www.majalahsains.com

4/22/07

Kenapa blog?


Mungkin ada yang bertanya kenapa menulis blog? Kenapa menjadi blogger? Tak kurang yang nakal berkata menulis blog membuang masa!! Blog atau weblog merupakan suatu wadah atau medium baru hasil evolusi teknologi internet dan komputer untuk menyalurkan maklumat. Maklumat boleh terbahagi pula kepada dua iaitu yang bersifat kebaikan atau pun keburukan. Jika dahulu tidak ramai yang memiliki ruang maya mereka sendiri yang dikenali sebagai Homepage atau laman web kerana kekangan teknikal.Namun dengan tampilan Blogspot, Wordpress, Livejurnal dan lain-lain yang gratis, semua individu mampu memiliki blog atau laman maya peribadi mereka sendiri. Sebagai contoh, sekiranya individu itu memiliki kemampuan teknikal yang sangat minimum, mereka masih boleh memiliki blog mereka sendiri dengan beberapa ketikan tetikus di internet.

Tukang catat ini memulakan penulisan blog secara aktif bermula tahun 2003 lagi. Sejajar dengan perkembangan usia dan fokus utama dalam kehidupan, penulis memutuskan untuk menutup blog terdahulu dan memulakan www.mundarmandir2.blogspot di pertengahan tahun 2006. Pengalaman peribadi penulis, menulis merupakan suatu aktiviti yang sihat dan boleh dianggap terapi untuk membebaskan hampir segala yang bersarang di benak minda kita. Pujangga dahulu pun ada mengatakan, ”sekiranya kepala kita sudah sendat dengan maklumat, elok juga dibebaskan maklumat itu dalam bentuk tulisan”. Lagi satu sebab ialah, untuk menarik minat ”orang-orang kita” yang gemar berhujah secara lisan & bersemuka kepada debat secara lebih ilmiah dalam bentuk penulisan dan pemikiran. Bukan kah ayat Al-Quran yang pertama menyuruh kita membaca dan menulis!.

Untuk itu, alangkah beruntungnya kita sekiranya dapat memanfaatkan sebaik-baik mungkin limpahan teknologi internet yang berkembang pesat untuk menyalurkan buah fikiran dan perkongsian maklumat selain melatih diri menjadi seorang penulis yang baik..

Ayuh!!

4/16/07

Bila April menjengah!!

Nah, sekarang bulan April! Pada penulis, April merupakan bulan bertuah kerana di dalamnya terdapat 2 peristiwa dan acara menarik setiap tahun. Pertama, 26 April setiap tahun adalah hari ulang tahun kelahiran penulis dan yang kedua ialah acara terbesar yang dikategorikan ”WAJIB” hadir setiap tahun sekiranya tiada halangan. PESTA BUKU ANTARBANGSA KUALA LUMPUR, di PWTC ( tahun 2007 KLBF bermula pada 27 April ). Dua tarikh ini cukup membuatkan penulis teruja dan seronok. Ulangtahun kelahiran bermakna, umur kita semakin berkurang dan boleh membuatkan ita insaf akan masa dan umur pemberian Tuhan. KLBF pula memberi peluang untuk kita rakyat Malaysia menjadi ’part of readers community’ yang rata-ratanya rakyat Malaysia masih ketinggalan. Inilah yang selalu ditekankan oleh golongan atasan, pendidik, pemikir dan sebagainya iaitu menggalakkan aktiviti membaca.

Menurut Johan Jaafar, tabiat membaca bermula dari rumah. Artikel beliau Ahad lepas menceritakan perihal membaca kuat (reading aloud) kepada kanak-kanak tentang cerita-cerita rakyat, motivasi, cerita kanak-kanak dan pelbagai bahan bacaan lain yang dapat mempengaruhi minda dan aktiviti otak anak-anak. Menurut beliau lagi, teknologi TV, komputer, permainan video dan segala macam peralatan elektronik amat mengganggu minat membaca. Justeru itu, beliau menyarankan agar semua ibu bapa sedar akan pentingnya memupuk minda anak-anak supaya mencintai ilmu dan bahan bacaan.

Penulis sendiri berasa bertuah kerana sejak di zaman kanak-kanak lagi sudah terdedah dengan bahan bacaan terutamanya yan diperolehi dari buku-buku teks kakak dan abang semasa mereka di sekolah menengah. Di waktu alam persekolahan peringkat rendah, penulis sudah pun mengenali ”Seorang Tua di Kaki Gunung karya Azizi Abdullah, Drama Penantian oleh Mana Sikana, Senjakala, Hikayat Umar Umaiyyah, kisah 5 sekawan dan pelbagai tulisan Rejab FI. Menginjak usia dewasa, berkenalan pula dengan puluhan tulisan HAMKA, mula berjinak-jinak dengan novel berbahasa inggeris ( selain untuk menguasai bahasa tersebut), novel-novel melayu, kisah-kisah sains fiksyen, buku-buku sains dan sebagainya. Kesemua ini sekiranya dirangkum masih belum lagi memuaskan nafsu membaca dan memiliki buku-buku penulis terkenal lain. Maka dengan adanya PESTA BUKU ANTARABANGSA KL inilah peluang yang ditunggu-tunggu yang tidak akan dilepaskan. Di sinilah kadang-kadang kita akan menemui orang-orang terkenal dan golongan penulis selain golongan pembaca dan penjejak buku. Pesta ini juga lah yang akan menemukan kita dengan buku-buku terkini dari seluruh pelosok dunia. Sesuatu yang hebat di mata penulis!!Penulis mula mengetahui dan berkunjung ke sana bermula tahun 1999 selepas menjejak kaki ke UKM pada tahun 1998.

Bukankah sesuatu yang indah sekiranya kita melihat aktiviti membaca boleh dilihat di merata-rata tempat. Di stesen bas, dalam komuter, sambil berjalan, sambil bersantai, di rumah, di taman-taman dan sebagainya. Dan alangkah bagusnya kita memiliki sejumlah koleksi buku-buku yang layak dikategorikan sebagai perpustakaan mini di rumah. Ayuh bangsa Malaysia, jon kita hebohkan Pesta Buku hujung minggu depan!!!

4/15/07

Tersiar !!



Alhamdullillah, syukur pada Tuhan dipanjat kan. Selepas beberapa kali cuba untuk menembusi benteng editor,, kali ini artikel di atas tersiar di Dewan Kosmik. Terima kasih juga kepada pihak-pihak yang sudi meluangkan masa membolak-balik artikel. InsyaAllah sekiranya diberi peluang, artikel lain akan menyusul. Selamat membaca kepada adik-adik ku di bangku sekolah!!

4/12/07

Takziah!!

Terkejut bila menatap akhbar Utusan Malaysia hari ini...Penulis dan pengkaji ulama Nusantara di sisipan Mega Utusan Malaysia, Ustaz Wan Muhammad Shaghir Abdullah meninggal dunia semalam..

Semoga dicucuri rahmat dan aman di alam kubur..Al-Fatihah untuk beliau!!!


p/s..Moga-moga ada usaha dari pihak Utusan Malaysia untuk membukukan tulisan beliau tentang kajian ulama' nusantara sebagai bacaan yang menarik..

Bila Profesor Menulis!!


Rencana dari Berita Harian 12/4/2007

Prof. Zaini Ujang dalam makalah beliau berjudul Kerjasama Industri-Akademia Galak Inovasi menggariskan 6 perkara yang menyebabkan hubungan R&D di IPT dan golongan industri di Malaysia "kurang cemerlang"...Antaranya ialah:-

1. Kewujudan institusi pengajian tinggi yang tidak berorientasikan keuntungan..tetapi terlalu menumpukan kepada pengajaran, penyelidikan dan khidmat kepakaran

2. R&D di IPT berorientasikan penerbitan, tidak seperti R&D di industri yang berorientasikan kerahsiaan

3. Hasil penyelidikan di IPT menumpukan kepada pembinaan dan penjanaan ilmu berbeza dengan industri yang tertumpu pada komersialisasi produk

4. Staf akademik berperanan dan dinilai dari aspek pengajaran, penyeliaan pelajar pasca siswazah, penyelidikan, perundingan dan penerbitan sedangkan penyelidik di industri sepenuh masa

5. Penyelidikan akademik lebih santai dan rileks berbanding industri

6. Pendidikan dalam konteks pengajian tinggi adalah untuk pembangunan modal insan holistik, bukan latihan profesional khusus seperti amalan industri..

Bagi tukang catat blog ini, model yang patut dijadikan contoh dalam menggalakkan hubungan erat R&D di IPT dan industri ialah dengan melihat kejayaan Stanford Universiti California...Bergantung pada tafsiran masing-masing!!!...

Tabiat !!!

Satu perkara yang tukang catat blog ini baru perasan ialah tabiat membeli buku!!..Ada sahaja buku yang ingin dimiliki sekiranya secara sengaja atau tidak mengunjungi toko-toko buku..Tabiat ini mungkin bagus bagi mereka yang mempunyai banyak wang tapi mungkin kurang bijak bagi orang-orang seperti penulis…Tetap sahaja ingin membeli dan memiliki buku-buku yang dirasakan enak dan perlu dibaca walaupun di rumah selonggok buku masih belum habis dihadam…Dasar seorang penagih (buku tentunya!!) J

Senarai terkini…

1. The Google Story ---David A.Wise

2. American Prometheus, The Triumph and Tragedy of J.Robert Oppenheimer --- Kai Bird & Martin J. Sherwin

3. The Man Behind the Mcrochip, Robertt Noyce and the Invention of Silicon Valley ----Leslie Brown

4. Pemikiran Tun Dr Mahathir Bin Mohamad ---Abd Mua’ti@Zamri bin Ahmad

5. Penulisan Saintifik –Ismail Ahmad

6. Feynman Thesis ---Laurie M Brown

7. Tokoh-tokoh Kesarjanaan Sains Islam –Mahmood Zuhdi Ab. Majid

8. Oppenheimer and The Manhattan Project—Cynthia C. Kelly

4/11/07

Kelahiran !!

Alhamdulillah..syukur pada Allah yang telah mengurniakan rezeki dan kesihatan yang baik..tukang catat ini telah menyambut kelahiran anak pertama tepat jam 7.20 pagi rabu pada 4/4/2007...benar lah kalamALLAH dan hadis-hadis sahih Rasulullah SAW supaya jangan sesekali menderhaka kepada kedua ibu bapa terutamanya ibu..dan juga syurga itu terletak di telapak kaki ibu..semuanya benar belaka!! Di saat menantikan kelahiran anak, terpancar kesengsaraan dan kesakitan dimata sang ibu melahirkan..bertarung nyawa, sakit dalam tempoh yang panjang, berdepan sakaratulmaut semuanya mengingatkan penulis bahawa pengorbanan sang ibu amat lah besar nilainya dan tiada galang ganti...

Alhamdulillah segalanya selamat!..Selamat datang ke alam dunia wahai puteriku!!

3/20/07

Membaca Suratkhabar


Dalam akhbar Mingguan Malaysia bertarikh 18 Mac 2007, terdapat 3 artikel yang menarik perhatian tukang catat blog ini. Yang pertama ialah mengenai tulisan mufti Perlis di bawah kolum Pena Mufti yang bertajuk ”Islam, antara cerita dan kenyataan”. seperti biasa Dr. MAZA terus menyengat dengan hujah-hujah beliau yang tuntas dan bernas sesuai dengan perubahan zaman. beliau dengan lantang menegur kelemahan-kelemahan umat islam yang terus hanyut dengan sejarah silam kejayaan umat islam terdahulu tanpa melihat tragedi sebenar yang menimpa umat islam masa kini. seruan-seruan beliau juga memperlihatkan kesungguhan beliau mengembalikan kegemilangan islam yang telah hilang dijiwa umat pada masa kini.

Artikel kedua ialah mengenai seorang pemuda (atau pemudi) yang menggunakan nama samaran ”Orang Sains” yang begitu sombong dengan sedikit ilmu yang dianugerahi Tuhan kepadanya cuba berdebat dengan Dr. Amran Kasimin dalam kolum soal jawab agama. Tajuk artikel tersebut ialah ”antara amal dan bidaah”. Penulis begitu risau dengan orang-orang lain seperti ”Orang Sains” yang cuba menghakis kepercayaan agama dengam hujah-hujah sains di luar kewarasan berfikir sebagai umat beragama. Mungkin inilah yang dikatakan oleh Prof.Dr. Mohd Yusof Hj Othman, bahawa ”sains tanpa agama adalah tempang” dan bagi penulis, ”Orang Sains” telah tempang dari segi pemikiran dan tuduhan-tuduhan melulu terhadap agama yang diturunkan oleh Allah untuk seluruh mahklukNya. Semoga ”Orang Sains” cepat-cepat kembali ke landasan yang benar.

Artikel ketiga dalam MM ialah tulisan Zin Mahmud mengenai masalah sejagat yang melanda dunia. Kali ini beliau mengutarakan masalah islamfobia selepas mengulas tragedi-tragedi yang menimpa umat dan negara-negara islam di seluruh dunia selepas 9/11. Beliau juga terus menyeru supaya umat islam terus menuntut ilmu agar dapat menangkis serangan islamfobia dikalangan warga barat baik dari segi agama, kemajuan, sikap dan perlakuan umat islam.

Melihat kepada 3 artikel di atas, jelaslah umat islam kini berada dalam keadaan yang dipandang serong oleh orang-orang yang memandang islam sebagai agama yang beku dan kaku. Oleh itu, tanggungjawab untuk mengembalikan ajaran Rasulullah ini adalah tanggung jawab yang mesti dipikul oleh seluruh umat islam. Marilah kita mengharamkan permusuhan, kebodohan, lemah, malas, sedih, emosional, bakhil, penakut, hasad dan segala perangai-perangai buruk yang lain yang menjauhkan kita dari Allah.

Supaya Allah memberikan kekuatan untuk kita menjunjung kesucian agama islam ini yang menjadi petunjuk sepanjang jalan. Amin!!

p/s..Mingguan Malaysia memaparkan artikel-artikel yang menarik untuk di baca sebagai pembuka minda dan pencerahan pemikiran sesuai dengan motonya, Penyebar Fikiran Rakyat. Marilah kita sama-sama membaca dan berfikir.

3/14/07

Peristiwa di sana sini


Sepanjang 2 (3) minggu banyak peristiwa dan pengalaman yang dilalui..secara ringkas tukang tulis ini:

- Demam selama seminggu

- Menghadiri pelancaran MM Chip di KL Convention Centre pada 26 Feb

- Bertuah kerana dapat membaca kertas kerja terbaru Prof.Dr Mohd Yusof Hj Othman berjudul ”Bahasa & Sastera Dalam Pembangunan Sains & Teknologi” yang dibentangkan dalam ”Seminar Bahasa dan Sastera ”Pemanfaatan Bahasa dan Sastera serta Sumber Pribumi dalam Pembangunan Sains dan teknologi Demi Kemajuan Bangsa Serumpun” anjuran DBP dan MASTERA pada 13-14 Mac 2007..diperolehi melalui emel dari beliau sewaktu berhubung menanyakan suatu perkara lain.

- Menyediakan segala keperluan yang diperlukan oleh seorang ’saintis pelawat’ Prof Jong Duk Lee, dari ISRC Seoul National University yang akan berada di FK, UKM selama 6 bulan bermula Februari – September 2007

p/s..Pemikiran dan pandangan Mufti muda Perlis kelihatan segar, bernas dan lebih objektif..kalau lah negara-negara islam memiliki ramai orang-orang seperti beliau (pemimpin agama yang berautoriti dan berilmu) insyaallah umat kita susah nak kena buli..akan tetapi sudah menjadi lumrah alam, perkara yang benar selalunya ditentang...utk Dr. MAZA, moga berjaya mengharungi ujian..menjadi alim bukanlah sesuatu yang selesa...”menegur kemungkaran, dimarahi manusia..mendiamkan diri, dimarahi Tuhan!!..kami orang-orang awam sentiasa mendoakan kebahagiaan tuan dan rakan seperjuangan yang berusaha untuk menyelesaikan masalah ummah..Insyaallah!!

2/21/07

Beberapa kata-kata hikmah tentang ’persahabatan’ ( Dari Almarhum Buya HAMKA ) yang dipetik dari buku ’Falsafah Hidup”


1. Persahabatan adalah satu-satunya pintu kemerdekaan kita. Banyak perkara yang tak dapat kita nyatakan kepada isteri kita sendiri sekalipun, tetapi dapat dinyatakan kepada sahabat. Sebab itu persahabatan yang jujur itu adalah salah satu dari tangga kejayaan

2. Supaya engkau beroleh sahabat, hendaklah engkau sendiri cekap buat menjadi sahabat orang

3. Sahabatmu suka kepadamu, tetapi tidaklah tiap-tiap orang yang suka kepadamu itu sahabatmu

4. Kesenangan hidpmu memperbanyakkan teman, tetapi pateri persahabatan yang setia adalah diwaktu menempuh kesukaran

5. Yang semulia-mulia kewajipan bersahabat ialah supaya engkau ketahui kehendak dan kemahuan sahabatmu sebelum dikatakannya. Dan engkau perkenankan permintaannya sebelum dimintanya.

6. Kalau jadi sahabat orang ramai, tidak boleh jadi sahabat orang seorang

7. Kalau sahabatmu tertawa, hendaklah dikatakannya apa sebab dia senang; kalau sahabatmu menangis, engkau mesti periksa apa sebab dia susah

8. Jika engkau memeberikan sesuatu kepada sahabatmu, bererti memeberikan kepada dirimu sendiri

9. Pengubat jerih hidup manusia adalah dua, pertama; Iman kepada Allah, kedua; percaya kepada sahabat

10. Bila orang telah merasa dirinya besar, dia lupa akan salahnya. Hanya sahabat yang setia yang sanggup membukakan matanya.

11. Teman yang ’ berudang di balik batu’ terhadap engkau adalah seumpama anjing di tepi jalan, yang ditujunya hanyalah tulang yang akan dilemparkan kepadanya, bukan tangan yang melemparkan tulang itu

12. Cemburu perempuan kepada perempuan, memutuskan tali persahabatan

13. Bila seorang perempuan telah sudi menghulurkan tangan persahabatan kepadamu, alamat bahawa umurmu telah lepas dari zaman bercinta.

Tahun Baru Cina @ Tahun Khinzir


Gong Xi Fat Choy kepada seluruh penganut agama Budhha yang merayakan sambutan Tahun Baru Cina minggu lepas. Di Kuala Pilah, penulis perhatikan kebanyakan kaum cina di sana tidak terlalu meraikan hari besar mereka. Pagi hari isnin 19/2/2007 pun mereka masih di pasar, kedai-kedai, gerai dan merata-rata tempat. Ada yang bertanya..kenapa masih berniaga?..belum cuti raya?..apa jawapan mereka!!..mahu cari duit lebih..hutang banyak..duit keluar lagi banyak dari yang masuk..kena cover duit yang bamyak keluar, ..petang-petang sikit baru jalan-jalan rumah saudara mara...ermm!! begitu lah sikap kaum cina terhadap duit dan harta benda berdasarkan pemerhatian rambang tukang catat ini semasa pulang ke kampung di Kuala Pilah sempena cuti panjang Tahun Baru Cina..sebuah daerah yang mempunyai 60% Melayu dan 40% kaum cina....

Ok, my next book is ’Rahsia Bisnes Orang Cina” oleh Ann Wann Seng... ;-)

2/15/07

Mutiara kata

”Tukang sapu seharusnya menyapu seperti Michaelangelo melukis, Beethoven mengubah lagu atau pun Shakespeare menulis sajak”..

Dr. Martin Luther King JR, Pemenang Hadiah Nobel Keamanan, 1964

2/12/07

Bahang!!


Sabtu hari minggu yang lalu, tukang catat blog ini ke Port Dickson dan Seremban2 atas satu urusan. Perjalanan dari Bangi ke sana dan pulang ke rumah seusai urusan tersebut, sangat terasa bahang kepanasan pancaran matahari yang tegak di kepala. Langit kelihatan cerah, biru, bersih dan amat sedikit sekali tompokan awan-awan yang sentiasa membawa mendung dan hujan. Matahari terus memberikan khidmatnya yang terbaik. Panas membahang!!

Baru-baru ini di selatan tanah air, hujan mencurah turun menenggelamkan hampir keseluruhan Johor Baharu. Bumi basah dan air melimpah ruah memaksa penghuni berpindah ke tempat yang lebih selamat. Ribuan penduduk JB yang menderita kepayahan menghadapi bencana banjir.
Di Jakarta, sebuah kota dengan populasi penduduk yang padat, hujan juga mengakibatkan 75% daripada kota itu tenggelam. Tidak kurang dari 50 orang meninggal dunia akibat mangsa banjir. Di sebahagian Eropah dan Amerika Syarikat, lain pula yang berlaku. Salji yang tebal disertai ribut salji membuatkan sebahagian warga mereka tidak dapat meneruskan aktiviti seharian. Tidak kurang juga yang menemui ajal akibat kesejukan dan kemalangan.

Memerhatikan fenomena alam yang berlaku saban tahun dan semakin meningkat akhir-akhir ini, mengingatkan penulis tentang salah satu daripada 8 perkara yang disebut oleh Prof HAMKA dalam kuliah subuhnya di Masjid agung Al-Azhar. Kuliah ini boleh didapati dalam talian internet dengan beberapa ketikan tetikus komputer di enjin carian Google. Dalam kuliah subuh tersebut HAMKA membacakan suatu doa yang diajarkan oleh Rasulullah kepada seorang pemuda yang memandang hidup ini dengan mata dukacita dan kepayahan. Doa tersebut berbunyi:

Ya Allah ya Tuhanku, lindungilah diriku dari kesusahan dan dukacita, Engkau lindungilah aku dari sifat lemah dan malas, peliharalah diriku dari sifat bakhil dan pengecut dan Engkau peliharalah diriku dari hutang-piutang dan kekuasaan orang lain ke atas diriku.

Dari doa di atas, salah satu yang diminta supaya Tuhan jauhi dari pemuda tadi ialah kesusahan. Apakah sebenarnya yang kita mahu di dalam hidup ini selain kesenangan, kemudahan, keselesaan dan kebaikan serta kebajikan yang lain. Dengan kata lain kebahagiaanlah yang menjadi kemuncak segala tujuan dan kemuliaan dalam hidup sebelum menempuh hidup yang sebenar di alam akhirat. Tetapi apakah kebahagiaan itu dapat dicapai dengan tidak melalui kesusahan terlebih dahulu.

Kita maklum bahawa hakikat kehidupan di dunia ini tidaklah semuanya senang. Seperti kata HAMKA ”di dalam kehidupan tidak ada jalan yang lurus yang ditaburi bunga-bungaan mewangi di sepanjang jalan”. Tidak ada! Sebaliknya hidup dipenuhi gelombang , mendaki, menurun cerun yang dalam, hujan ribut dan sebagainya. Tetapi tidak ada gelombang yang kekal menggulung, kadang-kadang ia tenang, tidak ada keadaan mendaki dan menurun kalau tidak disertai dengan kawasan yang landai, tidak ada kusut yang tidak dapat diselesaikan. Banjir, sampai masanya akan surut, panas akhirnya akan sejuk begitulah seterusnya kitaran alam ciptaan Tuhan. Begitu jugalah dengan makhluk bernama manusia.
Pokoknya kita kena meyakini bahawa asal sahaja yang bernama kehidupan bagi manusia mestilah menemui kepayahan sebelum mencapai tingkat kebahagiaan. Berbagai bentuk kepayahan yang sering dihadapi oleh mahkluk seperti musibah Tsunami, kemiskinan yang membantutkan cita-cita murni, banjir, panas dan sebagainya.
Sebagai seorang muslim, jika direnungi siapakah yang paling banyak mendapat dugaan dalam kehidupan sebelum mencapai tingkat kemuliaan dan kebahagiaan di sisi Allah Yang Agung. Tidak lain tidak bukan adalah Nabi Muhammad SAW itu sendiri. Jadi kalau diperhatikan, apa kah kita sebagai umat yang mengaku sebagai pengikut Rasulullah sejati akan mengeluh dan bermuram durja sekiranya ditimpa kesusahan sedangkan dugaan ke atas nabi Muhammad SAW sahaja pun kita boleh membuatkan air mata menitik mengenangkannya.
Oleh itu, panas yang dihadapi sekarang bukanlah satu alasan untuk kita bermalas-malas di rumah dan tempat-tempat yang dingin. Ayuh kita kerjakan apa yang patut. Bukan kah hidup ini untuk berjuang kerna kita telah ditakdirkan menjadi pejuang..

Ya Allah Ya Tuhanku, berilah kekuatan kepada hambaMu ini yang sentiasa lemah menghadapi ujian.

2/6/07

Sisi lain seorang ’blogger’









Sakit mata baca ‘blog’ A.Kadir Jasin secara online, teruja beli buku ini di MPH Seremban2..

Kreatif, informatif & Menarik!!

1/23/07

Dua (tiga) berita berbeza !!

Sedang selak-selak akhbar online hari ni, teruja dengan cerita-cerita di bawah;

1. Seorang pemikir dunia melayu dan islam tersohor pulang dijemput Tuhan
rujuk sini

2. Dua orang blogger tempatan terkenal ( politikus ) tubuh tabung lindungi blogger teraniaya
sini

3. Blogspot kena block di IPTA???...benar atau tidak, terpulang!!
sini
Kalau benar, tersangat lah kasihan!! :-) dan mungkin juga depa belum ready dengan hambatan teknologi...

p/s..buang masa ker tulis blog??

1/19/07

Salam tahun baru 1428H

Khatib jumaat hari ini berkhutbah tentang sambutan Maal Hijrah 1428 yang bermaksud sudah 1428 tahun hijrah Nabi Junjungan kita Muhammad SAW berhijrah dari kota Mekah ke Kota Madinah untuk menghindarkan seketika tentangan kafir quraisy di Mekah pada awal perjuangan beliau menegakkan islam. Khutbah yang pada mulanya menceritakan kisah – kisah penghijrahan baginda yang biasa kita dengar di waktu-waktu kecil dahulu di susuli dengan perbandingan realiti umat islam masa kini. Sudah tentu kita yang mendengar berasa insaf atas nasib yang menimpa saudara seagama dengan kita di seluruh dunia yang tidak putus putus dirundung malang. Persaudaraan islam seluruh dunia yang kita harap-harapkan hancur, kekuatan gelombang kebangkitan islam tenggelam timbul, kekuatan ilmu pengetahuan dan teknologi masih malap. Segala-galanya masih kelihatan mengundur ke belakang dan bukannya jalan terus seperti anjuran islam. Namun apa yang pasti Allah akan sentiasa berada dekat dengan umatnya yang sentiasa berusaha memajukan diri mencari keredhaanNya. Moga Dia memberikan kekuatan.

Salam MaalHijrah 1428H!!!

1/14/07

Mufti Perlis: Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Nama ini mungkin belum begitu terkenal dikalangan kita. Namun akhir-akhir ini media kerap kali memberi ruang kepada beliau terutamanya berkaitan isu-isu kelemahan ketara umat islam masa kini yang perlu diperbetulkan. Terbaru ialah siaran langsung ’Bicara Isu Semasa beliau bersama moderator Datuk Johan Jaafar di RTM1 tentang ’peranan ulama pada masa kini dalam masyarakat’. Terdahulu ialah siri temubual media masa Mingguan Malaysia dan Berita Minggu yang disiarkan dua minggu berturut-turut setiap Ahad.

Isu yang berbangkit yang mengangkat nama Dr Mohd Asri pada mulanya ialah mengenai teguran beliau tentang kaedah ’mengintip sebelum serbuan atas kesalahan khalwat’ yang dilakukan oleh penguasa agama yang kemudiannya menjadi kontroversi akibat salah faham yang ditimbulkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab terutamanya golongan konservatif agama. Namun selepas itu rupa-rupanya beliau berusaha untuk mengocak pemikiran umat islam dan kaum tua untuk mengembalikan wajah islam sebenar di Malaysia khususnya. Inilah yang sebenarnya kita perlukan.

Dr Asri merupakan Negeri Perlis dan mencipta sejarah sebagai mufti termuda di Malaysia yang memakai gelaran Dr di pangkal namanya. Pokok pangkal perjuangan beliau ialah untuk mengembalikan tradisi kesarjanaan pemikiran islam dalam membentuk citra dan keindahan islam dan umatnya. Dengan kata lain mengajak semua orang islam menggunakan akal sebelum bertindak dan bukan emosi. Marilah sama sama kita berusaha agar islam terus terpelihara dan usaha murni beliau untuk menjernihkan kembali tuduhan terhadap islam terus berjaya. Moga Allah memberikan kekuatan kepada beliau dan perjuangan yang diusahakannya. Ameen!!

1/8/07

Tamat 2006 muncul 2007..

Apa sudah jadi dengan dunia moden kini. Tahun 2006 mencatatkan banyak cerita suka duka umat islam kini dan yang paling ketara ialah berita-berita duka dan sengsara. Kita tinggalkan cerita gembira dan fokuskan pada kesengsaraan umat islam seluruh dunia. Antara yang masih segar diingatan ialah saat tentera zionis menyerang selatan Lubnan bila seorang askarnya ditawan oleh tentera Lubnan. Akibatnya hampir separuh bumi Lubnan dibedil oleh rejim zionis dibantu oleh proksi mereka iaitu Amerika. Derita umat islam di Palestine juga tidak berkesudahan semenjak tahun 1948 apabila satu Perjanjian membenarkan kaum yahudi zionis bertapak di bumi Palestine dan membentuk negara haram mereka di kawasan yang dikelilingi oleh umat islam di tanah arab. Di Somalia, pemerintahan islam yang lebih dikenali dengan nama Mahkamah Islam Somalia di gasak oleh tentera Habsyah yang pro-Amerika akibat mengamalkan syariat islam di negara mereka. Dan yang terbaru ialah penggantungan Saddam Hussein tepat pada 10 Zulhijjah 1427 Hijrah bersamaan dengan hari Raya Qurban bagi umat islam. Berita ini sungguh menyentap hati umat islam seluruh dunia. Apa sudah jadi dengan penghuni bumi yang beragama islam. Maruah kita sudah hampir lumpuh diganyang oleh Yahudi dan Amerika serta sekutu mereka. Sudah pasti ada jalan untuk kita keluar dari kemelut yang melanda umat islam. Cuma sekarang How? What?When?Who?Where?. Marilah kita pakat-pakat bagi idea.

p/s. Tukang catat ini ada meminjam satu buku lama (1970-an) tulisan Stephen Aris yang berjudul Jewish in Business. Dalam buku tersingkaplah siapa sebenarnya di belakang Pasaraya TESCO yang semakin berceretek di Bumi kita Malaysia yang telah menelan 8 unit MAKRO (M) baru-baru ini. Dalam buku ini juga kita akan tahu pemilik sebenar Mark & Spencer yang tersergam indah dalam bangunan KLCC serta banyak lagi kisah cengkaman & perangai yahudi dalam bidang perniagaan yang sudah atau pun belum lagi kita sedari.

2 khutbah

2 khutbah di Besut, Terengganu pada hari jumaat 30 Disember dan Hari Raya Qurban 31 Disember memberi pengajaran yang bukan sedikit bagi mereka yang mendengar dan memerhati. Khutbah pertama berkisar tentang sifat buruk orang-orang islam kini iaitu ”malas”. Kenapa ramai umat kita malas, tidak kreatif, selesa dengan apa yang ada, lemah berfikir dan segala macam sifat-sifat lain yang terbit dari perangai malas.

Khutbah kedua pula menceritakan sengsara umat islam akibat tuduhan liar golongan ’kuffar’ terhadap islam. Miskin, pengganas, malas ( sekali lagi), pengotor, terlalu gemar berhibur,dihina dan segala macam keburukan yang lain.

Agaknya sekarang merupakan zaman dimana umat islam perlu dihentam ( disedarkan dengan cara provokasi) untuk menyedarkan betapa kita telah lama tertidur di segenap sisi kehidupan. Padahal kita selalu dimomokkan dengan kisah-kisah yang kita adalah umat terbaik dan terbilang. Bila mendengar cerita-cerita sebegini timbul rasa insaf akan kelemahan diri. Moga Allah memberikan petunjuk dan kekuatan untuk terus berusaha. Sebab hidup ini adalah perjuangan!!!..Salam Aidiladha 1427 Hijrah.

12/12/06

Eksplorasi ke Teratak Za'ba



Benarlah Tuhan itu Maha Adil dan Maha Mengasihi hamba-hambanya. Sepanjang kehidupan manusia di bumi ini akan ada sahaja pemimpin-pemimpin terbaik yang diturunkanNya untuk menyuluh kegelapan yang dilalui oleh umat di zaman itu. Di alam melayu, nama Za’ba tidaklah dapat kita lupakan baik untuk generasi kini mahupun yang terdahulu. Secara ringkas Tan Sri Pendita Zainal Abidin bin Ahmad atau Za’ba ( 16 September1895 – 23 Oktober 1973 )terkenal kebesarannya bukan sahaja dalam bidang bahasa dan sastera tetapi juga melangkaui bidang politik dan agama. Di samping itu beliau juga begitu terkehadapan dalam memperkatakan kelemahan dan kemiskinan orang melayu serta menulis banyak artikel-artikel menarik yang kritis untuk direnungi oleh umat dalam membina peradaban.

Kesempatan tukang catat ini mengunjungi Teratak Za’ba yang terletak di batu Kikir Negeri Sembilan pada cuti Keputeraan Sultan Selangor baru-baru ini menimbulkan seribu satu kenangan dan pengalaman yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Di sana dipamerkan bekas-bekas peninggalan beliau berupa perkakasan dan peralatan yang digunakan oleh beliau semasa hayat. Selain itu , Teratak Za’ba juga menyediakan pelbagai info menarik tentang jejak langkah perjuangan beliau.

Sesungguhnya terlalu banyak usaha yang dilakukan oleh Za’ba untuk memajukan orang melayu. Hasil perjuangan beliau berjaya mengangkat bangsa melayu untuk terus maju melawan gelombang hidup. Cuma yang agak dikesalkan ialah apabila bahasa melayu yang cuba diangkat beliau ke tempat sewajarnya sekarang semakin terpinggir dan tidak mendapat tempat. Kekecewaan itu telah dirakamkan oleh Nisah haron dalam puisi beliau yang dimuatkan dalam antologi Manuskrip Luka Bangsa. Di sini tukang catat menurunkan sajak tersebut untuk kita renungkan.

FATA MORGANA NADIM-ZA'BA

Andainya Za’ba dibawa ke menara ini
Pasti pilu rawan seorang pendeta
Raungnya kan terdengar dan menggegar
Dari kota hingga ke penghujung nusantara,
“Kalian apakan Pelita Bahasa Penggal Satu hingga Tiga?
Namaku abadi pada kolej sekolah dan asrama
Desah perjuanganku tercampak entah di sudut mana.”

Sudah lebih tiga dekad
Songkok Pendetamu belum ada pewarisnya
Anak-anak kita pun semakin
Tak pandai mengira “satu dua dan tiga”
Kononnya, membilang dengan bahasa ini
Sekadar berlegar dalam tempurung sendiri;
Meskipun dijamin Perkara 152
Dipagar kemas
Akta Dewan Bahasa dan Pustaka
Akta Bahasa Kebangsaan
Akta Pendidikan

Namun
Selagi bahasa ini tidak menjadi jati diri
Selagi tidak mengalir dalam urat dan nadi,
Semua akta boleh dikarung,
Dipaku dalam larung
Dicampak dalam gaung
Dan
Kau dan aku hanya meraung
Dalam talkin tanpa penghujung.

Selepas engkau tiada, Pendeta
Menara ini semakin tinggi membayangi bangunan lama
Ada hasrat memanjat, ada harapan ke hadapan
Namun keris bahasa hanya indah dalam sarungnya
Tak pernah terhunus menentang rempuhan penjajah kali kedua
Sedang, Sang Pemanas kerusi empuk di peterana
Mampu mengeluh semata.

Siapakah ibu bertuah menghamilkan seorang Za’ba lagi
Tidak digelar Nadim jika dibawa ke menara ini
Lahirnya kembar keris dan pena
Menikam dengan lisan
Menujah dengan tulisan
Berfirasat dengan isyarat.

Dialah pembawa pulang manuskrip moyangku dari Leiden.
Di Beijing, Sydney, London dan Capetown
Langsung ke seluruh dunia
Bukan sekadar bangga berbahasa dengan lidah ibunda
Malah tuturnya fasih bicaranya lancar
Melafazkan semua bahasa di jagat raya.

Apakah ini angan-angan kita
Mencari Za’ba seperti memandang fata morgana
Munculnya seketika selepas ini tiada
Begitukah nasib bahasa kita.

Di alaf ini semoga lahir si Nadim cendekia
Memakai songkok sang pendeta
Menghunus keris bahasa
Berjuang dengan lidah kita
Meredakan
Tangis seorang Za’ba.

oleh:
Nisah Haji Haron
5 Julai 2006
Ampangan