www.majalahsains.com

3/17/12

Angin segar di permulaan musim bunga

Hari ini langit begitu cemerlang. Terang benderang dengan suhu sekitar 12-14 Celcius. Cukup baik untuk keluar mengambil angin musim bunga sekitar downtown Montreal.

Sebulan dua akhir-akhir ini Montreal agak kecoh dengan tunjuk perasaan pelajar-pelajar universiti yang membantah kenaikan yuran. Kemuncak kemarahan pelajar ditambah pula dengan ulangtahun demontsrasi membantah keganasan polis yang disambut pada 15 Mac Jumaat lalu. Sebuah kereta peronda polis diterbalikkan di tengah-tengah laluan utama bandaraya Montreal di Rue St Catherine.

Cuaca nyaman hari ini Tukang Catat habiskan dengan menaiki bas nombor 80 menuju sebuah kedai buku terpakai yang agak terkenal di Montreal iaitu St Welch, di Rue St Viature. Lama tidak berkunjung ke sana. Sepanjang musim luruh dan musim sejuk lalu, tidak berkesempatan ke sana. Jadi hari ini saya mengambil peluang. Di sana, suasana kedai masih tidak berubah. Kedai bagel milik Yahudi dua blok dari kedai buku masih terus dikunjungi pelanggan. Di kawasan-kawasan sekitar, yahudi ortodoks meneruskan kegiatan mereka seperti biasa, berniaga, berjalan-jalan mengambil angin, borak, minum-minum dan makan di kedai kopi berhampiran.

Warga tua dan muda Montreal memenuhi cafe dan kedai makan sepanjang jalan, minum dan makan-makan sambil bergelak ketawa. Saya menghabiskan 2 jam di St Welch membelek-belek helaian-helaian buku sambil bergerak dari satu rak ke rak yang lain. Tangan mencapai sebuah novel 'A Madman Dreams of Turing Machine (Janna Levin). Selesai membayar, terus saya berjalan menunggu bas dan bergerak pula ke kaki bukit Mont Royal kira-kira 20 minit dari St. Viature. Dari sana saya terus berjalan di pinggir Universiti McGill menyusuri lorong-lorong kecil. Di sini kebanyakannya kawasan perumahan pelajar-pelajar McGill.

Dalam perjalanan, ternampak sebuah lagi kedai buku terpakai Le Mot Livres d'occasion (The Word Second Hand Books). Menarik sekali kedai di sini! Tanpa berfikir panjang, terus saya masuk meninjau. Sepanjang jalan sebelum singgah di sini, terserempak dengan ramai anak-anak muda memakai pakaian, topi, jaket, stokin berwarna hijau. Rupa-rupanya hari ini perayaan St Patrick's Day. Riuh rendah mereka merayakan St Patrick dengan bergelak ketawa, menyanyi, memekik melolong. Mabuk!

Saya mabuk buku di Le Mot Livres d'Occasion. Di sini terus saya tangkap 2 buah buku berjudul 'The Art of Mathematics (Jerry P.King) dan The Quantum Universe (Tony Hea & Patrick Walters). Semuanya buku bacaan umum untuk non-scientist. Harga?..lumayan murah! Saya pasti akan datang lagi ke sini!

Dari sana terus saya berjalan-jalan sepanjang lorong meninjau-ninjau keindahan bangunan lama Universiti McGill. Terbayang pula cendekiawan terkenal tanahair Profesor Syed Muhammad Naguib Al-Attas mengharungi salji tebal ketika menuntut di sini pada tahun 1962. McGill melahirkan ramai tokoh-tokoh hebat termasuk pemenang Hadiah Nobel Fizik pada tahun 2009. Kisah kehebatan McGill barangkali saya akan coretkan di lain waktu.

Sebelum menaiki keretapi bawah tanah (metro) ke rumah, sempat saya singgah The Paragraph, sebuah Kedai buku komersial, di seberang jalan pintu pagar utama McGill. Ini antara kedai buku yang saya selalu lepak selain Indigo dan Chapters. Membelek buku-buku baru dan majalah di sini memberi keseronokan yang sukar untuk ditulis dengan perkataan. Kepuasan dalaman kata orang. Tiga puluh minit di sini sudah cukup menyeronokkan. 
 
Sabtu yang cukup indah!

Nota :- Majalah The Economist terbaru (March 19th - 16th 2012), memuatkan laporan khas tentang mengenai masa depan teknologi nuklear. Kulit majalah memaparkan tajuk 'Nuclear Energy : The dream that failed.


    Hasil buruan St. Patrick's Day


   Demonstrasi membantah keganasan polis, Jumaat 15/3 yang lalu, di Rue St Catherine

No comments: