www.majalahsains.com

2/29/12

Lynas, Rare Earth, literasi sains & kecoh-kecoh Facebook

Sekarang mood borak pasal isu Rare Earth di facebook. Borak memang sedap, bila diajak baca laporan sama, tak minat nak baca. Terus nak kesimpulan. Susah juga macam ni.

Bila renung-renung balik, betullah kita sebagai rakyat Malaysia perlu celik sains (science literate). Saya tak begitu risau kalau kaum-kaum lain membangkang Lynas dengan membaca (sekurang-kurangnya dari Wikipedia), tapi saya cukup risau kalau bangsa saya sendiri menentang atau menyokong Lynas tanpa ada sedikit pengetahuan (melalui pembacaan) atau rasa ingin tahu tentang apa itu teknologi pengurusan sisa radioaktif.

Dan kalau pun kita tidak tahu, marilah sama-sama bertanya kepada orang yang lebih berpengetahuan dalam bidang ini.

Atas kesedaran rendahnya tahap literasi sains di kalangan rakyat Malaysia (terutama bangsa Melayu), saya mewujudkan MajalahSains.Com. Sekarang saya mahu cari pembantu yang sama-sama mempunyai minat yang sama. Pada masa yang sama, sedang saya usahakan satu lagi laman sains, child of kepada MajalahSains.Com untuk kanak-kanak. Bila siap nanti, akan bergabung bersama MajalahSains.Com.

Saya tutup cerita ini dengan satu artikel oleh Dr Ghazaly Ismail judulnya
"Every Malaysian Must be Science Literate"

http://www.nst.com.my/opinion/columnist/every-malaysian-must-be-science-literate-1.49137

2/5/12

Perkembangan Semasa 2012

Tahun 2012, insyaallah kami berada di tahun terakhir di Montreal. Tahun ini juga adalah tahun terakhir musim sejuk kami di sini. Sepanjang ingatan saya, suhu paling sejuk setakat ini yang dicatatkan ialah -33'C (termasuk tiupan angin seperti yang tercatat di laman web theweathernetwork.com).

Sekarang cuaca sudah kurang sejuk, sekitar -12'C hingga - 25'C. Cuaca sejuk dan pengalaman berada di negeri 4 musim adalah kenangan terbaik sepanjang kehidupan Tukang Catat blog yang masih diberi kesempatan oleh Tuhan. Alhamdulillah! Kami bersyukur dengan segala nikmat kurniaan Allah sepanjang perjalanan kembara kehidupan ini.

Hari ini (5 Februari 2012 bersamaan 12 Jamadilawal 1433 Hijrah) merupakan tarikh keputeraan Baginda Rasulullah S.A.W. Menurut sumber Wikipedia, tarikh kelahiran Nabi Muhammad mengikut Kalendar Gregory ialah 26 April 570. Walau bagaimanapun, banyak pendapat-pendapat lain yang khilaf tentang tarikh ini. Selawat dan salam pada junjungan besar kita Nabi Muhammad s.a.w

Seperti yang saya muatkan di laman Facebook, Michael H.Hart menyenaraikan Rasulullah berada di kedudukan teratas dalam senarai 100 manusia paling berpengaruh sepanjang sejarah peradaban dunia. Hart (seorang Yahudi) merupakan seorang ahli sains fizik berasal dari Princeton University.

Teringat suatu masa dahulu, saya cuba menyenaraikan ahli-ahli sains Malaysia untuk dibukukan. Pernah idea ini dibincangkan dengan seorang pegawai tinggi di UKM. Beliau teruja, namun masa dan keadaan agak terbatas. Jadi saya pendam dahulu hasrat tersebut di dalam komputer.

Bagi kegiatan menyenaraikan tokoh-tokoh bidang ini adalah penting untuk mencatat sejarah bangsa. Ia boleh dijadikan rujukan masa depan untuk anak-anak cucu kita nanti. Kegiatan ini banyak dilakukan oleh penulis dan pengkaji dari luar negara. Yahudi terutamanya. Insyaallah, suatu masa nanti semoga Tuhan membuka jalan dan diberikan kekuatan untuk melakukan usaha ini.

Perkembangan lain, saya sedang meningkatkan usaha memperbaiki mutu dan persembahan laman web MajalahSains.Com. Hasil usaha selama berada di Montreal yang dimulakan sejak Jun 2009. Kini saya sedang mencari orang yang berminat untuk sama-sama berkolaborasi dalam mengembangkan media penyebaran info sains kepada rakyat Malaysia. Kita tidak mahu lagi mendengar kisah karut marut seperti 'Suara Dari Langit', 'Objek Ganjil di Langit', 'Hantu itu dan Hantu ini' dipaparkan oleh media Malaysia yang ternyata memperbodohkan orang ramai. Ia juga menunjukkan betapa warga Malaysia, melayu terutamanya tidak menggunakan akal yang waras mempertimbangkan sesuatu berita. Jadi saya wujudkan MajalahSains.Com.



Sekian untuk kali ini.
408 4th Ave.
Verdun,

Winter 2012

2/3/12

Ikitibar dari kisah labah-labah - Khutbah


Khutbah Jumaat di Masjid As-Salam, Montreal hari ini membawa kisah labah-labah. Menurut khatib, yang juga bekas pelajar di Concordia University (pernah saya bersembang dengan beliau sewaktu dahulu), spesis labah-labah hampir 400 ribu di seluruh dunia. Tapi tabiat labah-labah ialah, selepas si betina bertelur dan telur menetas mengeluarkan anak labah-labah, si betina akan memakan induk jantan. Si ibu bersama anak-anak yang baru menetas turut menghisap darah si jantan.

Tamsil dari kisah labah-labah ini menurut khatib ialah perihal kehidupan manusia dan keluarga. Muslim menurut khatib begitu menitikberatkan hubungan kekeluargaan. Tidak ada muslim yang baik akan bertengkar dan bergaduh sesama ahli keluarga apatah lagi menganiya ahli keluarga yang lain seperti keluarga labah-labah.

Khatib memberi contoh-contoh yang berlaku dalam kehidupan seharian. Selalu kita mendengar ibu mendera atau membunuh anak. Bapa memukul isteri. Anak menyepak terajang ibubapa atau anak mendera ibubapa dan juga berebut harta sesama ahli keluarga. Mereka sebegini tidak ubah seperti kehidupan keluarga labah-labah.

Labah-labah juga diberikan nama khusus untuk satu surah dalam Al-Quran iaitu Al-Ankabut. Begitulah Allah memberi peringatan kepada manusia supaya menilai kewujudan kita di muka bumi dengan mengambil iktibar dari kisah-kisah yang disebut dalam Al-Quran.

Demikianlah iktibar dari khutbah Jumaat 3 Februari 2012 di Masjid As-Salam, Rue Stanley, Montreal.

408 4th Ave, Verdun

1/21/12

Mereka Rakus Membaca

Dalam perjalanan ke kelas gitar hari ini, kali ketiga saya melihat warga Montreal yang kurang upaya (OKU) rakus membaca. Kali ini dengan berhati-hati saya menjeling buku yang dibacanya novel tulisan Danielle Steele. Sayangnya saya tidak berani mengambil gambar demi menghormatinya. Sebelum ini saya pernah melihat orang kurang upaya di atas kerusi roda ditemani seekor anjingnya yang setia membaca sebuah buku. 3-4 bulan yang lalu, seorang wanita membaca yang saya kira memang rabun dan sedikit tidak terurus, melahap buku yang didekatkan ke mukanya kira-kira 1 atau dua inci. Asyik sekali dia membaca!. Kita kadang-kadang berasa malu dengan budaya membaca mereka. Saya akui, walaupun banyak koleksi buku yang saya miliki, tidak semua saya baca habis. Ada juga yang masih tidak terusik.

12/18/11

Memesan Buah Tangan Dari Malaysia


Saya mengirim sebuah buku terbaru karya Ahmad Hulaimi atau lebih dikenali sebagai Awang Goneng. Buku tersebut berjudul A Map of Trengganu. Buku pertamanya (Growing Up in Trengganu) sudah saya miliki 4 tahun yang lalu. Sebagai anak jati Terengganu dari Daerah Besut, membaca Growing Up in Trengganu membangkit rasa kenang-kenangan lama di zaman kanak-kanak. Walaupun zaman kanak-kanak Awang Goneng jauh lebih lama, namun setiap zaman yang dilalui oleh semua kanak-kanak adalah kenangan diri masing-masing yang sukar untuk dilupakan. Segalanya indah! Di tambah pula dengan lanskap Negeri Terengganu yang indah dan pantai memutih, membangkitkan segala kenangan dan rindu di tanah air.

Jadi A Map of Trengganu adalah kesinambungan kenang-kenangan anak kelahiran Negeri Terengganu yang mengungkap segala kenangan di zaman lampau yang tenang dan indah.

Buku tersebut dijangka sampai pada awal tahun 2012, apabila rakan saya yang pulang bercuti ke Malaysia datang kembali ke Montreal.

10/6/11

Steve Jobs 1955 - 2011

Hari ini semua orang berkongsi kesedihan dengan pemergian lagenda Lembah Silikon Steve Jobs. Satu ungkapan saya petik ketika beliau memberikan ucapan penghargaan di Stanford University pada tahun 2005 iaitu 'Stay Hungry, Stay Foolish'..

Selamat jalan Steve Jobs!

Transkrip ucapan penuh Steve Jobs boleh dilihat di
http://prinyourpajamas.com/steve-jobs-speech/

9/4/11

Perangai Aneh Orang Melayu yang Saya Perhatikan

Hari ini (semalam, 3 September 2011) kami mengunjungi kedutaan Malaysia di Kanada yang di kenali sebagai High Commission of Malaysia (Pesuruhjaya Tinggi Malaysia), di Ottawa Kanada merayakan Hari Raya Aidilfitri dan dan menyambut Hari Kemerdekaan bersama sebahagian warga Malaysia. Perjalanan mengambil masa kurang lebih 2 jam dari Montreal. Di sana dapatlah kami merasa ketupat, lemang, rendang, kuih-muih dan hidangan Malaysia yang disediakan di sana. Jauh lebih penting dari itu dapatlah kami beramah tamah bersuai kenal dengan rakan-rakan dari Malaysia yang pelbagai latarbelakang. Dapat jugalah kami berkenalan dengan Dato' Hayati selaku Pesuruhjaya Tinggi Malaysia yang baru menggantikan yang sebelumnya. Kunjungan ini juga adalah yang pertama kali sejak kami datang ke Kanada 3 tahun yang lalu. Terima kasih kepada sahabat saya saudara Muhammad Izzuddin Syakir yang memaklumkan perkara ini melalui facebook.

Jenis saya yang suka memerhatikan keadaan sekeliling, saya dapati memang bangsa Melayu adalah bangsa yang unik tetapi kadang-kala aneh sehingga mendatangkan kehairanan yang bukan sedikit pada saya. Lama juga saya berfikir kenapa, kemudian teringat pula isu-isu bahasa dan krisis identiti yang kita hadapi di negara kita  yang tidak pernah tenang terutamanya bila melibatkan soal bahasa, pertuturan serta identiti kita sebagai rakyat Malaysia.

Contohnya, di sana saya dapati beberapa rakan berbangsa India dan Cina berbual mesra dengan saya menggunakan Bahasa Melayu yang indah sekali. Susun aturnya dan kebolehan bahasa mereka agak baik. Ya saya faham walaupun tidak sempurna, tapi usaha mereka sangat terpuji.Saya sendiri pun tidak lah bagus Bahasa Melayunya. Kami berbual seperti biasa sebagai orang Malaysia.

Saya jadi hairan bila memerhatikan bangsa sendiri yang saya cintai, berbual sesama mereka sesama bangsa menggunakan Bahasa Inggeris. Disapanya kita dengan Bahasa Inggeris dengan slanga'nya sekali sesetengah daripada mereka. Saya bertemu dengan kelompok pelajar berbangsa Cina yang sedang belajar di peringkat PhD, mereka menegur dan berkenalan dengan kita menggunakan Bahasa Melayu. Saya jadi insaf dan hormat pada mereka.

Situasi ini tidak hanya berlaku di luar negara saya kira. Di Malaysia juga sejak lama saya perhatikan, perkara yang sama turut berleluasa. Jadi sebenarnya apa tanggapan bangsa Melayu terhadap bahasa sendiri? lekeh atau tak standard atau tak urban ?

Bila menulis tentang ini saya jadi geram.
   

8/29/11

Salam Adilfitri 1432 Hijrah dari Montreal, Kanada

Kepada semua yang mengenali diri ini baik di luar atau di dalam internet, saya mengucapkan selamat hari raya aidilfitri maaf zahir dan batin.
Sama-sama kita menghayati Takbir Aidilfitri untuk membesarkan jiwa dan mengembalikan keagungan Islam sepanjang kita transit di dunia yang sementara ini.


Salam aidilfitri 1432 Hijrah

Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar Yang Teramat Besar, 

Segala Puji bagi Allah Yang Teramat Banyak, 

Maha suci Allah pada waktu pagi dan petang, 

tiada Tuhan melainkan Allah, dan Tidak ada lain yang kami sembah melainkan Dia,

kami ikhlas kepadaNya (mengikuti ajaran agama Islam) sekalipun dibenci oleh orang-orang kafir, 

tiada Tuhan melainkan Allah Yang Tunggal, Yang Menepati janjiNya, Yang Menolong hambaNya, dan Yang Memuliakan tenteraNya dalam mengalahkan tentera al-Ahzab dengan sendiri (KekuasaanNya), 

Tidak ada Tuhan melainkan Allah dan Allah Maha Besar dan segala puji-pujian hanya bagi Allah


8/26/11

Ramadhan, Air Tuak & Kenangan

Di daerah kami, bulan puasa dan air tuak jarang berpisah. Tiba sahaja bulan Ramadhan, maka tumbuhlah gerai-gerai di tepi jalan menjual air tuak. Tuak di daerah kami berbeza dengan istilah yang digunakan di Sarawak. Air tuak atau nira kelapa adalah sejenis minuman yang manis kelat, datangnya dari seludang kelapa yang dipotong hujungnya lalu ia mengeluarkan cecair. Cairan itulah yang ditadah dan dikumpulkan selama satu hari di dalam bekas buluh atau plastik yang dinamakan 'tukir'. Di dalam tukir ini dimasukkan sedikit kepingan kayu cengal yang dinamakan 'laghu' (laru) untuk mengelakkan ia cepat masam.Proses ini diulang sehingga seludang kelapa itu tadi sampai ke pangkal.

Air tuak atau nira boleh segera diminum segar atau disimpan sehingga bertukar menjadi cuka makan. Tapi awas, dalam proses pertukaran tuak segar kepada cuka yang memakan masa beberapa hari, ia akan melalui proses penapaian semulajadi atau diistilahkan sebagai 'tuak gila'. Tuak gila atau tuak masam inilah yang diminati oleh 'kaki minum' di beberapa daerah di Sabah dan Sarawak kerana ia adalah minuman yang memabukkan. Kandungan alkoholnya cukup tinggi. Tukang catat sendiri pernah melihat proses proses pertukaran tuak segar kepada 'tuak gila'. Ia akan berbuih-buih beberapa waktu, kemudian bertukar menjadi jernih. Cecair jernih itulah cuka makan yang enak.

Nira kelapa juga adalah bahan utama untuk membuat gula melaka. Selepas dikumpulkan dalam jumlah yang banyak, ia akan dimasak di dalam kawah sehingga cecair tuak tadi menjadi pekat likat berwarna keperangan. Cecair pekat tadi kemudiannya dituangkan ke dalam bekas berbentuk bulat yang diperbuat daripada daun mengkuang yang dinamakan 'kerek'. Setelah sejuk, terbentuklah kepingan-kepingan gula melaka atau dikenali sebagai 'nisan kerek' di daerah kami.

Saya tahu serba sedkit tentang 'air tuak' ini sejak dari kecil. Waktu itu 3 orang adik-adik saya masih belum lahir. Sekitar penghujung tahun 80-an. Ayah saya sebelum masuk ke tanah rancangan FELDA, dikenali sebagai tukang panjat pokok kelapa (Tok Nyadat) dan pembuat manisan yang handal. Masih saya ingat, sewaktu kami mendiami sebuah rumah papan kecil di Kampung Gong Ubi Keling, Besut saya memerhatikan ayah melakukan semua kerja-kerja menghasilkan gula melaka. Kadang-kadang kami diberikan sedikit cebisan manisan yang masih dalam proses pemanasan yang dikenali sebagai manisan cair. (nisan cair). Enak!. Ah betapa kenangan itu masih membekas di jiwa saya. Kami orang susah. Membeli gula-gula di kedai jarang sekali. Manisan itulah gula-gula kami.

Mengimbau kenangan lama, hati saya jadi hiba. Sementelah pula kenangan ini muncul di penghujung Ramadhan. Teringat kenangan-kenangan sewaktu zaman kanak-kanak. Teringat pula Sang Ayah yang bertungkus-lumus mencari rezeki menyuap dan membesarkan kami adik beradik. Bermacam-macam jenis pekerjaan pernah dilakukan. Bersawah, memburuh sampai jauh di Singapura, membela ikan di kolam tanah rancangan, menanam tembikai, berladang sawit. Sehingga kini pun di usia senja, ayah masih belum pernah berehat walaupun sudah tiada apa yang perlu dikejarkan. Anak-anak semua sudah besar dan kebanyakannya sudah berkeluarga. Mungkin tidak betah duduk diam berehat hasil kerja kuat sejak dari zaman remaja.

Beberapa hari lagi kita akan menyambut syawal. Salah satu cita-cita agung khidmat bakti kepada ayah dan bonda yang saya impikan ialah ingin menghantar mereka ke Tanah Suci Mekah. Mudah-mudahan hajat murni Tukang Catat ini dipermudahkan Tuhan..

Salam Syawal 1432 Hijrah untuk seluruh ahli keluarga di Besut dan Kuala Pilah, dan umat Islam di seluruh dunia. Semoga puasa kita diterima Allah Taala.

   

Pemanjat kelapa (Tok Nyadat)

Nira (tuak) yang sedang dikumpulkan dari seludang kelapa

Proses memasak nira kelapa untuk dijadikan gula melaka

Gula melaka (Nisan Kerek)

Verdun, Montreal
Summer, 2011

8/3/11

Ukuran orang berakal

Saya bukan pro mana-mana kumpulan agama (baca :kelompok-kelompok dalam Islam), politik, bangsa dan kenegerian. Saya juga tidak berpihak kepada mana-mana kumpulan yang kelihatannya betul tetapi sebenarnya melakukan kesalahan serta membodohkan orang lain. Tapi saya cenderung memilih untuk berfikir secara rasional berasaskan fakta dan kesahihan malumat serta cuba menjadi yang terbaik walaupun masih jauh untuk mencapai tahap yang boleh dibanggakan.

Semalam saya membaca satu isu di akhbar portal Malaysiakini tentang isu yang dibangkitkan oleh Majlis Keselamatan Negara baru-baru ini tentang keganasan Wahabi. Jelas sebenarnya ia mengelirukan ramai pihak, namun Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man telah menjelaskannya melalui laporan ini. [ KLIK SINI ]

Apa yang ingin saya tekankan ialah komen-komen pembaca berita tersebut yang tidak berpandukan pada fakta malah boleh menghina junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W.

Antara komen kebencian terhadap Wahabi yang sempat saya perhatikan dimulakan dengan

"Amalan Kaum Wahabi Menurut Hadis" kemudian diikuti dengan senarai-senarainya (lihat gambar di bawah.

Sejak bila pula ada hadis yang menceritakan perihal wahabi sedangkan pemimpin gerakan itu lahir 1133 tahun selepas kelahiran Nabi.

Inilah contoh kebencian yang melampau terhadap sesuatu kumpulan lain kemudian tanpa berfikir panjang lancar sahaja keluar dari hati menuduh sehinggakan tidak dapat membezakan makna istilah Hadis dan siapa Sheikh Muhammad Abdul Wahhab.

Mudah-mudahan kita terpelihara dari sikap taksub melulu tanpa berfikir panjang. Kita cukup bimbang golongan kurang fakta ini berkembang dalam masyarakat sehingga boleh mengelirukan orang lain yang juga kurang membaca.

Salam Ramadhan 1432 Hijrah

p/s: Rencana-rencana yang boleh dibaca semula untuk memahami istilah Wahabi

1. Takut Hantu Wahabi oleh Dr. Mohd Asri Zainul Abidin
2. Isu Wahabi: Mari kita Berbincang dan Mengkaji - Ulasan buku (5 bahagian)

7/27/11

Tuhan Manusia....Faisal Tehrani

Lebih kurang 7-10 hari berulang-alik melalui bas dan STM Metro (keretapi bawah tanah), dari rumah ke tempat kerja buku ini selesai saya kerjakan secara purata 4-5 mukasurat setiap hari. Karya Sasterawan Muda, Faisal Tehrani ini saya dapatkan dari UjanaIlmu dan dikirimkan oleh saudara dari Malaysia ke Montreal pada pertengahan musim sejuk yang lalu sekitar bulan Februari 2011.

Saya mula cuba bersungguh-sungguh untuk memahami makna Islam Liberal melalui sebuah buku berjudul Islam Liberal: Isu dan Cabaran. Tuhan Manusia pula adalah buku kedua berbentuk fiksyen yang sarat dengan maklumat dan pencerahan tentang apa makna liberalisme yang amat berbahaya terhadap akidah dan agama.

Tuhan Manusia berkisar tentang seorang pemuda Ali Taqi yang bergelut dengan isu abangnya Talha, yang telah meninggalkan agama Islam (MURTAD) akibat termakan hasutan penjajahan baru agama yang dinamakan Islam liberal dan berakhir dengan perpindahan agama. Ia diburukkan lagi dengan bantuan En. Aris, seorang liberalis agama tanahair yang menyokong kemurtadan abangnya.

Ali Taqi yang selalu menghayati pesanan arwah ibunya yang berbunyi
"Andai kota itu peradaban, rumah adalah budaya dan tiang serinya adalah agama" sentiasa mencari makna kata-kata ibunya sehingga beliau dewasa dan menjadi seorang ilmuan terkenal menggeluti bidang falsafah.

Novel padat ilmu ini ditutup dengan berita kematian Talha akibat dilanda taufan misteri sebagai manifestasi kemurkaan Allah terhadap kemurtadannya.

Antara pengajaran penting yang boleh dikutip dari novel ini ialah:-

  • kekaguman kita umat Islam terhadap kemajuan barat perlu disaring dan ditapis dengan ilmu dan pergaulan yang sihat
  • Barat sentiasa datang dengan agenda mereka untuk merosakkan pemikiran umat Islam dengan istilah-istilah yang mengelirukan seperi globalisasi, liberalisasi, Hak Asasi Manusia dan kebebasan berfikir
  • Titik persamaan dalam kepelbagaian mazhab dan pemikiran Islam perlu ditonjolkan dan bukan sebaliknya (perbezaan pendapat) dalam usaha untuk menghadapi musuh Islam

    7/22/11

    Musim Panas yang Sangat Panas

    Sumber : http://montreal.ctv.ca/servlet/an/local/CTVNews/20110720/mtl_heat_110720/20110721/?hub=MontrealHome

    For the second day in a row, Montreal was subject to extreme heat, with temperatures reaching a record-setting 35.2 Celsius Thursday afternoon.

    That's the hottest temperature ever recorded in Montreal for July 21. The previous high, set in 1955, was 35.0 C.

    7/1/11

    Melankoli waktu dinihari

    Jarang malah barangkali tidak pernah saya diserang perasaan rindu atau teringat-ingat kampung halaman dan tanah air yang jauh ditinggalkan buat sementara waktu ini. Mungkin hati keras yang dipupuk sekian lama menjadikan hati ini tidak terlalu terikut-ikut dengan perasaan. Jenis degil atau hati kering kata orang sekarang!

    Sementara menanti waktu subuh sekitar jam 3.12 pagi (waktu Montreal) tadi, saya membelek gambar-gambar kampung halaman di komputer, terutama kampung asal sebelum berpindah ke Tanah Rancangan Felda kiriman adik saya dari Malaysia, tiba-tiba hati menjadi sayu dan terkenang suasana indah kampung halaman. Tenang dan damai dalam serba kesederhanaan.

    ahhh! Soal hati

    Motor ini juga mampu membangkitkan seribu satu kenangan...

    5/17/11

    Suatu kebetulan yang indah

    Kerapkali apabila kita teringatkan seseorang, dengan tidak semena-mena orang yang diingati itu akan muncul secara tiba-tiba. Jikapun tidak muncul, orang yang diingati itu akan menelefon atau sekurang-kurangnya teringat pula kepada orang yang mengingatinya. Ini bukan kisah cinta muda mudi yang saling ingat mengingati dan tenggelam dalam khayalan serta hawa nafsu, tetapi lebih kepada pengalaman hidup seharian.

    Ahad lalu kami sekeluarga berjalan-jalan disuatu tempat. Aktiviti biasa di hujung minggu. Sewaktu berlegar-legar di suatu kawasan, fikiran tiba-tiba teringatkan seseorang di ofis yang banyak membantu saya tentang selok belok kerja yang harus dilakukan ketika mula-mula masuk bekerja 3 minggu yang lalu. Selang 2-3 minit, tiba-tiba nama saya dipanggil.

    Aha...itu dia Puan Malar yang berbaju kurung biru, sedang duduk-duduk bersama temannya yang baru pulang dari aktiviti di gereja katanya. Saya terpinga-pinga dan terkejut seketika sebelum kembali tenang kemudian memperkenalkan isteri dan puteri saya kepada Puan Malar dan rakannya.

    Saya pernah terbaca tentang kejadian secara kebetulan begini yang sudah saya lupa apa istilahnya. 'Sub-concious mind' atau gelombang minda atau apa ya ?..sungguh 'misteri' dan menarik untuk diteroka!

    5/8/11

    Berkhayal lah sebanyak mungkin

    Berkhayal lah (berimaginasi) anda sebanyak mungkin. Suatu hari sebahagian khayalan tersebut akan menjadi kenyataan..

    Kata-kata di atas saya petik dari buku tulisan pakar motivasi dan penulis terkenal Dr. Hj HM Tuah Iskandar melalui bukunya yang berjudul Membina Imaginasi Cemerlang.

    Buku ini saya baca dan hayati berulang-ulang kali lebih 10 tahun yang lalu. Dan beberapa kata-kata motivasi serta buah fikiran beliau saya pegang betul-betul. Sebahagiannya saya salin di atas kertas dan hayati ketika waktu-waktu senggang. Sungguh hebat kuasa khayalan dan ia benar-benar berlaku pada diri saya melalui beberapa pengalaman peribadi.

    Jika dahulu saya pernah berkhayal untuk menulis rencana dan disiarkan di dalam majalah, maka ia sudah direalisasikan. Sehingga kini saya sudah menulis lebih 70 rencana untuk majalah. Sebelum membaca buku tersebut pun saya sudah berkahayal menjejak kaki ke negara asing dan berjalan-jalan melihat tempat orang. Kini ia terlaksana juga. Malah, ketika di bangku sekolah pun, pernah saya berangan-angan masuk ke universiti dan mendengar kuliah di dewan kuliah yang menjunam ke bawah (seperti yang pernah ditonton dalam filem). Alhamdulillah, impian tersebut juga terlaksana. Ketika sibuk menguruskan persiapan untuk datang ke Kanada, selepas mengambil cuti tanpa gaji sebagai Pegawai Sains di UKM, saya juga berkhayal memperolehi kerja yang ada kena mengena dengan Malaysia di Kanada. Sudah tentu itu hanya khayalan kosong tanpa arah tujuan.

    Tanpa disangka-sangka, baru-baru ini saya dihubungi oleh seseorang yang mencari warga Malaysia yang berada di Montreal untuk bertugas sebagai penterjemah di sebuah syarikat permainan komputer terkenal di sini. Jadual waktu kerjanya juga menepati khayalan saya sebelum ini iaitu selepas menghantar anak ke pusat jagaan kanak-kanak. Memang benar-benar ia berlaku, apabila kerja saya bermula pukul 1.00 tengahhari sehingga 9.30 malam.

    Bertolak dari situ, saya mula berfikir keajaiban kuasa khayalan dan rezeki tanpa disangka-sangka dari Allah. Sungguh ajaib kuasa khayalan. Jadi sebelum terlambat saya ingin terus berkhayal dan mengajak rakan-rakan membaca buku "Membina Imaginasi Cemerlang" 





    Memang saya seorang yang suka berangan-angan dan berkhayal. Kini saya cuba membayangkan diri sebagai seorang usahawan, mempunyai tenaga kerja yang mantap, memiliki ofis sendiri, membayar gaji pekerja, membantu orang-orang yang kurang bernasib baik, meningkatkan kemahiran diri sendiri...dan..dan..dan...dan.....ahhh...banyak sungguh angan-angan!

    Biarkanlah angan-angan tersebut menerawang jauh tanpa jejak dan sempadan, bak kata pepatah orang putih
    "Shoot for the moon. Even if you miss, you'll land among the stars"

    Jangan kita terperangkap dengan istilah penjajah "angan-angan Mat Jenin"

    4/24/11

    Cukup sedih dengan Utusan

    Kita tahu, Utusan Malaysia adalah lidah rasmi UMNO. Walaubagaimanapun, sewaktu dahulu Utusan Malaysia memang hebat. Rencana-rencana yang saya selalu ikuti di dalamnya juga sangat berkualiti. Masih saya ingat sewaktu di zaman persekolahan dulu circa tahun 95-96, guru Bahasa Melayu kami Puan Wan Fatimah Wan Abdullah menggalakkan kami membaca rencana-rencana akhbar tempatan untuk memperbaiki mutu karangan dalam peperiksaan SPM. Ironinya beliau merupakan isteri kepada Yb. Haji Abdul Wahid Endut, Ahli Parlimen Kuala Terengganu sekarang yang mewakili parti PAS.

    Kini Utusan Malaysia semakin dihina dan dikutuk akibat laporan dan rencana di dalamnya dan ia semakin tidak mendapat tempat di dalam masyarakat. Saya sendiri akhir-akhir ini agak kurang melihat ruangan RENCANA dalam Utusan melainkan tulisan beberapa wartawan dan penulis yang saya hormati sejak lama dahulu. Penghinaan terbaru akhbar ini ialah kempen boikot yang dinamakan

    Program Makan Nasi Lemak ‘Beralas’ Utusan Malaysia 2 Mei

     Gambar : Baca akhbar terbalik

    Kita berharap agar akhbar utusan segera memperbaiki mutu tulisan yang lebih memberi kesedaran kepada rakyat berbanding terlibat dalam politiking melampau melalui rencana-rencana pengarang serta laporannya. Sesuai dengan moto mereka Penyebar Fikiran Rakyat


    4/8/11

    Utusan - Apa Sudah Jadi ?

    Saya bukanlah ahli mana-mana parti politik di Malaysia. Walaubagaimanapun, saya mencintai keadilan seperti yang dinyatakan dalam Islam.Kali ini, saya melanggar azam berdasarkan entry sebelum ini. Umum seluruh rakyat Malaysia yang suka membelek akhbar tahu tragedi buruk yang melanda akhbar Utusan Melayu. Seluruh rakyat Malaysia menyumpah akhbar yang bertemakan 'Penyebar Fikiran Rakyat' bertarikh 5/4/2011. Kalau di zaman reformasi 98, ia dikenali dengan nama utusan meloya, kali ini ia layak digelar utusan melucah. Mengapa tidak, lihat sahajalah muka hadapan akhbar ini. Sungguh hina! Suatu masa dahulu Utusan Melayu adalah suara rasmi dalam usaha menentang penjajah dan memperjuangkan kemerdekaan. Sekarang ini, kakitangan Utusan pun mengutuk dan menyumpah majikan mereka.

    4/1/11

    Azam baru

    Azam saya kali ini ialah untuk mengurangkan cakap-cakap atau bicara politik . Sebenarnya ini sudah kali ke berapa ratus azam saya. Tapi tetap ingin saya berazam. Kenapa ?..sebab politik ini memualkan . Maksud politik ini ialah politik murahan yang menjengkelkan. Lihat sahajalah akhbar saban hari. Terus menerus memperbodohkan rakyat. Saya tidak mahu quote dari mana-mana akhbar, tapi saya yakin ramai yang bersetuju. Politik yang perlu disokong ialah politik untuk memajukan diri dan masyarakat. Bukan politik rasuah, seks dan betina.

    Walaubagaimanapun saya sedang membaca sebuah buku baru tulisan Dr.Mujahid Yusof Rawa berjudul 'Menuju Pas Baru' : Krisis, Peluang dan Dinamisme'

    Sebuah buku yang membawa 'pemikiran' baru dalam parti politik yang membawa wadah Islam pada perjuangannya. Bukan buku bodek.

    3/30/11

    Kisah Hadiah Nobel Fizik 2010


    Andre Geim, 51 dan Konstantin Novoselov, 36 kedua-duanya dari University of Manchester, United Kingdom berkongsi hadiah paling berprestij ini dari The Royal Swedish Academy of Sciences yang diumumkan pada  bulan Oktober tahun lalu berikutan kajian mereka tentang karbon dan menemui bahan baru yang dikenali sebagai grafin. Penemuan bersejarah ini pertama kali dilaporkan dalam jurnal sains oleh mereka seawal bulan Oktober 2004 lagi dengan judul Electric Field Effect in Atomically Thin Carbon Films...
                                                                  ...........Dewan Kosmik April 2011


    Alhamdulillah, selepas agak lama berehat dari menulis di media bercetak, kali ini artikel saya berjudul Grafin dan Hadiah Nobel Fizik 2010 diterima untuk terbitan April 2011.

    Spring 2011
    ~Verdun~
    Montreal

    3/16/11

    Selepas Tsunami, krisis nuklear pula...tapi........



    Satu dunia kini gempar apabila loji nuklear Fukushima yang membekalkan tenaga elektrik di sebahagian besar kawasan di pesisir timur laut Jepun meletup kesan dari gempa bumi dan tsunami yang melanda negara itu. Penjelasan kronologi letupan tersebut boleh dibaca di sini.Setiap hari ada laporan dari pelbagai sumber berita mengemaskini status reaktor nuklear terbabit. Ada yang sahih, tapi banyak juga yang mengarut menyatakan sumber. Contohnya:

    PESANAN PENTING DARI SAHABAT FB Mr XYZ: 
    "A nuclear power plant in Fukumi, Japan exploded at 4:30 AM today. If it rains tomorrow or later, don't go outside. If you are outside, be sure that you have rain protectors. It's acid rain. Don't let it touch you. You may burn your skin, lose your hair or have cancer. Please pass, stay safe and remind everyone you know."

    Ini sangat popular, sehinggakan ibu saya di kampung pun menelefon ke Kanada bertanyakan khabar tentang isu ini. Orang kita memang cukup hebat kalau menyampaikan berita yang tidak ketahuan asal usulnya. Jika dahulu waktu emel mula rancak sebelum muncul SMS, facebook twitter dan sebagainya, setiap hari akan ada sahaja kaki-kaki meng'forward emel yang merapu dan mengarut tentang konspirasi itu dan ini. Sekarang facebook dan twitter pula termasuk SMS yang masih hangat digunakan.

    Di zaman yang penuh dengan simpang siur teknologi maklumat serba canggih ini, fungsi akal WAJIB digunakan secara maksimum untuk menepis dan menyaring sebarang maklumat. Akal juga mesti dipenuhi dengan ilmu pengetahuan yang baik. Tidak dapat tidak, kewajipan dan kemahiran membaca perlu sentiasa dipertingkatkan untuk mengisi minda. Jika kita tidak menguasainya, maka akan muncullah mesej-mesej atau catatan facebook yang menyebarkan,

    - Facebook akan menutup operasinya pada 15 Mac 2011 kerana tekanan pengurusan
    - hujan asid dan hujan radiasi akan sampai di Malaysia
    - kisah anak beribu bapakan khinzir
    - larilah ke masjid apabila berlakunya tsunami
    - kiamat berlaku pada tahun 2012

    dan ratusan lagi khabar yang tidak masuk akal menerjah ke dalam fikiran dan jiwa kita, terutamanya bangsa Melayu. Justeru itu, berhati-hatilah apabila menerima maklumat. Gunakan minda anugerah Allah yang tidak ternilai ini sebaik mungkin.

    P/S : Sumber tenaga nuklear adalah anugerah Allah untuk dimanfaatkan oleh umat manusia. Kepakaran mengendalikannya adalah tugas manusia untuk mengeksploitasikan sumber tenaga tersebut bagi mempelbagaikan sumber tenaga konvensional yang semakin berkurangan. Tidak sahaja nuklear, biogass, solar, angin dan air juga perlu dimanfaatkan.


    Tragedi letupan loji nuklear Jepun adalah satu manifestasi kelemahan manusia dalam merancang. Semua itu adalah proses dan cabaran untuk terus mara menghadapi masa hadapan. Takziah dan simpati kita kepada Jepun.