Selepas hampir 4 tahun di Montreal, kami masih tinggal di tempat yang sama. Di Verdun seperti yang dicatatkan ketika mula-mula kami sampai di sini dulu. Banyak pengalaman seharian yang boleh diceritakan sepanjang mendiami kawasan ini. Musim berganti, tahun berlalu. Suasana sekeliling pun turut berubah. Jiran bertukar ganti tapi kami masih selesa di sini. Cuma belakangan ini, ada sedikit yang mengganggu apabila jiran baru mula berpindah masuk.
Perkara utama apabila kita hidup berjiran ialah hormat menghormati sesama tetangga. Jangan sesekali menyakiti hati jiran. Itu juga yang dipesan nabi dan Tuhan. Jiran baru ini menurut pemilik rumah atau bangunan di kediaman yang kami menyewa datangnya dari Brazil. Sudah berapa lama mereka tinggal di Montreal tidaklah saya selidik. Cuma yang saya tahu, mereka adalah lelaki bujang yang mempunyai tatoo di badan. Berkulit cerah dan berbadan tegap. Tidak ada yang menyakitkan hati dari segi luaran, melainkan hobi mereka suka mendengar muzik yang bingit ala disko. Itu sahaja yang mengganggu kehidupan 'tenang' kami akhir-akhir ini.
Setakat ini, sudah tiga kali saya turun menegur dan mereka akur. Kali terakhir kami menghantar emel kepada pemilik kediaman supaya memberi peringatan kepada penyewa baru tentang undang-undang kejiranan di Montreal. Menurut 'agreement' selepas pukul 8.00 malam, penyewa tidak boleh menganggu ketenteraman penghuni lain. Sekiranya terganggu, penghuni berhak menghubungi pihak polis. (Undang-undang biasa). Malah kalau semua menggunakan fikiran, undang-undang ini tidaklah perlu sangat. Tapi harus diingat bahawa, tidak semua orang menggunakan fikiran.
Selepas membuat aduan melalui emel, sehingga hari ini alhamdulillah. Suasana kembali tenang terutamanya di tengah malam. Mudah-mudahan keadaan ini berterusan.
No comments:
Post a Comment