www.majalahsains.com

10/7/07

Majalah bulan ini..


Salam aidilfitri untuk semua!!

Artikel Dewan Kosmik Oktober!!

Bagaimana Perani Semikonduktor Bermula!!



Catatan seminggu!!


I
Khutbah jumaat di masjid UKM jumaat lalu mungkin memberi sedikit kefahaman tentang lailatuqadar kepada sidang jemaah yang tekun mendengar. Menurut khatib berdasarkan hadis-hadis sahih yang diberikannya, lailatulqadar berlaku di malam-malam ganjil di sepuluh malam terakhir bulan ramadhan. Ada hadis lain yang menyebut ia berlaku pada malam ke 27 di bulan ramadhan.
Berhubung lailatulqadar menurut Tafsir Al-Azhar dalam surah al-Qadar, HAMKA menyebut terdapat 42 hadis-hadis dan keterangan ulama’ berhubung lailatulqadar. Dalam khutbah itu juga, khatib menempelak segelintir umat yang mempermainkan lailatulqadar antaranya yang menyebut bahawa waktu malam tidak sama di seluruh dunia. Sedangkan bagi Allah lailatulqadar tidak bergantung pada tempat dan masa…sebenarnya bagi penulis hujah khatib ini masih boleh dipertikai, kalau tak terikat dengan masa, bagaimana pula dengan bulan ramadhan..bukan kah bulan ramadhan itu sendiri bergantung pada masa (juga wahyu)…jadi tukang catat ini membelek kembali buku berjudl renungan tasawuf karya HAMKA dibawah tajuk lailatulqadar, dan beliau berpendapat suasana lailatulqadar tidak hanya berlaku dalam bulan ramadhan..ia bergantung kepada pencarian lailatulqadar manusia itu sendiri dan ketentuan Allah…beliau turut memberikan contoh-contoh yang munasabah seperti pengislaman saidina Umar Al-Khattab, saat menerima petunjuk seorang wali Allah, Fudhail Bin Iyadh’ dan sebagainya yang melorongkan hambaNya ke jalan yang lebih baik dari 1000 bulan ( 83 tahun lebih)..Tukang Catat ini terkesan dengan hujah yang diberikan HAMKA..walaupun jumhur ulama meyakini lailatulqadar hanya khusus di bulan ramadhan..wallahua’lam!!
Walaupun khutbah ini menarik, di sebelah Tukang Catat seorang makmum berserban dan berjanggut lebat “lena” sehinggalah habis khutbah disampaikan!! Mungkin dia mendengar sambil tidur..satu kelebihan baginya !
II
Minggu lepas teruja membeli majalah wanita bulan Oktober. Di muka surat 176 terdapat novel bersiri tulisan Nisah Haron berjudul Aset Teja. Sebuah cerita yang barangkali menarik untuk tatapan peminat buku. Cuma sayang, ia berbentuk novel bersiri..bermakna kenalah beli setiap bulan…strategi pemasaran yang baik oleh Majalah Wanita dan penulis novel !!
III
Menghadiri majlis berbuka puasa bersama alumni sekolah 95-96 di Bangi pada 7 Oktober 2007.

9/25/07

Beberapa catatan Wacana Islam Hadhari


Menghadiri Wacana Islam Hadhari berjudul Keajaiban Al-Quran:Suatu Analisis yang disampaikan oleh Prof Dr Yusof Othman meninggalkan beberapa catatan ini.

Keajaiban Al-Quran:

1. Mengandungi ayat-ayat syifaa' ( ayat menyembuhkan)
2. Menceritakan peristiwa masa lalu
3. Menceritakan peristiwa masa hadapan
4. Menerangkan rahsia-rahsia alam
5. Mempunyai cerita dan pengajaran tentang keajaiban yang tidak dapat dirasionalkan
(di luar batas pemikiran manusia )
6. menerangkan makna sebuah hakikat kehidupan

Beberapa jenis atau bentuk hidayah/petunjuk dari Tuhan:

1. Hidayah al-ilham
2. Hidayah al-hawas - meningkatkan renungan pancaindera
3. Hidayah al-aqal - keterampilan akal
4. Hidayah ad-din - keindahan ajaran agama
5. Hidayah al-taufiq wal maunah

Sebuah kuliah ilmu yang amat berkesan!!

9/17/07

Selak-selak akhbar Ahad..

I

Dalam kolum Mazlan Nordin Menulis Tan Sri Mazlan Nordin menulis tentang pidato Buya HAMKA sempena penganugerahan Dr Kehormat di Majlis Konvokesyen ke-2 UKM pada Tahun 1975. kebetulan Tukang catat ini pula ada menyimpan salinan pidato berhuruf jawi tersebut yang ditulis tangan oleh beliau. Suatu masa dahulu, sekitar bulan Mei penulis mendapatkan salinan pidato terkenal ini dengan saudara Harith Faruqi Sidek, Pustakawan PTSL di bahagian galeri UKM dengan niat untuk menyalin semula ke huruf rumi dan telah pun siap sepenuhnya pada waktu itu juga. Setelah lama tersimpan di dalam laptop penulis dan hampir terlupa tentangnya, sekilas mata terpandang artikel oleh Tan Sri Mazlan Nordin dalam kolumnya yang terkenal dalam Mingguan Malaysia Ahad lepas ( ditulis semula oleh Tan Sri Mazlan Nordin ke huruf rumi) berjudul Pidato Hamka Mengenai Hubungan Malaysia-Indonesia terpampang di dada akhbar. Suatu kebetulan yang mempesonakan.

II

Datuk Johan Jaafar melalui kolum tetapnya Di Luar Lingkaran dalam Berita Minggu setiap Ahad sentiasa melontarkan idea segar dan bernas untuk direnungi oleh pembaca dan individu yang suka menggerakkan selaput mindanya. Terbaru pada Hari minggu lepas, beliau mengulas sebuah buku yang diterbitkan semula oleh DBP berjudul "Perangai Bergantung Pada Diri Sendiri" yang dikarang oleh jagoan ilmu, bahasa, agama, pemikiran dan aktivis minda yang mendahului zamannya iaitu Pendeta Za’ba. Menurut Datuk Johan Jaafar buku ini perlu dimiliki dan dibaca oleh setiap orang melayu bagi merubah bentuk pemikiran, cara bertindak dan bekerja orang melayu untuk meningkatkan tahap kemajuan umat melayu dirantau ini dan agama islam pada keseluruhannya. Penulis sendiri belum lagi mendapatkan buku ini dan masih di dalam perancangan untuk mendapatkannya. Namun begitu di tangan penulis sekarang ialah sebuah ulasan lengkap tentang satu lagi buku Za’ba berjudul "Pemikiran Za’ba Dalam Falsafah Takdir (1932)" tulisan Nordi Achie. Buku asal Falsafah Takdir oleh Za’ba sukar untuk dimiliki kerana tidak lagi diulang cetak, tetapi di Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan, bertempat di Seremban, terdapat sebuah buku ini yang diterbitkan semula oleh DBP yang diamanahkan kepada Hamdan Hassan. Sedikit sebanyak buku ini telah dibaca semasa penulis berkunjung ke situ 2 bulan yang lalu. Timbul satu keazaman untuk memiliki kedua-dua buku berjudul Falsafah Takdir dan Perangai Bergantung Pada Diri Sendiri karangan Pendeta Melayu yang terkenal ini sebagai pendorong untuk memajukan diri.

III

Mufti muda dari Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin terus-terusan membetulkan pemikiran dan kelemahan umat islam di Malaysia melalui tulisan mingguannya di Mingguan Malaysia melalui ruangan tetap beliau Pena Mufti. Ketajaman minda, hujah dan penanya membuatkan segelintir golongan merasa tidak senang. Itulah yang selalu dihadapai oleh golongan pembaharu (tajdid) agama sejak zaman berzaman. Apa yang membanggakan, beliau tidak mudah melatah dengan kritikan dan sindiran yang diterimanya. Lebih enak ialah apabila setiap hujah dan kritikan dapat dipatahkan penuh bergaya. Rupanya perselisihan faham Kaum Tua dan Kaum Muda tidak pernah terhenti, dalam sejarah usaha untuk mencerdikkan umat.

9/13/07

Khas dari Kota Kinabalu


Buku ini sungguh mengujakan, diimport khas dari Unit Penerbitan UMS KK menggunakan pos...
Karangan Nordie Achie..
Insyaallah sekiranya diberikan kesempatan, akan ada ulasan lanjut tentang buku ini dan sosok peribadi seorang pendita ( bahasa, agama, falsafah, pemikiran dan cara hidup beliau) yang bernama Za'ba..mudah-mudahan diberikan ruang olehNya!!

p/s: Nordie Achie adalah seorang ilmuan yang pernah berhujah melalui penanya secara tuntas, ilmiah dan penuh adab kesopanan sebagai seorang ilmuan dengan seorang tokoh pemikir kontroversi, Kassim Ahmad di dalam Majalah Al-Islam beberapa ketika dahulu

9/12/07

1 Ramadhan 1428H/2007

Marhaban ya Ramadhan!!
Selamat berpuasa kepada semua umat islam...

Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu mengerjakan puasa sebagaimana yang diwajibkan kepada orang sebelum kamu. Mudah-mudahan kamu bertakwa : ( Surah Al-Baqarah, ayat 183 )

Doa Ramadhan:

"Ya Allah, jadikanlah puasaku, puasa orang benar-benar berpuasa. Dan ibadah malamku, ibadah orang benar-benar mengerjakan ibadah. Dan jagalah aku dari tidurnya orang yang lalai. Hapuskanlah dosaku wahai Tuhan sekalian alam. Dan Ampunilah aku wahai Tuhan maha pengampun daripada segala dosa."



Jerteh

Jerteh merupakan sebuah pekan kecil di Daerah Besut yang pesat membangun selepas BN mengambil alih pemerintahan daripada PAS pada tahun 2004. Saban tahun, pekan kecil ini terus dibesar dan dilebarkan serta bangunan-bangunan baru berceracak tumbuh bagaikan rumput-rumput segar yang tumbuh seminggu selepas dipotong. Di pekan inilah segala kegiatan jual-beli, pengangkutan, pergerakan manusia keluar masuk dari Kota Bharu ke Terengganu dan sebaliknya. Ia bolehlah dikatakan sebagai tempat berehat dalam perjalanan jauh antara kedua buah negeri Pantai Timur yang berjiran. Sementelahan pula, Daerah Besut agak unik dari segi loghat dan pertuturan harian yang mirip atau hampir sama dengan dialek pertuturan penduduk negeri Cik Siti Wan Kembang ( sesetengah pihak mendakwa, dialek pertuturan orang-orang Besut sama sahaja dengan penduduk Kelantan, bagi Tukang Catat ada sedikit perbezaan sekiranya dihalusi).

Apa yang menarik untuk dikongsi mengenai Pekan Jerteh ini ialah deretan kedai buku. Apa lagi yang boleh dibicarakan oleh peminat buku selain buku, kedai buku, ulasan buku dan segala yang berkaitan dengan buku. Sebenarnya kedai-kedai buku di pekan ini tidaklah banyak, cuma yang menarik untuk diceritakan ialah perkembangannya dari semasa ke semasa. Di Jerteh, terdapat kedai buku Pustaka Timur, Galeri Hidayah, kedai buku Muda Osman, dan beberapa lagi gerai-gerai dan kedai kecil yang menjual pelbagai akhbar, majalah dan bahan-bahan bacaan lain. Dalam kebanyakan kedai buku ini, seingat penulis Pustaka Timur adalah sebuah buku yang paling lama dan konsisten pemasarannya. Menurut suatu sumber, Galeri Hidayah merupakan kembar Pustaka Timur. Sejak di zaman persekolahan sekitar tahun 1990-1994 di S.M.A.Ittifakiah Jerteh, Pustaka Timur menjadi kegemaran setiap kali mengunjungi Pekan Jerteh pada hujung minggu untuk medapatkan majalah Gila-Gila, Gelihati dan akhbar-akhbar lain. Meningkatnya ke alam remaja mula terjebak dengan buku-buku Ibnu Yusof (hehe) dan mula membeli novel, majalah dan sebagainya. Waktu dahulu, Pustaka Timur banyak menjual buku-buku dari DBP, kitab-kitab arab dari Timur Tengah, buku-buku Indonesia dan sebagainya. Nampaknya tradisi itu masih dikekalkan sehingga sekarang. Sesuai dengan perubahan zaman, Pustaka Timur dan Galeri Hidayah berada sebelah menyebelah di bangunan baru bersetentang dengan Pasaraya Econjaya. Setiap kali pulang ke Besut, peluang mengunjungi kedua kedai buku yang banyak membangkitkan kenangan dan nostalgia semasa di alam persekolahan tidak dilepaskan. Hasilnya baru-baru ini penulis mendapatkan beberapa judul buku antaranya ialah:

1. Lembaga Hidup, Perhiasan Insan Gemilang ..HAMKA ( di perbaharui tulisan dan percetakannya oleh Pustaka Dini)

2. Sejarah Pembinaan Baitullah, dan Hikmah Ibadah Haji (Mustafa Suhaimi)

3. Angkatan Baru ( sebuah novel karya Buya HAMKA )

4. Selangkah ke arah memahami al-sunnah ( Dr Mohd Asri Zainul Abidin )

5. Menangkis Pencemaran Terhadap Agama ( Dr Mohd Asri Zainul Abidin)

9/4/07

Doa untuk Tun Mahathir!!

Tun Mahathir akan dibedah untuk kesekian kalinya...selepas persaraan dan di penghujung usia sepatutnya beliau dilayan dengan baik oleh pemerintah..namun apa yang berlaku adalah sebaliknya..di bawah adalah petikan sajak oleh Datuk A Kadir Jasin untuk Tun...
Sedih pula bila menghayati bait-bait sajak ini..

USIAMU serupa usia bapaku
Engkau dan dia pernah sekutu
Berjuang atas nama ibunda
Demi agama, bangsa dan negara
Tapi di situ persamaan terhenti
Kerana engkau Mantan Perdana Menteri
Yang memacu negara ke mercu tinggi
Sedang bapaku kekal seorang petani.

Kini engkau dan dia sama-sama tua
Sudah uzur dimakan usia
Namun jiwamu dan jiwanya
Tetap seperti dahulu juga
Padat sarat dengan perjuangan
Jitu padu dengan kesedaran
Bahawa padanya tiada sisa
Selagi jasad dan nyawa bersama.

Mindamu dan mindanya
Sentiasa segar terus muda
Tidak reput dimakan usia
Tidak patah diuji pancaroba
Tidak tawar dicaci nista
Hatta oleh anak-anak didikmu sendiri
Yang gila kuasa dan lupa diri
Yang tiada lagi budi dan pekerti.

Maka wahai bapa-bapaku
Ketika engkau terlantar
Hati kecilmu gementar
Dengarkanlah ikrar kami
Anak menyambung generasi.

Bahawa legasimu tidak akan mati
Kami tidak akan biarkan itu terjadi
Kerana antara kami
Anak-anak generasi pengganti
Masih ada yang belum diracun korupsi
Yang belum lupa erti jasa dan budi
Yang jiwa merdekanya terus membara
Atas nama agama, bangsa dan negara.

Wahai bapa-bapa pejuang merdeka
Doa kami buatmu semua
Tuhan jaga kamu dalam dakapannya
Dipanjangkan usia
Segar jasad dan minda
Kerana engkaulah pelita
Pujangga dan pendeta
Pemimpin sepanjang usia.




Semoga diampuni dosa-dosa Tun yang telah lalu dan dipermudahkan jalan menuju ke destinasi seterusnya..Ameen Ya Rabbal Alameen..

8/20/07

Buah fikiran Tun M


Mengkagumi seseorang dengan membuta tuli tanpa mengetahui perlakuan dan sifat-sifat sebenar dan terpuji yang dimiliki oleh orang itu adalah merugikan. Dalam kes ini kita (termasuk penulis) tidak dapat menyembunyikan kekaguman terhadap bekas pemimpin nombor satu di Malaysia iaitu Tun Dr Mahathir Mohamed sepanjang 22 tahun pentadbirannya walaupun terdapat juga kesalahan-kesalahan beliau yang mungkin sukar dimaafkan. Baru-baru ini penulis telah mendapatkan senaskhah buku berjudul Mahathir on Science and Technology ; A Commemorative Volume in Conjuction with the Conferment of the Honorary Degree of Doctor of Science. Buku ini merupakan sebuah kompilasi ucapan mantan Perdana Menteri Malaysia ke-4 yang mengenai trend dan perkembangan sains dan teknologi di seluruh dunia dan Malaysia khususnya. Buku ini juga diterbitkan sempena penganugerahan Doktor Kehormat Sains dalam majlis konvokesyen kali ke-33 USM dan ulangtahun penubuhannya yang ke-35 pada tahun 2004 yang lalu. Menelusuri pemikiran sains dan teknologi Tun Dr Mahathir kita akan menemui pelbagai perkara baru dan idea segar buah fikiran beliau tentang S&T sesuai dengan latarbelakang beliau yang cemerlang.

8/12/07

Tunggu Teduh Dulu..FT


Menghabiskan novel melayu setebal 678 muka surat bukanlah sesuatu yang mudah jika dibandingkan dengan membaca majalah dan akhbar serta buku-buku lain. tapi itulah aktiviti yang dilakukan bila pulang bercuti di kampung ( Kuala Pilah) hujung minggu baru-baru ini selain melihat keletah anak yang semakin meningkat membesar. Karya Faisal Tehrani (FT)berjudul Tunggu Teduh Dulu (TTD)bukanlah novel pertama yang dibaca lahap oleh penulis. Beberapa novel lain terkesan di hati antaranya ialah Seorang Tua di Kaki Gunung, Karya Azizi Haji Abdullah, Tenggelamnya Kapal Van Der Wijk, HAMKA, Senjakala ( lupa penulisnya..dibaca sewaktu berada disekolah rendah ) dan beberapa novel lain. TTD merupakan novel terbaru yang memberi kesan kepada penulis tentang latar penceritaan dan roh islam yang ditiup penulisnya. Kagum dengan bakat dan usaha gigih yang dimiliki oleh saudara FT dalam kajian serta gaya penceritaan beliau dalam TTD. TTD menceritakan kecekalan seorang wanita bernama Salsabila Fahim bersama rakan yang mengusahakan ladang betik. Tidak terjangkau difikiran dengan latar yang amat mudah tentang gadis dan lading-ladang betik menjadi sebuah cerita yang begitu mengesankan di samping kisah-kisah persahabatan dan percintaan.Sudah tentu percintaan yang dimaksudkan ialah cinta di bawah naungan Tuhan yang diliputi rahmatNya sepanjang plot perjalanan cerita. Membaca TTD mengingatkan penulis tentang seorang ulama’, sasterawan, novelis, pentafsir Al-Quran nusantara yang terkenal Buya HAMKA dalam novelnya yang terkenal Tengelamnya Kapal Van Der Wijk. Kisah-kisah percintaan Zainudin dan Hayati yang digarap dengan begitu indah disulam unsur agama dan ketakwaan seta gejolak cinta remaja yang dinukilkan dengan begitu menarik oleh seorang alim besar dari Indonesia itu. Hal yang seumpama itu berlaku bila kita menyoroti TTD dan penulisnya yang masyhur saudara Faisal Tehrani. Teruskan berjuang!!

8/8/07

50 Tahun Kemerdekaan!

Malam tadi penulis menonton rancangan bual bicara “Debat Perdana” di TV1 yang dihoskan oleh Datuk Johan Jaafar. Dalam temubual selama sejam yang berkisar tentang perpaduan di kalangan penduduk pelbagai kaum dan agama di Malaysia, penulis tertarik dengan komen serta hujah yang disampaikan oleh Profesor Emeritus Dr Khoo Khay Kim dari UM.Apabila ditanya oleh pengerusi bagaimana beliau beliau memandang Islam di Malaysia dari perspektif bukan muslim, beliau menjawab islam di Malaysia tidak berusaha untuk memudahkan bukan islam untuk memahaminya. Di suatu sisi lain, pendekatan yang digunakan oleh kebanyakan orang islam, semakin menjauhkan golongan bukan islam untuk mendekatinya. Pandangan ini selaras dengan tulisan Mufti Perlis dalam akhbar Mingguan Malaysia Ahad lalu bersamaan 5/8/2007 yang membicarakan perihal golongan muslim bila berhadapan dengan non muslim.

Tukang catat tidak mempunyai banyak komen, Cuma bila merujuk Al-Quran dalam surah Al-Kafirun, keseluruhan ayat sudah menjelaskan apakah sikap kita sebagai muslim bila berhadapan dengan bukan islam. Cuma jagalah tataterib dan akhlak murni seperti yang ditunjukkan oleh Rasulullah, para sahabat dan tabi’in serta alim ulamak iaitu dakwah “bilhal” dengan penuh beradab. Dan kita tidak pernah memaksa bukan muslim memeluk agama suci sepanjang zaman ini. Sama-sama lah kita belajar dan bukan menuduh sebelah pihak. Jagalah perpaduan dan berilitizam untuk sama-sama menjaga keharmonian kaum yang telah kita kecapi sepanjang 50 Tahun Kemerdekaan Malaysia.

MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!

7/30/07

Pameran dan Jualan Buku lagi..

Sabtu lalu singgah di gerai Ujanailmu dan beberapa gerai lain sempena pameran dan jualan buku bertempat di Foyer Perpustakaan Awam Negeri Sembilan. Niat di hati ingin bertemu si penulis Mencari Locus Standi, Puan Nisah Haron sebagai salam perkenalan dan ingin menanyakan beberapa soalan tentang karya dan hakcipta Tapi mungkin belum tiba masa yang sesuai. Namun begitu, En Shukri yang ramah pun sudah memadai untuk kali ini. Terima kasih En Shukri!!Sebelum menyelongkar buku-buku di bahagian pameran di Pintu Utama Perpustakaan Awam NS, teringin juga untuk melihat dan membelek-belek buku di dalam perpustakaan. Pertama kali menjejak kaki ke sana, walaupun pernah berada di Seremban sekitar tahun 1997 di Kolej Mara Seremban.Gedung ilmu di perpustakaan NS amat menarik walaupun jumlah buku-bukunya tidak lah sebanyak mana. Kelihatan ramai pelajar-pelajar sekolah dan beberapa orang dewasa sedang tekun menelaah. Dalam kedamaian sebuah perpustakaan, capai sebuah buku Falsafah Takdir karangan Pendita Za’ba yang di sunting oleh (lupa nama penyunting) di Bahagian Rujukan. Pada masa yang sama, penulis sedang menunggu buku yang dipesan dari Universiti Malysia Sabah (UMS) berjudul Pemikiran Za’ba Dalam Falsafah Takdir, karangan Nordi Achie. Hambatan masa yang tidak mengizinkan, hanya berkesempatan membolak-balik bahagian pengenalan dan “baca laju” adikarya pendita bahasa yang tersohor itu. Semacam tidak sabar pula menunggu buku pesanan dari Negeri di Bawah Bayu. Kemudian terus turun ke bawah dan mencapai 3 buah buku yang begitu menarik dan sudah diintai sejak beberapa bulan lepas. Hasilnya :

1. Setitis Embun, Semarak Api ( Suka Duka dan Pahit Manis Shanon Ahmad )

2. Islam di Tanah Melayu Abad ke -19, (Suntingan Farid Mat Zain)

3. Tunggu Teduh Dahulu , Faisal Tehrani..( 2 minggu lepas 1515 [KOMBAT], sudah berada di meja bacaan )..karya menarik dari pengarang muda berjiwa islamik..

Sekarang: sedang meladeni Shahnon Ahmad, Faisal Tehrani, Bill Bryson, Scientific American July dan cuba menterjemahkan Syarahan Umum Profesor Jung Dok Lee, berjudul Semiconductor and Nanotechnology Deveopment in Korea ke dalam bahasa melayu. Semoga mendapat kekuatan!!

7/27/07

Isi khutbah 27/7/2007

Hari khatib menegur orang islam (melayu terutamanya) yang terlalu leka dengan hiburan..sebut sahaja hiburan apa ( konsert, realiti TV, karaoke, disko.. etc2), melayu lah yang ramai...sebut saja gejala tidak bermoral di Malaysia, melayulah yang juara..maka hasilnya (ucap khatib), lahirlah golongan remaja dan dewasa melayu yang kurang kritis pemikirannya, ketajaman akalnya pun makin berkurang, hujah mereka dangkal..asyik-asyik berbolak-balik dengan isu yang sama..paling buruk mengulangi perkataan dari mulut orang lain...paling teruk menyampuk isu yang diri sendiri tidak dapat menguasai..hasilnya..umat terus ketinggalan dalam segenap bidang..

Moralnya: Marilah kita menjadi "manusia" yang sebenar tanpa berlindung di balik bayang dan tenggelam dalam angan-angan sementara umur masih tersisa.

7/26/07

Rehat sejenak

Di tempat kerja, ribut dalam cawan sekejap bila ada berita kisah pensyarah bakal berkahwin lagi satu ( kahwin dua )..mula lah kaum hawa bersikap sinis dan tak kurang juga yang positif..tetapi peratusan positifnya tentulah lebih kecil dari yang negatif. Tukang catat masih terlalu muda untuk memberi pandangan, cuma bila membaca beberapa rencana, tulisan, buah fikiran dan tentunya tafsir Al-Quran khususnya, isu poligami ini tidaklah sesulit mana sekiranya kita memahami pesanan Allah..
Marilah kita sama-sama membaca dan memahami Al-Quran..(pesanan untuk diri dan keluarga)

7/9/07

3 Dimensi Masa

Masa lalu adalah sejarah. Masa kini adalah kehidupan yang kita “sedang” lalui. Masa depan adalah kehidupan yang “akan” kita tempuhi. Dalam meniti kehidupan yang hari ini, banyak masa lalu yang boleh dijadikan iktibar dan pedoman. Begitu juga pembaikan berterusan di masa kini adalah sebagai langkah atau jalan selamat untuk kehidupan yang lebih baik di masa hadapan. Tiga dimensi masa ini lah yang menemukan pelbagai ragam kehidupan yang melingkari sekitar kita sebagai makhluk Tuhan.

Namun begitu, pertentangan batin dan bujukan syaitan serta rendahnya tingkat keimanan dan kepercayaan diri masing-masing kerap kali menjerumuskan manusia ke arah lembah hina yang sama berulangkali. Itu tandanya kita tewas! Bagaimana dengan bangsa kita yang kerapkali dimomokkan sebagai bangsa yang mudah lupa segalanya!! ( menurut tulisan Johan Jaafar dalam kolum Di Luar Lingkaran, Berita Minggu 1 Julai 2007). Dan untuk menafikannya, cubalah kita cari bilangan yang betul-betul tidak mudah lupa dan sedar akan jatidiri mereka sebagai makhluk ciptaan Tuhan!!Apakah itu petanda bangsa kita memiliki ketahanan dalaman yang rapuh dan mudah saja dirobek-robek oleh kerakusan syaitan yang sejak azali cuba merosakkan kehidupan fitrah manusia.

Dalam perkara ini, marilah sama-sama kita mempertajamkan akal, berdoa dan berusaha agar tidak terperosok di dalam lubang gelap yang sama.

7/6/07

Kata-kata hikmah!

Renungan

Jangan putus asa jika otak tumpul dan kurang cerdas, kadang kala seseorang yang tumpul otaknya tetapi tidak putus asa, lebih maju daripada seseorang yang cerdas tetapi pemalas...

[HAMKA]

Khutbah jumaat 6 Julai 2007

Khutbah jumaat disampaikan oleh Dr Hj Maimun Aqsha Lubis. Beliau telah memberikan penerangan dan sedikit tafsiran ayat dari Surah Al-Insyirah tentang sikap berlapang dada dan dugaan-dugaan dalam perjuangan hidup. Melalui ayat dalam surah ini ada kata-kata bujukan dari Allah dalam menghadapi rintangan semasa berjuang..Antaranya ialah

"Di dalam setiap kesulitan itu, pasti ada kelapangan".

Tapi sayang sekali, khutbah yang ringkas dan padat dengan pengetahuan dan saranan kepada mahasiswa baru khususnya gagal menarik perhatian mereka dan juga para jemaah...ramai yang nampaknya tertidur sebelum khutbah bermula lagi..dan ramai juga yang tersengguk-sengguk walaupun khatib sedang bersemangat..di mana silap agaknya!!