www.majalahsains.com

6/7/12

Adat Berjiran Tetangga - di mana-mana jua

Selepas hampir 4 tahun di Montreal, kami masih tinggal di tempat yang sama. Di Verdun seperti yang dicatatkan ketika mula-mula kami sampai di sini dulu. Banyak pengalaman seharian yang boleh diceritakan sepanjang mendiami kawasan ini. Musim berganti, tahun berlalu. Suasana sekeliling pun turut berubah. Jiran bertukar ganti tapi kami masih selesa di sini. Cuma belakangan ini, ada sedikit yang mengganggu apabila jiran baru mula berpindah masuk.

Perkara utama apabila kita hidup berjiran ialah hormat menghormati sesama tetangga. Jangan sesekali menyakiti hati jiran. Itu juga yang dipesan nabi dan Tuhan. Jiran baru ini menurut pemilik rumah atau bangunan di kediaman yang kami menyewa datangnya dari Brazil. Sudah berapa lama mereka tinggal di Montreal tidaklah saya selidik. Cuma yang saya tahu, mereka adalah lelaki bujang yang mempunyai tatoo di badan. Berkulit cerah dan berbadan tegap. Tidak ada yang menyakitkan hati dari segi luaran, melainkan hobi mereka suka mendengar muzik yang bingit ala disko. Itu sahaja yang mengganggu kehidupan 'tenang' kami akhir-akhir ini.

Setakat ini, sudah tiga kali saya turun menegur dan mereka akur. Kali terakhir kami menghantar emel kepada pemilik kediaman supaya memberi peringatan kepada penyewa baru tentang undang-undang kejiranan di Montreal. Menurut 'agreement' selepas pukul 8.00 malam, penyewa tidak boleh menganggu ketenteraman penghuni lain. Sekiranya terganggu, penghuni berhak menghubungi pihak polis. (Undang-undang biasa). Malah kalau semua menggunakan fikiran, undang-undang ini tidaklah perlu sangat. Tapi harus diingat bahawa, tidak semua orang menggunakan fikiran.

Selepas membuat aduan melalui emel, sehingga hari ini alhamdulillah. Suasana kembali tenang terutamanya di tengah malam. Mudah-mudahan keadaan ini berterusan.


6/1/12

Boston, Massachussets, Rhode Island

Dua minggu yang lalu, kami berpeluang melawat ke Boston dan Rhode Island. Seperti biasa perjalanan kami rileks dan tenang menaiki bas sambil menikmati panorama yang mendamaikan sepanjang perjalanan.

Perjalanan dari Montreal ke Boston mengambil masa lebih kurang lima jam. Bertolak seawal jam 5 pagi, tiba di sana jam 12.30 mengambil kira masa urusan imigresen di sempadan US-Kanada. Alhamdulillah, perjalanan lancar, bas pelancong pun tidak terlalu banyak. Selalunya pemegang pasport antarabangsa akan melalui proses yang agak panjang di kaunter imigresen US. Mungkin ini kali ketiga kami memasuki Amerika, urusannya menjadi lebih lancar. Barangkali! Mungkin juga nasib..

Boston terkenal dengan dua buah universiti terkemuka di Amerika iaitu Massachussets Institute of Technology dan University Harvard. Dua universiti ini jugalah yang menarik minat kami untuk ke sana. Untuk melihat sendiri dua universiti tersohor di dunia yang terletak di Amerika Syarikat.

Harvard dan MIT terletak berdekatan di Massacchussets Street. Jarak keduanya sekitar 1 ~ 2 kilometer saya agak. Menurut cerita yang dikisahkan oleh pemandu pelancong, kedua universiti ini saling bersaing untuk muncul sebagai yang terbaik. MIT dipercayai salah sebuah universiti teknikal yang paling terkenal, manakala Harvard sebuah universiti yang menghasilkan pemimpin dunia termasuk presiden dan bekas presiden Amerika.

Bersebelahan MIT, ada satu jambatan 'kontroversi' yang dinamakan Harvard Bridge. Unik bukan! Kontroversi disebabkan jaraknya yang lebih dekat berbanding MIT tetapi dinamakan Harvard.

Satu kisah menarik pada tahun 1958, seorang pelajar MIT Oliver Smoot mengukur panjang jambatan tersebut menggunakan badannya sebagai pembaris. Ketinggian Smoot sekitar 5 kaki 7 inci atau ~1.70 meter dan keseluruhan jarak Harvard Bridge yang diukur menggunakan badannya ialah 364.4 Smoots (620.1 meter). 'Smoot' kini dikenali sebagai salah satu unit ukuran panjang yang tidak rasmi.

Boston adalah bandaraya ketiga di Negara Amerika Syarikat yang telah kami kunjungi selepas Florida dan New York. Ketiga-tiga daerah ini mempunyai keunikannya yang tersendiri. Florida misalnya kota keriangan dengan cuaca yang agak panas. New York, kotaraya pencakar langit yang memiliki aura tersendiri apabila menyelit-nyelit di celah-celah bangunan untuk bergerak ke sesuatu tempat. Sehingga kini saya masih tercari-cari ayat yang sesuai untuk menggambarkan Boston dalam bentuk tulisan...segalanya unik!

Kubah bangunan MIT kelihatan di seberang Harvard Bridge.