www.majalahsains.com

3/13/11

Orang Boleh Jatuh Sekelip Mata...

ZOY adalah ilustrator dan pengkartun yang popular. Sewaktu Tukang Catat di bangku sekolah dahulu, beliau melukis siri ilustrasi Pendekar Si Jangkang. Kemudian diikuti dengan beberapa lagi siri seperti Seladang Tunggal, Si Takluk Jagat dan lain-lain. Kebanyakan lukisannya berkisar tentang dunia kepahlawanan Melayu.

Bagi peminat beliau tentu sukar melupakan watak-watak ciptaannya seperti Macan Semarang, Lang Kuik Si Kuda Hitam dengan seni Ilmu Apungan Angin serta ilmu Apungan Dewa hasil imaginasi beliau.  Ilustrasinya cantik dan berseni sekali. Ramai pembaca akhbar Berita Harian tidak sabar menunggu setiap minggu untuk mengikuti siri tersebut sehinggakan seorang rakan senior saya di S.M A Ittifakiah Jerteh dahulu sanggup menghabiskan duit menggunting menampal dan memfotostat karya-karya ZOY dalam siri  tersebut untuk dijadikan buku. 2-3 siri juga yang terkumpul.
Sedap dibaca!

Saya sudah lama tidak mengikuti akhbar Malaysia bercetak secara 'live'. Sekadar membaca secara 'online' sejak datang ke Montreal. Kalau tidak, akhbar adalah bahan santapan harian terutamanya di hujung minggu. Kebetulan pula di ofis saya melanggan Berita Harian dan The Stars dan siri pahlawan Melayu karya ZOY tetap menjadi tatapan selain rencana-rencana berkualiti yang lain.

Hari ini reputasi ZOY seorang pengkartun dan ilustrator terkenal juga Berita Harian jatuh merudum akibat satu lukisannya yang tidak sensitif dengan penderitaan yang menimpa rakyat Jepun lewat tragedi Tsunami dan gempa bumi baru baru ini. Mudah-mudahan Berita Harian lebih waspada tentang isu-isu dunia dan lebih sensitif penderitaan orang lain.



p/s: Saya mengesan ada seorang lagi wartawan kanan berpangkat besar yang saya kagumi yang juga rakan Facebook menulis status yang menunjukkan sensitiviti beliau berada di tahap yang rendah.

Terlaju perahu boleh diundur, terlajak pena reputasi tersungkur.

Tidak sensitif

Walau apapun, Berita Harian telah memohon maaf secara terbuka. Harap kesilapan ini tidak berlaku lagi selepas 'siri-siri' kesilapan yang dilakukan oleh media. Tentu anda masih ingat kisah Santa Pak Haji oleh TV3 Ramadhan dahulu.  

Bersabar lah Zoy!

No comments: