuatu yang sebelum itu dianggap misi mustahil.

Selepas perletakan jawatan Tun M, dan sehingga kini adakah semangat MALAYSIA BOLEH masih membara dalam hati dan minda warga Malaysia. Selepas pertukaran tampuk kepimpinan negara, gema kata-kata semangat ini semakin lama semakin tenggelam dan diterusjkan dengan tema baru yang kelihatan kosong dan tidak bermaya.

Pulang ke Kuala Pilah Jumaat lepas, saya sempat singgah di sebuah kedai buku yang agak terkenal di Bandar Seremban. Sebetulnya isteri yang ajak ke sana untuk mencari beberapa buah buku untuknya. Kedai buku tersebut banyak menjual buku-buku sekolah peringkat kanak-kanak sehingga sekolah menengah. Namun, di suatu sudut kelihatan sebuah rak kecil buku-buku ‘general interest’. Saya terus menuju ke situ. Kelihatan buku-buku lama dan baru dipamerkan. Kelihatan juga buku-bukui biografi Lee Kuan Yew, Lesson: An Autobiography oleh Dr Wang ( yang saya sudah miliki 3-4 tahun lepas). Saya amati beberapa buah buku lain, kemudian terpandang sebuah buku berjudul Wing of Fire: An Autobiography APJ Abdul Kalam. Buku ini sebenarnya saya sudah cari di MPH dan Kinokuniya secara online. Tetapi keluar “search item not found’! termasuk juga sebuah lagi buku beliau berjudul Ignited Minds: Unleashing the Power Within India, yang saya tempah dari Amazon.com. Sambil menunggu ketibaan buku kedua tersebut, tak sangka pula saya akan menemui buku pertama yang ternyata amat menarik isi kandungannya. Buku yang meceritakan tentang kejayaan seorang saintis roket yang diangkat menjadi presiden India yang ke-7. Saya sempat membaca buku ini hingga bab 3 setakat ini.

Musim durian sudah bermula. Ahad lepas, pulang ke Bangi dari Kuala Pilah saya sekeluarga melalui Jalan Bukit Putus yang terkenal dengan selekoh-selekoh tajamnya. Saya sempat singgah di salah sebuah gerai durian di tepi jalan di celah-celah Bukit Putus. Selepas membayar harga durian yang ‘masih’ agak mahal, terus memecut ke Bangi. Hasilnya!

6/15/08

Minyak Naik, Rakyat Naik Angin


Seminggu dua ini, akhbar, majalah, TV dan blogger kebanyakannnya mengulas tentang isu kenaikan harga minyak. Ramai orang termasuk tukang catat mengeluh tentang kenaikan mengejut yang diumumkan oleh PM. Tidak cukup dengan keluhan, ramai yang turun melepaskan rasa amarah di jalanraya. Terbaru di kampung Baru KL, selepas solat jumaat minggu lepas. Keesokan harinya dilaporkan akan diadakan satu bantahan kenaikan harga minyak oleh Gabungan Memprotes Harga Minyak (PROTES) di Seremban dan seterusnya akan digerakkan di seluruh negara. Kemuncak bantahan rakyat ialah pada 12 Julai nanti yang akan menghimpunkan 100, 000 rakyat berdemonstrasi membantah keputusan kerajaan menaikkan harga minyak. GAMIS pula akan menggerakkan 5000 mahasiswa untuk turut serta dalam perhimpunan raksaksa tersebut ( baca akhbar SIASAH terkini).
(gambar dari harakahdaily)

Kita sedia maklum bahawa bahan bakar ini hampir mendominasi keseluruhan hidup manusia. Siapa yang berani mempertikaikan? Ura-ura kenaikan harga minyak melonjak ke paras lebih AS$200 setong tidak boleh dipandang ringan. Jika kenaikan ini berlaku, sudah tentu harga barang akan terus naik dan naik. Apa yang memeritkan ialah kesan rantaian yang akan menyebabkan harga barangan pengguna akan meningkat dan yang paling malang ialah golongan pertengahan dan miskin. Tak usah kita sebut tentang pemotongan 10% elaun menteri-menteri. Itu hanyalah gimik! apalah sangat 10% pemotongan berbanding 40% kenaikan harga minyak. Rebat minyak? Ya terima kasih..tapi berapa lama sangat akan bertahan..

(gambar dari harakahdaily)

Profesor Zaini Ujang memberikan 3 langkah utama dalam menangani kesan kenaikan harga minyak.

1. Mengelakkan pembaziran
2. Menukar teknologi pengeluaran tenaga kini kepada teknologi baru (Renewable energy)
3. Menambah kecekapan

Dalam 3 senarai di atas, no. 2 dan 3 adalah tanggungjawab kerajaan. Yang pertama semua pihak patut insaf.( tetapi Dr. Maza menegur juga sikap hipokrit orang kaya / menteri-menteri/ustaz-ustaz yang galak menyuruh orang lain berjimat, sedangkan mereka sendiri bersenang lenang)

Jadi apa yang perlu kita lakukan?..

6/10/08

Pedoman dalam kehidupan


Wahai Tuhanku, aku berlindung dariMu daripada
SUSAH dan DUKACITA,

Aku berlindung dariMu daripada
LEMAH dan MALAS,

Aku berlindung dariMu daripada
PENGECUT dan BAKHIL,

Aku berlindung dariMu daripada HUTANG dan KEKUASAAN ORANG LAIN KE ATAS DIRIKU

Doa di atas mengandungi 8 perkara yang dipohon kepada Allah agar dijauhi dalam kehidupan kita sehari-hari

Doa ini juga diajarkan oleh Nabi kita Muhammad SAW kepada seorang pemuda yang bermalas-malasan di dalam masjid kerana sudah putus harapan dalam hidup akibat hutang bertumpuk. Selepas mendengar nasihat Nabi, pemuda itu kembali bersemangat meneruskan kehidupan dengan menghayati dan memahami serta mengamalkan setiap ajaran di dalam doa tersebut.
Semoga kita juga tergolong di kalangan pemuda yang mendapat cahaya terang dari doa yang diajarkan oleh Nabi kita Muhammad SAW.

Kisah ini dibawakan oleh HAMKA lebih 20 tahun dahulu semasa menyampaikan kuliah subuh harian beliau yang dirakam dengan kaset. HAMKA yang terkenal dengan pidatonya yang memukau, bersuara tajam dan gemersik diiringi renungan tasaufnya yang dapat dicerna oleh orang awam mampu menggugah hati-hati kita yang kaku dan keras. Al fatihah untuk Buya HAMKA

6/8/08

Rencana Dr.MAZA tentang isu minyak dan sekitarnya

Rencana tuan mufti dalam Mingguan Malaysia Ahad 8/6/2008..

Tegas, berani dan sanggup menghadapi risiko..inilah ulama' pilihan rakyat. Tidak takut menegur kepincangan pemimpin melalui bahasa dan kolum beliau yang tajam..Harapnya para pemimpin insaf akan realiti kehidupan rakyat bawahan. Semoga kolum Pena Mufti tidak diusik oleh 'pemimpin'.

Sila ke www.drmaza.com

6/3/08

Bila pulang ke kampung #3

Saya kalau pulang ke Besut, tak sah kalau tak singgah di Pantai Rhu 10, Setiu untuk menikmati sotong, udang,ikan celup tepung dan juga air nyior muda. Apatah lagi sekarang musim mencandat sotong di Terengganu (tempat lain pun barangkali ada aktiviti mencandat).Makan-makan bersama keluarga sambil menikmati hembusan angin Laut China Selatan sememangnya satu nikmat anugerah Tuhan yang jarang diperolehi di tempat lain.

Oh ya, saya sudah hampir separuh membaca buku "Growing Up in Trengganu" tulisan Awang Goneng semasa bercuti baru-baru ini. Buku ini mengimbau nostalgia beliau membesar di Terengganu dan begitu tajam sekali ingatan dan catatan penulis buku ini. Nanti saya akan ceritakan perihal buku Awang Goneng di 'entry' akan datang..Insyaallah. Buku yang sangat menarik dan saya syorkan supaya seluruh rakyat Terengganu terutamanya memiliki dan membaca buku ini..10 bintang untuk Awang Goneng!

Bila pulang ke kampung #2

Dalam keghairahan membelek timbunan majalah lama, terjumpa pula dengan dua buah majalah FANTASI terbitan Creative Enterprise Sdn Bhd di celah-celah timbunan. Majalah ini rasanya sudah tidak lagi wujud di pasaran. Apa yang menarik di dalamnya ialah catatan pengembaraan ( atau pelarian politik) Hishamuddin Rais. Kebetulan pula kedua-dua majalah tersebut baru sahaja memuatkan 2 siri tulisan beliau. Sesiapa yang masih memiliki majalah FANTASI ini bolehlah menghubungi saya untuk berkongsi cerita.

Subjek Hishamuddin Rais ini menjadi minat penulis sejak zaman mahasiswa yang penuh dengan idealisme sekitar 1998-2001. Mungkin peminat politik kampus tidak perlu diperkenalkan lagi dengan HR.

Kebetulan pula saya sudahpun membaca buku beliau terbaru berjudul “Keganasan,Penipuan & Internet” terbitan SIRD. HR saya kira seorang yang berfikiran bebas ‘hampir’ tiada sempadan sejak zaman kegemilangan beliau sebagai mahasiswa sehingga terperosok ke London selama 20 tahun. Esei dan kritikan beliau dalam buku ini sahaja cukup untuk menggambarkan beliau sebagai seorang yang bebas melakukan apa sahaja tanpa ada sebarang halangan. Tulisan beliau juga 'tidak kering' dan penuh jenaka sinis yang kadang-kadang dapat menghangatkan topik perbicaraab semasa, terutamanya politik dan kebudayaan. Saya dapat menggambarkan beliau seorang yang unik dan mempunyai keberanian tersendiri.

Bila pulang ke kampung #1

Satu tabiat lama yang saya suka lakukan bila pulang bercuti di Besut ialah menyelongkar buku-buku dan majalah lama. Ada yang dibeli sendiri, majalah-majalah yang dibeli oleh abangdan kakak serta majalah-majalah lama bertulisan jawi serta rumi ejaan bahasa melayu lama yang masih disimpan. Tidak semuanya masih ada. Sebilangan sudah hilang entah ke mana.Penulis tertarik dengan majalah Dewan Masyarakat yang diterbitkan pada tahun 1988 yang dibeli oleh Abang Long. Di kulit depan tertera petikan ucapan Anwar Ibrahim yang pada ketika itu menjawat jawatan sebagai Menteri Pendidikan. Antara lain beliau menyebut”

“Saya sangat bimbang apabila melihat masyarakat kita yang tidak ada tradisi membaca, yang tidak membaca,samada buku lama atau baru, boleh berasa tenang dan gembira,sedangkan orang lain yang jauh lebih maju daripada kita, yang tidak ada masalah tradisi membaca seperti di Amerika, Peranchis, Jerman dan negara-negara lain kini mula mempersoalkan rakyat mereka kerana tidak mahu membaca buku-buku yang penting dan utama dan mengikat diri mereka dengan sejarah, dalam usaha untuk membebaskan diri daripada tekanan dan kepalsuan hidup ini.

Jikalau benar kita ini berfikir, dan jikalau benar kita ini cendekiawan,sepatutnya kita berasa resah dan bimbang dengan suasana ini. Kita mesti mempunyai cita-cita dan idealisme untuk membetulkan kelemahan-kelemahan itu. Kita harus memaksa diri kita, keluarga kita dan masyarakat kita meneruskan perjuangan untuk membawa perubahan dengan mempertahankan tradisi ilmu ini”…..

-ANWAR IBRAHIM

(Bekas Menteri Pendidikan, 1988).

Di dalam majalah dimuatkan ucapan penuh beliau berjudul “Tradisi Ilmu” di Pameran Buku Pengajian Tinggi pada bulan Disember 1987.

P/s: Sekarang sudah nampak kecenderungan masyarakat kita membaca dan memiliki buku. Contohnya pada KLIBF08 baru-baru ini mencatatkan bilangan melebihi 3.2 juta pengunjung. Bagi mereka yang masih belum mempunyai kesedaran membaca, masih belum terlambat untuk berbuat demikian.


5/24/08

Santapan Minda

Kulit depan Majalah TIME bulan Mei menggambarkan 2 jasad saling berpegangan tangan yang memberikan erti sangat besar. Dengan tajuk besarnya "Heartbreak in China", gambar tersebut bolehlah ditafsirkan sebagai "persimpangan antara HIDUP dan MATI". Gambar itu dirakam oleh wartawan saat melihat mangsa sesudah gempa bumi berukuran 7.2 Richter di Sichuan China yang mengorbankan lebih 40, 000 nyawa. Kadang-kadang terlintas di kepala yang menerawang jauh bahawa "alam begitu kejam terhadap manusia" tanpa memikirkan natijah yang berlaku di sebaliknya.

Saya juga baru sahaja selesai membaca sebuah buku baru yang dibeli di KLIBF08 baru-baru ini. Buku tersebut merupakan antologi artikel yang termuat di dalam Majalah Dewan Budaya terbitan DBP hasil tulisan Profesor Shamsul Amri Baharuddin. Buku setebal 360 mukasurat ini mempunyai 58 rencana tulisan beliau dengan pelbagai topik yang merangkumi pelbagai aspek kebudayaan dan antropologi yang melingkari kehidupan rakyat di bumi Malaysia. Buku yang berjudul Budaya yang Tercabar ini sarat dengan wacana kritis yang disampaikan secara santai oleh penulisnya yang sememangnya terkenal dengan kepetahan berhujah dan menyampaikan sesuatu isu. Antara tajuk-tajuk menarik di dalamnya ialah

1. Apa Salah Universiti?
2. Minda Kolonial Meracun Masyarakat
3.Rumah Terbuka, Minda Tertutup
4. Revolusi Mental
5.Orang Melayu, UMNO dan Legasi Tun Dr Mahathir.

5/21/08

Hujung minggu di Bukit Bintang

Hari minggu baru-baru ini diajak oleh 'boss' sebagai pembantu beliau di retreat Penyelidikan Nanoteknologi dan Bahan Termaju di salah sebuah hotel sekitar Bukit Bintang.


Pandangan dari tingkat 16 Hotel The Royale Bintang, KL.

5/11/08

Aktiviti hujung minggu!

Hujung 2 minggu lepas, lega rasanya dapat sedut udara nyaman sambil mandi manda di Hutan Lipur Ulu Bendul Kuala Pilah. ;-)





5/5/08

Apa kesan sesudah kempen boikot?

Timbul pertanyaan dalam diri apabila melihat produk-produk Belanda masih banyak di rak-rak rangkaian supermarket besar di Malaysia. Rata-ratanya pengguna melayu beragama islam masih menjadi penyumbang terbesar terhadap kegagalan kempen boikot produk Belanda rentetan isu filem pendek 15 minit berjudul fitna.

Membaca sebuah rencana dalam Berita Harian baru-baru ini jelas menunjukkan kempen umat islam untuk memberi pengajaran kepada Belanda telah gagal! Berbeza dengan negara China yang memboikot hampir semua produk dari Perancis apabila timbul isu Presiden negara tersebut berura-ura tidak akan menghadiri majlis perasmian Sukan Olimpik Beijing 2008. Itu berlaku kerana kritikan Sarkozy terhadap kegagalan China mengatasi isu wilayah Tibet. Apabila menyedari kuasa China dapat menentukan keutuhan produk Perancis terjejas di NegaraTanah Besar tersebut, dengan segera Sarkozy mengutus surat memohon maaf.
Ringkasnya ego Perancis dapat ditundukkan oleh China dengan mudah dan China dapat mempertahankan maruah mereka dengan cara ancaman memboikot barangan Perancis.

Bagaimana dengan islam yang umatnya yang paling ramai di dunia?
Ternyata kempen umat kita gagal!!

5/2/08

Selamat Hari Pekerja 1 Mei 2008

Heboh di luar sana tentang isu-isu ketuanan melayu dan masalah-masalah seputarnya. Di dalam negara juga kita kalut membicarakan tentang islam-melayu, melayu-islam dan isu-isu yang berbangkit tentang kehidupan rakyat dalam negara pelbagai kaum. Timbul pelbagai permasalahan dan persoalan yang membabitkan hubungan yang kelihatan kukuh serta erat terjalin tapi entah bagaimana reput dan buruknya di dalam tiada siapa yang tahu. Namun begitu, riak-riak kecil telah kelihatan di sana sini. Sejak zaman selepas merdeka dengan isu 13 Mei, fahaman komunis, Tragedi Kg. Medan, Hindraf, isu babi dan beberapa isu yang lain adalah tanda betapa riak-riak kecik itu semakin membesar.

Di Johor sekarang berlangsung Kongres Permuafakatan Melayu anjuran GAPENA membincangkan isu-isu ketuanan melayu. Jadi apa tugas kita sebagai rakyat Malaysia di sebuah negara berdaulat?. Tidak mungkin sesuatu isu akan selesai dengan segera tanpa mengundang pelbagai pandangan dan kritikan. Juga mustahil sesuatu masalah akan dapat diselesaikan dengan hanya beretorik, beremosi melulu dalam meluahkan pandangan serta menghukum sebelum diselidiki dengan mendalam.

Sesungguhnya tidak ada proses yang singkat dalam menuju kesempurnaan kecuali dengan terus menyemai dan menyuburkan rasa cintakan kedamaian, ketenangan, kebahagiaan dan kebebasan dalam makna yang sebenar seperti tuntutan agama.

Bagaimana untuk mencapai tujuan tersebut adalah dengan menyeimbangkan keperluan akal dan nafsu atau dengan kata lain memberi ruang untuk minda dan hati terus dahagakan ilmu pengetahuan.

p/s..salam hari pekerja yang terlewat.. ;-)

4/29/08

Dua artikel terbaru

1. Rencana terbaru di Dewan Kosmik Mei. Lihat di SINI

2. Penat saya memikirkan bagaimana untuk menulis sebuah rencana mengenai binaan dan struktur mega seperti yang dikehendaki oleh editor untuk dimuatkan dalam sisipan Estidotmy bulan April. Pengetahuan saya mengenai perkara ini hampir 'zero' sehinggalah teringat sebuah buku yang pernah dibeli satu masa dahulu yang berjudul "Teori Senibina Frank Lloyd Wright'.
Dengan bantuan buku ini serta pencarian di internet terhasillah sebuah rencana 'Evolusi Bangunan Pencakar Langit' di dalam Estidotmy April. Boleh dilihat di satu lagi blog saya.

4/28/08

Hadiah Hari Lahir



( Tuan Mufti, Dr.MAZA, Prof.Madya Dr. Farouk Musa ..Pengerusi Profesional Muslim Forum, dan Tukang Catat)

Sabtu lepas 26 April 2008 telah dilancarkan suatu pertubuhan NGO As-Sunnah yang yang dikenali Idtibai' As-Sunnah ( seterusnya menubuhkan Institut Al-Mizan)peringkat Negeri Sembilan di Kuala Pilah. Yang menariknya, perasmian dilancarkan oleh Sohibus Samahah Dr.Mohd Asri Zainul Abidin, Mufti Kerajaan Negeri Perlis. Pelancaran dihadiri oleh ratusan ahli dari seluruh pelosok negara termasuk pendokong-pendokong gerakan Sunnah dari Singapura ( Pertubuhan Muhammadiah), cucunda almarhum pelopor gerakan Islam di Indonesia, Hassan Bandung ( lupa namanya), Pertubuhan An-Nida' Kuala Lumpur, Profesional Muslim Forum dan warga Negeri Sembilan.

Gerakan mengembalikan ajaran islam kepada al-quran dan sunah sudah bermula sejak ratusan tahun lampau yang digerakkan oleh Ibnu Taimiyah dan ulama' yang lain untuk membersihkan Islam dari segala kekotoran khurafat dan syirik. Antara penyebab umat islam dan negara-negara islam lemah dan terus lemah ialah tidak kembali kepada ajaran sebenar islam yang disampaikan oleh junjungan besar kita Nabi Muhammad.
(inilah antara intipati ucapan ringkas beliau yang kemudiannya di ulas secara mendalam dalam akhbar Mingguan Malaysia keesokan hari di bawah kolum Pena Mufti)

Tukang catat merasa terpanggil untuk menghadiri majlis ilmu tersebut. Apatah lagi ia dirasmikan oleh Mufti Perlis yang tersohor itu. Tambahan pula, tempat perasmian hanya beberapa KM sahaja dari rumah. Banyak persoalan yang berselirat dalam minda terjawab dalam sesi soal jawab bersama beliau. Penulis juga sempat bertanyakan satu dua soalan. Alhamdulillah!
Niat untuk berjumpa dengan Mufti Perlis dikabulkan Tuhan.

Oh ya, 26 April juga ulang tahun kelahiran penulis yang ke-29. Inilah hadiah ulangtahun yang paling bermakna sepanjang 29 tahun hidup mundar mandir di dunia ini..Alhamdulillah!!

4/6/08

Catatan Pesta Buku 2008



Sabtu lepas, seharian berada di Pesta Buku di PWTC. Bertolak dari Seremban jam 10.15 pagi dan tiba tepat pada pukul 11.30 di Stesen Putra. Kembali semula ke Seremba pada jam 6.30 ptg sebelum bergerak pulang ke K.Pilah. Ikutkan hati mahu sahaja 2 hari dihujung minggu dihabiskan Pesta Buku. Apa yang menarik di sana?

* Buku,buku, buku dan buku



* Dapat bertemu dengan pengarang-pengarang terkenal dan berkenal-kenalan ( antara yang sempat ditemui ialah Faisal Tehrani ( saya membeli 2 buah buku dan mendapatkan tandatangan beliau di gerai Al-Ameen), Prof. Kamil di gerai PTS, dari jauh kelihatan Puan Ainon yang begitu sibuk. Malas saya mengganggu beliau. Di situ juga terserempak beberapa pengarang tersohor antaranya Pak Latip Talib dan Zamri Mohammad. Di gerai MPH, Dr Sheikh Muzaffar melayan peminat beliau sambil menandatangani buku pengalaman beliau di ISS "Reaching for the Stars". Sempat juga bertemu senior yang sedang mencari buku-buku untuk perpustakaan UNIMAP. ( seorang pensyarah metalurgi dan material science di sana).


* Tahun ini mungkin yang penganjuran yang terbesar PBAKL sejak 1986 ( Dewan Tun Razak 2, di seberang sungai juga turut digunakan sebagai ruang pameran dan jualan. Di sini juga lebih tenang dari hiruk pikuk pengunjung dan penjual buku-buku teks sekolah serta promosi produk elektronik. Di sini juga suasana falsafah pesta buku lebih terasa (bagi saya)!!



Hari ini selesai membaca buku panduan menulis Karya Nan Indah oleh FT. Suatu panduan yang cukup menarik dan segar. Sembilan cerpen di bahagian akhir buku ini belum sempat dibaca. Tuhan menganugerahkan bakat menulis dan mentafsir yang baik kepada FT selain usaha gigih beliau bertahun-tahun untuk mencapai kesempurnaan. Buku ini sedikit sebanyak menyuntik semangat baru!


[Update pada 10/4/08]..

Hari ini sekali lagi penulis ke Pesta Buku. Kali ini tidak lagi berseorangan, isteri menjadi teman menyelongkar buku-buku di sana. Tujuan utama sebenarnya ialah untuk dapatkan buku Mencari Jalan Pulang, Daripada Sosialisme kepada Islam, sebuah autobiografi Kassim Ahmad. Sebelum ini tidak pula tahu bahawa buku ini telah pun dilancarkan sehinggalah terbaca di blog Jiwarasa tentang kewujudan buku yang ditunggu-tunggu ini di gerai buku PTS yang diterbitkan oleh Zi Publication. Rasa bangga dan seronok apabila buku ini telah menjadi milik penulis. Dan sehingga saat blog ini dikemaskini, penulis telah selesai membaca buku ini. Ringkasnya, memoir Dr Kassim Ahmad adalah sebuah catatan panjang 3 zaman yang dilaluinya sepanjang berkelana dalam mencari hakikat kehidupan yang adil dan saksama. Kata pengantar buku ini ditulis oleh Tun Dr Mahathir. Ulasan lanjut akan dimuatkan dalam blog ini tidak lama lagi.

Selain buku Kassim Ahmad beberapa buah lagi buku menjadi milik penulis!


Sambungan [13 april 2008]


Sebelum ini penulis telah menghabiskan bacaan memoir Kassim Ahmad yang sangat menarik. Di dalam buku tersebut, ada seorang lagi rakan beliau dan cukup popular sebagai penulis pada tahun 60an iaitu Anis Sabirin yang dicatat oleh Dr Kassim. Rupa-rupanya Anis Sabirin juga telah menulis memoir beliau yang berupa catatan pengalaman sepanjang 27 tahun berada di Amerika sebagai ahli perniagaan, pensyarah, penulis dan juga pemerhati yang tajam di sana. Menurut catatan memoir tersebut, yang berjudul Dua Dunia, Anis Sabirin menyatakan bahawa beliau kenal benar dengan Kassim Ahmad dan menurut beliau semasa menuntut di Universiti Malaya di Singapura, Kassim Ahmad telah menunjukkan kecenderungan menjadi seorang cendekiawan. Kedua-dua memoir tokoh besar ini saling kait berkait walaupun hanya catatan ringkas antara keduanya. Memoir Anis Sabirin saya habiskan bacaan semasa dalam perjalanan komuter dari stesen Putra ke Seremban.

Berikut adalah senarai buku dan majalah yang menjadi milik penulis sepanjang PBAKL08 berlangsung.

1. Karya Nan Indah ...Faisal Tehrani ( Ameenbooks)
2. Bedar Sukma Bisu ..Faisal Tehrani ( DBP)
3. Budaya Yang Tercabar ..Shamsul Amri Baharuddin (DBP)
4. Dua Dunia ..Anis Sabirin (DBP)
5. Laskar Pelangi --Adrea Hirata (PTS)
6. Suami Mithali Isteri Sejati --Dr.Juanda Jaya (BukuPrima)
7. Mencari Jalan Pulang: Daripada Sosialisme kepada Islam ..Kassim Ahmad (Zi Publication)
8. Budaya Kreativiti (Akademik Sains Malaysia)
9. Mengenal Hacking ..Firrar Utdirartatmo (AndiPublisher)

Suasana yang sungguh mengghairahkan di Pesta Buku!!

4/3/08

Blogger:A.Kadir Jasin



Teknologi komputer dan internet sekali lagi memberi peluang kepada mereka yang memanfaatkannya sebaik mungkin ke jalan yang betul seterusnya memberikan manfaat yang bukan sedikit kepada orang ramai.

Terbaru ialah buah tangan seorang penulis, pemberita, pemikir, pengkritik dan wartawan yang tidak asing lagi yang telah sekian lama menghambakan diri dalam dunia penulisan sejak tahun 1969 sehingga kini. Buah tangan yang dimaksudkan ialah sebuah buku berjudul ”Blogger A. Kadir Jasin”. Di dalam negara nama A Kadir Jasin tidak perlu diperkenalkan lagi dalam dunia akhbar dan penerbitan.

Dalam sejarah kerjaya, beliau pernah menyandang jawatan penting dalam dunia penerbitan dan akhbar antaranya ialah Editor Kumpulan NST Sdn Bhd, Ketua Editor NSTP Sdn Bhd dan Ketua Editor sebuah syarikat penerbitan terkenal , Berita Publishing Sdn Bhd.

Beliau pernah mencurahkan buah fikiran dan ideanya berbentuk tulisan dalam sebuah kolum yang tersendiri “Other Thots” di dalam majalah Malaysian Business sewaktu ketika dahulu. Selain itu beliau juga merupakan penulis beberapa buah buku yang menarik seperti Biar Putih Tulang (1998), Other Thots – Opinions & Observations (2001), The Wings of an Eagle (2003), Mencari Dugalia Huso (2006), Damned That Thots (2006) dan terkini ialah Blogger A. Kadir Jasin (2006).

A.Kadir Jasin telah mengambil inisiatif untuk melebarkan tulisan dan pandangan beliau melalui blog beliau di internet (www.kadirjasin.blogspot.com) ke dalam bentuk buku untuk dikongsi bersama dengan pembaca di Malaysia dengan judul ”Blogger A Kadir Jasin”.

Buku kecil terbitan 2006 setebal 241 halaman ini dimulakan dengan pengenalan tentang budaya menulis dan salah satu produk kecanggihan teknologi internet iaitu blog. Blog ataupun weblog menurut takrifan wikipedia, sebuah ensiklopedia percuma dalam talian merupakan laman web yang memuatkan bahan-bahan yang berbentuk dan bergaya jurnal atau diari oleh individu atau berkumpulan.

Penulis blog yang dikenali sebagai blogger akan memuatkan hasil karya dan tulisan mereka yang dinamakan tampalan (posting) ke dalamnya mengikut gaya dan kemampuan mereka yang tersendiri.

Penulisan di blog atau weblog ini bersifat rencam dan pelbagai. Ada yang menulis sekadar suka-suka tanpa ada sebarang tujuan tertentu atau sekadar untuk tidak tertinggal di belakang dalam kelimpahan teknologi internet. Ada yang menulis sekadar untuk mencari kawan dan hiburan serta mencatat aktiviti harian mereka. Ada juga penulis blog yang sudah dikenali ramai di luar, namun masih menggunakan saluran alternatif melalui weblog untuk meyampaikan buah fikiran, gagasan dan idea mereka melalui medium internet. Kebanyakan mereka ini mempunyai peminat dan penggemar setia yang selalu mengikuti perkembangan tulisan penulis-penulis ini baik di luar mahupun di dalam talian.

Ini lah yang dilakukan oleh A. Kadir Jasin. Beliau yang sudah pun mempunyai nama besar di luar menggunakan medium ini untuk terus menyampaikan pandangan dan pendapat beliau melalui teknologi internet yang mempunyai pengikutnya yang tersendiri dan hasilnya ialah sebuah blog yang segar, menarik, kritis dan kadang kala menyengat. Gaya tulisan beliau yang cermat, spontan, mesra dan bermaklumat terus meruntun minat pembaca untuk terus mengikuti tulisan-tulisan beliau lewat blog di internet.

Selain itu menurut penulis, blog merupakan media baru penyampaian selain akhbar, radio dan televisyen hasil dari pekembangan teknologi ICT sejak tahun 1990-an lagi. Tulisan berbentuk blog adalah lebih murah, cepat dan mudah serta boleh dilakukan di mana-mana sahaja selagi ada kemudahan telekomunikasi internet. Dengan cara ini beliau boleh terus berinteraksi dengan pembaca dengan lebih pantas dan mesra.

A Kadir Jasin memulakan tulisan pertama beliau di blog pada 28hb Februari 2006 dengan judul ”Mengatasi Beban Kenaikan Harga Minyak”. Sejak itu beliau telah menulis lebih dari 130 buah rencana berbahasa melayu dan inggeris mengenai pelbagai topik dan isu yang berlaku di dalam negara. Buku yang memuatkan tulisan beliau ini merupakan jilid pertama dari dua jilid yang akan diterbitkan. Di dalam keluaran ini dimuatkan 16 rencana tulisan beliau dengan pelbagai judul menarik dengan 4 daripadanya berbahasa Inggeris dengan tajuk ”Apologize and You Shall be Pardoned”, Can We Not Be a Vulgar?’, Cut Down on the Debate” dan ”Every Generation Has Its Heroes”. 12 lagi kupasan beliau yang mendapat perhatian pembaca menerusi tajuk-tajuk antaranya ialah “Rakyat dan Kakitangan Awam Sama Penting”, PM Janji Agihan Adil”, Bumiputera Terus Ketinggalan dan “Apabila Ahli Politik Bergegas ke Mahkamah”.

Apa yang menarik ialah, beliau turut memuatkan komentar-komentar bernas dari pembaca yang berkongsi pendapat dan pengalaman mereka tanpa sebarang suntingan disebabkan limitasi teknikal pelayan web blogger. Namun begitu kebanyakan komen dan pendapat ini dilakukan dengan jujur dan berhemah sesuai dengan saranan penulis supaya setiap pembaca dan pengkritik hendaklah berani dan jujur dalam memperkatakan sesuatu.

Buku ini merupakan produk yang baik hasil dari kecanggihan teknologi internet yang ditangani dengan berkesan oleh seorang penulis berwibawa dan berkarisma seperti A Kadir Jasin. Ia sesuai dibaca oleh semua golongan yang berminda terbuka dan berminat dengan isu-isu semasa yang berlegar sekitar Malaysia tanah air tercinta.


p/s : Ulasan buku ini ditulis tahun lepas. Pernah cuba dihantar ke media, tapi gagal!! hehe ;-)

3/26/08

PESTA BUKU ANTARABANGSA KL 2008

Pesta yang ditunggu-tunggu oleh pencandu buku!!

Date: 4th - 13th April 2008
Mon - Thurs: 10.00AM to 7.00PM
Fri - Sun & Public holidays: 10.00AM to 10.00PM
Venue: Putra World Trade Centre (PWTC), Kuala Lumpur, Malaysia

3/25/08

Buku mahal

Buku ini termasuk dalam kategori 'mahal' kerana kualiti kertas, gambar dan isu-isu yang diketengahkan. Diterbitkan oleh TIME dan diberi percuma sekiranya melanggan majalah tersohor itu selama setahun.
Saya mendapat hadiah buku ini daripada isteri yang melanggan TIME Magazine baru-baru ini. Kepada isteri, terima kasih yang tak terhingga diucapkan!!.. suko boto dapek hadiah buku hehehe!!

Terima kasih!!

3/20/08

Kem Bina Negara Ulu Sepri, Rembau 1996

Selepas 12 tahun (1996), sekali lagi tuan empunya blog mengunjungi Kem Bina Negara, Ulu Sepri Rembau Negeri Sembilan. Cuma kali ini bukan tujuan untuk menyertai kursus, tetapi menghantar isteri ke sana bekursus selama 4 hari bermula hari ini 20 Mac 2008. Seingat penulis suasana di sana masih kekal seperti 12 tahun lepas. Mungkin sedikit berubah dengan tumbuhnya pokok-pokok hiasan yang baru dan kalau tidak silap ada bangunan baru yang dibina.


Dataran perhimpunan masih kekal seperti dahulu di depan dewan utama. Di dewan inilah dahulu bekas ahli Parlimen Parit Sulong YB. Syed Hood Syed Idrus membakar semangat peserta-peserta seangkatan dari kumpulan belia-belia FELDA seluruh Negeri Terengganu yang terdiri daripada kumpulan lepasan SPM, penganggur dan generasi kedua FELDA. Sebut sahaja belia FELDA terbayang segala permasalahan yang digembar gemburkan oleh media yang dihadapi oleh mereka. Masih terngiang-ngiang di telinga penulis sebuah lagu dendangan Sheila Majid berjudul 'hitam putih kehidupan' dinyanyikan oleh Syed Hood Syed Idrus dengan gaya beliau yang tersendiri sambil menceritakan kisah hidup beliau yang cacat sejak kecil yang terus-terusan berjuang untuk menggapai kejayaan. Bait-bait lagu tersebut yang antaranya ialah

lihat lah sekitar alam
dunia luas terbentang
hitam putih masa depan
sendirian menentukan
hidup ini usah persiakan

Sejurus selepas ceramah beliau tamat, tanpa segan silu penulis terus bertanya bagaimana untuk mengekalkan motivasi yang diperolehi sepanjang kursus untuk dibawa sebagai bekalan perjalanan hidup yang akan dilalui seterusnya. Beliau menjawab, berusaha untuk terus mencari ilmu, jangan patah semangat dan pedulikan tanggapan orang lain..

Terima kasih YB

3/16/08

Membaca dan Politik!

Peningkatan kadar pembaca dan jualan akhbar menurut pemerhatian tukang catat blog selepas PRU12 baru-baru ini menunjukkan peningkatan. Tidak ada data dan petunjuk yang tepat untuk mengesahkan kenyataan ini. Sekali lagi, ia cuma pemerhatian rambang!! Apa tidaknya, pada 9 Mac 2008 sehari selepas proses pengundian dijalankan, akhbar-akhbar utama di seluruh daerah kelahiran penulis habis sebelum pukul 9 pagi. Selepas keputusan penuh yang mengejutkan diumumkan, sekali lagi akhbar utama laku macam goreng pisang panas yang sedap. Kebanyakan rakyat Malaysia begitu tekun mengikuti perkembangan terkini situasi politik di Malaysia. Penduduk Selangor ingin mengetahui perkembangan rakan dan saudara mereka di Perak. Rakyat Johor pula mugkin berminat untuk mendapatkan maklumat dari P.Pinang misalnya. Rata-rata kebanyakan rakyat Malaysia mula menunjukkan minat untuk membaca akhbar terutamanya dalam politik. Terbaru, sabtu lepas, makcik penjual sayur di Pasar Tani pekan Kuala Pilah mungkin kehilangan seorang pelanggan akibat terlalu leka dengan akhbar Utusan Malaysia..sehari sebelum itu, seorang ahli akademik memberitahu bahawa isterinya juga telah mula asyik dengan akhbar untuk mengetahui kisah-kisah politik terutamanya selepas pilihanraya umum ke12 baru baru ini.

Ini suatu permulaan yang baik dalam usaha untuk menggembeleng semangat cintakan membaca dan menjadikan ia sebagai suatu gaya hidup. Tapi janganlah dihadkan pembacaan hanya dalam politik. Hidup ini terlalu singkat untuk kita tenggelam dalam keasyikan berpolitik!!

3/12/08

Pemimpin dan tabiat membaca





Mungkin orang yang paling terkejut dengan keputusan PRU12 baru-baru ini ialah PM dan kalangan menteri kabinet. Hampir keseluruhan penganalisis politik dan kebanyakan blogger menyalahkan kepimpinan Pak Lah yang hampir meranapkan BN dalam PRU kali ini. Secara peribadi ( diulangi..peribadi) saya dapat merumuskan bahawa kegagalan pemimpin utama kita ialah ‘kurang membaca’. Bukan sahaja membaca bahan bertulisan, tapi juga membaca gerak geri dan persekitaran yang mempengaruhi tindak tanduk beliau dalam membuat keputusan. Lemah! Kenapa lemah? Ya, berbalik kepada soal kurang membaca.

Saya kira ramai yang sudah tahu sejarah pemimpin-pemimpin dunia yang lain seperti Abraham Lincoln, Mahatma Gandhi, Winston Churchill dan lain-lain dengan tabiat 'gila' membaca mereka. Bagaimana mereka mencorakkan dunia.

Mungkin di kalangan akademia sudah boleh menjalankan kajian tabiat membaca bekas-bekas PM Malaysia dan juga kaitannya dengan corak pemerintahan negara. Bagaimana kegilaan membaca & menulis Tun Dr Mahathir, Tun Hussein Onn, Tun Razak dan juga Tunku.. Paklah juga mungkin!