www.majalahsains.com

9/4/11

Perangai Aneh Orang Melayu yang Saya Perhatikan

Hari ini (semalam, 3 September 2011) kami mengunjungi kedutaan Malaysia di Kanada yang di kenali sebagai High Commission of Malaysia (Pesuruhjaya Tinggi Malaysia), di Ottawa Kanada merayakan Hari Raya Aidilfitri dan dan menyambut Hari Kemerdekaan bersama sebahagian warga Malaysia. Perjalanan mengambil masa kurang lebih 2 jam dari Montreal. Di sana dapatlah kami merasa ketupat, lemang, rendang, kuih-muih dan hidangan Malaysia yang disediakan di sana. Jauh lebih penting dari itu dapatlah kami beramah tamah bersuai kenal dengan rakan-rakan dari Malaysia yang pelbagai latarbelakang. Dapat jugalah kami berkenalan dengan Dato' Hayati selaku Pesuruhjaya Tinggi Malaysia yang baru menggantikan yang sebelumnya. Kunjungan ini juga adalah yang pertama kali sejak kami datang ke Kanada 3 tahun yang lalu. Terima kasih kepada sahabat saya saudara Muhammad Izzuddin Syakir yang memaklumkan perkara ini melalui facebook.

Jenis saya yang suka memerhatikan keadaan sekeliling, saya dapati memang bangsa Melayu adalah bangsa yang unik tetapi kadang-kala aneh sehingga mendatangkan kehairanan yang bukan sedikit pada saya. Lama juga saya berfikir kenapa, kemudian teringat pula isu-isu bahasa dan krisis identiti yang kita hadapi di negara kita  yang tidak pernah tenang terutamanya bila melibatkan soal bahasa, pertuturan serta identiti kita sebagai rakyat Malaysia.

Contohnya, di sana saya dapati beberapa rakan berbangsa India dan Cina berbual mesra dengan saya menggunakan Bahasa Melayu yang indah sekali. Susun aturnya dan kebolehan bahasa mereka agak baik. Ya saya faham walaupun tidak sempurna, tapi usaha mereka sangat terpuji.Saya sendiri pun tidak lah bagus Bahasa Melayunya. Kami berbual seperti biasa sebagai orang Malaysia.

Saya jadi hairan bila memerhatikan bangsa sendiri yang saya cintai, berbual sesama mereka sesama bangsa menggunakan Bahasa Inggeris. Disapanya kita dengan Bahasa Inggeris dengan slanga'nya sekali sesetengah daripada mereka. Saya bertemu dengan kelompok pelajar berbangsa Cina yang sedang belajar di peringkat PhD, mereka menegur dan berkenalan dengan kita menggunakan Bahasa Melayu. Saya jadi insaf dan hormat pada mereka.

Situasi ini tidak hanya berlaku di luar negara saya kira. Di Malaysia juga sejak lama saya perhatikan, perkara yang sama turut berleluasa. Jadi sebenarnya apa tanggapan bangsa Melayu terhadap bahasa sendiri? lekeh atau tak standard atau tak urban ?

Bila menulis tentang ini saya jadi geram.
   

2 comments:

yuh said...

bahasa melayu memang lekeh di mata org melayu yg kononnya urban..hehe.

aidura sofiee said...

salam.

Sebab tu ada peribahasa Melayu sering mengingatkan... "Kalau memandang bintang di langit, jangan lupa rumput di bumi."

Setinggi manapun darjat, pangkat dan pendidikan, jangan lupa asal-usul keturunan kita...

Sekadar pendapat sahaja. ;)