www.majalahsains.com

7/30/07

Pameran dan Jualan Buku lagi..

Sabtu lalu singgah di gerai Ujanailmu dan beberapa gerai lain sempena pameran dan jualan buku bertempat di Foyer Perpustakaan Awam Negeri Sembilan. Niat di hati ingin bertemu si penulis Mencari Locus Standi, Puan Nisah Haron sebagai salam perkenalan dan ingin menanyakan beberapa soalan tentang karya dan hakcipta Tapi mungkin belum tiba masa yang sesuai. Namun begitu, En Shukri yang ramah pun sudah memadai untuk kali ini. Terima kasih En Shukri!!Sebelum menyelongkar buku-buku di bahagian pameran di Pintu Utama Perpustakaan Awam NS, teringin juga untuk melihat dan membelek-belek buku di dalam perpustakaan. Pertama kali menjejak kaki ke sana, walaupun pernah berada di Seremban sekitar tahun 1997 di Kolej Mara Seremban.Gedung ilmu di perpustakaan NS amat menarik walaupun jumlah buku-bukunya tidak lah sebanyak mana. Kelihatan ramai pelajar-pelajar sekolah dan beberapa orang dewasa sedang tekun menelaah. Dalam kedamaian sebuah perpustakaan, capai sebuah buku Falsafah Takdir karangan Pendita Za’ba yang di sunting oleh (lupa nama penyunting) di Bahagian Rujukan. Pada masa yang sama, penulis sedang menunggu buku yang dipesan dari Universiti Malysia Sabah (UMS) berjudul Pemikiran Za’ba Dalam Falsafah Takdir, karangan Nordi Achie. Hambatan masa yang tidak mengizinkan, hanya berkesempatan membolak-balik bahagian pengenalan dan “baca laju” adikarya pendita bahasa yang tersohor itu. Semacam tidak sabar pula menunggu buku pesanan dari Negeri di Bawah Bayu. Kemudian terus turun ke bawah dan mencapai 3 buah buku yang begitu menarik dan sudah diintai sejak beberapa bulan lepas. Hasilnya :

1. Setitis Embun, Semarak Api ( Suka Duka dan Pahit Manis Shanon Ahmad )

2. Islam di Tanah Melayu Abad ke -19, (Suntingan Farid Mat Zain)

3. Tunggu Teduh Dahulu , Faisal Tehrani..( 2 minggu lepas 1515 [KOMBAT], sudah berada di meja bacaan )..karya menarik dari pengarang muda berjiwa islamik..

Sekarang: sedang meladeni Shahnon Ahmad, Faisal Tehrani, Bill Bryson, Scientific American July dan cuba menterjemahkan Syarahan Umum Profesor Jung Dok Lee, berjudul Semiconductor and Nanotechnology Deveopment in Korea ke dalam bahasa melayu. Semoga mendapat kekuatan!!

7/27/07

Isi khutbah 27/7/2007

Hari khatib menegur orang islam (melayu terutamanya) yang terlalu leka dengan hiburan..sebut sahaja hiburan apa ( konsert, realiti TV, karaoke, disko.. etc2), melayu lah yang ramai...sebut saja gejala tidak bermoral di Malaysia, melayulah yang juara..maka hasilnya (ucap khatib), lahirlah golongan remaja dan dewasa melayu yang kurang kritis pemikirannya, ketajaman akalnya pun makin berkurang, hujah mereka dangkal..asyik-asyik berbolak-balik dengan isu yang sama..paling buruk mengulangi perkataan dari mulut orang lain...paling teruk menyampuk isu yang diri sendiri tidak dapat menguasai..hasilnya..umat terus ketinggalan dalam segenap bidang..

Moralnya: Marilah kita menjadi "manusia" yang sebenar tanpa berlindung di balik bayang dan tenggelam dalam angan-angan sementara umur masih tersisa.

7/26/07

Rehat sejenak

Di tempat kerja, ribut dalam cawan sekejap bila ada berita kisah pensyarah bakal berkahwin lagi satu ( kahwin dua )..mula lah kaum hawa bersikap sinis dan tak kurang juga yang positif..tetapi peratusan positifnya tentulah lebih kecil dari yang negatif. Tukang catat masih terlalu muda untuk memberi pandangan, cuma bila membaca beberapa rencana, tulisan, buah fikiran dan tentunya tafsir Al-Quran khususnya, isu poligami ini tidaklah sesulit mana sekiranya kita memahami pesanan Allah..
Marilah kita sama-sama membaca dan memahami Al-Quran..(pesanan untuk diri dan keluarga)

7/9/07

3 Dimensi Masa

Masa lalu adalah sejarah. Masa kini adalah kehidupan yang kita “sedang” lalui. Masa depan adalah kehidupan yang “akan” kita tempuhi. Dalam meniti kehidupan yang hari ini, banyak masa lalu yang boleh dijadikan iktibar dan pedoman. Begitu juga pembaikan berterusan di masa kini adalah sebagai langkah atau jalan selamat untuk kehidupan yang lebih baik di masa hadapan. Tiga dimensi masa ini lah yang menemukan pelbagai ragam kehidupan yang melingkari sekitar kita sebagai makhluk Tuhan.

Namun begitu, pertentangan batin dan bujukan syaitan serta rendahnya tingkat keimanan dan kepercayaan diri masing-masing kerap kali menjerumuskan manusia ke arah lembah hina yang sama berulangkali. Itu tandanya kita tewas! Bagaimana dengan bangsa kita yang kerapkali dimomokkan sebagai bangsa yang mudah lupa segalanya!! ( menurut tulisan Johan Jaafar dalam kolum Di Luar Lingkaran, Berita Minggu 1 Julai 2007). Dan untuk menafikannya, cubalah kita cari bilangan yang betul-betul tidak mudah lupa dan sedar akan jatidiri mereka sebagai makhluk ciptaan Tuhan!!Apakah itu petanda bangsa kita memiliki ketahanan dalaman yang rapuh dan mudah saja dirobek-robek oleh kerakusan syaitan yang sejak azali cuba merosakkan kehidupan fitrah manusia.

Dalam perkara ini, marilah sama-sama kita mempertajamkan akal, berdoa dan berusaha agar tidak terperosok di dalam lubang gelap yang sama.

7/6/07

Kata-kata hikmah!

Renungan

Jangan putus asa jika otak tumpul dan kurang cerdas, kadang kala seseorang yang tumpul otaknya tetapi tidak putus asa, lebih maju daripada seseorang yang cerdas tetapi pemalas...

[HAMKA]

Khutbah jumaat 6 Julai 2007

Khutbah jumaat disampaikan oleh Dr Hj Maimun Aqsha Lubis. Beliau telah memberikan penerangan dan sedikit tafsiran ayat dari Surah Al-Insyirah tentang sikap berlapang dada dan dugaan-dugaan dalam perjuangan hidup. Melalui ayat dalam surah ini ada kata-kata bujukan dari Allah dalam menghadapi rintangan semasa berjuang..Antaranya ialah

"Di dalam setiap kesulitan itu, pasti ada kelapangan".

Tapi sayang sekali, khutbah yang ringkas dan padat dengan pengetahuan dan saranan kepada mahasiswa baru khususnya gagal menarik perhatian mereka dan juga para jemaah...ramai yang nampaknya tertidur sebelum khutbah bermula lagi..dan ramai juga yang tersengguk-sengguk walaupun khatib sedang bersemangat..di mana silap agaknya!!

6/29/07

Pelajaran

Dalam perjalanan ke Masjid untuk solat Jumaat tadi, tekan punat radio kereta, di frekuensi 96.7 MhZ ( Sinar FM)..DJ radio Abby Fana, berceloteh

Dalam satu kelas seorang pelajar bertanyakan gurunya:

Murid: Kenapa orang bertengkar suka menjerit-jerit dengan suara yang kuat walaupun jarak kedua-duanya dekat dan bersemuka..

Guru: Walaupun mereka berada berdekatan, namun hati mereka terlalu jauh. Makin kuat mereka yang bertengkar itu menjerit, semakin jauh kedudukan hati antara mereka berdua

Guru itu menambah

Guru: Berbeza dengan orang yang sedang dilamun cinta. Walaupun jarak fizikal mereka beribu batu jauh, memadai dengan nada suara yang kecil dalam telefon sudah dapat merapatkan hubungan antara mereka..

Inilah persoalan hati...sekiranya sedang marah, cubalah untuk bertenang apabila kita sedang marah..jangan dibangkit perasaan membuak-buak marah di depan individu yang sedang dimarahi..

Murid itu terdiam!!

Begitu juga murid yang sedang menulis blog ini..ada teguran disebalik cerita..

6/26/07

Artikel DEWAN KOSMIK bulan JUN




Piket dan 'naik gaji' !

Petang semalam, (25/6/07) tukang catat menuju ke Warta Bangi untuk membeli sedikit barangan keperluan..dalam perjalanan, sekitar kompleks tersebut terdapat sekumpulan pekerja-pekerja kilang (dilihat dari segi pakaian seragam) dan sekelompok penduduk berpakaian biasa sedang mengadakan piket secara aman..dipercayai piket secara aman ini turut diadakan di seluruh negara ( menurut laporan berita TV malam tadi)..kelihatan juga beberapa buah trak dan landrover polis yang bersedia sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini..Antara sepanduk dan kain rentang yang terpampang ialah, Kami Mahu Kenaikan COLA RM300, Semakan Gaji Minimum, Mana Hak Kami, Bunyikan Hon Kereta Anda dan sebagainya...

Penulis bukanlah ingin mengulas persoalan piket, gaji, perasaan kasihan dan sebagainya kepada golongan yang merasakan tertindas, namun ingin berpesan dan mengingatkan diri sendiri bahawa lumrah kehidupan MESTI (tidak boleh tidak) ada pasang surutnya...sedangkan roller coaster dan roda ada menaik dan menurun ( menjunam kadang-kadang), laut pun sentiasa bergelora dan tidak selalu tenang, inikan pula kitar hidup manusia yang jelas sentiasa akan diuji dan diberikan cubaan..hatta perkara gaji dan pendapatan yang maha penting sekalipun...bersabarlah!!

6/24/07

Strategi bisnes


Minggu lepas, penulis menerima emel dari nanotoday, menyatakan bahawa mereka tidak lagi mengedarkan majalah nanotoday hardcopy kepada pembaca bermula oktober ini..mereka hanya akan menyediakan versi percuma dalam talian ( online) kepada individu yang melanggan..

Selepas menerima versi harcopy percuma secara berkala setiap bulan bermula pertengahan tahun lepas, kali ini penulis tidak lagi dapat menikmati intisari bahan yang disediakan dalam nanotoday secara nyata..hanya online..ahh..sesuatu yang kurang menyeronokkan :-) .apa boleh buat, sudah menjadi kebiasaan kepada peniaga, mencari untung!!…

6/22/07

Perihal Solat Jumaat

Selalu kita perhatikan di mana-mana masjid setiap hari jumaat, bila sampai waktu bilal mengalunkan azan kedua sebelum khatib membaca khutbah, ramai di kalangan jemaah kita yang diam menunggu habis azan untuk solat sunat 2 rakaat.

Soalan :

1. Kenapa perlu menunggu selesai azan (kedua) untuk solat sunat?
Hormat azan? Tabiaat? Rutin? Tidak tahu?..

2. Mana yang lebih penting, mendengar khutbah atau pun solat sunat?
( sebab khutbah itu yang lebih wajib didengar, bukannya solat sunat rata-ratanya ramai akan tertidur <> selepas khutbah dimulakan..dan juga bila 2 rakaat dikerjakan selepas azan kedua, sudah tentu sebahagian khutbah yang baru bermula akan terlepas dari pendengaran )..

Mungkin perkara ini perlu pencerahan...

p/s..Ini perkara remeh temeh, tetapi khutbah jumaat bukan benda remeh..terlalu banyak isu yang dikupas, cuma khatib perlu kreatif )..

6/17/07

Membaca biografi

Kata orang mengenang dan menghargai orang-orang besar amat bermakna..sekurang-kurangnya memberikan inspirasi dan cita-cita besar untuk diri dan mungkin dapat dipanjangkan serta dikongsi cerita-cerita sejarah orang-orang besar itu kepada orang lain walaupun tidak banyak…tukang catat ini memiliki sejumlah karya-karya yang menghimpunkan orang-orang ternama baik saintis, agamawan, tokoh-tokoh sejarah, dan pelbagai lagi yang antaranya ialah..

1. American Prometheus, The Triumph and Tregedy of J. Robert Oppenheimer

2. Just For fun, a Biography of Linus Torvalds

3. Perjalananku Sejauh Ini,Sebuah Auotobiografi Shahnon Ahmad

4. Tokoh-tokoh kesarjanaan Islam

5. Robert Noyce, The Man Behind The Chip

6. The Autobiography of Benjamin Franklin

7. Tolkein, A Biography..

8. Memoir A Samad Ismail

9. Pak Sako, Putera Gunung Tahan

10. Hidup Meniti Ranjau, Sebuah Biografi Pak Sako

11. Hamka, Pujangga Islam

12. Dari Menara Gading ke Mercu Korporat, Biografi Tan Sri Rashdan Baba

13. Notable Twentieth Century, Scientist Volume I, A-E

14. Feynman, The Pleasure of Finding things Out

15. Surely you’re Joking Mr Feynman

16. Lesson, a biography of Dr An Wang

17. Burhanuddin Al-Helmy, Suatu Kemelut Politik

Dan yang terbaru ialah sebuah

18. Prosiding Persidangan Penerbitan Biografi Malaysia 2005..

Dari senarai di atas, ada yang dibaca berulang-ulang kali tanpa jemu berikutan kisah perjalanan hidup mereka yang begitu menarik untuk di teladani,, tidak kurang juga yang hanya beberapa helai terusik dan juga ada yang hanya memenuhi rak buku tanpa diketahui isi kandungan buku sepenuhnya :-)..

Walau apapun, kesemua buku-buku di atas amat disayangi si tukang catat walaupun ada segelintir rakan yang ingin meminjam..ampun dan maaf sekiranya permintaan tidak dilayan, kerana bagi tukang catat, buku-buku ini amat bernilai dan tidak akan berpindah randah ke tangan orang lain walaupun untuk pinjaman..

Bertemu Prof Muhd Kamil

Dalam catatan minggu lepas, saya ada membicarakan sebuah buku dan penulisnya..usai sahaja membaca buku tersebut, terdetik di hati untuk bertemu mata dengan penulis yang begitu prolifik dan kaya dengan pengalaman hidup..Ah, mungkin impian tersebut hanya akan menjadi kenangan, apatah lagi beza umur dan taraf dengan beliau pun sangat jauh berbeza..segan juga kalau bertemu!…Pada hari sabtu bersamaan 16 Jun 2007, tukang catat menghadiri satu majlis kenduri kahwin seorang rakan di Bandar Baru Bangi, UKM..sedang asyik menyenduk makanan, mata terpandang wajah seseorang yang seakan-akan Prof Muhd Kamil Ibrahim..Penulis buku yang dimaksudkan..atau pun seperti kata orang, mungkin pelanduk dua serupa..sekali lagi kemudian terpandang beliau sedang mengambil makanan seraya memanggil nama salah seorang anaknya ( Amirul) seperti yang tercatat dalam buku beliau..Sah!!, inilah Prof Dr Muhd Kamil Ibrahim..tanpa buang masa, terus tukang catat menyapa beliau dan berkenalan sedikit sebanyak..sempat juga bertanyakan buah tangan beliau yang terbaru yang berjudul ( kalau tak silap), Travelogue Haji: Mengubah Dimensi Masa yang akan berada di pasaran lewat hujung tahun ini.. tercapai juga niat untuk berjumpa seorang ahli akademik yang tuntas dan penulis buku-buku catatan pengalaman dan motivasi yang bernilai tinggi menurut tafsiran si tukang catat..betapa takdir Tuhan dan imaginasi manusia akan dapat tercapai bila keduanya bergabung!!

Terima kasih Prof.

6/8/07

mundar-mandir


Seperti judul blog, perasaan dan mood si tukang catat pun kadangkala turut mengalami nasib yang sama...jadi untuk tidak meluangkan masa melangut tanpa sebarang perkara baru, teringat buku kecil berjudul "PhD, Kecil Tapi Signifikan" karya Prof Dr Muhd Kamil Ibrahim
Tergerak hati juga untuk melayari kehidupan beliau lewat blog ...terus terang boleh dikatakan ( kalau pun tidak banyak) tulisan beliau memberi motivasi kepada pencatat..
Prof, terima kasih kerana menaikkan semangat..

6/4/07

Bahasa Melayu, kenapa begitu??

Membaca laporan ini sebenarnya mengguris hati pendokong Bahasa Melayu yang lain, termasuk si tukang catat..tragedi yang terus menimpa nasib bangsa sendiri akibat terlalu menjaga hati orang lain atas nama masyarakat majmuk..Mengapa demikian?..

Mungkin pemerintah perlu membaca akibat dan nasib yang dialami oleh negara yang memulaukan suara-suara golongan ilmuan..

p/s..sekadar pandangan peribadi

5/23/07

Ingin menguasai semua


Setakat ini umur yang telah dihabiskan di dunia ini ialah sebanyak 28 tahun. Entah berapa lama lagi umur yang tersisa tidak bisa kita mengetahuinya, kecuali Sang Pemberi umur iaitu Allah.

Sejak dari dulu tersimpan cita-cita besar dalam diri si tukang catat ini untuk menguasai banyak bidang..beberapa tahun dulu tergila-gilakan sistem operasi berasaskan keluara *nix, unix, linux, SOLARIS dan sebagainya dan juga aplikasi-aplikasi “open source” yang lain. Namun banyak masa hanya dihabiskan untuk memahami aplikasi lewat manual, buku, petikan artikel dari internet yang dicetak dan dicuba di rumah. dengan terlintas fikiran tentang keperluan semua itu dengan kerja seharian dan minat-minat lain yang cuba dikuasai..langsung ditinggalkan sahaja linux sejak setahun yang lepas selepas “uninstall Slackware’ di laptop.

Bukan itu sahaja, minat terhadap muzik bukan sedikit mempengaruhi ..terpaku dengan petikan gitar rakan serumah, terdorong pula untuk memiliki sebuah gitar walaupun gitar kapok..nah dari dulu sampai sekarang hanya “basic chord” sahaja yang dikuasai..itu pun secara strumming dan plucking yang dikategorikan sebagai amat minimum..

Menulis dan membaca, yah!!..nampaknya hobi dan minat ini masih melekat…beberapa entri blog yang lepas banyak berkongsi perihal buku-buku yang telah/sedang/akan dibaca…kegiatan menulis juga semakin rancak sejak terpengaruh dengan sebuah buku karya Jeniri Amir ditambah pula aplikasi percuma weblog yang lebih dikenali sebagai blog hasil evolusi IT..

Di waktu zaman persekolahan dahulu, tersimpan cita-cita untuk menguasai bidang agama dan hafazan alquran sehingga terpilih ke sebuah pusat pengajian yang menwarkan bidang itu pada tahun 1994..tapi entah kenapa, subjek sains yang menjadi pilihan…lantas timbul pula keinginan untuk mengetahui selok belok sains walaupun hajat masih terawang-awangan..hehe.

Akibat tuntutan ekonomi dan perubahan semasa, timbul pula keinginan untuk mencebur bidang perniagaan walaupun pada masa entri ini ditulis, hajat itu masih diperingkat angan-angan...:-)..InsyaAllah sekiranya diberi kekuatan mahu juga dicuba..sebab mencuba itu tidak lah salah..

Namun disebalik semua impian, harapan dan cita-cita teringatlah sebuah kata-kata yang indah diucapkan oleh seorang pengarang tersohor bahawa “ilmu yang luas itu belum tentu mendalam”..seperti lautan yang luas, hanya beberapa jurang sahaja yang terkenal amat dalam..

Nun di negara barat, ditulis pula “Jack of all trades, master of none”..dan ini kadang-kadang membuatkan kita insaf bahawa tidak semua yang diingini itu akan tercapai walaupun tidak mustahil..

Namun penulis masih tetap optimis bahawa, kata-kata “Jack of all trades, master of none” ini boleh sahaja diganti dengan Jack of all trades, master of some”..dan penulis suka mengambil kata tidak mustahil untuk dilakukan..

Semoga Allah memberikan kekuatan!!

5/21/07

Kepintaran manusia



Kebesaran Tuhan boleh diperhatikan di mana-mana sahaja kepada mereka yang suka merenung ciptaanNya. Contoh paling mudah dan rapat dengan kita adalah ciptaan otak dan minda manusia itu sendiri. Betapa kita menyedari bahawa berbilion manusia mempunyai perwatakan dan minat yang berbeza yang dipengaruhi oleh minda. Ambil saja contoh seseorang yang meminati angka, simbol dan persamaan dengan mereka yang meminati huruf, tulisan dan bacaan. Kelihatan begitu unik kedua jenis manusia ini bekerja! Kedua-duanya mempunyai kekuatan dan kesetaraan masing-masing dalam menyelesaikan sesuatu. Satu lagi keadilan Tuhan yang mengagumkan!!

Iya, perkara ini telah banyak dibahaskan oleh pakar-pakar pengkaji tabiat dan perilaku manusia. Sebuah buku oleh Dr Tuah Iskandar Al-Haj berjudul “Membina Imaginasi Cemerlang” mengkategorikan kepintaran manusia kepada 7 bahagian yang terdiri dari:

1. Logik-Angka

2. Seni

3. Muzik

4. Kemahiran interpersonal

5. Intrapersonal

6. Bahasa

7. Visual

Sekiranya digunakan secara optimal, ia cukup untuk menjadikan manusia itu cemerlang..

5/16/07

Sempena hari guru 16 Mei 2007

Guru merupakan orang kedua penting dalam hidup setiap manusia (mungkin ) selepas ibu bapa..Kenapa tidak, sejak naik ke takah kedua dalam proses pembelajaran dan mengenali dunia kehidupan, guru dan sekolah tidak dapat di elakkan waima sekolah bukan formal sekalipun..dalam puluhan guru yang mendidikku sehingga menjadi yang sekarang ini, dedikasi ini untuk mereka

1. Ustz Nawi bin Mat ( mengajar tajwid)

2. Bilal Zakaria ( mengajar Quran)

3. Ustz Haron, (fiqah di masjid Felda Selasih)

4. Cikgu Kamarul Baharin ( cikgu BM tgktan 2, SMAIJ 1993 )

5. Cikgu Ruzak Mat Noor ( Kimia tgkt 4&5)

6. Ustz Engku Radziah ( Pengajian Islam tgkt 4&5)

7. Cikgu Wan Fatimah Wan Abdullah ( BM tgkt 5)

8. Prof Yusof Othman ( Bengkel Belajar Berkesan, Kem BTN Alor Gajah, 1998)

9. Syed Hood Syed Idrus ( Ahli Parlimen Parit Sulong & Motivator Kem BTN Ulu Sepri, 1996)

Terima kasih dan Moga Allah membalas jasa kalian..

5/4/07

KOSMIK Mei 2007




Salam..
Alhamdulillah & terima kasih kepada editor Dewan Kosmik kerana menyiarkan artikel kedua..
Sumbangan kecil untuk adik-adik dibangku sekolah untuk terus mengenali S&T dengan pesanan berbangga lah dengan bahasa sendiri :-)

5/2/07

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2007


Pesta Buku Antarabangsa KL 2007 masih rancak berjalan! Kepada mereka yang belum lagi merasai nikmat mengharungi “lautan” buku, kesempatan yang tersisa masih lagi boleh berbuat demikian di PWTC sebelum 6 Mei hujung minggu ini. Penulis seperti kebiasaan , tidak pernah puas dengan hanya satu hari ’lawatan’. Kali kedua mengunjungi KLBF pada hari ke enam sudah memborong sejumlah buku. (Lihat gambar ) Mungkin ada lagi hari ke tiga atau ke empat. Bergantung pada keadaan!!